Nama Rufaidah Binti Sa’ad mungkin tidak semasyhur seumpama tokoh-tokoh Muslim
yang lain seperti Al-Razi, Ibnu Sina dan Abul Qassim Az`Zahrawi tetapi Rufaidah
sebenarnya memberikan sumbangan yang cukup besar di dalam dunia perubatan
Islam.
Rufaidah Binti Sa’ad adalah merupakan jururawat pertama di dalam dunia
Islam dan dunia perubatan sebenarnya. Sekiranya dunia moden kini menyanjungi
Florence Nightingale sebagai jururawat tersohor kerana sumbangannya yang
merawat para tentera British, seharusnya kita sebagai muslim menyanjungi dan
menjadikan Rufaidah binti Sa’ad sebagai ikon, seorang jururawat hebat yang
telah mempelopori dunia perawatan ini 1300 tahun lebih awal sebelum Florence
Nightingale.
Nama penuhnya ialah Rufaidah binti Sa’ad al Aslami, daripada suku Khazraj
di Madinah. Beliau telah dilahirkan di Yathrib (Madinah) sebelum tahun hijrah
dan merupakan di antara penduduk Madinah yang pertama memeluk Islam.
Beliau merupakan seorang jururawat
cemerlang yang telah dilatih oleh
ayahnya yang merupakan seorang doktor di Madinah pada ketika itu. Rufaidah
menjalani latihan secara praktikal dengan menjadi pembantu klinikal kepada
ayahnya.
Sejarah mencatatkan bahawa Rufaidah adalah seorang jururawat yang
cemerlang yang mempunyai banyak ciri-ciri pengamal perubatan yang sangat
istimewa.
Di antaranya ialah :
1-Seorang yang sangat baik, dedikasi dan mempunyai empati yang tinggi.
2-Seorang pengurus dan ketua yang berkebolehan yang mampu menggerakkan
pasukannya untuk menghasilkan tugas yang
terbaik.
3-Berkemahiran klinikal tinggi dan tidak kedekut untuk berkongsi ilmu
mengajar jururawat-jururawat lain yang bekerja bersama-samanya.
4-Beliau tidak menghadkan tugasnya di dalam situasi klinikal sahaja,
malah turut turun ke padang melihat sendiri keadaan masyarakat untuk
menyelesaikan masalah sesuatu penyakit dari akar umbi.
5-Sumbangan Rufaidah tidak terhad kepada merawat orang sakit sahaja.
Sifat peduli ummah yang dimilikinya membuatkan Rufaidah bukan sekadar jururawat
biasa. Beliau juga bertindak sebagai seorang aktivis sosial yang gemar ambil
peduli dan menyelesaikan masalah masyarakat. Tenaganya banyak disalurkan kepada
kerja-kerja kebajikan dan tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat.
6-Pelbagai golongan muslim telah didekati Rufaidah sama ada yatim piatu
mahupun orang kurang upaya. Mengajar anak-anak yang buta huruf juga menjadi
sebahagian daripada rutin dalam jadual hidup wanita istimewa ini.
Rufaidah telah mewakafkan dirinya untuk membantu barisan pejuang di
Rasulullah saw. Ketika Kota Madinah menjadi sebuah Negara Islam yang mengalami
banyak proses perkembangan kemajuan, Rufaidah telah mengabdikan dirinya untuk
merawat orang ramai yang sakit. Sebuah khemah perubatan telah dibina di luar
Masjid Nabawi ketika suasana aman.
Manakala ketika Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar, Rufaidah
sentiasa bersedia di barisan belakang sebagai aktivis perubatan dan merawat
tentera Islam yang tercedera. Nabi Muhammad saw sendiri memerintahkan perajurit
yang cedera dirawat oleh Rufaidah.
Semasa Perang Khandaq, Panglima Sa’ad bin Mu’adz yang cedera telah
dihantar ke khemah perubatan yang telah dibina dan kemudiannya pahlawan yang
berani itu kemudiannya telah dirawat oleh Rufaidah. Dengan kepakaran yang
dimiliki, Rufaidah telah berjaya mencabut anak panah yang terpacak di lengan
Sa’ad Bin Mu’adz.
Rufaidah juga telah melatih sekumpulan sahabiah sebagai jururawat yang
sentiasa bersedia untuk menghadapi peperangan. Apabila Rasulullah saw sedang
sedia menuju ke lokasi Perang Khaibar, Rufaidah dan rakan-rakannya pergi
bertemu Rasulullah saw untuk meminta kebenaran untuk turut serta menyertai
rombongan para mujahidin itu ke medan perang.
Rasulullah saw telah memperkenankan permintaan mereka. Dengan penuh
semangat dan keazaman yang tinggi, kumpulan perubatan yang diketuai oleh
Rufaidah telah menjalankan tugas dengan baik sehinggakan Rasulullah saw
mengurniakan sebahagian harta rampasan kepada mereka. Bahagian yang diterima
oleh Rufaidah sama banyak jumlahnya dengan seorang mujahid yang turun berjihad
di barisan depan di medan perang.
Benarlah bahawa Rufaidah adalah seorang ‘Ikon Peduli Ummah’ yang wajar
diteladani kerana beliau adalah tokoh yang telah memenuhi objektif sabdaan
Rasulullah saw yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang
paling banyak manfaatnya bagi orang lain” (Hadith Riwayat Bukhari)
Ps : Teristimewa buat doktor hati ana.. :)
0 comments:
Post a Comment