Sunday 25 August 2013

Antara Safa Dan Marwah



Dalam bahang terik mata hari di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim menunggang unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah.

Nabi Ibrahim memilih sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Selepas Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu:

“Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?”

Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. “Oh… kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini.”

Nabi Ibrahim menjawab: “Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu…”

Siti Hajar bertanya lagi: “Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini… Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?”

Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: “Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku… ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah.”

Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ.

Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: “Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan.” Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya.

Ditabahkan hatinya dengan berkata: “Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini.”

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. “Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami,” kata Siti Hajar.

Nabi Ibrahim terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa: “Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”

Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar.

Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku.

Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga kering sama sekali.

Anaknya Ismail menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana.

Namun Siti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air.

Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwah untuk mencari sumber air.

Tubuhnya keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail.

Pada waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, “Zami, zami, zami..” yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, “Berkumpullah untuk anakku.”

Selepas peristiwa itu, kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Makkah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Makkah menjadi tumpuan manusia.

****

Ps:-
Subhanallah…

Kadang-kadang kita terlupa, setiap yang berlaku pasti ada hikmah indah yang tersembunyi. Kita merancang dengan cita-cita, sedangkan Allah merancang dengan cinta. Hakikatnya semua perkara berada dalam ilmu dan kekuasaan Allah SWT. Yakinilah, jika tidak dapat apa yang dihajati di dunia, masih ada saham untuk bekalan di akhirat sana.

Hidup seperti sebuah piano. Berwarna putih dan hitam. Jika Tuhan memainkannya. Maka ianya akan menjadi melodi yang indah.

Allah… :)

"Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka (yang telah ada).....” (Surah Al-Fath : 48)


Thursday 22 August 2013

Anak-Anak Syurga


Anak-anak syurga
Tiada dosa di wajah mereka
Tenang bermain riang gembira
Tanpa peduli jahatnya dunia

Anak-anak syurga
Bersih suci hati mereka
Belajar ikhlas rajin bertanya
Penghibur hati duka nestapa

Anak-anak syurga
Jangan dimarahi sifat mereka
Masih belum mengerti akan sepenuhnya
Tentang cerita bila meningkat dewasa

Anak-anak syurga
Lebih tulus doa mereka
Saham akhirat ayah dan bonda
Menjadi wasilah mencari redha-Nya

Anak-anak syurga
Jika dididik dengan agama
Merekalah pewaris perjuangan seterusnya
Rantaian dakwah ummah terbina

Anak-anak syurga
Bila didakapi dekat dengan hati
Rasa kasih tak terucap lagi
Hati yang kusut kini tenang kembali

Ya Rabbi,
Sungguh hati membuak rindu
Tawa, tangis, senyum mereka
Mereka Qurratul a’yun kami
Mereka anak-anak syurga..

******
Dan hari ini anak-anak syurga di Syria dibunuh menggunakan senjata kimia.
Oh.. di manakah keadilan?
Allah.. remuknya hati ini Tuhan.

Rasulullah saw bersabda : “Apabila anak seorang hamba itu mati, maka Allah SWT berkata kepada malaikat-Nya: Kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku. Jawab para malaikat: Benar! Berkata Tuhan lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya. Jawab para malaikat: Benar. Berkata Tuhan pula: Apa kata hambaku? Jawab para malaikat: Mereka telah memuji-Mu lalu mengucapkan Innalillah.., Berkata Tuhan: Dirikan bagi hambaku sebuah istana di syurga dan namakan istana itu dengan nama “Bait al-Hamd.” (Hadis riwayat al-Termizi dan Ibn Hibban)


Tuesday 20 August 2013

Kapitalisme!


Bila tiba waktumu
Aku mahu kau tahu
Tak seorang kan tersedu
Tak juga aku!

Tak perlu kau tangisi
Sorak-sorai itu.

Kau itu petunjuk songsang
Dari sampah peradaban terbuang.

Biar rontamu menguras nafasku
Tetapku heret kau untukku cincang
Ku hapus ku buang.

Mahu ku tatap
Khilafah berdiri!

Walau sehari
Sebelum darahku
Henti berlari...


Siapakah Mesir di hati pemuda Islam?

 

Mesir di bawah Ikhwan apabila bergabung dengan Syria yang juga dipimpin Ikhwan nanti, akan menjadi gandingan terbaik yang belum pernah dilihat oleh ummah zaman ini.

Di utara Syria, Turki sedang menanti penuh semangat ukhuwah.

Tiga sahabat serangkai ini pasti insyaAllah akan menyuntik semangat baru yang hebat di Jordan di mana Ikhwan adalah jamaah terbesarnya.

Mereka juga akan menyuntik semangat juang baru kepada ummah di Iraq yang kini terjajah oleh Amerika-Syiah.

