Thursday 28 March 2013

Tiada Si Bujang Di Dalam Syurga




Kes 1: Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin

Wanita dalam golongan ini akan dikahwinkan dengan seorang lelaki di kalangan Ahli Syurga.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada si bujang di dalam syurga” (H.R. Muslim).
Ini kerana ada juga kaum lelaki yang belum berkahwin sebelum meninggal dunia.

Kes 2: Wanita yang meninggal dunia setelah bercerai dan tidak berkahwin dengan lelaki lain selepas itu.

Wanita dalam golongan ini juga akan dikahwinkan oleh Allah s.w.t dengan lelaki daripada Ahli Syurga.

Kes 3: Wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya tidak memasuki syurga.

Seperti kes 2, wanita dalam golongan ini juga akan mengahwini lelaki daripada Ahli Syurga.

Kes 4: Wanita yang meninggal dunia setelah berkahwin.

Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya memasuki syurga.

Kes 5: Wanita yang kematian suami dan tidak berkahwin selepas itu.

Seperti kes 4, Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya yang meninggal tersebut memasuki syurga.

Kes 6: Wanita yang kematian suami tetapi berkahwin dengan lelaki lain.

Apabila seorang wanita ketika di dunia memiliki dua atau lebih suami, maka kelak di syurga dia dipersilakan untuk memilih siapa di antara suami-suaminya yang dia inginkan untuk menjadi pendampingnya di syurga, asalkan suaminya itu tergolong dari Ahli Syurga. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir. Ini disebut oleh hadith Rasulullah:
Wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir” (H.R. Al-Albani)


Wednesday 27 March 2013

Tika Suamimu Milik Bidadari



Biasanya pasangan pengantin baru akan melalui hari-harinya dengan penuh keindahan dan kesenangan dan tidak kurangnya ada di antara mereka yang pergi ke tempat pelancongan untuk berbulan madu.

Detik ini tidak berlaku bagi pengantin baru di Syria. Tidak ada kata bersantai-santai atau bercumbu mesra seharian dengan pasangan tetapi si isteri perlu menyediakan peralatan perang untuk suaminya. Inilah kisah yang akan diceritakan diceritakan oleh Fathi At-Tamimi, seorang sukarelawan Syria yang ketika ini berada di Turki dalam status Facebooknya ogos lalu.

Dia menceritakan, seorang perempuan berumur 20 tahun penghafal Al-Quran itu dengan berlinang air mata menjahit sendiri baju tempur suaminya yang baru dinikahi dua minggu apabila pertempuran pertama telah memanggil para pejuang membela agama. Pada malam pula diisi satu doa dibaca berulang-ulang apabila bersujud panjang.

“Apabila suamiku adalah milik para Bidadari Mu, Jangan kembalikan ia padaku,
Bariskan sebanyak mungkin mereka di pintu langit untuk menjemputnya.
Tapi bila berjodoh panjang, Jangan Engkau biarkan sebuah lubangpun pada pakaian ini.
Aku akan bergembira apapun keputusan Mu
Dan jadikanlah ia pendampingku di dunia dan di syurga. “

Si suami yang mendengar doa tersebut lalu bertempur bagai singa yang luka. Tiga kereta kebal rejim syiah Assad dirosakkan sendiri. Dia berada di barisan paling hadapan dan kembali dari medan perang yang paling belakang. Belum pernah dirinya dilihat musuh. Lagenda diantara kawan lawan, dibakar doa dan kepasrahan isteri tercinta.

Disaat yang sama, isterinya bekerja keras membantu mangsa-mangsa perang, menghibur mereka, menyediakan pakaian, makanan serta tempat tinggal. Merawat luka, mendoakan para pejuang dan menjadi pemimpin kumpulan sukarelawan terdiri dari keluarga mujahidin atau yang ditinggalkan.

Ketika Bidadari Syurga menjemput suaminya di pintu langit, Para komander kumpulan seluruh Syria bahkan yang berada di lokasi gunung-ganang datang menghantar berita.

