Hari ini result UPSR diumumkan. Setinggi-tinggi
tahniah dari ustazah untuk anak-anak dan para ibu bapa mereka yang telah
berjaya cemerlang dan doa dipanjatkan kepada Allah agar anak-anak yang kurang
cemerlang dan kurang berjaya terus mekar harapan dan usaha untuk menimba ilmu.
Anak ustazah tidak terkecuali. Pukul 11 pagi tadi, dengan ditemani abinya, ustazah
lihat pemergiannya untuk mengambil keputusan UPSR dengan wajah yang sangat
ceria.
"Ummi...takutnya.", tapi bibirnya mengukir
senyum. Ustazah menanti kepulangannya dalam debaran. Selepas hampir satu jam
masa berlalu, anakanda ustazah pulang dengan deraian airmata. Ustazah rasa
seperti dapat mengungkap apa yang berlaku. Perlahan abinya kata, " 3A
2B". Luncur ustazah menyambutnya dengan Alhamdulillah 'ala kullihal wa fi
kulli hal. Anakanda ustazah terus menangis, dia mengharapkan result yang
cemerlang seperti kakaknya supaya dapat bersekolah di sekolah yang sama.
Ustazah biarkan dia menangis puas-puas. Biarlah dia berseorangan dalam
kamarnya, pasti saat dia menangis bermacam-macam yang terfikir di kotak
ingatannya. Biarkan dia dewasa sebentar dengan kenyataan hidup. Kebetulan hari
ini ustazah agak sibuk, ustazah teringat anakanda yang sulung akan pulang
bercuti ke rumah malam ini. Ustazah hubungi si kakak, "Kak Long tolong
belikan kad ucapan tahniah ya, sebab umi nak bagi kat adik". Jawab si
kakak, "bukan 5A kan ummi.. naper nak berkad2". Respon ustazah
"Kak Long, walupun adik tak dapat 5A, tapi dia wajar menerima ucapan
tahniah dari ummi. Ummi nak menyanjung segala usahanya dalam menuntut ilmu
sejak dari tadika Kak Long. 8 tahun dia menuntut ilmu, berpagi2an bangun untuk
ke sekolah. Pagi akademik, petang kelas agama, malam mengaji, macam2 pahit
manis yang adik harungi sesuai usianya dalam kehidupan seorang pelajar. Andai
ummi tak menyanjungnya, adakah lagi orang yang lebih hampir dengannya melihat
ketabahannya menuntut ilmu. Belikan kad yang cantiiiik sangat untuk adik ya Kak
Long, umi nak tulis begini atas kad tersebut...
"Anakanda ummi.. Setulusnya ummi mengucapkan
tahniah atas istiqamahnya anakanda ummi menuntut ilmu dari kecil. Jangan
menangis lagi. Belajar menyenangi keputusan Allah. Senyumlah sayang, melihat
masa depanmu. ADA AL-QURAN MENANTIMU.. MENGUBAT KESEDIHANMU.. MEMEKAR KEMBALI
HARAPANMU.. MASA DEPANMU BERSAMA AL-QURAN JAUH LEBIH INDAH DAN GEMILANG.. ALLAH
TELAH ATUR TAQDIR YANG SEMPURNA BUAT ANAKANDA UMMI.. Dengan keputusan tersebut,
anakanda ummi mungkin tidak memenuhi syarat untuk belajar di samping Kak Long.
Namun Subhanallah.. Ada yang lebih indah dari itu. Barangkali dengan result
tersebut, anakanda ummi akan menerima cadangan umi dan abi untuk memasuki
sekolah tahfiz sepenuh masa dan ummi berharap anakanda ummi yang menangis
teresak-esak di birai katil sepanjang hari ini akan Allah berikan kesempurnaan
kebahagian saat anakanda umi menepati syarat untuk memakaikan ummi dan abi
mahkota di akhirat kelak. Anakanda ummi al-hafizoh. Bangunlah sayang. Sujud
syukur kepada Allah, ini permulaan sebuah taqdir kehidupan yang diatur Allah
Yang Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana."
:')
-Ustazah NorHafizah-