Tuesday 27 September 2011

Jarak Antara Dua Hati


Suatu hari seorang  guru bertanya kepada murid-muridnya,
Mengapa ketika seseorang sedang  marah, dia akan bercakap dengan suara kuat atau berteriak?”
Seorang murid setelah berfikir cukup lama mengangkat tangan dan menjawab, “Kerana dia telah hilang sabar, oleh itu dia berteriak.”

“Tapi…” guru bertanya kembali
“Orang yang dimarahinya hanya berada dekat dengannya. Mengapa perlu berteriak? Kenapa dia tak  berbicara secara lembut?”

Hampir semua murid memberikan pelbagai alasan yang dirasakan logik menurut  mereka. Namun tiada satu pun  jawapan yang memuaskan.

Maka guru berkata, “Ketika dua orang sedang berada dalam  kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walaupun  secara luaran mereka begitu dekat. Oleh itu, untuk mencapai jarak yang demikian, mereka harus berteriak.
Namun anehnya, semakin kuat mereka berteriak, semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara mereka  menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa berteriak lebih kuat dan keras lagi.”

Guru masih melanjutkan, “Sebaliknya, apa yang terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta?
Mereka tidak berteriak, mereka berbicara dengan suara yang keluar dari mulut mereka dengan begitu perlahan dan kecil. Seperlahan bagaimana pun, kedua-duanya masih dapat mendengar  dengan begitu jelas.

Mengapa demikian?” Guru bertanya sambil memerhatikan muridnya.

Mereka kelihatan berfikir panjang namun tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan. “Kerana hati mereka begitu dekat, hati mereka tak berjarak.  Sepatah kata pun tak perlu diucapkan. Sebuah pandangan mata saja cukup membuat mereka memahami apa yang ingin mereka sampaikan.”

“ Jadi pengajarannya, ketika kita sedang dilanda kemarahan, janganlah hati kita hendak mencipta jarak. Lebih – lebih lagi  mengucapkan kata-kata yang boleh mendatangkan jarak diantara hati. Mungkin di saat seperti itu, diam adalah  merupakan cara yang bijaksana. Kerana waktu yang akan membantu kita..”

Friday 23 September 2011

Cinta Nenek Tua Kepada Rasulullah


Tersebutlah sebuah kisah seorang Perempuan Tua yang tak pernah berhenti berharap datangnya Syafaat Rasulullah saw. Perempuan tua dari kampung itu bukan saja mengungkapkan cinta Rasul dalam bentuknya yang tulus. Ia juga menunjukkan kerendahan hati, kehinaan diri, dan keterbatasan amal dihadapan Allah swt. Lebih dari itu, ia juga memiliki kesadaran spiritual yang luhur: Ia tidak dapat mengandalkan amalnya. Ia sangat bergantung pada rahmat Allah. Dan siapa lagi yang menjadi rahmat semua alam selain Rasulullah saw?

Insya Allah, Kisahnya akan Bermanfaat dan dapat dipetik Hikmahnya.

Di sebuah kota di Madura, ada seorang nenek tua penjual bunga cempaka. Ia menjual bunganya di pasar, setelah berjalan kaki cukup jauh. Usai jualan, ia pergi ke masjid Agung di kota itu. Ia berwudhu, masuk masjid, dan melakukan solat Zhuhur. Setelah membaca wirid sekadarnya, ia keluar masjid dan membongkok-bongkok di halaman masjid. Ia mengumpulkan dedaunan yang berciciran di halaman masjid. Selembar demi selembar dikaisnya. Tidak satu lembar pun ia lewatkan.
Tentu saja agak lama ia membersihkan halaman masjid dengan cara itu. Padahal matahari Madura di siang hari sungguh menyengat. Keringatnya membasahi seluruh tubuhnya.

Banyak pengunjung masjid jatuh hiba kepadanya. Pada suatu hari Takmir masjid memutuskan untuk membersihkan dedaunan itu sebelum perempuan tua itu datang.
Pada hari itu, ia datang dan langsung masuk masjid. Usai solat, ketika ia ingin melakukan pekerjaan rutinnya, ia terkejut. Tidak ada satu pun daun terserak di situ. Ia kembali lagi ke masjid dan menangis dengan keras. Ia mempertanyakan mengapa daun-daun itu sudah disapukan sebelum kedatangannya. Orang-orang menjelaskan bahawa mereka kasihan kepadanya. “Jika kalian kasihan kepadaku,” kata nenek itu, “Berikan kesempatan kepadaku untuk membersihkannya.”

Singkat cerita, nenek itu dibiarkan mengumpulkan dedaunan itu seperti biasa.
Seorang kiai terhormat diminta untuk menanyakan kepada perempuan itu mengapa ia begitu bersemangat membersihkan dedaunan itu. Perempuan tua itu mahu menjelaskan sebabnya dengan dua syarat: pertama, hanya Kiai yang mendengarkan rahasianya; kedua, rahasia itu tidak boleh disebarkan ketika ia masih hidup.