Di selatan Mesir, Sudan juga telah dibina untuk bersedia bangun bersama.

Pada ketika itu, Zionis Israel akan menunggu masa sahaja rebah dan tak akan bangun2 lagi dan Palestin akan kembali kepangkuan ummah.

Sebab itulah Barat amat takut akan kestabilan Mesir di bawah Ikhwan dan akan melakukan apa sahaja onar utk menjatuhkannya.

Musuh merancang tetapi sejarah mencatatkan bahawa jamaah yang barakah ini akan terus dikemudi dengan baik menuju penegakan Syariah dan Khilafah baru yg dinanti-nantikan.

Keyakinan ini terpahat kukuh di jiwa Imam Hasan Al Banna r.h. seperti terakam indah dalam Risalahnya dan ditarbiyah dengan cukup kemas ke dalam sanubari jamaahnya di Syria, Iraq, Jordan, Sudan, Palestin dan di Mesir sendiri. Impian waktu semalam itu, hari ini telah hampir menjadi satu realti, insyaAllah.

Katakanlah:
“Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap”. (Al-Isra’: 81)

******
"Allah adalah objektif kita. Nabi adalah pemimpin kita. Quran adalah undang-undang kita. Jihad adalah jalan kita. Mati di jalan Allah adalah harapan tinggi kita."
“Mesir, kisah tentang cerita cintakan syahid!”
-Kuliah Firoq Islamiah-


Thursday 15 August 2013

Apa Khabar Bidadari Mesir?



Apa khabar Bidadari Mohammed Morsi Puan Najla?
Apa khabar muslimah di sana?
Apa khabar anak- anak kecil
yang ucapannya di Dataran Rabaah Adawiyyah menggetarkan jiwa?

Duhai para kecintaanku,
semua belahan jiwaku,
moga kekuatanmu memuncak drastik,
moga keyakinanmu melonjak tinggi,
menentang sepenuh jiwa.

Luar biasa sekali hubunganmu dengan Allah,
sehingga Allah memilih ujian sebegini berat untuk kau lebih dekat dengan-Nya,
Alangkah mencemburukan.

Duhai para Muslimah yang dikasihi Allah!
Hilangkan sendu dan ketakutanmu!
Kita punya Allah yang Maha melihat kaum yang zalim!
Di Syurga kelak pasti kau tersenyum gembira!

**************

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki. (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka memberi perangsang kepada orang-orang yang belum (mati) menyusul di belakang mereka bahawa mereka tiada merasa takut dan tiada merasa duka cita”. [Surah Al-Imran : 169-170]


Menjejak Makna Solehah


Siapalah aku berbanding dirimu
Tumbuh membesar dari tangan manusia paling mulia
Bondamu tidak meninggalkan harta,
tapi khazanah peribadi yang sentiasa disebut-sebut sang nabi,
ayahandamu nan tercinta
Kerana itu, dirimu dan bondamu
tergolong antara empat srikandi pilihan Yang Maha Esa

Siapalah aku berbanding dirimu
Maharmu bukan dari wang berjuta
Cukup nilaian sebatang perisai sebagai penyatu cinta
Episod rumahtanggamu masyhur bahagia
Bukan kerana harta, tapi kaya jiwa
Kau meniup obor semangat perjuangan
Merawat luka ayahanda dan suami di medan peperangan

Siapalah aku berbanding dirimu
Ketaatan tidak berbelah bahagi kepada suami,
kesungguhan mengurus rumah sebagai suri,
Mendidik generasimu menyintai ukhrawi
melebihi dunia dan segala isinya
Walau kerana semua itu, tubuhmu letih dan lesu
tidak pernah mengganggumu mengabdi diri
kepada Yang Satu

Sungguh,
siapalah aku berbanding dirimu
Fatimah bintu Rasulillah
menyusuri kisahmu, dan aku takjub
atas takdirNya,
kau teguk kepahitan di dunia ini
untuk kemanisan abadi di akhirat nanti
Aku tahu, sungguh tidak mudah 'menjadimu'
Kau suri tauladan buat aku wanita biasa
Buat menjejak makna 'solehah' sebelum jiwa ini menuju Rabbnya

Namun di sisi lain
tenggelam dalam ceritamu, menjadikan mataku basah
“Syurga, rasanya masih jauh, sangat jauh..”


Wednesday 14 August 2013

Surat Cinta Untuk...


Untuk kekasih saya tercinta, ALLAH...

