Tuesday, 29 October 2013

Muslimah Dan Dakwah


Muslimah adalah ciptaan Allah s.w.t yang sangat unik. Emosinya tidak terjangkau, kisahnya sangat bewarna-warni, muslimat adalah peniup obor semangat di belakang seorang tokoh yang bernama seorang lelaki.

Dalam rakaman langit sejarah yang berpaksikan kebenaran, generasi awal muslimah memainkan peranan yang sangat penting. Lihatlah bagaimana Saiditina Aisyah sebagai srikandi ilmu dengan sehamparan ingatan yang sangat menggugah, menguasai Al-Quran dan persoalan agama hingga menjadi tarikan sebagai gudang ilmu yang terus mengalirkan pencerahan.

Ummu Nusaibah bin Kaab mengotakan janjinya dengan menjadi perisai nabi Muhammad s.a.w di medan Uhud, beliau tidak pernah lelah berjuang bersama barisan kaum muslimin.

Dalam lipatan zaman moden ini, Zainab Al-Ghazali menyaksikan bahawa muslimat tidak seharusnya meninggalkan pentas dakwah dan perjuangan. Beliau sebagai ketua Jemaah Muslimat Mesir, akhirnya dipenjara dalam tempoh yang panjang dgn penyiksaan yang tak tertanggung peritnya. Tokoh muslimat ini berbakti di ladang dakwah, walau ditimpa segala macam dugaan dan cabaran dalam kehidupanya. Dunia menangis kerana kehilangan sang pejuang muslimah yang gigih ini, beliau adalah "ibu penggegar penguasa Taghut" yang sangat inspiratif dan mengesankan.

Justeru, wahai yang bergelar muslimah khususnya generasi pemudi, medan dakwah bukan sahaja dipenuhi dengan suara ajakan muslimin tetapi peranan muslimah begitu penting di dalam medan dakwah dalam menyelusuri arus yang kian hebat ini.

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan muslimah di medan dakwah dan perjuangan adalah merupakan sebahagian dari karat-karat penjajahan.

Oleh itu, setiap individu, muslimah mestilah berusaha untuk terpanggil ke arah perlaksanaan didalam medan dakwah dan perjuangan islam ini dan menjadikan peranan kita muslimah sebagai penggerak bagi menegakkan agama Allah s.w.t di atas muka bumi ini.

-Pengerusi Nisa (Norhafiza)-


Tuesday, 22 October 2013

Kembara Ilmu

 

Islam sejak awal pengajarannya menggalakkan seseorang mengembara untuk menimba ilmu pengetahuan. Dalam Al-Quran, Allah menegaskan banyak perkara yang mempunyai hubungkait dengan pengembaraan untuk mencapainya. Ini seperti perintah Allah supaya melihat alam yang pelbagai rupa, melihat kesan-kesan kaum yang terdahulu, berkenalan antara bangsa dan kabilah dan pelbagai lagi. Kesemuanya itu bertujuan meningkatkan pengetahuan insan tentang kehidupan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan. Allah juga menyebut: (maksudnya)

“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula” (al-Mulk, ayat 15)

Nabi s.a.w pula menegaskan:

“Sesiapa yang melalui sesuatu jalan kerana mencari sesuatu ilmu, Allah mudahkan untuknya jalan ke syurga” (Riwayat al-Tirmizi, bertaraf sahih).

Al-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) dalam Faidh al-Qadir ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ia merangkumi setiap jalan, sama ada perjalanan sebenar, ataupun satu usaha. Ia juga merangkumi setiap jenis ilmu tanpa mengira besar ataupun kecil dengan tujuan mencari redha Allah, maka termasuk dalam hadis ini.

Justeru itu kita dapati sejak awal Islam, generasi salaf telah mengamalkan hal ini. Mereka merantau untuk ilmu. Sehingga ada tokoh ilmuwan hadis seperti al-Imam Ibn Mandah (meninggal 395H) telah mengembara untuk ilmu selama 45 tahun. Bermula sejak umurnya 20 tahun dan pulang setelah berusia 65 tahun. Al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) dalam Siyar A’lam al-Nubala ketika membicarakan mengenai Ibn Mandah menyebut:

“Setahu aku tiada orang yang lebih luas kembaranya dari beliau, lebih banyak hadis dibandingkannya. Di samping beliau seorang hafizd hadis dan thiqah (dipercayai). Telah sampai berita kepada kita bahawa jumlah gurunya seribu tujuh ratus orang”.