Sekarang ia sudah meninggal dunia, dan Anda dapat mendengarkan rahasia itu.

“Saya ini perempuan bodoh, pak Kiai,” tuturnya. “Saya tahu amal-amal saya yang kecil itu mungkin juga tidak benar saya jalankan. Saya tidak mungkin selamat pada hari akhirat tanpa syafaat Nabi Muhammad. Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Rasulullah saw. Kelak jika saya mati, saya ingin Rasulullah saw menjemput saya. Biarlah semua daun itu bersaksi bahwa saya membacakan selawat kepadanya.”

Selawat buat kekasih Allah..

Thursday 22 September 2011

Buatmu Mawar Mujahidah


Bismillahirrahmanirrahim..

Ketahuilah wahai mawar mujahidah..

Rasulullah s.a.w. dan generasi itu telah tiada! Lama sudah mereka berlalu meninggalkan kita. Kehadiran insan ajaib itulah telah memuliakan kita pada saat ini.

Muhammad, kekasih Ilahi. Baginda berjalan selangkah demi selangkah, meniti hari. Bermula dari seorang diri, menyampaikan dakwah secara sembunyi-sembunyi. Bukannya Baginda tidak berani dan takut mati, namun itulah tertib wahyu ketika itu, strategi Rabbi.

Ucapan Baginda tidak lahir dari nafsu melainkan wahyu yang suci. Ucapan yang hikmah dari kalbu yang jernih disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri. Dimulainya mengajak manusia kepada Islam dengan menjernihkan fikrah, pendekatan akal, pemahaman dan menyentuh hati sanubari. Juga dengan jalan hujah dan keterangan, dengan hikmah dan pengajaran penuh seni.

Bilamana ada perdebatan dirungkaikan dengan baik dan menambat hati. Bilamana mendapat tekanan, rintangan serta siksaan, berlaku sabar dan melontarkan doa kasih nan sejati. Firman Allah:
أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن

Tahukah dikau mawarku?

Dengan rahmat dan kurnia Ilahi, seorang demi seorang ikut menyertai, dari golongan bangsawan mulia hingga hamba sahaya tidak mahu terkecuali. Lalu, terbentuklah masyarakat dan jemaah Islam pertama, jamaah Rasulullah dan para sahabi. Jemaah baru itu masih sangat kecil dan merupakan ghuroba’ (orang-orang yang asing) di Mekah, kota kelahiran Baginda sendiri.

Golongan ghuroba’ inilah yang kelihatan berjalan perlahan-lahan dan lambat, akhirnya menjadi kelompok yang mulia, gah, izzah dan menjadi generasi terbaik ummat ini. Mereka tak punya apa-apa, melainkan jiwa yang sarat keyakinan bahawa janji Allah itu pasti! Biarpun sehebat mana rintangan, jalan dakwah dan kebaikan terus berkembang dan panjinya berkibar tinggi.

Mengertilah duhai mawar mujahidah,

Jalan dakwah dan kebaikan inilah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. sehingga Islamlah seluruh jazirah Arab, demikian pula Parsi dan Romawi, mencabut jahiliyyah dan kehinaan dari akar umbi.
Sabda Rasulullah s.a.w:
ألا إن الإسلام دائرة فدورا مع الإسلام حيت دار.الا إن السلطان والقرأن سيفترقان فلا تفارقوا الكتاب
‘Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan al-Quran akan berpisah, maka janganlah kamu berpisah dari al-Quran.’

Duhai si mawar mujahidah calon bidadari Jannah…

Dalam langkah hidup ini, hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. Kalau kita tidak memilih jalan menuju Allah, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri; iaitulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi. Jalan keimanan itulah jalan ilahi dan jalan kesesatan itulah jalan iblisi. Orang yang berjalan di atas jalan Ilahi sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati sementara orang yang berjalan di jalan iblisi, tiada sensitiviti dalam mengotori dan menodai hati.

Masing-masing berusaha dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya, masing-masing kerdil menghadap Ilahi. Sudah tentu di sana , ada perbezaan antara keduanya di alam abadi. Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemu Rabbi? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi? Sudah tentu jawapan kita mengimpikan tempat di sisi Ilahi.

Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak mempunyai persiapan yang serius untuk mengadap-Nya? Berapa ramai orang yang sanggup menjual harta dan dirinya demi membeli redha Allah? Sungguh, manusia lupa saat perjumpaan itu!

Dan kini hai mawar,

Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya menjadi ghuroba’. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar ikhlas dengan-Nya. Oh, adakah kau masih teguh dengan prinsip muslimahmu aduhai si mawar berduri?

Kuingatkan diriku jua kerana aku juga dari kaummu wahai mawar,

Adakah amalan dan akhlak kita melayakkan diri kita termasuk dalam golongan ghuroba’ ini? Mungkinkah kelalaian kita yang berterusan ini akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? Nauzubillah!

