Thursday, 15 August 2013

Menjejak Makna Solehah


Siapalah aku berbanding dirimu
Tumbuh membesar dari tangan manusia paling mulia
Bondamu tidak meninggalkan harta,
tapi khazanah peribadi yang sentiasa disebut-sebut sang nabi,
ayahandamu nan tercinta
Kerana itu, dirimu dan bondamu
tergolong antara empat srikandi pilihan Yang Maha Esa

Siapalah aku berbanding dirimu
Maharmu bukan dari wang berjuta
Cukup nilaian sebatang perisai sebagai penyatu cinta
Episod rumahtanggamu masyhur bahagia
Bukan kerana harta, tapi kaya jiwa
Kau meniup obor semangat perjuangan
Merawat luka ayahanda dan suami di medan peperangan

Siapalah aku berbanding dirimu
Ketaatan tidak berbelah bahagi kepada suami,
kesungguhan mengurus rumah sebagai suri,
Mendidik generasimu menyintai ukhrawi
melebihi dunia dan segala isinya
Walau kerana semua itu, tubuhmu letih dan lesu
tidak pernah mengganggumu mengabdi diri
kepada Yang Satu

Sungguh,
siapalah aku berbanding dirimu
Fatimah bintu Rasulillah
menyusuri kisahmu, dan aku takjub
atas takdirNya,
kau teguk kepahitan di dunia ini
untuk kemanisan abadi di akhirat nanti
Aku tahu, sungguh tidak mudah 'menjadimu'
Kau suri tauladan buat aku wanita biasa
Buat menjejak makna 'solehah' sebelum jiwa ini menuju Rabbnya

Namun di sisi lain
tenggelam dalam ceritamu, menjadikan mataku basah
“Syurga, rasanya masih jauh, sangat jauh..”


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...