Kitab-kitab Islam terdahulu mencatatkan kembara para ilmuwan dalam usaha menuntut ilmu. Setiap ilmuwan pasti ada catatan mengenai kembara mereka. Kembara juga melonjak nama mereka dalam bidang ilmu. Di samping ia membolehkan mereka bertemu dengan banyak guru, ia juga menunjukkan kesungguhan terhadap ilmu. Mereka meninggalkan kenikmatan hidup di tempat sendiri, bergantung kepada Allah untuk mencari ilmu. Nabi s.a.w menyebut antara kelebihan orang yang bermusafir ialah doa mereka mustajab:

“Tiga doa yang mustajab, tanpa syak padanya; doa ibubapa untuk anak, doa orang bermusafir dan doa orang kena zalim” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Bertaraf sahih).

Doa golongan di atas mustajab kerana pergantungan perasaan yang bulat kepada Allah. Sudah pasti lebih susah kembara lebih khusyuk doa dan pergantungan kepada Allah. Maka doa insan dalam permusafiran sering mustajab. Doa pengembara ilmu tentu lebih mustajab kerana dia menuju jalan ke syurga.

Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pandangan yang diberikan dan diri yang menuju Tuhan.

Bismillah. :)


Monday, 21 October 2013

Bahagia Selama-lamanya


Aku impikan gembira,
Yang tiada akhirnya
Dan aku tahu,
Itu hanyalah di syurga.

Aku mula memandang dunia,
Dengan pandangan yang berlainan,
Ibarat formula-formula yang terapung,
Menanti untuk diselesaikan

Hari ini ujian ini,
Dan esok ujian itu,
Hingga aku sendiri menjadi mangli
Dan air mataku telah kering berhenti

Gembira, sedih
Suka, duka
Putaran ini wujud di dunia,
Kesedaran hidup di alam fana
Aku patut berhenti berfantasi
Mengimpikan bahagia selama-lama di atas muka bumi ini
Kerna bahagia tanpa wujud akhirnya
Hanya wujud di syurga sana

Sama ada aku memilih untuk berdiri
Atau aku tidak akan mendapatkannya nanti


Sunday, 20 October 2013

Al-Quran Terpelihara?


Soalan:
Bagaimana cara untuk membuktikan Al-Quran itu terpelihara?


Jawapan:

Point 1:
Allah telah memberitahu kepada manusia bahawa Al-Quran itu terpelihara daripada sebarang perubahan.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” (Q15:9)

“Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui” (Q6:115)

“Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya” (Q18:27)

Point 2:
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab kepada bangsa Arab.

“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya” (Q12:2)

Point 3:
With due respect to our non-Muslim friends,
Perbandingan dari segi terjemahan makna kitab-kitab suci yang ada.

Taurat (Torah) bermakna Law atau Undang2.
Zabur (Psalms) bermakna Poem atau Puisi.
Injil (Gospel) bermakna Good News atau Berita Baik.
Bible bermakna Compilation of Books atau Himpunan Buku2.
Dan Al-Quran bermakna Recitation/Reading atau Bacaan.

*Tiada unsur merendahkan mana-mana kitab

Point 4:
Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf” (Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

Ayat-ayat Al-Quran yg dibaca adalah terdiri daripada hasil ejaan dari huruf-huruf tulisan Arab, di mana Alif, Lam, dan Mim ialah 3 contoh huruf tulisan Arab.

Jadi apabila kita membaca sesuatu ayat Al-Quran yang tertentu, kita akan diberikan ganjaran mengikut bilangan huruf dalam keseluruhan ayat yang dibaca. Ini jelas merupakan satu motivasi untuk dibaca secara konsisten sejak zaman Al-Quran diturunkan.

Point 5:
Dari segi terjemahan, kita dapati Al-Quran bermakna bacaan. Tapi persoalannya, adakah Al-Quran benar-benar dibaca secara rutin atau secara harian dan konsisten sejak zaman Al-Quran diturunkan?

Jawapannya, YA. Selain daripada hadis motivasi dalam Point 4 di atas, Al-Quran juga wajib dibaca (recite) semasa bersolat, di mana mereka yang bersolat perlu membaca (recite) melalui HAFALAN, dan bukannya baca (read) melalui TULISAN.

