Sunday 30 December 2012

Mujahidah Itu



Dengarkan ini dengan hati..

Mujahidah itu…
Hati meresahkan kesal menolak cintanya,
Api cinta marak dipendam bahangnya,
kerna itu Rahsia hati dan cintanya,
Pada Allah saja diceritakan rahsianya,
Terusan berdoa memohon kepada-Nya,
Moga itu terbaik buat dirinya…

Mujahidah itu…
Di luaran dia tenang,
Dalam hati iman menentang,
Dalam hati nafsu berperang,
Antara dua cinta yang bertandang,
Namun, cinta Allah selalu menang..

Cinta kedua dilepaskan terbang…
Hari demi hari terus menyapa,
Kata orang mengapa tak punya rasa,
Sedangkan dia masih remaja,
Kata orang mengapa dia bahagia,
Sedangkan dia tak punya cinta,
Kata orang mengapa mantap hatinya,
Sedangkan dia tiada rijal penguatnya,
Mulut itu mulut mereka,
Sabarlah, biarkan saja

Mujahidah itu…
Rabiatul Adawiyah itulah idolanya,
Sumayyah itulah obornya,
Khawlah itulah kecemburuannya,
Nusaybah itulah pahlawannya,
Fatimah itulah teladannya,
Aishah itulah buktinya,
Khadijah itulah kebanggaannya..

Mujahidah itu…
Dia mahu jadi bidadari,
Terus solehah di jalan Ilahi,
Itu mimpinya di malam hari,
Itu angannya di siang hari,
Itu bicaranya sehari-hari,
Menjadi isteri sentiasa berbakti,
Kepada suami bakal berbudi,
Pilihan Allah akan terbukti!
Ia janji yang sangat pasti!

Mujahidah itu…
Tidak takut kehilangan cintanya,
Biar pelbagai ujian melanda,
Lelaki itu, perlukan masa,
Memilih buat diri mereka,
Pilihan yang semestinya istimewa,
Calon ibu, buat zuriatnya!
Penyeri dunia, itulah temannya!
Di Syurga, itulah bidadarinya!
Membuat lelaki segan dengannya,
Menyedarkan, lelaki melainkan peranan,
Bahawa wanita bukan mainan,
Tetapi mutiara itulah nilaian…

Ya, mujahidah itu..
menghitung langkahnya,
Muhasabah dirinya,
katanya, dia masih banyak kurangnya!
Hanya menggeleng kepala..
Tatkala datangnya lelaki menggoda
Hanya bisu berdiam saja,
Diam maknanya iman sahaja bersuara,
Pandangan matanya dibutakan sahaja,
Buta maknanya hatinya mula berkata,
Rijal kekasih Allah itu yang diharapnya!
Pejuang agama itulah pembimbingnya!
Redha ibubapa itulah pilihannya!
Bukannya rijal yang sebaliknya…

Mujahidah itu…
Bukan dia tidak punya hati
Tetapi hatinya sudah mati,
Tatkala ummat Muhammad dilukai,
Hatinya menangis penuh ngerti,
Tatkala jasad saudaranya dikelar sana-sini,
Hatinya meraung penuh simpati,
Tatkala adik seakidah dirogoli,
Dibunuh tanpa secebis insani,
Hatinya jadi benar-benar mati,
Tak punya masa untuk mengasihani…

Mujahidah itu…
Tidak dia rasa kekurangan,
Kerna sudah cukup adanya Tuhan,
Tidak dia sepi sendirian,
Bila sentiasa bertemankan Tuhan,
Dia umpama permata yang bersilauan,
Kerdipnya menyilau pandangan,
Dialah wanita harapan Tuhan,
Kebanggaan umat zaman berzaman…

Mujahidah itu…
Menjadi gadis sudah fitrahnya,
Menjadi pilihan bukan pintanya,
Sebagai penyeri itulah hakikatnya,
Menjadi khalifah itulah tugasnya,
Membuat silap bukan sekali,
Namun mengalah tidak sekali,
Menjadi seorang mukminah sejati,
Itulah usahanya setiap hari…

