Tuesday, 31 December 2013

Jemaah Syurga


“Kami tidak mengganggu orang. Mengapa orang mahu marah-marah kepada kami?” kata seorang remaja yang ditegur oleh lelaki berusia.

“Daripada kamu berdua duduk di tangga ini mengira masa dan memerhatikan orang, lebih baik kamu berada di perpustakaan, di rumah, ataupun di surau.” Lelaki berusia itu masih belum mahu mengalah.

Kata orang muda perlu disanggah dengan kebenaran. Biar mereka jelas dan tahu seawalnya, sebelum mereka menjadi orang tua. Itu falsafah meluruskan orang, cara lelaki berusia.

Dua remaja itu tidak mengendahkan kata-kata lelaki itu. Lalu, ditinggalkan tempat itu dan mencari tempat lain. Esok adalah tahun baru, sudah tentu mereka mahu meraikan tahun baru di luar. Mereka melihat sambutan tahun baru lebih menggembirakan apabila bersama teman-teman.

Remaja itu mendengus marah apabila memikirkan nasihat percuma yang diterimanya. “Biar jauh daripada radio bocor yang tidak berhenti menyanyikan lagu nasihat di telinganya,” katanya kepada diri sendiri bagi meredakan amarah.

Lelaki berusia itu memerhatikan dua remaja itu melintasi jalan. Sebelum beredar, dia sempat berkata dengan suara yang kuat, “Jangan membazir masa, wajah muda kamu itu semakin tua setiap kali kamu berjalan!”

Mereka tidak pergi jauh. Dia hanya melintasi jalan dua hala, menuju kebahagian berhampiran sungai. Di situ, terdapat orang yang menjual makanan dan minuman ringan. Petang-petang sebegini adalah waktu lapar dan dahaga kepada mereka yang baru pulang dari pejabat. Turun sahaja daripada pengangkutan awam, mereka menuju ke seberang jalan satu lagi, bagi menukar kenderaan awam yang lain. Semua ini dilakukan bagi mengelakkan kesesakan.

Dua remaja itu memerhatikan gelagat manusia yang mundar-mandir di hadapan mereka. Lelaki, perempuan, muda, dan tua, semua berubah-ubah wajah pada pandangan mata. Mata mereka terhenti kepada lelaki yang tersenyum dan memandang.

Mereka sudah mula rasa tidak selesa.

“Ini seorang lagi penceramah yang mahu memberi nasihat. Radio bocor sudah beransur. Kali ini apa pula?” katanya.

Rakannya sudah mengibas-ngibas seluar dan berdiri, “Sebentar lagi, kita mendengar alunan kompang di telinga. Ayuh beransur.”

Lelaki itu semakin hampir ke arah mereka yang sudah bersedia bangun dari anak tangga yang diduduki. Mereka mengalihkan pandangan daripada lelaki itu.

“Ada hadiah untuk kamu berdua.” Lelaki itu menghulurkan sesuatu kepada mereka.

Remaja itu kemudiannya berbisik di telinga rakannya, “Duduk di tangga pun dapat hadiahkah?” soalnya sambil mata menjeling kearah hadiah yang berada di tangan lelaki itu.

Mereka tidak jadi melangkah dari tempat itu. Ini bukan satu lagi radio bocor yang mereka perlu dengar. Lelaki itu menghulurkan dua keping kad bertulis kalendar tahun baru.

Lelaki itu tidak lama di situ, kad yang dihulur disambut oleh mereka berdua. Tidak lama kemudian, kedua-duanya duduk kembali di tangga yang tidak putus dinaiki orang ramai.

“Sekadar kalendar, buang sahaja. Bukan kupon diskaun makanan segera,” kata seorang daripada mereka. Manakala, seorang lagi membelek tulisan di belakang kad kalendar tahun baru itu.

Dia berkata kepada rakannya, “Kad ini tidak boleh dibuang, perlu disimpan.”

Rakannya hairan dan bertanya, “Mengapa tidak?”

“Sudahkah kamu membaca ayat di belakang kad itu?”

Dia melihat tulisan di belakang kad. Lalu membacakan perlahan-lahan.

Ada orang merindui kamu,
Walau dia tidak pernah bertemu,
Kerana cinta dan kasihnya kepadamu,
Lalu, dia menyatakan rindu,
Dia bertanya di mana kamu,
Itu rindu Nabi Muhammad kepada dirimu,
Di hadapan sahabat-sahabat agung,
Dirimu masih menjadi sebutan di bibirnya,
Ada orang jauh menunggu dekat,
Mahu bertemu diri yang satu,
Jemaah syurga, itu adalah kamu.