“Suamimu, Abu Umar, Adalah pahlawan dan kebanggaan kami, Semoga akan ada banyak yang lain di negeri ini.”

Ketika ramai orang kaya di negara-negara Arab mendengar kisah beliau, Mereka berlumba melamarnya. Tapi beliau enggan dan membaktikan hidupnya demi rakyat. Berjanji tidak akan berkahwin lagi hingga Syria bebas daripada rejim Syiah.

Nama perempuan mula tersebar. Menjadi contoh ketabahan gadis-gadis lain dan sekarang digelar Oummus Suuri, Ibunya Syria. Namanya Ahlam Al-A’ini dari Homs.

Kisah ini diceritakan oleh salah seorang mangsa korban dalam perang yang sempat dirawat oleh beliau di Homs dan sekarang berada di kem-kem pelarian di Turki.



Saturday 23 March 2013

Bilakan Damai?




Mentari menangis di senja memerah
Bumi anbia menjadi padang jarak
Puing-puing runtuhan berserakan
Hanyir darah menyesak dada

Tubuh layu gugur bergelimpangan
Bertindih dalam kubur tanpa bernisan
Di hujung sana berjuta kelaparan
Di dera wabak yang menyiksakan

Anak kecil bertanya bimbang
Mengapa lena ibu terlalu panjang?
Wajahnya mencerminkan kedukaan
Bilakah pula ayah akan pulang?

Dia yang tak mengerti apa
Menjadi mangsa
Suara tangis syair sendu
Menyayat dan menyiat perasaan

Bilakan berhenti kekejaman?
Bilakan terhapus penindasan?

Kemana hilangnya kemanusiaan?
Entah bila akan pulih keharmonian?
Sampai bila bersilih penderitaan?
Bila pula akan muncul ketenangan?
Bilakan damai akan menjelang?

Soalan yang masih tiada jawapan



Wednesday 20 March 2013

Pesan Terakhir



Sahabat,
Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan airmatamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakan ubur untuk umat ini
Dan...
Lanjutkan gerak merebut kemenangan.

Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindui
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Sahabat,
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajar kan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah ruhku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

Sayyid Qutb, 1966



Sunday 17 March 2013

Al-Khansa' Dari Palestin




Ummu Nidhal juga dikenali sebagai Khansa' Palestin (Khansa adalah nama sohabiyah pada zaman Rasulullah S.A.W)

Beliau adalah seorang 'ibu sejati' yang telah menyerahkan kesemua anaknya untuk menentang musuh dan didoakan agar mereka memperoleh syahid di bumi barakah Palestin. Tiga daripada empat anaknya telah syahid bertemu dengan Allah Azzawajalla. Manakala seorang lagi daripada anaknya masih lagi didalam tahanan Israel. 

Ummu Nidhal tidak terkejut menerima berita kematian anak-anaknya bahkan beliau bersedia menyerahkan semua anak-anaknya untuk mati syahid. Beliau pernah berkata ketika diwawancara oleh pemberita tentang pemergian anaknya, 
"Anak saya telah syahid. Dia yang akan menolong saya dengan kesyahidannya. Sesiapa yang menyayangi anak-anaknya berikanlah sesuatu yang paling berharga semampunya kepada anakmu. Dan perkara paling berharga yang boleh diberikan ialah syurga".

Baca dan hayatilah kata-kata ibu Mujahid ini yang telah mempersembahkan kesemua anaknya kepada Allah S.W.T serta menanti saat dan detik untuk beliau sendiri bertemu dan berkumpul bersama anak-anaknya di syurga yang tertinggi!

1. Antara perkataan yang sering diungkapkan oleh Ummu Nidhal berbunyi, 
"Kematian adalah suatu perkara yang menyedihkan, tetapi jangan bimbang kerana bertemu dengan Allah, adalah suatu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan (mengatasi perasaan sedih tersebut)".