Mujahidah itu…
Tetaplah dirinya teguh di satu jalan…
Menjadi bidadari sememangnya impian…
Melangkah dengan sejuta harapan…
Mengejar cinta dan keredhaan Tuhan…
Moga beroleh Syurga idaman…
Ameen…Ya Rabbb…

Sumber:

Sunday 23 December 2012

Ya Dan Tidak



Di dalam hidup ini adakalanya kita harus menetapkan jawapan di antara ya dan tidak. Katakan ya bagi sesuatu yang baik dan tidak bagi sesuatu yang akan mendatangkan kemudaratan. Menjadi asertif (berkeyakinan) adalah benteng terbaik dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Katakanlah:
 
·        TIDAK... Bagi perbuatan yang dapat mensia-nsiakan umur, seperti membalas dendam dan berselisih faham dengan perkara yang tidak ada kebaikan di dalamnya. Biarlah ALLAH  S.W.T yang menghakimi segala perbuatan mereka yang pernah menyakiti diri. Bersabarlah dengan penganiayaan yang terjadi ke atas diri.
 
·     TIDAK... Bagi sikap yang lebih mengutamakan harta benda dan mengumpulkannya sehingga menjejaskan kebahagiaan dan waktu istirahat. Harta dunia tidak mampu membeli ketenangan tetapi harta akhirat dapat menjamin ketenangan abadi. Harta dunia akan selalu meresahkan apabila kekurangan dan apabila berlebihan akan selalu membuatkan rasa tidak mencukupi.
 
·     TIDAK... Bagi perangai yang suka mencari kesalahan orang lain, membuka aib orang (ghibah) dan menyembunyikan aib diri sendiri. Perbuatan suka memalukan orang lain akan mencantas sedikit demi sedikit kecantikan meskipun kita sedang memburukkan orang lain. Apabila tidak mampu menjaga mulut daripada mengeluarkan perkara yang tidak baik adalah lebih baik berdiam diri agar tidak menyakiti hati orang lain dan menyelamatkan diri daripada berbuat dosa kering.
 
·     TIDAK... Bagi perangai yang suka hidup dengan kesenangan hawa nafsu, menuruti segala tuntutan dan keinginan tanpa memikirkan baik dan buruk kerana akhirnya akan membinasakan kehidupan. Hawa nafsu ini jika tidak dijaga, dikawal dan dipenjara pasti akan memakan tuan. Ketahuilah, hawa nafsu inilah mampu menjauhkan diri dengan Pencipta.
 
·    TIDAK... Bagi sikap yang selalu menghabiskan waktu dengan sia-sia kerana ia menyebabkan hati menjadi semakin lalai mengingati akhirat. Sesungguhnya ALLAH  S.W.T pernah menyatakan bahawa manusia itu selalu kerugian kerana membazirkan masa yang ada dalam kehidupan. Tidakkah kita berasa detik-detik masa yang sedang lalui ini semakin pantas bergerak? Maka, isilah masa itu dengan sebaiknya.
 
·    TIDAK... Bagi mereka yang kurang mementingkan aspek kebersihan dan keharuman tubuh kerana ia mampu membuatkan orang menjauhkan diri. Itulah yang seorang perempuan harus utamakan, kerana bukankah perempuan itu selalu dikaitkan dengan kecantikan?
 
·    TIDAK... Bagi setiap minuman haram, rokok dan segala sesuatu yang kotor dan najis kerana ia akan meninggalkan titik hitam di hati seterusnya menggelapkannya sehingga begitu sukar melihat sesuatu melalui mata hati yang jernih. Tidak sukar menjadi pengurus diri sendiri. Apabila ALLAH S.W.T sudah menggariskan do and don’t maka, patuhilah kerana ALLAH itu Maha Mengetahui. Pengetahuan ALLAH S.W.T itu tidak terbatas. Pasti ada sebabnya kenapa ALLAH menurunkan sesuatu hukum haram dalam kehidupan.
 
·    TIDAK... Bagi sikap yang selalu mengenang kembali musibah atau dugaan yang telah lalu, bencana yang telah terjadi, atau kesalahan yang terlanjur dilakukan kerana ia hanya akan meninggalkan kita dalam satu lubang paling dalam dan membuatkan teraba-raba dalam kegelapan itu. Bangunlah kembali daripada kesalahan tersebut dan perbaikilah sebaik mungkin. Berdoalah semoga ALLAH S.W.T akan kembali merahmati kita. Percayalah, kita tidak akan hidup dengan tenang selagi tidak meraih kembali kasih sayang ALLAH  S.W.T.
 