Point 6:
Ayat-ayat Al-Quran diturunkan secara sedikit demi sedikit selama 23 tahun. Ini membantu dari segi Hafalan.

“Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur” (Q17:106)

Point 7:
Jumlah ayat Al-Quran ialah 6236 ayat. Masa yang diambil untuk melengkapkan penurunan ayat-ayat Al-Quran ini ialah dalam 23 tahun, atau bersamaan (melebihi) 8000 hari. Jadi secara purata, ayat-ayat Al-Quran diturunkan kurang 1 ayat setiap hari.

Melalui hadis motivasi tadi, kita ambil kira bahasa yang diturunkan ialah bahasa Arab kepada bangsa Arab itu sendiri, ambil kira Al-Quran benar-benar dibaca secara rutin (sama ada semasa Solat atau bukan semasa solat secara konsisten) dan purata bilangan ayat yang diturunkan setiap hari ialah 1 ayat 1 hari, ini sangat-sangat membantu dari segi HAFALAN.

Point 8:
Katakan ada seorang remaja Melayu yang sangat-sangat minat dengan lagu Korea, hinggakan dia terikut-ikut lirik lagu tersebut. Hasilnya dia mampu menghafal lagu tersebut walaupun bunyi sebutan tidak tepat. Kemudian selepas 23 tahun, semakin banyak lagu yang dihafal.

Ini baru seorang remaja  Melayu yang hafal lagu Korea, iaitu bahasa asing kepada remaja tersebut. Sekarang cuba kita bayangkan, bacaan Al-Quran pada zaman Al-Quran itu diturunkan kepada orang-orang Arab sendiri. Ditambah pula dengan cara Al-Quran dibaca bukanlah seperti kita membaca tulisan di artikel ini, sebaliknya Al-Quran dibaca dengan nada yang berlagu. Jadi ini juga menjadi faktor pemeliharaan Al-Quran dari sebarang perubahan.

Point 9:
Kemudiaan selepas zaman Al-Quran diturunkan, Al-Quran mula dibukukan dan akhirnya bermula  pula era melatih dan melahirkan jutaan orang yang menghafal keseluruhan Al-Quran dari mukasurat ke mukasurat, dari ayat ke ayat, malah dari huruf ke huruf.

Jadi, jika Al-Quran di seluruh dunia dibakar sekalipun, ia akan dapat ditulis semula dengan segera disebabkan kewujudan ratusan ribu penghafal Al-Quran pada hari ini di seluruh dunia, termasuk ribuan hafiz dan hafizah di Malaysia.    
  

Sumber : Alumni FCR


Friday, 18 October 2013

Buat Jiwa-Jiwa Dai'e


Sunnah berdakwah,
sakit dan susah
namun,
awalnya saja payah,
akhirnya penuh barakah,
Allah sudahpun memujuk,
Akhir dakwahmu lebih baik dari awal dakwahmu,
Akhiratmu lebih baik daripada duniamu.

Jika kita tidak mahu berpayah-payah,
dalam berdakwah,
Kita kan payah juga,
Payah,
didera dosa membuang masa,
Bosannya merantai seluruh jiwa.

Wahai pendakwah,
Sabarlah dengan cacian manusia,
Jika ada 10 orang yang membenci,
ada 1000 yang lain sudi menyayangi,
Jika ada 10 yang mengata,
Ada 1000 bangkit membela.

Namun,
andai seluruh dunia menghinamu,
Jangan pernah berputus asa,
Kerana kau punya kekasih yang Esa,
Dia tetap setia, selamanya,
Selagi kau setia mencintai-Nya, 
Dengan setulus-tulus cinta.

"Berjuang memang pahit,
Kerana syurga itu manis,
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar,
Bukan sedikit pedih yang ditagih.

Berjuang ertinya terkorban,
Rela terhina kerna kebenaran,
Antara dua pasti terjadi,
Tunggulah syahid...
...atau menang."

:)


-Fatimah Syarha-


Saturday, 12 October 2013

Rindu-Rindu Syahid


Malaikat khas akan didatangkan untuk mensyahidkan (menyaksikan) mereka yang mati syahid di medan peperangan. Mati syahid yang besar ialah mereka yang terbunuh dalam pertempuran di medan peperangan kerana mendaulatkan Islam, menegakkan perintah atau hukum Allah dan mempertahankan negeri Islam daripada serangan musuh.


