Di sini firdausi seindah khayali
menarik mata melirik sejuta
dihiasi kota-kota lama penuh cerita
bak butiran mutiara di kalungan masa.
Sedang di angkasa terbang leluasa
jentera rakus Syaitan Damaskus
mengugurkan api bencana insani
meruntuh tradisi mulia nurani.
Selama empat dekad kezaliman merembat
bahagia penghuninya termamah lumat
kemuncak derita berkunjung akhirnya
tiada beza haiwan, pepohonan dan manusia
semua mangsa tertampar duka.
Di sini sikecil comel
berkaki ayam comot berdebu
tiada bezanya kelabu batu
menyurami matanya yang jeli dan biru
mengotori kulitnya yang putih dan gebu.
Dia lebih kenal kelongsong peluru
dari botol susu.
Dia lebih selalu melihat merah darah
dari kuning keju.
Dia lebih selalu mendengar tangis sendu
dari dodoi seorang ibu.
(kerana ibunya telah terkorban seminggu
yang lalu)
Dia tak lagi mendengar tawa senda bersama
ayah bonda di taman bunga
hanya terdengar jeritan kemanusiaan
terluka.
Segala deritanya kan dibasuh masa
namun kebisuan dunia kan terpahat
selamanya.
-Fikrul Mustanir-
0 comments:
Post a Comment