Ya ALLAH, tahukah Engkau bahawa malam ini saya sangat merindukanMu… sangat ingin berbicara denganMu, sangat ingin berdua saja denganMu, sangat ingin Engkau mendengarkan apa saja yang saya alami dibumi milikMu, sangat ingin dimanjakan olehMu, sangat ingin disayangi dengan segenap kasih sayangMu, sangat ingin tidak ada hijab, tidak ada jarak diantara kita, sangat ingin Engkau memaafkan segala kesalahan saya dimasa masa yang lalu agar kita bisa bersama hingga hujung nafas saya, bahkan setelah nafas saya berpisah dari raga saya ini…

Ya ALLAH, tahukah Engkau bahwa namaMu selalu saya sebut disetiap langkah saya… bahawa namaMu adalah nama terindah yang pernah saya kenal, bahawa dengan menyebut namaMu hati saya akan kembali tenang, bahawa namaMu mampu membuat segumpal daging merah bernama hati didalam jiwa saya bergetar, bahawa namaMu begitu indah bukan hanya ditelinga saya, tapi diseluruh darah yang mengalir sempurna didalam raga saya bahkan berdetak sempurna bak rentakan rampak gendang dijantung hati saya… :)

Ya ALLAH, saya ingin Engkau tahu bahawa sangat mencintaiMu melebihi apapun yang disinari oleh matahariMu, sayang ingin Engkau tahu bahwa cinta saya ini membuat saya ingin terus memperbaiki diri agar Engkau tahu bahawa semua yang saya lakukan adalah untuk memperoleh cintaMu kerana saya tahu bahwa saya tidak bertepuk sebelah tangan atas cinta ini…

Ya ALLAH, kehadiranMu selalu ada dalam setiap helaan nafas saya, tak sehelapun tanpa kehadiranMu, Engkaulah pelepas dahaga jiwa saya, Engkaulah penghapus rasa lapar jiwa saya, penyejuk mata, cahaya akal, pengharum batin, Engkaulah penawar racun didalam raga hamba… You are my everything, You are the step I made, You are my daily sunshine.. :)

Ya ALLAH jangan tinggalkan saya, jangan jauhi saya jika saya salah… tak ada yang lebih baik dari yang saya miliki kecuali Engkau, tak ada cinta yang lain, tak akan saya mencintai apapun diduniaMu yang akan membuat Engkau cemburu dan marah lalu meninggalkan saya, TAK AKAN saya berselingkuh dengan Tuhan lain selain Engkau, tak akan ada cinta yang lain wahai ALLAH.. :)

Ya ALLAH inilah saya yang mencintaiMu melebihi apapun… jangan tinggalkan saya.. :)

Wahai ALLAH tercinta, yang tiada TUHAN selain Engkau… saya janji nanti saya akan kirimi lagi Engkau surat cinta saya yang lain ya ALLAH, saya tahu bahawa Engkau tidak pernah lelah menanti cinta saya… menunggu surat cinta saya yang lain, I LOVE YOU wahai ALLAH.. :)

Ketahuilah wahai ALLAH bahawa surat cintaMu yang terlukis indah dalam kitab suciMu Al-Quran selalu saya baca untuk melepas kerinduan yang membuncah didalam jiwa saya… saya sangat sangat merindukanMU.


Monday 12 August 2013

Ijtihad Cinta Ramadan


Bersyukurlah wahai hati..
Andai mulut terkunci rapi
Perihalkan ibadat diri
Mencintai Maha Illahi
Seorang diri
Pada malam hari.

Bersyukurlah duhai hati…
Kerna amarah dalam jeriji
Kemas, ketat terkunci mati
Dikutuk mendoakan kembali
Dihina dibalas dengan budi
Diburuk sangka dalam hati
Direndam bersama diamnya sepi.

Bersyukurlah…
Anggota bersalut taqwa
Sunnah bermanja bahagia
Kalam mulia menusuk jiwa
Qalbu sentiasa berair mata
Tak mahu lekang cerita cinta
Antara hamba setia bersama Pencipta 
Dia yang Maha Esa.

Namun bersedihlah hati…
Kerna Ramadan telah pergi
Meninggalkan jiwa yang sudah sunyi
Dari jalan baik merantai nafsi keji
Dari wajah tenang mengintai Lailatul Qadri.

Tetapkan ijtihad diri…
Di hadapan hari menanti
Masih ada sebelas kan silih berganti
Menguji dan terus menguji
Sejauh mana malaikat melekat di hati
Sebersih mana iblis dipenjara lagi.

Akan ada yang terus berbahagia…
Akan ada yang terus kembali durhaka
Demi hanya yang ikhlas sahaja
Bisa butuh syurga dan redha.