Mereka Tidak Mati

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” [Al-Imran: 169]

Dalam mazhab Syafie, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyangkan jenazah mereka kerana segala dosa mereka telah gugur (dihapuskan). Dalam mazhab Hanbali pula, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyang jenazahkan kerana telah mereka sebenarnya masih hidup dan tidak mati berdasarkan firman Allah.

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu; Orang-orang mati, bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” [Al-Baqarah: 154]


Mereka Bersukacita di Syurga

“(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” [Ali-Imran:170]

“Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.” [Ali-Imran:171]


Sakitnya Tidak Melebihi Gigitan Semut

Dalam sebuah hadith dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Orang yang mati syahid itu tidak mendapatkan kesakitan kerana terkena pembunuhan, melainkan hanyalah sebagaimana seseorang di antara engkau semua mendapatkan kesakitan kerana terkena gigitan – semut dan sebagainya.” [HR Imam Tirmidzi]


Ingin Kembali Ke Dunia Dan Mengulanginya Hingga 10 Kali

Para Syuhada ini menerima ganjaran yang sangat istimewa sehingga sanggup kembali ke dunia untuk mengulangi kematian berbanding golongan lain seperti para wali dan orang soleh yang tidak sanggup lagi kembali ke dunia yang penuh dengan syirik, maksiat dan kezaliman.

Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya: “Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid.” [HR Muslim]


Wednesday, 9 October 2013

Itu Adalah Umat Muhammad


Ketika Nabi Musa as bermunajat di Gunung Thursina untuk ‘bertemu’ Allah swt, Nabi Musa as mengajukan beberapa permintaan terkait isi dalam lauh-lauh (Kitab Taurat) yang diterimanya.

Nabi Musa as berkata, “Ya Tuhanku, aku melihat di lauh-lauh itu disebutkan suatu umat yang menjadi umat terbaik yang pernah terlahir ke dunia, mereka menyuruh sesamanya untuk berbuat kebaikan dan mencegah sesamanya berbuat kemungkaran. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu sebagai umatku.”

Allah swt menjawab, “Itu adalah umat Muhammad.”

Nabi Musa as berkata lagi, “Ya Tuhanku, aku melihat di lauh-lauh itu disebutkan suatu umat yang menjadi umat terakhir yang diciptakan namun mereka adalah umat yang paling dahulu masuk syurga. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu sebagai umatku.”

Allah swt menjawab, “Itu adalah umat Muhammad.”

Nabi Musa as berkata lagi, “Ya Tuhanku, aku melihat di lauh-lauh itu disebutkan suatu umat yang memiliki anak-anak yang sudah dapat menghafal kitab suci mereka, sedangkan umat-umat sebelum itu membaca kitab suci mereka dengan melihat. Apabila kitab itu disingkirkan, mereka tidak dapat membacanya dan tidak mengetahuinya. Engkau juga memberikan mereka daya hafal yang tinggi yang tidak diberikan pada umat-umat lainnya. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu sebagai umatku.”

Allah swt menjawab, “Itu adalah umat Muhammad.”

Nabi Musa as berkata lagi, “Ya Tuhanku, aku melihat di lauh-lauh itu disebutkan suatu umat yang beriman pada kitab suci yang pertama kali diturunkan hingga kitab suci yang terakhir diturunkan,  sentiasa memerangi kesesatan, bahkan mereka juga memerangi makhluk paling pendusta yang bermata satu (Dajjal). Ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu sebagai umatku.”

Allah swt menjawab, “Itu adalah umat Muhammad.”

Nabi Musa as berkata lagi, “Ya Tuhanku, aku melihat di lauh-lauh itu disebutkan suatu umat yang dapat memakan hasil dari zakat yang dikeluarkan oleh sesama mereka, namun tetap diberi ganjaran yang berlipat-lipat. Engkau mewajibkan zakat itu pada orang-orang kaya di antara mereka dan menyalurkannya pada orang-orang miskin. Sementara ketika umat-umat lain berzakat, jika diterima maka zakat itu akan dimakan api, dan jika ditolak maka zakat itu akan dimakan haiwan buas dan burung-burung. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu sebagai umatku.”

Allah swt menjawab, “Itu adalah umat Muhammad.”