·     TIDAK... Bagi tindakan yang melupakan akhirat, yang lalai membekali diri dengan amal soleh sebagai hantaran akhirat, dan yang lengah daripada peringatan tentang kedahsyatannya. Kiamat pasti berlaku dan hari perhitungan pasti akan kita hadapi, persiapkanlah diri untuk hari pertimbangan itu. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan melainkan diri sendiri.
 
·    TIDAK... Bagi perangai yang sukakan pembaziran kerana sikap membazir itu adalah amalan syaitan. Sesungguhnya di luar sana, masih ramai yang memerlukan pertolongan. Berjimat cermat adalah dituntut tetapi janganlah sehingga terperangkap dalam sifat bakhil. Jadilah seorang yang beringat dan berwaspada kerana kisah takdir kita ditentukan ALLAH  S.W.T. Berkongsi kesenangan dengan orang yang memerlukan dapat membantu kita mengatasi sifat membazir.   Contohnya, kita boleh menasihati diri sendiri jika berjaya melakukan penjimatan, baki daripada penjimatan itu boleh diagihkan pula kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mengalas perut. Lihatlah di sini, besarnya pengorbanan yang dilakukan demi saudara seislam meskipun kita tidak mengenali mereka!

Katakan: 
 
·   YA... Untuk senyuman cantik, yang mengirimkan cinta mulus, dan mengutus kasih sayang bagi orang lain kerana senyuman dapat menyejukkan hati yang resah dan  mendamaikan hati yang bimbang. Senyuman yang dapat menyejukkan hati yang melihat dan merupakan jambatan bagi permulaan silaturahim.
 
· YA... Untuk ucapan kata-kata yang baik, yang membangun persahabatan dan menghapuskan rasa benci kerana setiap butir bicara yang baik melambangkan peribadi sebagai wanita yang halus dan cantik budi bahasanya. Bayangkan seorang wanita yang manis bertudung, mengeluarkan kata-kata kurang enak seperti ‘mangkuk ayun’ dari bibir yang indah menawan. Bukankah persepsi mereka yang melihat dan mendengar kata-kata itu akan berubah?
 
·   YA... Untuk sedekah yang dikabulkan, yang mem- bahagiakan orang miskin, menyenangkan orang fakir, dan mengenyangkan orang lapar. Pemberian ikhlas akan mengurangkan penderitaan orang lain, meringankan beban yang terperangkap di dalam kesusahan dan kesenangan dan kebahagiaan akan dapat dirasai apabila berkongsi bersama dengan yang memerlukan.
 
·  YA... Untuk kesediaan duduk bersama al-Quran lalu membaca, merenungi dengan memahami dan mengamalkannya kerana hanya al-Quran mampu menerangi yang gelap dan meluruskan jalan yang bengkok. Isi kandungan al-Quran yang indah itu tidak akan mampu menandingi kitab-kitab dan buku yang ada di pasaran. Paling menarik, ALLAH S.W.T menghadiahkan satu surah khusus untuk kita, yakni surah al-Nisa’. Tidakkah kita berbangga tercipta sebagai wanita?
 
·   YA... Untuk kesediaan berzikir, beristighfar, tenggelam dalam lautan doa dan menyatakan permohonan taubat dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa lelah kerana dengan cara itu kita tidak melupakan ALLAH  S.W.T dalam setiap helaan nafas.
 
·   YA... Untuk usaha mendidik anak-anak dengan agama, sunah, dan nasihat yang bermanfaat bagi mereka kerana kita telah diberi amanah daripada ALLAH S.W.T. Jadikanlah anak-anak sebagai perwira dan srikandi Islam dengan melengkapkan mereka dengan benteng keimanan supaya apabila kita menuju ke syurga tiada yang menjadi penghalang untuk melangkah masuk.
 