2. "Ketika anakku yang sulong, Muhammad Fathi Farhat (As-syahid) mencecah usia enam tahun, saya telah katakan kepadanya; Ibu mahu kamu berperang melawan Israel dengan senjata, bukan dengan batu." 
Tanpa sedikitpun keraguan serta kebimbangan dalam hati saat itu beliau mengarahkan anak ke medan juang demi mengusir penjajah. 
"Kerana saya yakin apa yang saya ungkapkan itu adalah demi kebaikan untuk anak-anak saya."

3. "Tiada khabar yang paling mengembirakan buat saya, apabila puteraku mula menyampaikan berita bahawa dia telah bergabung bersama Briged Al Qassam, sayap pejuang Hamas, dan sedang bersiap sedia menyongsong amanah syahid dalam sebuah medan peperangan. Allah telah mengabulkan hasrat dan cita-cita saya."

Begitupun deras kalimah yang diungkapkan oleh Ummu Nidhal untuk membangkitkan semangat perjuangan anak-anak muda Palestin, namun beliau sebenarnya tidak mampu memungkiri kehalusan hatinya yang sarat dengan naluri keibuan. Saat perpisahannya dengan putera sulongnya, Farhat, dia dan anaknya itu saling berpelukan kemudian berkata, "Ibu tidak dapat membendung air mata, tetapi jangan percaya dengan air mata ibu ini nak... Ini adalah air mata bangga menjelang hari pertemuanmu dengan bidadari. Pergilah menemui Rabb-Mu dan berjihadlah. Tetaplah hatimu thabatlah, kekallah seperti itu sampai engkau bertemu Allah Taala."

Begitu kuat, cekal serta tabah hati ibu ini. Semoga semua ibu-ibu dan kaum wanita khususnya di luar sana agar dapat mengambil contoh dan iktibar dalam melahirkan dan mendidik seramai mungkin generasi Mujahid yang bakal mengangungkan agama Allah ini! Tiada yang lebih berharga diatas muka bumi ini selain daripada melihat agama Allah ini kembali berada pada tempatnya! Walau terpaksa menyerahkan anaknya sendiri yang cukup berharga...

-----------------------------------------------------------------

Hari ini, Ummu Nidhal Farhat telah kembali menemui Penciptanya dan juga anaknya yang syahid di syurga sana. Allah telah membenarkan janjimu wahai Khansa' Palestin. Sesungguhnya umat menjadi saksi akan perjuanganmu di akhirat kelak. 

أم نضـال فرحات في ذمـة اللـــه



Saturday 16 March 2013

Teori Dan Praktis



Suatu hari seorang Murid menulis surat kepada gurunya yang tinggal di seberang sungai.

“Guru, aku sudah mencapai tingkat spiritual yang ‘tidak boleh digoncangkan oleh 8 angin’. Kini jiwaku tenang dan tegar bagai gunung, hening bagai air telaga dan... (seterusnya)  

Lapan angin yang dimaksudkan ialah lapan keadaan hidup iaitu Pujian dan Penghinaan, Populariti dan Nama Buruk, Aman Sejahtera dan Bahaya, Berkat dan Musibah.

Setelah membaca, Guru itu tersenyum lebar membalas surat muridnya itu. 

Murid itu dengan bangganya membuka surat gurunya. Dalam surat hanya tertulis satu perkataan: "Bohong"

Murid itu terus rasa marah, “Guru sungguh keterlaluan, selalu berfikiran negatif, suka curiga, prejudis dan bersangka buruk, aku harus segera menemui Guru, aku akan ajak debat terbuka dan aku akan buktikan yang aku tidak bohong!”

Murid itu segera mendayung sampan menyeberangi sungai. Setelah itu bergegas menuju ke rumah gurunya.

Baru hendak mengetuk pintu rumah, tangannya tertahan, mukanya yang merah padam berubah pucat. Kesombongannya hilang berganti rasa malu. Dengan kepala menunduk, dia melangkah perlahan-lahan menuju ke sampannya dan mendayung pulang.