Dari Allah Pemilik Ramadhan yang mulia
Dari Allah, Tuhan-Mu yang menyentuh jiwa
Mengalirkan air mata saat malam-malam bahagia
Maka ayuh bercinta terus bercinta dengan-Nya
Berusaha dan terus berusaha kerna-Nya
Menutup lubang-lubang mazmumah dalam jiwa
Walau Ramadan telah meninggalkan kita!!

-Pemuda Ramadan-


Sunday 4 August 2013

Jalan Ku Pulang


Tundukku malu didepan-Mu
kernaku insan berdosa
kuadukan sesalanku apakah kan Kau terima

Kesunyian ini sedarkan diriku yang lena
tinggalkan semalam yang nanah
Lantas meratap hina kan ku pada sempurna-Mu
terpaut aku tak berpaling

Ku Bersyukur hanya pada-Mu tuhan
kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara
buatku melepas dahaga

Suburkan cahaya menerangi langkahku
semaikan segala kiasan indah cinta-Mu

Ku Bersyukur hanya pada-Mu tuhan
kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara
buatku melepas dahaga

Ku mohon kau tenangkan gusar hatiku yang rawan
bimbang Kau singkirkan taubatku
Kurayu Kau hulurkan keampunan-Mu padaku
kelakku zalimi diriku

Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa
sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

Ku Bersyukur hanya pada-Mu tuhan
kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara
buatku melepas dahaga

Tak kutemu dimanakah hentinya rayuan taubatku pada-Mu..



Saturday 3 August 2013

Wahai Jiwa Yang Merdeka



أّيهَا الأحرَارُ سيروا للخُلُود .. واعْبُرُوا جِسرَ المَنَايَا واللُّحُود

Wahai jiwa yang merdeka, teruskan perjalanan yang abadi.. (menjemput syahid)
Dan lintasilah jambatan kematian dan liang lahat..


إنَّمَا تُدرَكُ بالمَوتِ العُلا .. وكَذَا الأمجَادُ بالسِيْفِ تَعُود

Sesungguhnya ketinggian derajat itu diraih dengan kematian.. (syahid)
Dan begitu juga kemuliaan, akan kembali dengan pedang (jihad)..


لاَحَتِ الجنّاتُ مِن خَلفِ العِدَى .. فاعْبُرُوا الأَهوَال للمِجدِ التَلِيد

Syurga Allah sedang bersinar di belakang para musuh..
Maka lintasilah rintangan (musuh) itu menuju kemuliaan yang agung..


لا تهابوا زمرةَ اللِّيْلِ فَمَن .. يَعتَصِم بالله حتمًا سَيَسُود

Jangan takut kegelapan malam, maka barangsiapa berpegang teguh dijalan Allah (akan janji dan syariatNya) sudah pasti akan menang..


موعِدُ الحَسِمِ أتَى فلتُقدِمُوا .. لَقِّنُوا البَاغِين درسًا فِي الصُمُود

Waktu perjuangan telah tiba maka majulah ke depan..
Berilah musuh-musuh yang ingkar itu satu pelajaran, tentang ketabahanmu..


واقْلَعُوا الأَشْوَاكَ مِن جَنَّاتِهَا .. وازْرَعُوهَا مِن جَدِيدٍ بالوُرُود

Dan cabutlah duri-duri itu dari tanahnya (tamannya)..
Dan tanamkanlah kembali di tempat itu dengan mawar-mawar (yang harum)..


[Syair Perang Panjang - 2013]

*********

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah swt untuk berjuang membela Islam, maka di antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran : dan mereka pula tidak mengubah apa yang mereka janjikan itu sedikitpun.”
(Surah Al-Ahzab : 23)



Friday 2 August 2013

Fatimah Az-Zahra


Ketaatan Fatimah Az-Zahra kepada suaminya Saidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darajatnya. Fatimah Az -Zahra tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya. Meski begitu, kemiskinan tidak menghalangi Fatimah Az -Zahra untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan.

Pernah suatu hari, Fatimah Az -Zahra telah membuat Ali terusik hati dengan kata-katanya. Menyedari kesalahannya, Fatimah Az -Zahra segera meminta maaf berulang-ulang kali.

Melihat air muka suaminya tidak juga berubah, maka Fatimah Az -Zahra berlari-lari seperti anak kecil mengelilingi Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu mohon untuk dimaafkan. Melihat tingkah laku Fatimah Az -Zahra itu, tersenyumlah Ali dan lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedangkan suamimu Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyolatkankan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi nasihat kepada puterinya itu saat perkara ini sampai ke telinga Nabi SAW.

Begitulah yang ditetapkan Allah SWT mengenai kedudukan suami sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati di saat berhadapan dengan suami. Apa yang dilakukan Fatimah Az- Zahra itu bukanlah suatu kesengajaan. Semoga kita bisa mengambil hikmah dari kisah agung ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...