Umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap
bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita
itu memang mempunyai pengaruhi yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh
lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri
sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.
Muslihat Wanita
Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan
kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslihat’ mereka jika mereka
bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang
boleh menjadikan lelaki ‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala
kehendaknya.
Perancangan atau ‘plot’ wanita begitu hebat sehingga
al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat
Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf: “Ini adalah
perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita)
itu hebat”. (Surah Yusuf: 28).
Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam dalam ayat
berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan
muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Joseph
menterjemahkan perkataan Kaid sebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik
dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau:
“..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that
could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book
Trust).
Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas.
Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi
ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan
‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya.
Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan
jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali
mereka yang memenangkan takwanya atau godaan atau kaid tersebut.
Nabi s.a.w pernah bersabda: “Aku tidak tinggal cubaan
yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Sabda baginda juga: “Sesungguhnya dunia itu manis
lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat
apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu
kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani
Israil dari wanitanya” (Riwayat Muslim).
Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah,
tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak
reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci
seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya.
Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai
gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang
pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat. Maka,
tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae
Ceausescu dihukum mati mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan
peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami
tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri
mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam
perancangan atau kaid mereka.
Perhiasan Terindah
Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala
lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah
dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang
lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan
kehidupan lelaki.
Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat
tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki
bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda: “Dunia
perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat
Muslim).
Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya.
Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki
perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah
yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya.
Sabda Nabi s.a.w: “Sebaik-baik wanita dia
mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila
menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat
al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan).
Sabda Nabi s.a.w juga: “Tiga dari kebahagiaan:
“Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau
tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam
al-Mustadrak, dinilai hasan).
Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik,
suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada
padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun
yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata
isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.
0 comments:
Post a Comment