Wednesday 28 May 2014

'Kepeningan' Wanita Muslimah Sedunia


1. Wanita diminta tidak berkerjaya. Apabila si wanita mahu bersalin, doktor wanita atau penyambut kelahiran berkepakaran tinggi yang dituntutnya.

Wanita yang pakar tidak akan lahir tanpa komitmen ilmu yang besar. Bukan kursus ala kadar. Kepakarannya juga tidak akan terhasil tanpa pengalaman kerjaya bertahun-tahun.

2. Wanita diminta tidak meluas penglibatannya dalam masyarakat. Cukup dengan 'tersembunyi' di rumah, untuk suami. Apabila mahu melihat filem dan drama Islami, artis muslimah menutup aurat dan berkeperibadian tinggi yang dituntutnya.

Wanita yang berkeyakinan di pentas dakwah media, tidak akan lahir tanpa perjalanan bertahap tahap sebelumnya. Tidak kiralah melalui program realiti, majalah, akhbar, media sosial dan sebagainya. Mereka selalu dicaci teruk di awal perjalanan tapi ramai yang tetap tegar melangkah. Syabas!

Banyak lagi contoh lain.
Kita akan pening jika cuba memenuhi semua pendapat orang awam.

Semua asal hukum perkara ini adalah HARUS.
Islam tidakpun MENGHALANG, cuma MEMELIHARA adab susilanya.
Apa yang sudah menjadi fitrah dan karekternya, Islam raikan secara manusiawi.

Bantulah wanita menjadi SEIMBANG, TAHU PRIORITINYA, TIDAK TERABAI TANGGUNG JAWAB ASASINYA, bukan MENGHALANG apa yang Allah benarkan.

Duhai muslimah,
Teguhlah melangkah dengan 'pautan' yang kuat, bukan pendapat orang awam yang pelbagai.

Pastikan kita mempunyai satu rujukan muktabar di rumah.
Saya tenang dengan himpunan dalil-dalil al-Quran dan hadis-hadis sahih dalam buku Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah, karya Prof. Abdul Halim Abu Syuqqah. Dipuji buku ini oleh Syeikh al-Qaradhawi. Ia meluaskan ufuk minda kita tentang kehidupan sebenar wanita pada zaman Rasulullah SAW.

Ceriakan harimu dengan ikrar,
Langkah jihad ini tidak maju dek puji, tidak mundur dek keji tapi kan tetap melangkah memburu janji Ilahi. :)


-Ustazah Fatimah Syarha-


Monday 26 May 2014

Kupu-Kupu Cinta


Pertemuan ini menjadi suatu bererti
Dikala diri menepi untuk warna-warna hati
Ruang-ruang jiwa hanya untuk Maha Kuasa
syair-syair cinta tercipta kerna Dia

Kupu-kupu cinta
terbanglah tinggi menuju jalan-Nya
Hinggaplah engkau di bunga yang indah
Terbang bersama hembus angin cinta

Ya Illahi Rabbi
Tiada lain hanyalah nama-Mu
Satukan cinta ini dalam bingkai
Untaian redha-Mu

Pertemuan ini menjadi suatu bererti
Dikala diri menepi untuk warna-warna hati



Saturday 24 May 2014

Aku Rindu


Antara kasih, sayang dan rindu
Berpadu dalam ruang rasa
Dinding jiwa diamuk duka
Rasa lara bertemu di ruang sepi
Terkadang menghenyak picisan kalbu

Tuhan...
Semakin hari semakin bertambah usiaku
Kian waktu, pengalaman mendewasakanku
Akal dangkal tak mampu memacu laju
Hanya iman senipis bawang memandu arah tuju
Berbantu rahmat-Mu yang sentiasa bersamaku

Tuhan...
Bicara soalnya seperti semalam bersua
Rindu yang tersimpan membarah dijiwa
Laksana sang kekasih dibuai cinta
Laksana bunga cinta mekar didada
Laksana taman menguntum ceria

Tuhan...
Izinkan kami bertemu
Agar terluah rindu di kalbu
Agar tersingkap cinta yang bersatu
Agar terlepas dera yang terbuku

Tuhan...
Aku rindu untuk menjadi tetamu-Mu
Aku rindu kemesraan dalam cinta-Mu
Aku rindu ketenangan di rumah-Mu
Aku rindu nuansa bahagia di kamar raudhah-Mu
Aku rindu ruang waktu bersama Kekasih-Mu
Aku rindu untuk dekat dengan Rasul-Mu
Aku rindu perasaan itu!

