Al-Qurtubi riwayatkan cerita dari Ibnu Shabih. Pada suatu hari ada
seorang datang mengadu kepada Hasan al-Basri tentang masa kemarau. Hasan
berkata kepadanya “Beristighfarlah kepada Allah”
Ada pula lelaki lain mengadu akan kemiskinannya. Beliau juga berkata
“Beristighfarlah kepada Allah”
Ada pula lelaki lain berkata “Doakanlah supaya Allah memberikan ku anak.”
Beliau berkata “Beristighfarlah kepada Allah”.
Datang lagi lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang kekeringan.
Beliau berkata “Beristighfarlah kepada Allah”.
Ar-Rabi berkata kepada Hasan “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu
pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua membaca intighfar”
Hasan jawab “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri.
Sesungguhnya Allah berfirman:
“Aku katakan kepada mereka, “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu
sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun nescaya Dia akan mengirimkan hujan
kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak2 mu dan mengadakan
(pula di dalamnya) untuk mu sungai2” (Nuh: 10 – 12)
Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah ingin menghabiskan
malamnya di sebuah masjid, tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya (mungkin
kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin Hanbal). Puas Imam Ahmad bin Hanbal
memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil.
Sehingga akhirnya Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku akan tidur di atas
kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hanbal
tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga masjid tersebut
tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hanbal keluar dari
masjid tersebut.
Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri
seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah
melihatnya. Lantas dia membawa Imam Ahmad keluar dari kawasan masjid itu dan
menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.
Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah
dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan
Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad mendengar pembuat roti
itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini membuatkan Imam Ahmad berasa
kagum terhadapnya.
Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu
tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu?
Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui
kelebihan dan faedah istighfar.
Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa
pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum
diperkenankan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah doa itu?”
Pembuat roti pun berkata: “Aku sangat menginginkan bertemu
dan melihat Imam Ahmad bin Hanbal .” Lantas Imam Ahmad berkata:
“Akulah Ahmad bin Hanbal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah
kepadamu!”
0 comments:
Post a Comment