Nabi Musa as berkata lagi, “Ya Tuhanku, aku melihat di lauh-lauh itu disebutkan suatu umat yang ketika berniat untuk berbuat baik namun mereka tidak melaksanakan niat tersebut, maka akan tertulis satu kebaikan. Dan jika mereka melaksanakan niat tersebut, maka akan tertulis bagi mereka 10 hingga 700 kali lipat. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu sebagai umatku.”

Allah swt menjawab, “Itu adalah umat Muhammad.”

Nabi Musa as berkata lagi, “Ya Tuhanku, aku melihat di lauh-lauh itu disebutkan suatu umat yang dapat memberikan syafaat sekaligus menerima syafaat. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu sebagai umatku.”

Allah swt menjawab, “Itu adalah umat Muhammad.”

Setelah mendengar semua itu, Nabi Musa as berkata, “Ya Tuhanku, jadikanlah aku salah satu umat Muhammad.”

Lalu Allah menurunkan wahyu kepadanya, “Ya Musa, Aku telah memilih engkau dan semua manusia untuk menerima risalah-Ku dan firman-Ku maka terimalah apa yang Aku berikan kepadamu, dan jadilah di antara golongan orang- orang yang bersyukur.”


Allah swt berfirman :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Al-‘Imran : 110)

*Sollu ‘alan nabi..



Sunday, 6 October 2013

Demi Dhuha

 

[1] Demi waktu dhuha.

[2] Dan malam apabila ia sunyi sepi.

[3] Bahawa Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik.

[4] Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

[5] Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda berpuas hati.

[6] Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?

[7] Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)?

[8] Dan didapati-Nya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?

[9] Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.

[10] Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik.

[11] Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan dan zahirkan sebagai bersyukur kepada-Nya.

[Surah Ad-Dhuha : 1-11]

Ya Allah,
Sesungguhnya waktu dhuha itu dhuha-Mu
Kecantikannya kecantikan-Mu
Keindahannya keindahan-Mu
Kekuatannya kekuatan-Mu
Kekuasaannya kekuasaan-Mu
Perlindungannya perlindungan-Mu

Ya Allah,
 Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi keluarkanlah
Jika sukar permudahkanlah
Jika haram sucikanlah
Jika jauh dekatkanlah

Berkat waktu dhuha
Kecantikan-Mu keindahan-Mu kekuatan-Mu kekuasaan-Mu
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba2Mu yang soleh

Amin Ya Rabb..


Saturday, 5 October 2013

Hamalatul Quran


Bismillahirrahmanirrahim…

Ya Allah, terimalah doa dan amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Mengasihani. Tunjuki dan bimbinglah kami kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus dengan berkat al-Quran.

Ya Allah, kasihanilah kami dengan berkat al-Quran, jadikan ia sebagai pemimpin, cahaya petunjuk, dan rahmat untuk kami.

Ya Allah, ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari al-Quran, dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu malam dan siang, jadikanlah al-Quran itu sebagai hujah untuk kami wahai Tuhan pemelihara sekalian alam.

Ya Allah, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran, muliakanlah kami dengan kemuliaan al-Quran, serikanlah kami dengan ketinggian martabat al-Quran, pakaikanlah kami dengan pakaian al-Quran, masukkanlah kami ke dalam syurga dengan syafaat al-Quran, selamatkanlah kami dari segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan al-Quran.

Ya Allah, jadikanlah al-Quran semasa hidup kami di dunia sebagai rakan, di dalam kubur sebagai kawan yang mesra, pada hari kiamat sebagai pembantu, sebagai cahaya penyuluh, semasa menuju ke syurga sebagai teman, dan sebagai penghadang serta pendinding dari api neraka. Jadikanlah al-Quran itu untuk kami sebagai panduan dan ikutan segala kebaikan.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah. Dengan limpah kurnia, kemudahan, dan kemuliaan-Mu jua Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, tunjukilah kami dengan petunjuk al-Quran, selamatkanlah kami daripada api neraka dengan sebab kemuliaan al-Quran. Tinggikanlah darjat martabat kami dengan sebab kelebihan al-Quran, dan hapuskanlah dosa kejahatan kami dengan sebab membaca al-Quran.

Ya Allah, Tuhan yang mempunyai sekalian macam kelebihan dan ehsan. Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, peliharalah kami dari azab api neraka.

Amin Ya Rabb..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...