Tuhan...
Kiranya masih ku punya waktu
Izinkan kami bertemu dalam restu
Pertemukan kami dalam keredhaan-Mu

Aku rindu ya Habibi...
Aku rindu Masjid al-Haram
Aku rindu Masjid Nabi
Aku rindu tanah Madinah
Aku rindu kasih sayang ansar
Aku rindu debu-debu Mekah
Aku rindu keseriusan warganya

Aku rindu... untuk sujud di depan kaabah-Mu!



Friday 23 May 2014

Saya Mujahid Bukan Teroris!



Makna Jihad

Jihad dari segi bahasa bermakna  ‘melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh’ untuk mendapat natijah yang baik. Jihad luas maknanya dan bukan merujuk di medan perang semata-mata. Seperti yang ditegaskan oleh ulama kita, jihad boleh dilakukan dalam konteks melawan nafsu dan syaitan. Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya ‘Fiqh al-Jihad’ memberi makna yang cukup luas berhubung jihad, termasuk aspek pendidikan, ekonomi, pembangunan, pembaikan diri, dan sebagainya.

Tujuan Jihad

Ianya adalah wasilah untuk mencapai matlamat lebih tinggi iaitu membina agama, meninggikan kalimah Allah, mempertahankan Negara daripada penaklukan dan untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Justeru, ia bukan untuk membinasakan nyawa dan benda tetapi untuk membawa keamanan dan kesejahteraan. Sebab itulah dalam Islam bila tiba waktu berdamai, Rasulullah saw mengambil langkah untuk berdamai berbanding daripada berperang.

Salah Faham Jihad

Kalau seseorang itu pergi berjihad dengan niat untuk membinasakan diri dengan menggunakan istilah mati syahid, itu bukan niat yang betul kerana ianya bukanlah matlamat jihad. Syahid itu adalah anugerah Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sepatutnya, ia diniatkan untuk meninggikan kalimah Allah, mempertahankan tanah air, membina agama, dan mendapatkan keredhaan-Nya. Kalaulah mati syahid itu menjadi tujuan utama dalam jihad, maka sudah tentu Rasulullah saw tidak menyuruh para sahabat memakai baju besi dan membuat persiapan perang dari segi latihan dan peralatan.

Syarat Jihad

Jihad dalam konteks medan perang atau jihad al-qital ini dipandu oleh etika perang yang amat ketat. Kerana ia membabitkan nyawa manusia. Islam sangat mengambil berat nyawa kerana itulah ia dilindungi dalam ‘maqasid syariah’. Antara syaratnya, perlu mendapat keizinan pemerintah ulil amri iaitu di mana kita tinggal. Pengisytiharaan jihad bukan hak individu. Sekiranya setiap individu memiliki hak ini, ia akan menimbulkan huru-hara di dalam Negara. Kita wajib taat kecuali ia menyuruh kita membuat maksiat atau melanggar perintah Allah. Perlu mendapat keizinan ibu bapa. Jika mereka tidak memberi keizinan kerana sudah tua, sakit dan memerlukan kita. Wajib mengutamakan mereka seperti yang telah diingatkan Rasulullah saw dalam hadis Baginda.

Bebas hutang. Wajib langsaikan hutang dahulu sebelum ke medan perang kerana tidak ada syahid bagi pemiutang. Tidak menyasarkan orang awam dan golongan zimmi, mu’ahhad dan musta’man. Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa membunuh seorang mu’ahhad, maka dia tidak akan mencium bau syurga.” [al-Bukhari]

Berjihadlah kerana Allah, bukan kerana dendam, marah atau untuk mencari syahid seperti yang dicanangkan oleh kumpulan militan yang melampau. Justeru, jika syarat ini dipenuhi, insyaAllah jihad ini akan membawa kemenangan untuk kedaulatan Islam.