Apa yang terjadi?

Di depan pintu rumah, gurunya melekatkan sekeping kertas yang tertulis:

“Katanya tidak boleh digoncangkan oleh 8 angin, ternyata hanya dengan perkataan "bohong" saja kamu sudah terpukul dan terpelanting sehingga menyeberangi sungai”.

* Murid itu hanya mengetahui teori tetapi belum praktis. Praktislah apa yang dipelajari, baru ianya memberi manfaat dalam kehidupan. Jika tidak, ilmu itu akan hilang sedikit demi sedikit.


Wednesday 13 March 2013

Jatuh Cinta Dengan Islam



Jika Allah memberikan hidayah kepada hamba yang dikehendakiNya, maka tidak ada seorang pun yang berkuasa mencegahnya. Jalan ke arah hidayah Allah boleh melalui apa jua cara, termasuk melalui perkara yang tidak pernah diduga sebelumnya.

Allah berfirman dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dan Allah akan menambahi hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah.”

(Surah Maryam ayat 76)

Seorang polis wanita Inggeris yang bernama Jayne Kemp adalah salah seorang wanita yang beruntung kerana telah menerima hidayah Allah dengan cara yang tidak pernah disangka-sangkakannya.

Kisah pengislamannya bermula apabila beliau ditugaskan untuk menyiasat kes kekerasan rumah tangga (domestic violence) terhadap seorang wanita di Eccles, Salford. Beliau berjaya membantu wanita Muslimah tersebut untuk datang ke pejabatnya.“Pada ketika itu saya tidak pun sedang mencari apa-apa agama sekali pun. Apabila saya ditanya mengenai agama Islam, saya hanya boleh menjawab tidak lebih daripada lima perkara mengenai Islam yang saya ketahui,” kata Jayne Kemp diambil dari dari Manchester Evening News.

Untuk membantu wanita tersebut, Jayne perlu mengetahui penyelesaian secara Islam dengan lebih lanjut untuk kes seperti itu. Polis berusia 28 tahun itu kemudiannya berdiskusi dengan beberapa orang Islam yang ditemuinya di Twitter.

Tak cukup di dunia maya, Jayne semakin tertarik untuk mengetahui lebih jauh tentang Islam.

“Di tempat saya bekerja di Eccles, di sana ada sebuah masjid besar dan masyarakat Muslim yang ramai, jadi saya memeikirkan betapa saya harus mendalami lebih banyak tentang ini,” ujarnya.

Hari demi hari yang dilalui Jayne dengan pengetahuan barunya mengenai Islam membuatnya semakin menyukai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu. “Saya rasa semakin jatuh cinta dengan Islam.”

Jayne mendapati betapa Islam mengajarkan nilai-nilai mulia seperti berbuat baik kepada jiran tetangga, menghormati orang-orang tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

Jayne sebelum itu selalu mendengar isu yang negatif mengenai Islam termasuklah betapa bahawa wanita dalam Islam itu selalu teraniaya. Namun beliau mendapati bahawa fakta tersebut adalah salah dan Islam sangat memuliakan wanita.

Kecintaan Jayne kepada Islam dibuktikan apabila melafazkan Syahadah pada April 2012 dan mengubah namanya menjadi Aminah. Beliau kini telah menjadi seorang muslimah yang yang komited termasuk menutup aurat miski pun bertugas sebagai seorang anggota polis di England. Keislaman Jayne diterima oleh keluarga dan juga rakan-rakan sekerjanya. Namun, beliau tidak memaksa kedua-dua orang anaknya untuk masuk Islam kerana sememangnya tidak ada paksaan untuk seseorang memeluk agama Islam.

Jayne adalah salah seorang daripada kira-kira 5,000 orang masyarakat tempatan British yang memeluk agama Islam pada setiap tahun di UK.

Maksud Firman Allah swt,

“Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi”.