Ya Allah, bantulah kami untuk tetap layak berada dalam kebenaran, di atas jalan-Mu. Jangan sesekali Kau menapis kami dari rahmat dan jalan-Mu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri. Amin…

Wednesday 21 September 2011

Ganjaran Allah Terhadap Pengorbanan Wanita


Satu hari, Rasulullah s.a.w melawat Fatimah dan mendapatinya sedang menangis. Maka baginda bertanya ”Wahai Fatimah, apakah yang membuatkan kamu menangis” Fatimah menjawab ”Wahai Ayahanda, saya menangis kerana sangat letih ketika mengisar tepung dan menyediakan keperluan rumah. Sekiranya ayah menyuruh Ali membeli seorang hamba, itu adalah pemberian yang besar bagiku”

Mendengar kata-kata itu baginda rasa sedih, lalu baginda duduk berhampiran dengan alat pengisar kemudian mengambil segengam gandum dan melafazkan Basmallah. Ketika Rasulullah s.a.w memasukkan gandum ke dalam alat pengisar itu, maka ia bergerak sendiri sambil bertahmid kepada Allah dengan suara yang indah sehingga semuanya dikisar.

Lalu baginda berkata ”Berhentilah wahai alat pengisar” Ketika itu Allah s.w.t membolehkan alat itu boleh berkata-kata, ”Demi Allah yang telah mengutus kamu dengan kebenaran, aku tidak akan berhenti selagi kamu tidak memberi jaminan daripada Allah untuk menempatkan aku dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka Allah s.w.t”.

Baginda bersabda ”Kamu adalah batu, namun kamu juga takut kepada neraka” Alat itu berkata ”Wahai Rasulullah saw, aku terdengar firman Allah, jauhkanlah kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya batu-batu. Penjaga-penjaganya adalah Malaikat yang kasar dan keras, tidak derhaka kepada Allah dan sentiasa mengerjakan perintah Allah” Maka Rasulullah saw pun berdoa kepada Allah.

Kemudian Jibril turun dan berkata ”Wahai Muhammad, Allah kirim salam kepadamu dan berpesan, beritahulah kepada batu itu bahawa Allah telah memberikan anugerah keselamatan daripada api neraka dan akan meletakkannya di antara batu-batu syurga dalam mahligai Fatimah dan dia akan bercahaya bagaikan matahari di alam ini”.

Lalu baginda bersabda ”Wahai Fatimah, sekiranya begitulah kehendak Allah, alat pengisar itu akan bekerja setiap hari, tetapi Allah ingin mencatat kepadamu perbuatan baik dan meninggikan darjatmu kerana tanggungjawab yang berat itu (sebagai isteri dan ibu).

Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membina 7 buah parit di antaranya dengan neraka yang jarak di antara satu parit ialah sejauh langit dan bumi.

Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatat baginya perbuatan baik sebanyak benang itu dan akan memadamkan 100 perbuatan jahat.

Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang menganyam benang yang dibuatnya, Allah sudah menentukan satu tempat khusus untuknya di atas tahta di akhirat.

Wahai Fatimah bagi setiap wanita yang memintal benang dan dibuat pakaian anak-anaknya, maka Allah swt akan mencatat baginya ganjaran pahala yang sama dengan orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tiada pakaian.

Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatkannya, mencuci pakaian mereka dan mencuci diri anaknya itu, Allah swt akan mencatat untuknya pahala dan amalan baik sebanyaj helaian rambut anaknya itu dan memadamkan kejahatan sebanyak itu juga dan menjadikannya kelihatan berseri pada mata orang yang melihatnya” (HR Abu Hurairah)

Tuesday 20 September 2011

Bukti Cinta


Ya, kita ‘tahu’ kita perlu mencintai Allah SWT. Tapi adakah kita ‘faham’ dan ‘jelas’ samada kita sudahpun mencintai Allah SWT ataupun belum? Apakah bukti kita mencintai Allah SWT? Mari ikuti
 ‘checklist’ berikut untuk mengenalpasti sejauh mana kita meletakkan Allah SWT menempati cinta paling utama di hati kita.

      1. Segera Menyahut Call Daripada-Nya.
“Allahu akbar! Allahu akbar!” Allah SWT memanggil. Tika itu kita sedang asyik menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita pada panggilan-Nya?
Di atas nama cinta pada yang selayaknya…kunafikan yang fana…” Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya?
Bukti cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan keinginan kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika Allah SWT ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah SWT. Malah, apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan berasal daripada diri kita sendiri.
Misalnya, keinginan memilih pakaian. Wajarkah orang yang cinta kepada Allah SWT berkata begini: “Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans ke, tak pakai apa-apa ke, suka hati akulah.” Sudahkah ditanya kepada Allah SWT, pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT diletakkan sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita utamakan.
Orang yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik bergelumang dosa tanpa taubat?

