Islam sejak awal pengajarannya menggalakkan seseorang mengembara untuk menimba
ilmu pengetahuan. Dalam Al-Quran, Allah menegaskan banyak perkara yang
mempunyai hubungkait dengan pengembaraan untuk mencapainya. Ini seperti
perintah Allah supaya melihat alam yang pelbagai rupa, melihat kesan-kesan kaum
yang terdahulu, berkenalan antara bangsa dan kabilah dan pelbagai lagi.
Kesemuanya itu bertujuan meningkatkan pengetahuan insan tentang kehidupan dan
mendalami pengetahuan tentang Tuhan. Allah juga menyebut: (maksudnya)
“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka
berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang
dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula”
(al-Mulk, ayat 15)
Nabi s.a.w pula menegaskan:
“Sesiapa yang melalui sesuatu jalan kerana mencari sesuatu ilmu, Allah
mudahkan untuknya jalan ke syurga” (Riwayat al-Tirmizi, bertaraf sahih).
Al-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) dalam Faidh al-Qadir ketika
mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ia merangkumi setiap jalan, sama ada
perjalanan sebenar, ataupun satu usaha. Ia juga merangkumi setiap jenis ilmu
tanpa mengira besar ataupun kecil dengan tujuan mencari redha Allah, maka
termasuk dalam hadis ini.
Justeru itu kita dapati sejak awal Islam, generasi salaf telah
mengamalkan hal ini. Mereka merantau untuk ilmu. Sehingga ada tokoh ilmuwan
hadis seperti al-Imam Ibn Mandah (meninggal 395H) telah mengembara untuk ilmu
selama 45 tahun. Bermula sejak umurnya 20 tahun dan pulang setelah berusia 65
tahun. Al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) dalam Siyar A’lam al-Nubala ketika
membicarakan mengenai Ibn Mandah menyebut:
“Setahu aku tiada orang yang lebih luas kembaranya dari beliau, lebih
banyak hadis dibandingkannya. Di samping beliau seorang hafizd hadis dan thiqah
(dipercayai). Telah sampai berita kepada kita bahawa jumlah gurunya seribu
tujuh ratus orang”.
Kitab-kitab Islam terdahulu mencatatkan kembara para ilmuwan dalam usaha
menuntut ilmu. Setiap ilmuwan pasti ada catatan mengenai kembara mereka.
Kembara juga melonjak nama mereka dalam bidang ilmu. Di samping ia membolehkan
mereka bertemu dengan banyak guru, ia juga menunjukkan kesungguhan terhadap
ilmu. Mereka meninggalkan kenikmatan hidup di tempat sendiri, bergantung kepada
Allah untuk mencari ilmu. Nabi s.a.w menyebut antara kelebihan orang yang
bermusafir ialah doa mereka mustajab:
“Tiga doa yang mustajab, tanpa syak padanya; doa ibubapa untuk anak,
doa orang bermusafir dan doa orang kena zalim” (Riwayat Abu Daud,
al-Tirmizi dll. Bertaraf sahih).
Doa golongan di atas mustajab kerana pergantungan perasaan yang bulat
kepada Allah. Sudah pasti lebih susah kembara lebih khusyuk doa dan
pergantungan kepada Allah. Maka doa insan dalam permusafiran sering mustajab.
Doa pengembara ilmu tentu lebih mustajab kerana dia menuju jalan ke syurga.
Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pandangan yang
diberikan dan diri yang menuju Tuhan.
Bismillah. :)
0 comments:
Post a Comment