Sunday, 30 October 2011

13 Bukti Allah Mencintai Kita


1-Allah menganugerahkan agama dan Hidayah,
ketahuilah Allah menyintai kita.

2-Allah memberi kita pelbagai musibah,
 ketahuilah Allah ingin mendengar suara dan rayuan kita.

3- Allah hanya memberi sedikit sahaja nikmat di dunia,
ketahuilah Allah akan memberi nikmat yang tidak terhitung pada kita di Akhirat kelak.

4-Allah memberi keredhaan kepada kita,
ketahuilah Allah telah memberi kepada mu sebaik-baik nikmat.

5- Allah kurniakan kepada mu sifat sabar,
ketahuilah kamu telah tergolong dalam golongan mereka yang berjaya.

6- Allah kuniakan kepada mu Ikhlas,
Sesungguhnya Allah ingin melihat kamu ikhlas kepadaNya.

7- Allah memberi kepadamu Ilham,
ketahuilah Allah kasihkan kamu dan menunggu dari lidahmu, ucapan syukur dan pujian mu kepada Nya.

8- Allah menganugerahkan sedih dan duka kepada mu,
ketahuilah Allah cintakan kamu dan ingin menilai keimanan mu.

9-Allah kurniakan harta kepadamu,
itulah tanda Allah menyintai mu dan janganlah kamu bakhil terhadap golongan fakir.

10-Allah beri kepada mu keadaan fakir,
ketahuilah Allah cinta kepadamu dan telah memberi kepada mu sesuatu yang lebih bernilai daripada Harta.

11-Allah menganugerahkan kepada mu lidah dan hati,
ketahuilah Allah menyintaimu untuk mempergunakan keduanya ke arah kebaikkan dan keikhlasan

12- Allah memberi kepada mu Solat, Puasa, Al-Quran dan berjaga malam.
Ketahuilah Allah menyayangi mu, Maka janganlah kamu tidak memperendahnya atau mempermainknnya.. Tetapi beramallah dengannya.

13- Allah menganugerahkan Islam kepada mu,
ketahuilah Allah telah menyayangi mu..

Wahai Seorang Wanita Dunia


Wahai seorang wanita dunia,
Mengapa kau hanya menunduk sahaja,
Kau begitu menjaga pandanganmu dari segala lelaki dunia,
Dari segala pengaruhnya kenikmatan dunia,
Membuat...
Wajahmu begitu sangat meneduhkan,
Walau hanya bersolek sederhana,
Ibarat bidadari turun dari langit,
Yang wajahnya memancarkan ketenangan dalam hati,
Memenuhi perasaan dan segala jiwa,
Itulah mengapa mata ini pun tidak sanggup,
Menatap untuk kedua kalinya pada wajahmu,
Mata ini hanya boleh menunduk pasrah,
Menahan serangan asmara.

Wahai seorang wanita dunia,
Pakaianmu begitu rapi Islami,
Menutupi longgar seluruh tubuhmu,
Membuat anggunnya dirimu,
Diri ini pun tidak boleh lama mendekatimu,
Diri ini bergetar, gelisah, dan khuwatir,
Kerana diri ini pun terlalu hina untuk dekat denganmu,
Dengan kesempurnaan terjaganya dirimu.

Wahai seorang wanita dunia,
Suaramu menggambarkan bijaksananya dirimu,
Sehingga aku tidak sanggup mendengar suaramu,
Suaramu yang kau lafaz dengan mendayunya dirimu,
Pada semua orang di sekelilingmu,
Membuat aku begitu cemburunya padamu,
Kerana bagiku suaramu,
Hanyalah untuk sesuatu yang mahal,
Iaitu sebuah kebijaksanaan dan kebermanfaatan,
Menghilangkan duka pada fikiran semua orang.

Wahai seorang wanita dunia,
Tingkahmu begitu santunnya segala kesopanan,
Memenuhi segala akhlakmu dalam kemuliaan,
Membuat dirimu yang penuh kelembutan,
Tetapi memancarkan segala bentuk kewibawaan,
Membuat sikap ini pada dirimu begitu segan,
Malu dan begitu enggan,
Kerana tingkahku masih banyak kesalahan.