       2. Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.
Kecintaan Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya apabila mereka sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu.
Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya.
Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda,  “Bacakan al-Quran kepadaku.”
Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa’:  ayat 41. Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim).
Suatu malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya’ri yang sedang membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan menangis. (HR BukhariMuslim).
            Suatu saat Abu Musa al-Asya’ri datang kepada Umar. Umar berkata,”Ingatkan kami kepada Tuhan kami.” Lalu al-Quran dibacakan. Umarpun menangis.
            Jadi, jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya. Ajaklah kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi perbualan harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap al-Quran lebih mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan facebook.

      3. Memandang MMS-Nya Selalu.
Memandang MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat memandang zat Allah yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh memandang ‘kebesaran-Nya’.
Allah SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang menghijau, lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut yang membiru dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya membentangkan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang.
Semakin direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa kerdil, akan timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa ingin memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita semakin cinta kepada Ilahi.

     4 Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.
Anda pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas lalu sahaja.
Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung bakal ibu mertua?  Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan?
 Bagaimana pula saat berhadapan dengan ‘orang besar’ atau Raja? Sanggupkah kita membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita memfokuskan perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk. Betul tak?
Kenapa? Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia pada kedudukan orang yang memandang kita itu. Allah SWT pernah memuji kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi’raj. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Penglihatanya (Muhammad) tidak berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya (tidak memandang dengan tajam).” (An-Najm: 17).
Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala itulah saat kita berkhalwat dengan Allah SWT? Jika benar kita cintakan Allah SWT, buktikan dengan menjaga adab memandang di dalam solat. Rasulullah SAW melarang kita solat sambil memandang ke atas. Berdiri di hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri tegap, menundukkan kepala dan memfokuskan pandangan ke tempat sujud.
Hakikatnya, Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat, bahkan setiap saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai bukti kita cintakan Dia.

      5.Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.
            Wujudkah cinta tanpa rindu? Jika benar kita mencintai Allah SWT sebagai cinta agung, Dialah yang sepatutnya paling kita rindui.
            Bagaimana merindui suatu yang kita tidak tahu zat-Nya? Bersabar dan berharaplah saat-saat indah dapat menatap wajah-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa rindu dan berharap pertemuan dengan Allah,
maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang.” (Al-Ankabut: 5).
            Rindu pada Allah SWT terubat seketika apabila kita menghadiri majlis ilmu yang mentauhidkan Allah SWT. Rindu pada Allah SWT juga terbias pada rindukan al-Quran, rindukan tahajjud, rindukan orang-orang soleh dan rindukan kebenaran.

      6.Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.
Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia?
Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata,  kita sama-sama jadikan Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara topik apa sahaja, pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan bersama. Mudah sahaja, contohnya:
“Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni.”
“Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya.”
Selalunya, dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang mudah kembali ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering mengingati Allah SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan mengingatinya di saat susah.
Ingatan pada Allah SWT terzahir juga pada banyaknya zikir. Ada 4 tingkat zikir menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1) Tertinggi: Berzikir dengan lidah dan hati yang sama-sama merasai. Hati lebih-lebih lagi menikmati.
2) Berzikir dengan lidah dan hati tapi tidak merasai.
3) Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
4) Berzikir dengan lidah sahaja, hatinya lalai.
Samada zikir kita di tingkat pertama atau keempat, Allah SWT tidak akan mempersiakan setiap zikir hamba-Nya ini melainkan diberikan pahala. Begitulah Allah SWT menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya. Adakah kita juga menghargai Dia?

     7. Bersabar dengan Ujian Allah
Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian itu bagi mengenalpasti setakat mana dalamnya cinta. Kadangkala kita melalui beratnya ujian, tidak tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat manapun ujian kita, kita tidak pernah diuji supaya menyembelih anak sendiri atau meninggalkan insan tercinta di padang sahara. Kita juga belum lagi diuji dengan lemparan batu, sanak-saudara memboikot dan membenci atau berperang menentang musuh.
Ujian-ujian yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata Ilahi. Jadi, kalau benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup tanpa ujian. Usah juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah agar diberi kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu ujian mana yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih mencintai Dia.

      8.Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.
Apakah pula bukti kita terpikat pada cinta Allah SWT?  Sudah tentu apabila kita mencintai sesuatu yang ada kaitan dengan-Nya, itu bukti kita ingin lebih akrab dengan-Nya. Contohnya kerinduan muslim kepada Kaabah kerana Kaabah adalah baitullah (Rumah Allah). Maka, Kaabah juga dirasakan istimewa. Itu suatu bukti cinta.
Jika masih belum mampu meluah rindu di Kaabah, manfaatkan rumah-rumah Allah yang berhampiran kita. Jangan biarkan masjid dan surau sunyi tanpa kunjungan para pencinta. Buktikanlah cinta kita pada-Nya.

       9.Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sungguh, orang-orang yang beriman ialah apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.”(Al-anfal:2).
Mendapat khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha mendapatkannya. Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang tadi. Sentiasa lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik.

10. Cemburu
Cemburu dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah SWT, kita akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita hingga kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang positif bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.
            Cemburulah kepada orang yang lebih berilmu, ulama’, dan orang yang lebih banyak beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk mencontohi mereka. Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang solatnya lebih awal waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk kerana dia lebih mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.

