Aku berani,
dengan semua.
Walau dia Pak Doktor,
atau Tun bekas pemimpin negara.
Tetapi
saban berhadapan dengan guru-guruku,
malu menyergah,
mata sering dilarikan diri,
diam lebih senang dari berbicara,
lantas banyaknya senyum sahaja yang bersuara.
Kerana cinta dan hormatku pada guru,
tidak akan ada ukuran yang boleh menjadi pengiraannya,
panjang tidak terhingga,
tinggi tidak terjangkau,
dalam tidak tersangka.
Namun kini satu persatu mereka mula tiada.
Dan itu menjemput takut,
buat rasa sedih menyergah jiwa.
Saban kali aku pulang beristirehat di bumi wakafan,
bilangan guruku semakin berkurangan.
Hingga tercuit jiwa ini,
dan berlumba-lumbalah soalan,
bertanya:
Kepada siapa selepas ini,
mahu aku tumpahkan rasa,
berkongsi gembira,
meluah duka,
anak murid ini nyata memerlukan gurunya.
Tetapi aku sedar,
itulah realitinya.
Kerna itu guru, kalian tidak melahirkan lebih ramai anak
murid,
tetapi memperbanyakkan guru-guru perkasa,
agar saat kalian pergi,
ummat ini punya mursyidnya.
Aku adalah salah satu,
daripada hasil tangan kalian itu,
walau mungkin bukan yang terbaik,
namun aku merasakan itulah destinasiku.
Lantas,
doa sahaja mampu kuutus,
andai aku tahu yang kalian inginkan adalah tangisan,
akan aku menangis hingga air mataku kering terputus.
Andai yang kalian mahu adalah kesedihan,
maka aku akan berduka hingga nyawaku ditamatkan.
Tetapi aku tahu,
kalian mahu dunia ini ada pemimpinya,
itulah yang selama ini kalian usahakan,
di balik masa yang berlalu,
tenaga yang terluah,
resah yang difikirkan,
itulah yang mahu dicapaikan.
Maka seluruh hidupku,
untuk itu wahai guru-guru.
Itulah doa terbaik daripadaku,
henti tangis duka,
akulah saham kalian di atas dunia,
dan kupegang tanggungjawab itu,
hingga ke akhirnya.
-Hilal
Asyraf-
0 comments:
Post a Comment