Wahai seorang wanita dunia,
Cinta di hatimu sangatlah suci,
Kerana cinta di hatimu hanyalah kerana Ilahi,
Membuat hati ini hanya bisa berharap dan berdoa,
Mampu engkau cintai kerana-Nya,
Dan menjadi pendamping serta imammu dalam meniti jalan-Nya,
Hingga Syurga-Nya,
Maka akan aku jaga cinta ini hingga tiba saatnya,
Sambil selalu memperbaiki diriku dalam kemulian-Nya,
Kerana semua sudah termaktub dalam firman-Nya,
Bahawa wanita yang baik hanya untuk seorang lelaki yang baik adanya.

Wahai seorang wanita dunia,
Aku mohon jagalah dirimu,
Itulah mengapa kau dipandang berbeza,
Kerana kau sangat berharga.

Wahai seorang wanita dunia,
Yang membuat iri bidadari semuanya,
Walau seorang wanita dunia,
Engkaulah sang ratu bidadari Syurga.

Saturday, 29 October 2011

Cara Rasulullah Melayan Isteri


Kisah Rasulullah SAW sebagai pengajaran..

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Baginda juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina Aisyah menceritakan ‘Kalau Nabi berada di rumah, baginda selalu membantu urusan rumahtangga.’

3) Jika mendengar azan, baginda cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.’

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu.. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, ‘Belum ada sarapan ya Khumaira?’ (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, ‘Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.’
Rasulullah lantas berkata, ‘Jika begitu aku puasa saja hari ini.’ tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, ‘Mengapa engkau memukul isterimu?’
Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar,
‘Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia.’
‘Aku tidak bertanyakan alasanmu,’ sahut Nabi s. a.. w. ‘Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?’

6) Pernah baginda bersabda, ‘sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik, kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.’ Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat..

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali.
Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

‘Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?’
‘Tidak, ya Umar.. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.’
‘Ya Rasulullah… mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit…’ desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda.
Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

‘Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?’
Lalu baginda menjawab dengan lembut, ‘Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?’ ‘Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.’

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, ‘Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?’
Jawab baginda dengan lunak, ‘Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.’

Subhanallah sungguh tinggi pekerti baginda Rasulullah SAW..

Menangislah Di Sini Sebelum Menangis Di Sana


Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu. Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia.

Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.

Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid.

Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.

Dari mata yang mengitai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang."(al- Hasr: 20)

Tangis adalah basahan hidup, justeru: Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan.Sama ada yang membawa untung atau merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.: 

"Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."

Nabi Muhammad bersabda lagi : "Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali."

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda :
"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya.

Nabi Muhammad bersabda :
"Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair: "Aku hairan dan pelik,melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan. "

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut- takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan. Lupakah kita Nabi pernah bersabda : "Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut riak, kedukaan menjemput duka. Namun,Allah s.a.w. telah berfirman :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."(AL BAQARAH : 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda: "Neraka dipagari nikmat,syurga dipagari bala."

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:
"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya :

"Kenapa engkau menangis?"
"Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang,"jawabnya .

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata : "Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Masud r.a.berkata :
"Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah.

Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur :
"Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Menangislah di sini, sebelum menangis di sana..

Friday, 28 October 2011

Belajar Dari Matahari



Pedang paling kuat dan tajam adalah logam besi
yang mendapatkan tempaan paling keras pada nyala api
yang sangat panas,
maka jangan kamu berharap menjadi kuat
jika tidak berani hadapi ujian dan kerasnya hidup ini

Sebatang mancis tidak akan bernyala
bercahaya dan bermanfaat sebelum ia terbakar
jangan pernah harap kejayaan tanpa perjuangan dan pengorbanan
tidak akan berhasil seseorang sebelum merasakan kegagalan

Jadilah orang yang selalu memberikan kebahagian
Walaupun hanya dengan sapaan, salam dan sebuah senyuman
jangan pernah  mementingkan diri sendiri
Belajarlah dari Matahari yang mampu untuk bersinar lebih lama lagi…
Tetapi dia tetap memberi peluang untuk sang bulan untuk menunjukkan diri

Sahabat….
Kemenangan adalah saat dimana kita dalam keterbatasan
tetapi masih sanggup menghasilkan karya terbaik yang mengagumkan
Kemenangan adalah saat kita ikhlas memberikan jalan-jalan kebahagiaan
Kepada orang-orang yang begitu memerlukan pertolongan

Sahabat….
Kemenangan adalah saat kita mampu memaafkan kesalahan
meskipun kita telah dikecewakan dengan begitu dahsyatnya
Kemenangan adalah saat kejujuran lebih kita utamakan
Daripada mendahulukan ego dan kepentingan diri sendiri
Kemenangan adalah saat kita mampu memberikan yang terbaik
meskipun kita dalam keadaan yang apa adanya.