11. Berusaha keras meraih redha Allah.
Seterusnya, bukti kita mencintai Allah SWT ialah apabila kita sanggup melakukan apa sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 kondisi pencinta menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
            1)Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
            2)Cinta makin menguat dan dia patuh.
            3)Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.
            Cinta kita kepada Allah di tahap mana? Apapun tahapnya, mulai saat ini, buktikanlah kepada Allah SWT, kita sangat cinta pada-Nya. Jom!

Sunday 18 September 2011

Surat Remaja Untuk Kekasih Ayah


Kasihan remaja. Mereka keliru mencari erti hidup tanpa bimbingan dan contoh yang benar daripada orang dewasa. Remaja lahir daripada seorang ibu dan ayah, membesar dalam sebuah keluarga. Bagaimana institusi keluarga hari ini? Penuh cinta atau penuh benci? Kita pernah remaja, sedang remaja atau akan jadi remaja. Sayangi remaja, fahami remaja dan didiklah remaja kerana mereka mencorak dunia akan datang samada menjadi lebih bahagia atau lebih sengsara.

Catatan Remaja

Assalamualaikum wa rahmatullah…
Auntie,
Tujuan saya menulis catatan ini bukan untuk memarahi auntie ataupun mengumpat ayah saya. Saya cuma mahu mencurahkan pertimbangan-pertimbangan yang wajar untuk auntie renungi sebelum terus menjadi kekasih ayah saya. Fikir dalam-dalam sebelum menjadi isteri keduanya. Niat saya jelas, bukan sekadar meluahkan tetapi mencari penyelesaian. Semoga Allah meredai niat saya.
Saya menulis kepada auntie kerana saya yakin hati wanita auntie lebih lunak berbanding hati lelaki ayah. Saya tidak kisah jika nanti auntiememberitahu ayah saya dan dia memarahi saya. Ini kerana saya menulis kerana Allah SWT dan saya yakin Allah SWT akan membela saya. Keputusan yang bakal auntie ambil, diharap sudah mengambil kira kepentingan banyak pihak.

Auntie yang budiman,

Pernahkah auntie membayangkan kesedihan ibu dan adik-adik saya ketika ini?
Pernahkan  auntie merasai perit dan sukarnya ibu kami membesarkan kami tanpa seorang suami yang ringan tulang menghulurkan walau secebis bantuan dalam urusan rumah tangga seharian?
Pernahkah auntie bertanya sejauh mana ayah bertanggungjawab mendidik dan membahagiakan kami selama ini?
Pernahkah auntie memikirkan sebanyak mana masa yang ayah peruntukkan untuk isteri dan anak-anaknya selama ini?
Pernahkah auntie mengkaji beban ekonomi ayah?
Keadilan seorang lelaki bukan hanya dapat dilihat selepas dia berpoligami. Namun, ketika seorang lelaki mempunyai seorang isteri, keadilannya sudah dapat diukur. Ya, kerana 'adil' itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. 'Adil' kah seorang suami yang curang di belakang isteri, bercinta dengan wanita lain atau meminati wanita lain sedangkan isterinya di rumah begitu setia menjaga cinta? Adakah 'melampias nafsu' itu tujuan poligami Nabi? Adakah suami itu telah meletakkan syariat Allah kena pada tempatnya dalam situasi ini? Jika tidak, justeru tidak takutkah auntie dengan pencabulan syarat adil yang bakal dilakukannya setelah berkahwin nanti? Saya pohon, fikirlah lebih jauh!

Auntie yang saya muliakan,         

Apabila seorang lelaki mahu berkahwin lagi, saya sering mendengar cemuhan kepada isteri kononnya tidak memuhasabah diri, kerana itulah suami mahu mencari yang lain. Ya, di satu sisi mungkin ada benarnya. Namun, cemuhan ini tidak adil ditujukan kepada golongan isteri seratus peratus.
Sanggupkah auntie mengahwini seorang lelaki yang tidak berusaha mendidik kekurangan isterinya? Sebaliknya menghukum isteri dengan ugutan hendak berkahwin lagi sebagai satu tindakan 'padan muka'? Setiap hari meragut 'sakinah' (ketenangan) keluarga dengan lawak tidak bermutu, ingin berkahwin lagi. hingga lawak itu melunturkan rasa 'mawaddah' (kasih sayang) dan 'rahmah' (kasihan belas). Adakah ini suatu tindakan seorang lelaki berwibawa?
Lelaki sebegini bukanlah calon suami yang baik kerana dia bertindak lari daripada masalah, bukan menyelesaikan masalah. Ia bakal mewujudkan masalah baru yang jauh lebih dahsyat. Bagaimana pula nanti sekiranya auntiemempunyai kekurangan, auntie rela kekurangan itu terus dihukum? bukannya diperbaiki dengan bijaksana?