Kedua-dua remaja saling berpandangan, melihat kad kalendar tahun baru yang mereka terima daripada pemuda yang entah dari mana datangnya. Kad kalendar itu menjadi mesej dalam diam kepada mereka.

“Ayuh kita berubah ke tempat lain. Keadaan di sini sudah semakin sesak,” ajak rakannya.

Rakan bertanya, “Kita mahu ke mana?”

“Ke tempat mereka yang mengalu-alukan kita menjadi Jemaah Syurga, walaupun mereka tidak kenal kita,” balasnya.

-2014-


Sunday, 29 December 2013

Mujahid Kecil : Faris Audah

 

Kelihatan sekumpulan kanak-kanak kecil bermain-main di tengah padang. Mereka menunduk mengutip batu-batu kecil. Haura’ yang memerhatikan tingkahlaku kanak-kanak tersebut mula berasa curiga.

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”

Batu-batu kecil yang berada di genggaman mereka dilemparkan jauh. Nyaris mengenai tubuh Haura’ yang sedang menuju ke arah mereka. 

“Berhenti!” salah seorang daripada mereka bersuara. Memandang ke arah Haura’. Serba-salah.

Haura’ pada mulanya mengetap bibir mula mengukirkan senyuman. Lintasan hati. As-syahid Faris Audah. Ya, mujahid kecil Palestina bersenjatakan batu-batu kecil yang tidak pernah gentar melawan Israel. As-Syahid Faris Audah, mempunyai kenangan tersendiri di dalam hidup Haura’. Mujahid kecil yang memperkenalkan Haura’ tentang erti sebuah perjuangan membebaskan bumi Palestina suatu ketika dahulu…

“Ya Allah, moga Kau lahirkan lebih banyak lagi Faris Audah untuk Deen ini.” Bisik Haura’ di dalam hati.


***********

Faris Audah ialah seorang remaja yang baru berumur 13 tahun yang tinggal di tengah Bandar Gaza, di Palestin. Namanya menjadi sebutan semasa dia masih hidup lagi, apatah pula setelah beliau kembali ke hadrat Ilahi. Ini adalah disebabkan keberanian beliau melawan tentera Israel yang berkereta perisai tanpa merasa takut dan gentar walaupun hanya bersenjatakan batu-batu kecil.

Pagi-pagi lagi, Faris, seperti remaja lain akan ke sekolah untuk belajar. Selepas pulang di waktu petang, dia akan bersama-sama kawannya mengutip batu kerikir untuk membaling tentera-tentera Yahudi yang bersembunyi di dalam kereta perisai. Farislah yang paling terkenal di kalangan tentera musuh Allah itu kerana keberaniannya berbanding rakannya yang lain, kerana dia akan sentiasa berada di depan sekali semasa merejam batu ke arah tentera zionis itu.

Sehinggakan pada suatu ketika fotonya dapat dirakam oleh pemberita luar negara untuk dimuatkan dalam majalah-majalah seperti News Week, Times dan seumpamanya dibawah tajuk Intifadhah dan sebagainya. Ia menunjukkan seorang remaja sedang membaling batu ke arah kereta berperisai di bawah rembang senja secara berseorangan dalam jarak yang dekat, menunjukkan keberaniannya..

Faris sememangnya seorang yang berjiwa besar dan bersemangat waja, kerana dia selalu mengingatkan ibu dan keluarganya bahawa Yahudi itu adalah musuh mereka dan musuh Islam. Faris berpesan supaya mereka sekeluarga terus berjuang menentang Zionis Israel untuk membebaskan bumi Palestin yang mereka cintai. Dia juga mengobarkan semangat di kalangan rakan-rakannya dengan mengajak mereka supaya terus merejami tentera Yahudi dengan batu dan supaya mereka jangan takut walaupun ramai kalangan rakan remajanya yang tercedera ditembak tentera.

Bagi Faris, satu-satunya cara yang ada untuk menentang Yahudi pada masa itu yang masih digeruni tentera Yahudi itu ialah dengan menggunakan batu. Ramai tentera Yahudi yang cedera dibalingi batu, serta buta mata mereka bila terkena batu berbisa remaja-ramaja Islam dan sebagainya.

Faris pernah kelihatan dirakam di dalam lensa kamera seorang wartawan sedang mengejar seorang tentera Yahudi yang lari bertempiaran takut dibalingi batu beracun Faris itu. Faris mulanya dikejar, tapi bila dia dapat mengutip batu dan membalingi tentera itu sekali, tentera itu lari. Dia pula yang mengejar dan berjaya mengenai sasarannya. Biasanya apabila ada rakannya yg tertembak dan luka, Faris dan rakannya akan mengejarkannya ke ambulan Palestin yg sentiasa tersedia menanti di sekitar tempat mereka merejam itu. Kecederaan seperti itu biasa berlaku, dan ramai rakannya hanya cedera ringan dan pulih semula.