Kesimpulan

Berjihad memerlukan ilmu, bukan sekadar ikutan dan semangat semata-mata. Rujuklah kepada alim ulama sebelum kita tersalah langkah melanggar prinsip agama dan jihad. Bezakan antara ideologi militan yang melampau dengan jihad untuk Islam. Semoga Allah terus membimbing kita semua untuk meletakkan jihad Islam ditempatnya dan mengikis fenomena Islamfobia yang meninggalkan kesan ketakutan kepada istilah terorisme.


Sumber asal : Apabila Jihad Menjadi Militan



Saturday 17 May 2014

Bersama Ke Syurga



Aku sedang berdebat dengan seorang pemuda yang fanatik dan aku bertanya dengan beliau : “Adakah mengebom sebuah kelab malam di sebuah negara yang majoritinya menganut agama Islam merupakan sesuatu yang Halal atau Haram?”

Pemuda itu menjawab : “Sudah tentu Halal, membunuh mereka adalah (Jae'z)!”

Aku bertanya dengan pemuda itu lagi : “Tapi jika engkau membunuh mereka ketika mereka melanggar perintahNYA, di mana engkau rasa mereka akan ditempatkan?”

Pemuda itu menjawab : “Sudah tentu di neraka jahanam!”

Aku bertanya dengan dia lagi : “Maka sudah tentu engkau dan syaitan mempunyai matlamat yang sama, kedua-dua kamu mahu menghantar hamba-hambaNYA ke neraka.”

Adakah kalian ingat sebuah hadis Rasulullah SAW, apabila Baginda melihat jenazah seorang Yahudi yang melalui depan Baginda? Nabi mula menangis, sahabat Baginda bertanya, "Mengapa Engkau menangis? Bukankah jenazah itu seorang Yahudi? Baginda menjawab, " Satu roh telah meninggalkan aku dan menuju ke neraka".

Dapatkah kalian melihat perbezaan antara cara pemikiran kalian dengan cara pemikiran Nabi Muhammad SAW? Baginda ingin menyelamatkan roh-roh ini dari neraka, bukannya menghantar mereka ke sana!

Kalian tidak memahami apa itu Islam yang sebenarnya, jadi jangan menghalakan senjata-senjata kamu atas nama Islam.

Syeikh Dr. Mohd Hassan, semoga Allah merahmati beliau.



Wednesday 14 May 2014

Soalan Untuk Qana'ah


Isikan jawapan di bawah ini :
1. Allah menciptakan TERTAWA dan .......
2. Allah itu MEMATIKAN dan ......
3. Allah menciptakan LELAKI dan .......
4. Allah memberikan KEKAYAAN dan ......

Majoriti kita akan menjawab:
1. MENANGIS.
2. MENGHIDUPKAN.
3. PEREMPUAN
4. KEMISKINAN.

Yakinkah jawapan itu betul?

Untuk mengetahui adakah jawapan di atas itu benar atau tidak, mari kita sesuaikan jawapan tersebut dengan rangkaian firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surat An-Najm (53), ayat: 43-45, dan 48. sebagai berikut:

"dan Dia-lah yang menjadikan orang TERTAWA dan MENANGIS." (QS. 53:43).
"dan Dia-lah yang MEMATIKAN dan MENGHIDUPKAN." (QS. 53:44).
"dan Dia-lah yang menciptakan berpasang-pasangan LELAKI dan PEREMPUAN. " (QS.53:45).
"dan Dia-lah yang memberikan KEKAYAAN dan KECUKUPAN." (QS. 53:48).

Ternyata jawapan kita umumnya BETUL hanya pada soalan nombor 1-3.
Tapi, jawapan kita untuk nombor 4 umumnya mesti menjawab KEMISKINAN (salah)

Jawapan versi Allah dalam Al-Qur'an bukan KEMISKINAN, tetapi KECUKUPAN...