(Surah al-A’raaf ayat 178)


Tuesday 12 March 2013

Aurat Hati



Kata Syed Qutb Rahimahullah, dalam Tafsir Fizilalil Quran, surah Al-A’raf, ayat 26: ‘Pakaian Taqwa menutup aurat hati manusia’

Saya tertarik nak kongsi tentang ‘Aurat Hati’. Hati juga ada aurat? macam mana nak tutup aurat hati?

Aurat hati ditutup dengan pakaian Taqwa. Apa itu Taqwa?

Suatu ketika Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Ubai bin Ka’ab:

Umar Al-Khattab : Apa itu Taqwa?
Ubai bin Ka’ab : Pernahkah kamu melalui jalan yang berduri?
Umar Al-Khattab : Pernah.
Ubai bin Ka’ab : Apa yang kamu lakukan?
Umar Al-Khattab : Saya melaluinya dengan penuh hati-hati.
Ubai bin Ka’ab : Itulah Taqwa.

Taqwa itu merasai pengawasan Allah. Merasai dirinya dilihat Allah. Perasaan ini akan menjadikan manusia itu sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatannya.

Dia akan sentiasa memelihara hatinya dari maksiat, sentiasa memeliharanya matanya dari maksiat, sentiasa memelihara otaknya dari maksiat, sentiasa memelihara lidahnya dari maksiat. sentiasa memelihara seluruh kehidupannya dari maksiat.

Dia akan sentiasa berfikir, adakah perbuatannya itu disukai Allah, di redhai Allah, atau sebaliknya.

Orang yang memakai pakaian Taqwa, akan rasa malu pada Allah, akan rasa takut pada Allah. Dia akan rasa malu dan takut nak buat dosa.

Ya Allah, pilihlah kami untuk memakai pakaian yang terlalu istimewa ini. Jadikan 'pakaian Taqwa' ini terlalu cantik dan indah untuk menutupi aurat hati kami. Ameen

pesanan buat diri ini terutamanya ..


Monday 11 March 2013

Ibrah Dari Pusara



Awan sedikit mendung ketika kaki kecil Yani berlari-lari gembira di atas jalanan menyeberangi kawasan untuk ke tanah perkuburan. Baju merahnya yang besar melambai-lambai di tiup angin. Tangan kanannya memegang ais krim sambil sesekali mengangkatnya ke mulut untuk dijamahi. Sementara tangan kirinya digenggam erat oleh ayahnya.

Yani dan ayahnya memasuki kawasan tanah perkuburan menuju ke pusara neneknya. Kemudian mereka duduk di atas tembok nisan yang bercatatan;

Hjh Aisyah Binti Marlia 19-10-1915 : 20-01-1965

"Nak, ini pusara nenekmu. Mari sayang... kita berdoa untuk nenek."

Yani melihat wajah ayahnya, lalu meniru gaya tangan ayahnya yang diangkat ke atas dan dia ikut memejamkan mata seperti ayahnya. Dia khusyuk mendengar ayahnya berdoa walaupun dia masih belum mampu memahami sepenuhnya setiap baris doa yang dititipkan.

"Ayah, nenek meninggal semasa umur 50 tahun ya?"

Ayahnya mengangguk dan tersenyum sambil memandang pusara ibunya.

"Hmm, bererti nenek sudah meninggal 48 tahun ya, Yah?" Kata Yani sambil lagak matanya mengira dan jarinya menghitung.

"Ya, nenekmu sudah di dalam kubur selama 48 tahun sayang... "

Yani menoleh kepalanya dan memandang sekelilingnya. Banyak pusara di sana . Di samping pusara neneknya terdapat pusara tua yang sudah berlumut.

Muhammad Zaini 19-02-1882 : 31-01-1910

"Hmm.. Kalau yang itu sudah meninggal 103 tahun yang lalu ya Yah?" jarinya menunjuk nisan bersebelahan pusara neneknya itu.

Sekali lagi ayahnya mengangguk dan tangannya mengusap kepala anak tunggalnya itu.

