Rasulullah
saw amat gemar kepada kanak-kanak yang dipanggil sebagai bunga-bunga di dalam
kebun Allah. Mereka adalah pemimpin ummah pada masa akan datang.
Abu Hurairah
r.a. meriwayatkan suatu ketika Rasulullah saw mencium cucu Baginda saw, Hassan
dan ketika itu duduk bersama Baginda saw. Al-Afra bin Habis At-Tamimi. Al-Afra
lalu berkata: “Aku ada sepuluh orang anak tapi aku tak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Maka Rasulullah
saw bersabda, “Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan
dirahmati Allah.”
Sebuah hadis
Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang
yang tidak belas kasihan terhadap anak-anak.”
Baginda saw
pernah pergi ketempat anaknya Ibrahim menyusu di rumah seorang tukang besi
walaupun jauh. Ia membelai dan mencium anaknya dengan kasih sayang. Apabila
Ibrahim meninggal dunia, Baginda saw mengalirkan air mata. Rasulullah saw amat
menyayangi cucu-cucu baginda. Pernah suatu hari, cucu baginda Saidina
Hussin berada di masjid ketika Baginda
saw sedang sujud. Saidina Hussin memanjat belakang Nabi saw. Baginda saw
sengaja memanjangkan sujud sehingga para
sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah swt untuk
memanjangkan sujud. Selepas Rasulullah saw selesai mengerjakan solat, mereka bertanyakan
baginda tentang sujud yang lama itu. Rasulullah saw menjawab, cucuku telah
memanjat belakang ku, maka aku mahu memuaskan hatinya. Aku hanya bangun dari
sujud apabila ia telah puas hati.
Jika seorang
bayi dibawa kepada Rasulullah saw, Baginda meletakkan di atas ribanya. Jika ditemui
kanak-kanak di jalan Baginda akan mendukung kanak-kanak itu. Apabila Rasulullah
saw diberi buah-buahan pada musimnya untuk pertama kali, akan diberikan buah
itu kepada kanak-kanak.
Kadangkala
Rasulullah saw mempunyai masa dan kesempatan bermain dengan kanak-kanak. Pernah
Rasulullah saw berjumpa sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, lalu Rasulullah
saw meminta mereka berdiri sebaris mengadap Baginda. Selepas itu Rasulullah saw
duduk di satu tempat yang agak jauh dari
kanak-kanak itu. Kemudian meminta mereka berlari mendapatkan Baginda, siapa
yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak pun berlari dengan
sekuat-kuatnya menuju kearah Baginda, sehingga ada yang sampai melanggar paha,
perut Baginda. Selepas itu, Rasulullah saw memeluk mereka dengan penuh kasih
sayang.
Rasulullah
saw. pernah menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sakit dan kemudiannya
kanak-kanak Yahudi itu memeluk Islam.
Dalam satu
hadis Nabi saw bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat
ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku
menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya”. (Riwayat
al-Bukhari)
Baginda
saw juga sangat prihatin dalam mendidik
ummah termasuk kanak-kanak.
Ibn Abbas
meriwayatkan: “Rasulullah bangun bersolat malam. Aku berdiri di sebelah kiri
Baginda saw, beliau memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah
kanan baginda.” (Riwayat al-Bukhari)
Daripada
Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah saw untuk
makan-makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah saw makan sebahagaian darinya
kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya
mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama
digunakan, kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah saw berdiri,
seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda
bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”
Seorang
sahabat Nabi pernah berkata, "Semasa saya kecil, saya suka menjatuhkan
buah kurma dengan membaling batu pada pohon kurma. Pada suatu hari, ada
seseorang (Rasulullah saw) yang mendukung saya dan menasihati saya agar
memungut buah kurma yang jatuh dari pohon dan bukan menjatuhkannya menggunakan
batu. Dia kemudiannya mengusap kepala saya dan memohon rahmat untuk saya"
Rasulullah
saw selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun
seorang kanak-kanak (mahupun wanita) sepanjang hidupnya. Rasulullah saw banyak
mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal
mendisiplin kanak-kanak.
Baginda
sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan
kanak-kanak. Rasulullah saw selalu
memberikan salam dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik mereka dan menanamkan
dalam diri mereka agar bersegera memberi salam.
Anas bin
Malik meriwayatkan bahawa pernah satu ketika Rasulullah saw mengutus beliau
untuk melalukan satu tugas. Dalam perjalanan beliau berjumpa beberapa budak
lelaki. Maka beliau duduk bersama budak-budak tersebut. Apabila Rasulullah saw
mendekati mereka, Rasulullah saw dengan segera memberi salam kepada mereka.
Peristiwa
ini memberi kesan yang mendalam kepada Anas bin Malik. Sehingga akhir hayat
beliau selalu bersegera memberi salam kepada kanak-kanak.
0 comments:
Post a Comment