· YA... Untuk rasa malu dengan menutup aurat dengan sempurna seperti yang diperintahkan ALLAH, kerana hanya itulah cara untuk menjaga dan memelihara diri. Hijab dapat melindungi daripada mata nakal yang menyesatkan lagi merosakkan. Lihat perbezaan ini, seorang wanita cantik yang bergaya dengan seorang wanita cantik yang menutup aurat dengan sempurna. Seorang lelaki akan memuji si cantik yang bergaya, “Wow, cunnya awek tu!” tetapi apabila melihat si cantik yang menutup aurat mereka akan memuji, “Masya-ALLAH, cantik macam bidadari yang turun dari syurga.” Tanyakan pada diri, bentuk pujian yang mana yang lebih besar dan lebih bermakna? Pujian mana pula menjadi pilihan?
 
·   YA... Untuk pergaulan dengan wanita-wanita yang baik dan takut kepada ALLAH, mencintai agama dan menghormati nilai-nilainya kerana kita akan sentiasa berdiri kukuh bersama mereka sehingga ke titik hayat. Inilah benteng dan pergaulan ini tidak akan membawa ke jalan yang sesat.
 
·   YA... Untuk bakti kita terhadap orang tua, menjaga silaturahim sesama saudara, menghormati tetangga dan menggembirakan anak-anak yatim kerana mereka adalah tiket menuju ke syurga.

· YA... Untuk membaca sesuatu yang bermanfaat. Buku yang berilai ilmu yang boleh mendorong keluar dari kegelapan. Buku yang dibaca itu melambangkan siapa diri kita. Sekiranya kita penggemar membaca majalah gosip, itu bermakna kita seorang yang suka menjaga tepi kain orang. Sekiranya suka membaca novel, bermakna kita suka berimaginasi. Jika membaca buku agama, bermakna kita seorang yang sedang berusaha membaiki diri dan mengukuhkan iman. Jadi, dalam golongan apakah kita berada?

Saturday 22 December 2012

Pertunangan



Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insyaAllah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Ahh... Untungnya Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)

~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~

Wednesday 19 December 2012

Nasihat Muaz Bin Jabal



Nasihat Muaz bin Jabal berhubung fadhilat mengajar ilmu, katanya, "Ilmu adalah teman seiring ketika keseorangan. Orang memiliki ilmu laksana mempunyai guru sebagai pembimbing dan teman, meskipun berseorangan. Dengan ilmu membolehkan manusia mengEsakan dan mentaati Allah dengan penuh kepatuhan dan kefahaman. Ilmu juga penunjuk arah dalam menegakkan agama Allah Taala, ia jadi penghibur ketika menderita dan kesusahan".

Nasihatnya lagi, "Allah Taala mengangkat orang tertentu (daripada kalangan berilmu) menjadi pemimpin, orang ramai boleh menuruti jejaknya".

Berdasarkan nasihat Muaz itu menunjukkan seorang pemimpin mestilah mereka yang berilmu, khususnya ilmu mentauhid Allah Taala. Nasihat Muaz seterusnya, "Seorang manusia (berlimu) akan sampai ke peringkat orang yang baik-baik dan ke darjat yang tinggi".

Nasihatnya lagi, "Dengan memiliki ilmu menjadi sebab seseorang itu rela bertaraf hamba di sisi Allah Taala". Dengan bertaraf hamba, lahirlah ketaatan yang mutlak kepada Allah Taala. Tidak salah mengaku sebagai rakyat kepada sesuatu negara, tetapi ia mesti didahului dengan ikrar penghambaan kepada Allah Taala. Untuk menjadikan diri sebagai hamba, mereka wajib mengenali siapa Allah Taala dan siapa dirinya. Untuk itu mereka mesti mengaji daripada orang alim yang mursyid.

Seorang yang berilmu berkewajiban mengajar orang lain pula, agar orang itu mengerti dirinya sebagai hamba Allah Taala. Jika kuli sanggup patuh dengan arahan majikannya, maka sebagai hamba Allah Taala semestinya lebih bersedia melaksanakan segala suruhanNya, tanpa mengira waktu siang atau malam dengan wang ringgit emas permata serta jiwa dan nyawa.