MasyaAllah..
Sesungguhnya Allah Subhaanahu wa Ta'ala hanya memberi KEKAYAAN dan KECUKUPAN kepada hamba-Nya. Yakinlah!

Dan yang ‘menciptakan’ KEMISKINAN adalah diri kita sendiri. Hal ini boleh berlaku kerana ketidakadilan ekonomi, malas, boleh juga kerana kemiskinan itu kita bentuk di dalam fikiran kita sendiri. Itulah hakikatnya, mengapa orang-orang yang sentiasa bersyukur, walaupun hidup susah, ia akan tetap tersenyum dan merasa CUKUP.

Jadi, marilah kita rasakan KECUKUPAN di dalam hati dan fikiran kita, agar kita menjadi hamba-Nya yang selalu BERSYUKUR. Baik dalam kegembiraan ataupun kesedihan dan kesusahan. Kerana di dalam kesusahan dan kesedihan pun adalah rezeki dari Allah SWT.

Semoga BERSYUKUR kita bernilai ibadah..


Friday 9 May 2014

Anak Soleh : Uwais Al-Qarni


Tahukah kamu siapakah Uwais al-Qarni?

Uwais al-Qarni merupakan pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah saw kepada para sahabat baginda.

Rasullulah saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (zaman selepas kewafatan Rasullulah saw).

Tujuan Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra).

Marilah kita lihat apa istimewanya Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah saw meminta sahabat mencari dan meminta doa darinya.

Memang benarlah kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia adalah orang yang Rasulullah saw sebut-sebutkan ini kerana, Uwais Al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais Al-Darni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan.

Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta.

Namun atas permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi. Uwais Al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit.

Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas 8 bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya:

“Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais Al-Qarni menjawab:

“Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi:

“Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais Al-Qarni menjawab:

“Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”

Ibunya berkata lagi:

“Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”

Uwais Al-Qarni berkata:

“Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”

Ibunya menambah:

“Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”

Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah saw kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra:

“Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata:

“Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”

Maka Uwais Al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, saidina umar mahu membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais Al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik oleh Uwais Al-Qarni.

Lalu Uwais Al-Qarni menjawab dengan lembut :

“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”

Diriwayatkan semasa kewafatan beliau, terlalu ramai ‘orang’ yang menyempurnakan jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang memperdulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah ‘orang-orang’ tersebut. Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.


Thursday 8 May 2014

Kisah Cinta Rabiatul Adawiyah


Rabiatul Adawiyah merupakan salah seorang srikandi agung dalam Islam. Beliau terkenal dengan sifat wara' dan sentiasa menjadi rujukan golongan cerdik pandai kerana beliau tidak pernah kehabisan hujah. Ikutilah antara lain kisah-kisah teladan tentang beliau.

KISAH 1:

Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabiatul Adawiyah. Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk digunakan berwudhu', itupun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok tersebut. Tiba-tiba Rabiatul Adawiyah menegur si pencuri tersebut.

"Hei, jangan keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini."

Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa hairan kerana baru kini dia menemui tuan rumah yang begitu baik hati seperti Rabiatul Adawiyah. Kebiasaannya tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku.

"Silakan ambil sesuatu." kata Rabiatul Adawiyah lagi kepada pencuri tersebut.

"Tiada apa-apa yang dapat aku ambil dari rumah mu ini." kata si pencuri berterus terang.

"Ambillah itu!" kata Rabiatul Adawiyah sambil menunjuk pada kendi yang buruk tadi.

"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga." Jawab si pencuri.

"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah 2 rakaat. Dengan demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok burukku ini." Balas Rabiatul Adawiyah.

Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi merasa gementar. Hatinya yang selama ini keras, menjadi lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi’atul Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya.. Kemudian dia menunaikan solat 2 rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan kelezatan dalam jiwanya yang tak pernah dirasa sebelum ini. Rabiatul Adawiyah lantas berdoa:

"Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri dihadapan Mu. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmat Mu."