Pada suatu hari minggu yang cerah, Faris telah keluar dari rumahnya tanpa memberitahu ibunya. Dia terus mencari beberapa rakannya dan menghala ke tempat biasa untuk membalingi tentera Zionis di dalam kereta berperisai. Hari itu dia kurang bernasib baik kerana setelah melontar beberapa biji batu Faris telah ditembak oleh tentera di dadanya. Rakan-rakannya tidak menyedari dengan segera saat tumbangnya Faris ke bumi. Setelah disedari beberapa ketika, mereka mendapati Faris terbaring di tanah dan cuba menyedarkannya. Ternyata dia terlalu lemah dan hampir pengsan dengan darah mengalir keluar dari tempat lukanya di dada. Mereka terus berlari mengusungnya dan mengejarkannya ke ambulan terdekat. Sampai di hospital, dia telah disahkan mati kerana peluru itu menembusi jantungnya, organ yang paling kritikal di badan manusia..

Sementara itu ibu Faris mencarinya di bilik dan mendapatinya hilang. Beliau risau kerana Faris tidak makan dan pergi tanpa memberitahunya ke mana tujuan. Setelah resah menanti kepulangan anaknya sekian lama, beliau di datangi rakan anaknya dan diberitahu apa yang terjadi. Betapa hancur luluh hati ibu Faris bila mengetahui Faris telah syahid dan pulang rahmatullah. Beliau terkilan kerana Faris tak sempat berjumpa dengannya hari minggu itu dan memberikan pelukan dan kata-kata terakhir. Walaupun begitu beliau redha dengan kehendak Allah. Airmata sahaja yang menjadi penawar lukanya. Faris meninggalkan ibu dan adik lelakinya buat selama-lamanya. Beliau mengikut jejak ayahnya yang telah juga pergi selamanya menemui Ilahi.

Pada petang itu, jalanraya di Gaza menyaksikan beratus-ratus orang lelaki Palestin yang mengiringi jenazah seorang remaja Palestin yang syahid di atas usungan ke tanah perkuburan. Jenazah itu tidak dimandikan kerana Faris ialah seorang yang syahid. Sehelai kain putih biasa sahaja yang menutupi badannya yang kurus dan kerdil itu. Walaupun kerdil, Faris diberi penghormatan luarbiasa berbanding remaja mahupun orang dewasa lain yang terkorban dalam intifdhah kerana dia sememangnya seorang yang sangat berjiwa waja sewaja jiwa Umar Al Khattab apabila menghadapi musuh Allah. Semua orang kenal apabila di sebut nama Faris, remaja yang tidak tahu takut pada Zionis itu. Semoga Allah menerimanya sebagai seorang syuhada' yang sejati.

Selepas kejadian sedih itu, ibu Faris sering ke sekolah anaknya untuk bertemu dangan rakan-rakannya. Rakan-rakan Faris semua tidak dapat melupakannya sehinggakan mereka masih mengosongkan tempat duduk Faris di di dalam kelas. Ibu Faris terhibur juga apabila dapat bertemu dan berbual dengan rakan-rakan anak kesayangannya itu.

Itulah kisah Faris, suatu kisah benar seorang remaja yg dirakam di dalam vcd Anak-Anak Palestin Pengukir Sejarah (dengan darah). Itu adalah sumbangan Faris untuk Islam dan pembebasan Palestin. Apakah sumbangan kita pula. Marilah kita berazam untuk membantu mereka sedaya yang mampu kerana Palestin adalah kiblat kita yang pertama dan Allah sememangnya menyuruh kita membela dan memeliharanya dari tangan zionis dan kafirun sehingga hari kiamat. Siapa yang berjaya memiliki tanah mulia itu, merekalah yang akan menguasai dunia. Apakah kita tidak mahu Islam terus memiliki tanah suci itu demi menguasai dunia dan mengimarahkan dunia dengan Deen Allah, Al-Islam?


Monday, 23 December 2013

Kupu-Kupu



Kupu-kupu tidak akan pernah tahu apa warna sayap mereka
tapi orang-orang tahu betapa indahnya mereka.

Seperti juga dirimu…
Engkau tidak tahu betapa indahnya dirimu
tapi Allah tahu betapa istimewanya dirimu di mata-Nya.

Iaitu…
Ketika engkau tunduk dalam syariat-Nya
redha atas takdir-Nya.
tersenyum dalam musibah.
tegar dalam ujian.
teguh dalam pendirian.

Subhanallah…
Semoga kita semua termasuk dan yang terpilih
menjadi hamba yang terindah di mata-Nya.

Bersungguhlah dalam mencari
dan terus mencari cinta Illahi...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...