Nabi Muhammad S.A.W itu bukan saja sebagai Rasulullah, tetapi Allah Taala menyebut sebagai 'hamba Allah', seperti yang ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud, "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan 'hambaNya' pada suatu malam dari Masjid Al Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitulmaqdis)". (Al Isra':1)

Dalam ayat ini Allah Taala telah memperjalankan hambaNya, tidak pula menggunakan perkataaan NabiNya atau RasulNya, sedangkan bagi manusia sebagai umatnya lebih selesa menggunakan perkataan Nabi atau RasulNya berbanding dengan hambaNya. Sesungguhnya Allah Taala mengasihi seseorang atas kadar sifat kehambaannya. Semakin seseorang memperlihatkan kesetiaannya kepada Allah, semakin terserlah sifat ubudiyahnya. Nabi Muhammad S.A.W adalah kemuncak hamba Tuhan di muka dunia.

Justeru, sifat kehambaan itu menyebabkan Allah Taala menyebut memperjalankan 'hambaNya' di suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sebutan hamba itu lebih tepat di sisi Tuhan Yang Esa. Sebab itu, nama-nama yang paling baik untuk manusia ialah yang dimulai dengan 'Abdu' (hamba) seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan sebagainya. Kajian menunjukkan bahawa nama yang dimulai dengan Abdu hanya ada pada orang Islam, tidak wujud di kalangan penganut agama lain.

Kesan daripada ilmu yang dipelajari, masyarakat Islam sangat berbangga dengan taraf hamba Allah Taala. Justeru, AsmauLlah Al Husna yang 99 itu boleh dirangkaikan dengan 'Abdu' untuk dijadikan nama bagi anak anak keluarga mereka. Dengan sebab ilmu manusia sanggup menjadi hamba Allah Taala (Wabihi Yu'bad). Jika semakin tinggi seseorang itu mengaji tetapi tidak bersedia menjadi hamba Tuhan bahkan menjadi hamba pihak lain seperti hamba harta kekayaan, hamba nafsu dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan ilmu yang dikehendaki Allah Taala.

Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Jika orang alim yang bersikap demikian ia digelar sebagai 'ulama us Su' (ulama yang rosak).

Nasihat Muaz bin Jabal lagi, "Dengan ilmu itu manusia sanggup meng-Esakan Allah Taala (Wabihi Yuwahhadu)". Yang dimaksudkan dengan tuhan ialah sesuatu yang disayangi hingga dipuja dan ditaati oleh manusia. Mereka sanggup membuang masa untuk berbalah dan berselisih pendapat mengenainya. Persoalan itu mengikut istilah ialah 'Ma'bud' (perhambaan) sama ada dengan sedar atau sebaliknya mereka telah menjadikannya sebagai tuhan. Dengan pengertian itu maka banyak perkara yang dijadikan tuhan oleh para pemujanya, tetapi semuanya ditolak oleh Islam kecuali hanya Allah Taala sahaja Tuhan Yang Maha Esa yang dapat memberi hidayah dan menyelamatkan manusia di akhirat.

Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu itu manusia menjadi warak". Maksud warak ialah sanggup meninggalkan perkara yang Tuhan tidak setuju walaupun ia hanya makruh, padahal melakukan yang makruh tidaklah berdosa. Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan mukmin, sebagaimana mereka wajib melaksanakan perintah Allah Taala yang lain.

Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu juga manusia berusaha menghubung silaturahim". Kejayaan besar Nabi S.A.W ialah menjalin silaturrahim di kalangan umat yang sedang berkerisis berdasarkan ajaran Al Quran. Apabila sesama umat Islam berjabat salam, serentak itu lidah mereka mengucap selawat atas Nabi s.a.w. Sebagai mengenang jasa Nabi S.A.W telah menjalinkan silaturahim antara puak Arab yang berpecah.
Nasihatnya lagi, "Ilmu ibarat imam dan amalan adalah makmumnya". Yakni ilmu dan amal tidak boleh dipisah, jika ilmu tidak diamal, maka ilmu menjadi sia-sia.

Tazkirah akhir Muaz, "Diilhamkan ilmu agama untuk insan yang bertuah (sa'adah), dihalangNya ilmu kepada golongan yang celaka (asqiya')".


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...