Auntie yang dihormati,      

Maafkan saya sekiranya saya terkasar bahasa bertanya,
Adakah auntie mengambil rukhsah (keringanan) untuk hidup berpoligami sebab takut berzina?
Setujukah auntie jika saya katakan, biasanya orang yang terpaksa berkahwin sebab takut berzina adalah orang yang hidupnya memang dekat dengan jalan-jalan zina. Sedangkan jalan-jalan zina itu Allah tegah menghampirinya di dalam al-Quran.Mampu berlaku adilkah orang yang menawarkan cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? Bukan itu suatu perbuatan yang tidak adil? (Tidak meletakkan sesuatu kena pada tempatnya).
Sanggupkah auntie mengahwini seorang lelaki yang selama ini mengheret auntie ke jalan-jalan zina seperti asyik call, sms, dan dating tanpa keperluan? Berkatkah rumah tangga yang mahu dibina atas dasar maksiat tanpa taubat?
Berwibawakah seorang lelaki yang menjalin hubungan haram di belakang isterinya? Sedangkan kehidupan berkeluarga tenang dengan kesetiaan dan kejujuran.
Mampu berbincangkah seorang lelaki yang mahu membina kehidupan baru tanpa menghormati pendapat keluarganya? Sedangkan ketua keluarga yang berkepimpinan sentiasa mengamalkan syura seperti saranan al-Quran.
Mampukah seorang lelaki menguruskan dua orang wanita? Sedangkan isteri dan anak-anaknya yang sedia ada tidak dibahagiakan dan dibangunkan kualiti mereka dengan sehabis baik.

          Auntie yang penyabar,

Apa yang auntie faham berkenaan poligami?
Adakah auntie memahaminya seperti ayah yang sering mendesak ibu agar menerima untuk dimadu, kerana mendakwa poligami itu sunnnah Nabi? Ketahuilah duhai wanita yang kuhormati, tidak semua perkara yang Rasulullah SAW lakukan itu hukumnya sunnah (digalakkan).
Ada perkara yang Rasulullah SAW lakukan, hukumnya haram bagi kita, dan ada juga perkara Rasulullah SAW lakukan yang hukumnya makruh untuk kita. Contohnya, Rasulullah SAW berkahwin sampai sembilan orang dalam satu masa, hukumnya adalah haram bagi kita kerana al-Quran menjelaskannya begitu. Ia khusus hanya untuk Nabi.
Rasulullah juga mencium isterinya pada siang hari bulan Ramadhan, itu tidak bermakna hukumnya sunnah dan digalakkan bagi kita. Apabila Baginda memberi fatwa, baginda menegahnya kepada golongan muda dan mengharuskannya kepada golongan tua. Banyak lagi contohnya, terlalu banyak.
Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam Al-Quranyang berjumlah 20 jilid besar  menyatakan: “Allah SWT mengkhususkan untuk Rasul-Nya hukum-hakam syarak yang tidak dikongsi oleh umatnya, sama ada yang berkaitan dengan hukum wajib, haram mahupun halal sebagai kelebihan Baginda di atas umatnya. Ada hukum yang diwajibkan ke atas Baginda tetapi umatnya tidak diwajibkan. Begitu pula ada yang diharamkan ke atas Baginda sedangkan ia tidak diharamkan ke atas umatnya; dan ada juga perkara yang dibenarkan untuk Baginda, manakala umatnya tidak dibenarkan melakukannya. Bagaimanapun, hukum-hakam ini ada yang disepakati oleh ulama berkenaannya dan ada juga perbezaan di kalangan mereka.”

Poligami Cuma "Rukhsah" Bukan Digalakkan

Berkait dengan poligami, terlalu banyak dalil oleh jumhur ulama sedunia yang menunjukkan hukum asalnya bukan sunnah cuma harus. Ruangan agak terhad untuk saya bentangkan satu persatu dalilnya. Islam mengharuskan poligami sebagai 'rukhsah' bukan menggalakkannya, demikian pendapat jumhur ulama sedunia.
Syeikh Muhammad Abduh menegaskan bahawa orang yang merenungi dua ayat iaitu Surah al-Nisa’, ayat 3 dan Surah al-Nisa’, ayat 129 nescaya akan faham bahawa poligami dalam Islam adalah perkara yang sangat berat, tidak boleh dilakukan kecuali dalam keadaan yang sangat terpaksa.Jika dikaji tafsirnya, ayat-ayat itu berbentuk ancaman bukannya galakan. (Ancaman kepada dekatnya berbuat aniaya (An-Nisa', ayat 3) dan ancaman kepada melebihkan isteri yang dicintai dan membuatkan isteri yang lain terkontang-kanting (An-Nisa': ayat 129) )[1]
Jumhur ulama menegaskan, Ayat 3 mensyaratkan syarat adil untuk berpoligami, ia satu syarat yang berat dan pasti disoal Allah. Ayat itu juga menyusun fiqh keutamaan bahawa berkahwin satu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya, itu lebih utama.
Manakala ayat 129 pula, Allah menjelaskan bahawa setiap lelaki pasti tidak akan mampu berlaku adil walaupun dia amat menginginkannya. Ayat ini menguatkan lagi hujah bahawa poligami sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam. Seperti yang dijelaskan, ia berisiko dekat kepada berbuat aniaya dan berisiko membiarkan mana-mana isteri terabai akibat kecenderungan cinta yang tidak dapat dielak.
Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan bahawa, poligami yang disebutkan dalam ayat itu tidak bererti memberikan dorongan (targhib) tetapi menunjukkan sikap yang tidak disukai (tarhib). Sekiranya orang yang hendak berpoligami itu berfikir berkenaan syarat keadilan tersebut, nescaya dia hanya akan berkahwin satu sahaja.
Menurut beliau lagi, amalan poligami serupa dengan amalan perhambaan[2]. Hukum asalnya harus dan hingga kini masih disebut oleh al-Quran. Namun peredaran zaman, keadaan masyarakat dan kemaslahatan boleh berpengaruh kepada hukum harus, dan berubah menjadi hukum yang lain.

