Namanya Atika binti Zaid bin Amar bin Nufail. Merupakan keturunan
Quraisy yang baik nasabnya. Perangainya lembut, parasnya cantik, akhlaknya
mulia, hatinya bersih. Wajar jika kemudian, dalam perjalanan hidupnya, beliau
tercatat sebagai isteri para mujahid. Beliau bernikah dengan empat generasi
terbaik umat ini dimana keempatnya adalah para syuhada’ di jalan Allah.
Pertama kali beliau dinikahi oleh Abdullah, putera Abu Bakar As-Siddiq.
Siapa yang tidak kenal dengan keluarga Rabbani ini? Saidina Abu Bakar adalah
yang paling terkehadapan dalam jihad, dia menginfaqkan semua hartanya di Jalan
Allah dan Rasul-Nya.
Sayangnya, lantaran kecantikan dan keindahan Atikah dalam
berinteraksi, dia bercerai dengan Abdullah lantaran perintah Saidina Abu Bakar.
Mengapa? Kerana asyik bercengkerama dengan Atikah, Abdullah lalai dari solat
berjemaah. Dua pasangan ini asyik bercanda dari sebelum azan hingga solat usai
didirikan. Maka, si ayah yang soleh itu segera memanggil buah hatinya, “Wahai
Abdullah, ceraikanlah isterimu.”
Selepas bercerai dengan Atikah, Abdullah langsung jatuh sakit. Si ayah
yang memahami itu mengetahui penyebab sakit anaknya. Maka diperintahkanlah
Abdullah rujuk dengan Atikah dengan satu syarat, “Jangan sampai cintamu kepada
wanita itu mengalahkan cintamu kepada Allah dan Rasul-Nya.” Kedua pasangan ini pun
akhirnya menikah untuk kedua kalinya.
Waktu berjalan, kedua-duanya bertumbuh dalam rangka saling mencintai
kerana Allah. Hingga akhirnya, Perang Thaif berkecamuk. Atikah berangkat
sebagai penghembus semangat para mujahid dengan syair-syairnya. Sedangkan
Abdullah maju dengan gagah perkasa hingga akhirnya menjadi syuhada’. Atikah pun
menjanda.
Hari-hari yang di laluinya, Atikah begitu merindukan suaminya Abdullah
sehingga bait-bait rangkap syair meniti di bibirnya buat suaminya tercinta.
Demi Allah!!
Siapakah pemuda yang seperti dia?
Yang sanggup maju dan menyerang musuh di medan perang dengan taruhan
nyawa, iman dan kesabaran?
Apabila diutus di medan jihad, dia dengan gagah perkasa membunuh musuh-musuh
islam..
Aku bersumpah kedua-dua mata ini terlalu panas dan hati ini selalu
gelisah..
Kulitku sentiasa berdebu selepas pemergiannya..
Wahai putera yang mulia!
Wahai suamiku tercinta!
Sungguh malamku tidak bersua lagi dengan pagi yang cerah..
Selesai masa iddah, Atikah yang solehah itu disunting oleh Saidina Umar
bin Khatab. Cinta keduanya tumbuh subur, menjulang ke langit batangnya, akarnya
menancap kuat di bumi-Nya dan buahnya manis bertebaran seantero masyarakat di
sekelilingnya. Hingga akhirnya Saidina Umar ditikam oleh seorang bejat. Kembali
semula Atikah menjadi janda syuhada’ untuk kedua kalinya. Pemergiaan Saidina
Umar dilepaskan dengan kesedihan. Dalam linangan air mata Atikah bersyair.
Fairuz Abu Lu’lu’ mengejutkan aku..
Tindakannya terhadap Umar sungguh terkutuk dan pengecut!
Saat itu Umar sedang membaca ayat Al-Quran dan kembali kepada
Allah..
Umar seorang lelaki penyayang kepada orang bawahannya dan amat
tegas terhadap kafir..
Sepeninggalan As-Syahid Umar, Atikah dinikahi oleh Zubair bin Awwam.
Salah satu daripada 10 sahabat dijamin masuk syurga yang juga merupakan
pengawal setia Rasulullah saw. Zubair adalah kesatria penunggang kuda yang
sangat pemberani dan tidak takut mati. Atikah sangat bahagia dapat hidup bersamanya,
selalu sarat dengan ketaatan kepada Allah. Beliau mengetahui bahawa suami
ketiganya pun akan syahid, kerana Nabi saw pernah memberitahu semasa beliau
masih hidup. Zubair mendapat syahid di lembah As Siba’ terkena anak panah
hingga meninggal dunia. Ya, kembali untuk ketiga kalinya buat Atikah.
Amr bin Jarmuz telah mengkhianati penungggang kuda yang berani!!
Yang berlaku pada hari pertempuran padahal dia tidak melarikan
diri..
Sekiranya engkau sedar, mulut dan tangannya pasti gementar..
Zubair..!!
Sungguh dia telah menerima cubaan..
Orangnya pemurah, wafatnya mulia..
Banyak usaha yang dilakukannya..
Dia tidak pernah berkira..
Sebaik sahaja kematian Zubair bin Awwam sampai ke pengetahuan Saidina
Ali, Ali langsung berjumpa Atikah. Kedatangan Saidina Ali adalah sama seperti
para lelaki yang sebelum ini iaitu ingin meminang Atikah. Namun Atikah berkata,“Aku khuatir, sekiranya engkau mengahwiniku, engkau juga akan mati dibunuh..”
Mendengar kata-kata Atikah, Saidina Ali berkata,“Barang siapa yang ingin
mati syahid pada masa akan datang, maka hendaklah dia kahwini Atikah.”
Maka akhirnya, Husein bin Ali yang berjaya menyunting Atikah. Ketika
itu, usia Atikah sudah mencecah angka 50-an. Namun kasih sayangnya utuh, pasangan
ini sentiasa harmonis dalam kerangka saling mencintai kerana Allah.
Takdir pun berlaku. Husein bin Ali syahid dalam medan Karbala. Untuk
keempat kalinya, Atikah yang mempesona itu menjadi janda syuhada’. Dalam
deraian air mata Atikah bermadah :
Wahai Husein,
Aku tidak akan melupakanmu..
Engkau memang diintai oleh orang-orang yang menjadi musuhmu..
Mereka mengkhianati engkau di Karbala..
Hingga tubuhmu terbanting ke tanah..
Atikah hidup hingga awal kepimpinan Muawiyah bin Abu Sufyan, khalifah
pertama Dinasti Bani Umayyah, yakni sekitar tahun 41 H. Beliau meninggal di
atas tempat tidurnya dengan penuh kedamaian. Semoga Allah meredhainya serta
menjadikan Firdaus sebagai tempat persinggahan terakhirnya dan mengumpulkannya bersama
para syuhada’ yang telah awal mendahuluinya.
0 comments:
Post a Comment