Sahabat….
Jika kamu tidak tahu atau bingung
tentang siapa yang kamu sangat sayangi
Ingatlah saat-saat dimana kamu berada
dalam suasana yang tidak ingin kamu kenang
disitulah kamu mengenali dirimu sebenarnya
disitulah kamu juga tahu siapa yang paling kamu rindukan
Allah..

Khadijah Di Mata Seorang Lelaki


"Ia kisah tentang wanita..."
"Ia kisah tentang hebatnya sebuah rumahtangga..."

Inilah persepsi yang melatari para aktivis dakwah muslimin apabila kisah Khadijah dibentangkan. Bukan salah kisah itu, tetapi apabila dipersembahkan terlalu tekstual, maka martabat seorang yang diprojekkan Allah Subhanahu wa Taala untuk melengkapkan perjuangan Rasul tidak mampu diambil pelajaran sebaiknya dalam konteks yang lebih besar.

Bagi saya, kisah Nabi Muhammad Rasulullah dengan Khadijah tidak terhenti setakat kisah cinta dan perkahwinan sahaja.

Kisah Muhammad-Khadijah adalah
 kisah "perkahwinan" antara gerakan dakwah dengan pengalaman hidup (worldview) dan kematangan membuat keputusan. Sebagaimana Allah mengangkat martabat pengalaman dan kematangan melalui rukun Islam yang kelima (Haji yang mesti melalui jalan susah untuk ke sana), demikianlah Allah mengangkat martabat pengalaman dan kematangan dengan pemilihan seorang wanita berusia 40 tahun untuk menikahi seorang jejaka tampan 25 tahun, seusia seorang graduan universiti, yang baru sahaja menolak ramai para perawan Makkah dan jelitawan Bani Hasyim.
Ramai pengkaji sejarah merumuskan bahawa perkahwinan Rasulullah dengan seorang isteri sahaja, yang berusia lebih tua dari usia baginda, dan yang telahpun (berpengalaman) menjadi janda sebanyak bukan sekali bahkan dua kali, mengandungi banyak hikmah yang tersembunyi. Jika baginda beristeri dengan seorang wanita yang lebih muda dari baginda, mungkin isteri itu mencatat rekod kurang baik apabila isteri muda itu tidak mampu menanggung seperti hal-hal yang ditanggung oleh Khadijah. Allah ternyata lebih tahu apa yang terbaik untuk mempersiapkan perjalanan jauh Rasulnya.
Kisah Muhammad-Khadijah juga adalah kisah "perkahwinan" antara gerakan dakwah dengan kekayaan dan kompetensi mencipta kekuatan wawasan dan dana untuk melancarkan gerakan.

Kesan berdagang atas nama Khadijah, Rasul menjejakkan kaki ke semua pasar-pasaraya utama di seluruh Jazirah Arab. Justeru sebelum kenabian baginda sudah mempunyai wawasan geografik yang sangat jelas.” (Dr. Antonio Syafie, Super Leader Super Manager)

Kisah Muhammad-Khadijah adalah
 kisah kejayaan sebuah "engagement" antara gerakan dakwah dengan VVIP dan orang kenamaan.

Khadijah satu-satunya “Datuk Seri” wanita di Makkah, keturunannya mulia, dari sebelah ayahnya berakhir dengan Qushai dan dari sebelah ibunya bernama Fatimah, bersambung kepada Za’idah bin Al-Asham bin Harm bin Rawahah. Digelar
 at-Thahirah, meskipun masyarakat Arab ketika itu meletakkan martabat wanita serendah-rendahnya, namun nama Khadijah dikenali dengan julukan wanita suci sejak perkahwinannya dengan Abu Halah dan Atiq bin Aidz karena keutamaan √£khlak dan sifat terpujinya. Maka tidak hairanlah jika kalangan Quraisy memberikan penghargaan dan berupa penghormatan yang tinggikepadanya)

Dan kisah Muhammad-Khadijah adalah kisah cinta yang sungguh berhati-hati (melalui peranan Maisarah dan Nafisah) dan cinta ibu yang sentiasa di hati meskipun selepas berkahwin.