Bolehkah Memaksa Isteri Agar Terima Dimadukan?

Dalam wasiat terakhir Rasulullah, Rasulullah tidak membenarkan mengambil mudah soal wanita. Baginda pernah berwasiat berkenaan tiga perkara yang selalu diulang-ulang sehingga suaranya habis iaitu: Solat, hamba/pembantu, dan isteri yang dinikahi dengan amanah Allah dan menjadi halal kehormatannya dengan menyebut kalimat-Nya.
Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya, Nahwu al-Tafsir al-Maudu’I li Suwari Al-Quran,  poligami dalam Islam mempunyai aturan khusus, tidak seperti di Barat yang lelakinya mempunyai satu isteri tetapi isteri haramnya sampai sepuluh. Dalam Islam, lelaki bujang yang tidak mampu berkahwin dianjurkan berpuasa, soalnya bagaimana pula lelaki yang tidak mampu berpoligami?
Menurutnya, orang seperti itu tidak boleh dibiarkan, ia tidak akan mampu berlaku adil. Ghazali juga melihat dalam perkahwinan tidak boleh ada paksaan. Oleh itu, wanita bebas  menerima ataupun menolak untuk dimadu.
Rasulullah SAW sendiri melarang semua puteri-puterinya daripada dimadu menurut hadis sahih Bukhari dan Muslim kerana takut agama mereka rosak lantaran cemburu, syarah Imam Nawawi. Baginda pula berpoligami selepas kewafatan isteri pertama dan ketika anak-anak sudah mula berkeluarga. Itupun atas sebab utama bagi membela golongan janda yang suaminya syahid dalam perang. Zaman itu zaman perang. Wanita pun jadi tidak terlalu cemburu (cemburu tetap ada) seperti hari ini kerana amat yakin dengan niat mulia suaminya.
Pada zaman jahiliah, manusia melampau-lampau dalam meramaikan isterinya sehingga Islam datang dan menyuruh mengurangkannya, maksimum empat sahaja. Wanita muslimah pada zaman itu dapat menerimanya kerana Islam kelihatan membela wanita. Islam tidak menyuruh menambah bahkan menyuruh mengurangkan. Ternyata, Islam bijaksana menghadapi situasi yang melampau pada masa itu dengan peraturan yang bersederhana.

Fitnah Islam Agama Poligami

Berkata Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, para gerakan Kristian dan orientalis menjadikan topik poligami seakan-akan, ia adalah syiar daripada syiar-syiar Islam, ataupun wajib daripada kewajipan-kewajipan Islam, atau sekurang-kurangnya galakan daripada galakan-galakan Islam. Dakyah ini adalah sesat lagi menyesatkan.
          Asal yang mendominasi dalam perkahwinan Muslim adalah berkahwin satu, yang mana isterinya yang itu menjadi penenang dirinya, pelembut hati, pengurus rumah tangga dan tempat menyimpan rahsia. Dengan itu, terbinalah atas keduanya ketenangan, kasih sayang dan kerahmatan yang menjadi teras kehidupan perkahwinan dalam pandangan Al-Quran. (Qaradhawi, Markazul mar’ah fil hayatil islamiyyah)

Auntie yang bijaksana,

          Tahukah auntie apakah fahaman segelintir golongan lelaki yang sering menggoncang keyakinan kaum wanita terhadap agamanya?
Mereka mendakwa poligami soal keimanan. Isteri yang menolaknya dikira tidak beriman. Hujah ini mengikut nafsu lelaki! Poligami bukan soal keimanan. Ia soal keharusan yang diberikan hak individu oleh Islam. Sama ada mahu ataupun tidak mahu, rela ataupun tidak rela, ia suatu pilihan.