"Ya nak. Benar katamu sayang. Mengapa?" tanya si ayah sambil menatap mata anaknya yang redup.

"Hmmm, semalam ayah beritahu jika kita meninggal dan banyak dosa. Kita akan diseksa di kubur. Iya kan yah?" kata Yani sambil meminta persetujuan ayahnya.

Ayahnya tersenyum dan menggangguk.

"Benar, lalu?" tanya si ayah meminta penerangan si anak.

"Iya... kalau nenek banyak dosanya, bererti nenek sudah diseksa 48 tahun di kubur ya ayah? Kalau nenek banyak pahalanya, bererti sudah 48 tahun nenek bahagia dikubur. Betul tak ayah?" Mata Yani bersinar ingin tahu.

Ayahnya tersenyum, namun sekilas menampakkan keningnya yang berkerut dan perasaannya yang cemas.

"Iya nak, kamu pintar sayang," kata ayahnya pendek.

Pulang dari tanah perkuburan, ayah Yani kelihatan gelisah di atas sejadahnya. Dia memikirkan perkara yang telah diperkatakan oleh anak kesayangannya tadi.

"... 48 tahun hingga sekarang... kalau kiamat datang 100 tahun lagi...148 tahun diseksa .. atau bahagia dikubur?" Dia bermonolog sendirian.

Lalu dia tertunduk dan menitiskan air mata.

"Kalau dia meninggal dan banyak dosanya - kiamat masih 1000 tahun lagi, bererti dia akan diseksa 1048 tahun?..'Innalillaahi wa inna ilaihi rooji'un'... "

Air matanya semakin banyak menitis, sanggupkah dia diseksa selama itu.

"Itu kalau benar kiamat lagi 1000 tahun tetapi kalau 2000 tahun lagi? Kalau 3000 tahun lagi? Selama itukah  dia akan diseksa di kubur? Mampukah dia bertahan dengan tiap seksaan? Padahal melihat adegan pukul di salah satu rancangan televisyen pun dia sudah tidak tahan untuk melihatnya?" Jiwanya penuh dengan monolog.

"Ya Allah..."

Dia semakin menunduk. Tangannya diangkat dan air matanya semakin membanjiri pipinya.

"Allahumma as aluka khusnul khootimah."

"Ya Allah, kurniakanlah aku pengakhiran kehidupan yang baik."

Berulang kali dibacanya doa itu sehingga suaranya serak dan terhenti sejenak apabila terdengar batuk Yani. Dihampirinya anak kesayangannya yang sudah terlena dan membetulkan selimutnya.

Yani terus tertidur tanpa mengetahui betapa ayahnya amat berterima kasih kepadanya kerana telah menyedarkannya erti sebuah kehidupan dan kehidupan hakiki yang akan datang di hadapannya.

"Ya Allah, letakkanlah dunia ditanganku, jangan Kau letakkan dihatiku..."


Saturday 9 March 2013

Guru-Guruku



Aku berani,
dengan semua.
Walau dia Pak Doktor,
atau Tun bekas pemimpin negara.

Tetapi saban berhadapan dengan guru-guruku,
malu menyergah,
mata sering dilarikan diri,
diam lebih senang dari berbicara,
lantas banyaknya senyum sahaja yang bersuara.

Kerana cinta dan hormatku pada guru,
tidak akan ada ukuran yang boleh menjadi pengiraannya,
panjang tidak terhingga,
tinggi tidak terjangkau,
dalam tidak tersangka.

Namun kini satu persatu mereka mula tiada.

Dan itu menjemput takut,
buat rasa sedih menyergah jiwa.

Saban kali aku pulang beristirehat di bumi wakafan,
bilangan guruku semakin berkurangan.

Hingga tercuit jiwa ini,
dan berlumba-lumbalah soalan,
bertanya:
Kepada siapa selepas ini,
mahu aku tumpahkan rasa,
berkongsi gembira,
meluah duka,

anak murid ini nyata memerlukan gurunya.

