“Kami tidak mengganggu orang. Mengapa orang mahu marah-marah kepada
kami?” kata seorang remaja yang ditegur oleh lelaki berusia.
“Daripada kamu berdua duduk di tangga ini mengira masa dan memerhatikan
orang, lebih baik kamu berada di perpustakaan, di rumah, ataupun di surau.”
Lelaki berusia itu masih belum mahu mengalah.
Kata orang muda perlu disanggah dengan kebenaran. Biar mereka jelas dan
tahu seawalnya, sebelum mereka menjadi orang tua. Itu falsafah meluruskan
orang, cara lelaki berusia.
Dua remaja itu tidak mengendahkan kata-kata lelaki itu. Lalu,
ditinggalkan tempat itu dan mencari tempat lain. Esok adalah tahun baru, sudah
tentu mereka mahu meraikan tahun baru di luar. Mereka melihat sambutan tahun
baru lebih menggembirakan apabila bersama teman-teman.
Remaja itu mendengus marah apabila memikirkan nasihat percuma yang
diterimanya. “Biar jauh daripada radio bocor yang tidak berhenti menyanyikan
lagu nasihat di telinganya,” katanya kepada diri sendiri bagi meredakan amarah.
Lelaki berusia itu memerhatikan dua remaja itu melintasi jalan. Sebelum
beredar, dia sempat berkata dengan suara yang kuat, “Jangan membazir masa,
wajah muda kamu itu semakin tua setiap kali kamu berjalan!”
Mereka tidak pergi jauh. Dia hanya melintasi jalan dua hala, menuju
kebahagian berhampiran sungai. Di situ, terdapat orang yang menjual makanan dan
minuman ringan. Petang-petang sebegini adalah waktu lapar dan dahaga kepada
mereka yang baru pulang dari pejabat. Turun sahaja daripada pengangkutan awam,
mereka menuju ke seberang jalan satu lagi, bagi menukar kenderaan awam yang
lain. Semua ini dilakukan bagi mengelakkan kesesakan.
Dua remaja itu memerhatikan gelagat manusia yang mundar-mandir di hadapan
mereka. Lelaki, perempuan, muda, dan tua, semua berubah-ubah wajah pada
pandangan mata. Mata mereka terhenti kepada lelaki yang tersenyum dan
memandang.
Mereka sudah mula rasa tidak selesa.
“Ini seorang lagi penceramah yang mahu memberi nasihat. Radio bocor sudah
beransur. Kali ini apa pula?” katanya.
Rakannya sudah mengibas-ngibas seluar dan berdiri, “Sebentar lagi, kita
mendengar alunan kompang di telinga. Ayuh beransur.”
Lelaki itu semakin hampir ke arah mereka yang sudah bersedia bangun dari
anak tangga yang diduduki. Mereka mengalihkan pandangan daripada lelaki itu.
“Ada hadiah untuk kamu berdua.” Lelaki itu menghulurkan sesuatu kepada
mereka.
Remaja itu kemudiannya berbisik di telinga rakannya, “Duduk di tangga pun
dapat hadiahkah?” soalnya sambil mata menjeling kearah hadiah yang berada di
tangan lelaki itu.
Mereka tidak jadi melangkah dari tempat itu. Ini bukan satu lagi radio
bocor yang mereka perlu dengar. Lelaki itu menghulurkan dua keping kad bertulis
kalendar tahun baru.
Lelaki itu tidak lama di situ, kad yang dihulur disambut oleh mereka
berdua. Tidak lama kemudian, kedua-duanya duduk kembali di tangga yang tidak
putus dinaiki orang ramai.
“Sekadar kalendar, buang sahaja. Bukan kupon diskaun makanan segera,”
kata seorang daripada mereka. Manakala, seorang lagi membelek tulisan di
belakang kad kalendar tahun baru itu.
Dia berkata kepada rakannya, “Kad ini tidak boleh dibuang, perlu
disimpan.”
Rakannya hairan dan bertanya, “Mengapa tidak?”
“Sudahkah kamu membaca ayat di belakang kad itu?”
Dia melihat tulisan di belakang kad. Lalu membacakan perlahan-lahan.
Ada orang merindui kamu,
Walau dia tidak pernah bertemu,
Kerana cinta dan kasihnya kepadamu,
Lalu, dia menyatakan rindu,
Dia bertanya di mana kamu,
Itu rindu Nabi Muhammad kepada dirimu,
Di hadapan sahabat-sahabat agung,
Dirimu masih menjadi sebutan di bibirnya,
Ada orang jauh menunggu dekat,
Mahu bertemu diri yang satu,
Jemaah syurga, itu adalah kamu.
Kedua-dua remaja saling berpandangan, melihat kad kalendar tahun baru
yang mereka terima daripada pemuda yang entah dari mana datangnya. Kad kalendar
itu menjadi mesej dalam diam kepada mereka.
“Ayuh kita berubah ke tempat lain. Keadaan di sini sudah semakin sesak,”
ajak rakannya.
Rakan bertanya, “Kita mahu ke mana?”
“Ke tempat mereka yang mengalu-alukan kita menjadi Jemaah Syurga,
walaupun mereka tidak kenal kita,” balasnya.
-2014-
0 comments:
Post a Comment