Kita dapat memahami betapa rancaknya hubungan emosional dan kerohanian yang berkembang antara Siti Khadijah dengan Rasulullah secara cepat yang luarbiasa. Sebuah hubungan suci yang sangat memerlukan kepada cinta kasih, belas kasihan dan penjagaan oleh seorang ibu dan juga kekasih, kepada sebuah dada yang lapang, boleh memberikan segala kesayangan dan tuntutan hati. Demikianlah Nabi Muhammad mendapati dirinya secara tiba-tiba berhadapan dengan cara hidup yang baru, yang akan memutuskan cara hidup lama yang diwarisinya lama dahulu, sejak dia berada di padang pasir selama lapan belas tahun yang lalu, tanpa kasih seorang insan bernama perempuan dan ibu.” – Syed Ahmad Semait, 100 Tokoh Wanita Terbilang

Tuesday, 25 October 2011

Maaf Saya Lebih Takutkan Allah


Seorang gadis kecil pulang dari sekolah. Setibanya di rumah, ibunya melihat anak kecilnya dirundung kesedihan. Maka ibu pun bertanya kepada puterinya itu tentang sebab kesedihannya.

Anak: “Aduhai ibuku, sesungguhnya Pengetua telah memberi amaran akan membuangku dari sekolah kerana pakaian labuh yang ku pakai.”

Ibu: “Tetapi itu adalah pakaian yang dikehendaki oleh Allah, wahai puteriku.”

Anak: “Benar, wahai ibu, akan tetapi Pengetua tidak menyukainya.”

Ibu: “Baiklah, wahai puteriku, Pengetua itu tidak menghendaki, tetapi Allah meng­hendakinya. Maka siapakah yang akan kamu taati? Adakah kamu akan mentaati Allah yang telah menciptakanmu dan membentukmu, serta yang telah mengurniakan kenikmatan kepadamu? Atau kamu akan mentaati seorang makhluk yang tidak mampu memberikan manfaat dan kebaikan kepada dirinya sendiri?”

Anak: “Sesungguhnya saya akan taat kepada Allah.”

Ibu: “Bagus, wahai puteriku, kamu tepat sekali.”

Pada hari berikutnya, gadis kecil itu pergi dengan mengenakan baju yang labuh dan menutup aurat. Tatkala Pengetua melihatnya, dia  memarahi gadis kecil itu dengan keras. Gadis kecil itu tidak mampu memikul amarah tersebut, ditambah lagi oleh pandangan rakan – rakan sekelas  yang tertumpu kepadanya.

Tidak ada yang dapat dilakukan gadis itu selain  menangis. Kemudian, gadis kecil itu mengeluarkan kata-kata yang besar maknanya meskipun sedikit jumlahnya, “Demi Allah, saya tidak tahu siapa yang akan saya taati, tuan ataukah Dia?”

Pengetua itu pun bertanya, “Siapakah Dia itu?”

Anak itu menjawab, “Allah. Apakah saya harus taat kepada tuan, sehingga saya mesti memakai pakaian seperti yang tuan kehendaki, tetapi saya telah berbuat maksiat kepada-Nya.
Maaf, saya lebih takutkan Allah. Biarlah saya akan mentaatiNya sahaja dari mentaati tuan, dan apa yang terjadi biarlah terjadi.”

Gadis kecil itu bertekad untuk berpegang kuat dan taat ke­pada perintah  Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa akan tetapi adakah Pengetua  itu hanya berdiam sahaja?
Pengetua itu meminta dipanggilkan ibu si anak kecil tersebut. Apa yang Pengetua itu inginkan dari ibunya?

Maka datanglah si ibu itu…

Ibu guru berkata kepada ibu anak kecil itu, “Sesungguhnya puteri puan telah menasihatiku dengan nasihat paling besar yang pernah aku dengar di sepanjang hidupku.”

Seorang guru yang ilmunya tidak dapat menghalangnya untuk mengambil nasihat dari seorang gadis kecil yang mungkin seusia dengan cucunya

Wahai ibu-ibu muslimah, di depan anda adalah anak-anak anda. Mereka seperti adunan tepung. Anda boleh membentuknya sebagaimana yang anda kehendaki, maka bersegeralah untuk membentuk mereka dengan bentuk yang diredhai oleh Allah dan RasulNya.
Ajarkanlah solat kepada mereka
Ajarkan mereka ketaatan kepada Allah
Ajarkan mereka untuk  tetap teguh di atas kebenaran.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...