KISAH 2 :

Pada suatu hari, sekumpulan golongan cerdik pandai telah datang ke rumah Rabiatul Adawiyah. Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji beliau dengan pelbagai persoalan. Malah mereka telah bersedia dengan satu persoalan yang menarik. Mereka menaruh keyakinan yang tinggi, kerana selama ini Rabiatul Adawiyah tidak pernah ketandusan hujah.

"Wahai Rabiatul Adawiyah, semua bentuk kebajikan yang tinggi-tinggi telah dianugerahkan oleh Allah swt kepada kaum lelaki, namun tidak kepada kaum wanita." Ketua rombongan itu memulakan bicara.

"Buktinya?" Balas Rabiatul Adawiyah.

"Buktinya ialah, mahkota kenabian dan Rasul telah dianugerahkan kepada kaum lelaki. Malah mahkota kebangsawanan juga dikurniakan kepada kaum lelaki. Paling penting, tidak ada seorang wanita pun yang telah diangkat menjadi Nabi atau Rasul, malah semuanya dari golongan lelaki." Jawab mereka pula dengan yakin.

"Memang betul pendapat tuan-tuan sekalian. Akan tetapi harus diingat bahawa sejahat-jahat pangkat ada pada kaum lelaki juga, siapa yang mengagung-agungkan diri sendiri? Siapa yang begitu berani mendakwa dirinya sebagai Tuhan? Dan siapa pula yang berkata : "Bukankah aku ini tuhanmu yang mulia?"

Dengan tenang, Rabiatul Adawiyah membalas hujah mereka sambil merujuk kepada Fir'aun dan Namrud. Kemudian Rabiatul Adawiyah menambah lagi, "Anggapan dan ucapan seperti itu tidak pernah keluar dari mulut seorang wanita. Malah semuanya ditimpakan kepada kaum lelaki."

KISAH 3 :

Suatu hari, Rabiatul Adawiyah terlihat seseorang sedang berjalan-jalan dengan kepalanya berbalut sambil menagih simpati daripada orang ramai. Kerana ingin tahu sebabnya orang itu berbuat demikian, Rabi'atul Adawiyah bertanya, "Wahai hamba Allah! Mengapa engkau membalut kepalamu sebegini rupa?"

"Kepalaku sakit." Jawab orang itu dengan ringkas.

"Sudah berapa lama?" Tanya Rabiatul Adawiyah lagi.

"Sudah sekian hari." Jawabnya dengan tenang.

Lantas Rabiatul Adawiyah bertanya lagi,"Berapa usiamu sekarang?"

Orang itu menjawab,"Sudah 30 tahun"

"Bagaimana keadaanmu selama 30 tahun itu?" Tanya beliau lagi.

"Alhamdulillah, sihat-sihat saja." Jawabnya.

"Apakah kamu memasang sebarang tanda di badanmu bahawa kamu sihat selama ini?" Tanya Rabiatul Adawiyah.

"Tidak." Jawab orang itu ragu-ragu.

"Masya’Allah, selama 30 tahun Allah telah menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu langsung tidak memasang sebarang tanda bagi menunjukkan kamu sihat sebagai tanda bersyukur kepada Allah swt. Jika sebaliknya, pasti manusia akan bertanya kepada kamu sebabnya kamu sangat gembira. Apabila mereka mengetahui nikmat Allah kepadamu, diharapkan mereka akan bersyukur dan memuji Allah." Jelas Rabiatul Adawiyah.

"Akan tetapi, kini apabila kamu mendapat sakit sedikit, kamu balut kepalamu dan kemudian pergi ke sana sini bagi menunjukkan sakitmu dan kekasaran Allah swt terhadapmu kepada orang ramai, Mengapa kamu berbuat hina seperti itu?" Sambung Rabiatul Adawiyah lagi.

Orang yang berbalut kepalanya itu hanya diam seribu bahasa dan tertunduk malu dengan perlakuannya. Kemudian dia beredar meninggalkan Rabiatul Adawiyah dengan perasaan kesal dan insaf.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...