Auntie yang cantik jelita hingga ayah tergoda,

Fikirlah seribu kali bagi memilih menjadi yang kedua, ketiga dan keempat kerana kebahagiaan yang auntie idamkan mungkin terbina di atas keruntuhan kebahagiaan orang lain. Pasti hidup tidak akan tenang dililit dendam dan kemarahan.
          Sudahkan auntie berusaha mendapatkan lelaki bujang, lelaki duda ataupun lelaki lanjut usia yang baik agamanya sebelum memilih suami orang? Golongan ini wujud di mana-mana. Rasulullah sendiri berpesan supaya lebih utama menikahi gadis berbanding janda, maka lebih utama auntie mencari lelaki bujang berbanding suami orang.
Jangan cepat mengatakan ini sudah takdir saya, sedangkan auntie sendiri tahu bahawa takdir itu boleh berubah dengan doa dan usaha, biarpun hakikat semuanya sudah berada dalam ilmu Allah SWT. Firman Allah SWT, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum meliankan dia mengubah nasibnya sendiri. (Surah ar-Ra’d). Kita hanya menyebut ia takdir apabila ia sudah berlaku. Sebelum ia berlaku, ia masih suatu pilihan kerana kita tidak tahu apa takdir kita. Fahami dengan benar konsep takdir.
          Janganlah menganggap ibu saya mementingkan diri dan emosional jika dia menolak dimadu. Ingatlah, wanita yang kesedihan apabila suaminya mahu berpoligami bukannya lebih memikirkan dunia berbanding akhirat. Kesedihannya lahir daripada besarnya cinta dan kerana takut terjebak ke dalam kezaliman. Oleh sebab itu, tidak hairanlah Rasulullah SAW sendiri melarang Sayidina Ali memadukan Fatimah Az-Zahra dalam hadis sahih Bukhari Muslim. Fatimah Az-Zahra, ketua bidadari syurga itu sudah tentu lebih memikirkan akhiratnya berbanding dunia.

          Auntie, bayangkanlah tempat ibu,

Ketahuilah bahawa ibu sudah menghadiahkan ketundukan hati yang amat sukar ketika mendengar suara hati ayah bagi menduakannya. Ibu diam dan bersabar. Diam ibu bukan memendam tetapi merancang untuk berbincang dengan hikmah.
Bukankah auntie dapat bayangkan, bagaimana peritnya jika kekasihauntie memiliki kekasih yang lain? Seperit itulah hati ibu ketika mengetahui hubungan auntie dengan ayah, namun dia memilih untuk bersabar. Itu lumrah cinta seperti mana kata Ibnul Qayyim, cinta mengharapkan penunggalan cinta daripada kekasihnya. Dari segi perasaan antara lelaki dan perempuan sama sahaja. Sekiranya suami tidak rela isteri menduakannya, begitulah juga isteri sebenarnya tidak rela diduakan. Cuma, bezanya pada kemampuan dan tanggungjawab. Dalam masalah poligami, ia bergantung pada syarat yang sangat ketat.
Kata ibu, sekiranya ayah tetap memilih auntie, dia redha dan minta dibebaskan. Dalam Islam, wanita ada rukhsah minta dibebaskan sekiranya ada sebab. Ibu punya sebab yang kukuh. Ibu takut agamanya rosak kerana cemburu. Biarpun ada yang menghukumnya mengikut nafsu, dia tenang sahaja kerana dia tahu Allah lebih mengerti niatnya.
Kata ibu lagi, sekiranya ayah tetap memilih auntie, doa ibu, semoga kedudukan sabarnya itu melonjakkan darjatnya di sisi Allah, sehinggakan ayah tidak layak untuk bersanding dengannya lagi di akhirat.
Sekiranya ayah tetap memilih auntie, ibu berdoa semoga di syurga, dia akan menolak lamaran ayah dan memilih pasangan akhirat yang jauh lebih baik daripada ayah. Biarlah ayah terus bahagia di sisi auntie kerana bahagia di dunia sementara belaka.
Itu kata ibu. Sebagai anak, saya minta dan merayu agar hati dan perasaan ibu yang tidak rela dimadu itu dihormati. Saya merayu agar auntie tidak mengambil masa ayah yang memang terhad untuk bersama ibu dan mendidik anak-anak. Kami hidup pada zaman yang sangat perlukan perhatian dan bimbingan lebih seorang ayah.

Auntie yang baik hati,

Nasihatkanlah ayah saya, supaya berusaha sehabis daya terlebih dahulu mewujudkan mawaddah, warahmah dan sakinah sebelum menggadaikan kebahagiaan itu, dengan berfikir untuk berpoligami.
Nasihatkanlah ayah saya supaya banyakkan berfikir berkenaan keperluan pendidikan anak-anak yang mengharungi zaman moden serba mencabar. Bukankah memiliki satu isteri itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya? Tidak zalim terhadap isteri dan anak-anak! Poligami cuma harus untuk keperluan-keperluan tertentu sahaja. Semoga kita bertakwa.
Semoga wanita baik seperti auntie akan menemui jodoh yang jauh lebih baik daripada ayah saya. Terima kasih atas kebaikan dan kesabaran auntie menghabiskan isi luahan ini. Semoga Allah redha.

Remaja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...