Tetapi aku sedar,
itulah realitinya.

Kerna itu guru, kalian tidak melahirkan lebih ramai anak murid,
tetapi memperbanyakkan guru-guru perkasa,
agar saat kalian pergi,
ummat ini punya mursyidnya.

Aku adalah salah satu,
daripada hasil tangan kalian itu,
walau mungkin bukan yang terbaik,
namun aku merasakan itulah destinasiku.

Lantas,
doa sahaja mampu kuutus,
andai aku tahu yang kalian inginkan adalah tangisan,
akan aku menangis hingga air mataku kering terputus.
Andai yang kalian mahu adalah kesedihan,
maka aku akan berduka hingga nyawaku ditamatkan.

Tetapi aku tahu,
kalian mahu dunia ini ada pemimpinya,
itulah yang selama ini kalian usahakan,
di balik masa yang berlalu,
tenaga yang terluah,
resah yang difikirkan,
itulah yang mahu dicapaikan.

Maka seluruh hidupku,
untuk itu wahai guru-guru.
Itulah doa terbaik daripadaku,
henti tangis duka,
akulah saham kalian di atas dunia,
dan kupegang tanggungjawab itu,
hingga ke akhirnya.


-Hilal Asyraf-


Sebelum Anda Dimiliki Orang



Perkahwinan itu, bukan medan memenangkan suami, atau medan memenangkan isteri. Ia adalah kehidupan yang dikongsi bersama. Kalau ada bahagia, sama-sama akan rasa. Kalau ada duka, sama-sama akan seka air mata.

Begitulah sebuah perkahwinan yang bahagia.

Jika masih ada tanggapan bahawa, seorang wanita bila sudah diambil sebagai isteri, maka dia sudah ‘dimiliki’ oleh suaminya sepenuhnya, hingga tiada apa-apa lagi kebebasan dan hak buat dirinya, maka itu suatu tanggapan yang silap. Perlu segera diperbetulkan.

Islam ini suatu agama yang penuh dengan rahmah. Tiap apa yang disyariatkan olehnya, pasti ada kebaikan tertentu yang hendak dijaga. Objektif agama untuk memberikan kebaikan kepada seluruh manusia serta melindungi mereka dari keburukan harus kita faham sebenar-benarnya.


SEBELUM ‘DIMILIKI’
Ramai di kalangan kaum hawa yang tidak tahu bahawa mereka berhak meletakkan sesuatu syarat kepada bakal suami, sebelum mereka diambil sebagai isteri.

Hak untuk meletakkan syarat ini, diperakui oleh syarak, dan syarat ( atau janji ) tersebut pula wajib untuk ditepati oleh suami, selepas mereka bernikah.

Dengan syarat ; apa yang disyaratkan itu mestilah suatu yang harus, yang bukan menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, atau syarat-syarat yang membatalkan hikmah sebuah pernikahan.

Contohnya sebelum bernikah, seorang perempuan itu meletakkan syarat supaya dia tidak dihalang daripada bekerja. Si lelaki pun bersetuju, maka syarat tersebut wajib untuk dipegang.

Sabda Nabi s.a.w :
المسلمون على شروطهم الا شرطا حلل حراما أو حرم حلالا
” Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat yang mereka buat , kecuali syarat-syarat yang menghalalkan yang haram ataupun mengharamkan yang halal.”

Contoh syarat yang tak dibenarkan adalah : ” Selepas berkahwin nanti, tak boleh sentuh saya, dan tak boleh minta saya untuk tidur dengan awak.”

Itu syarat yang tidak diiktiraf oleh syarak, kerana ia telah mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Juga, kalau letak syarat begitu, hilanglah hikmah sebuah pernikahan.

Apatah lagi kalau letak syarat supaya tidak perlu taat kepada suami, tidak perlu meminta izin suami kalau hendak ke mana-mana dan sebagainya, maka lebih-lebih lagilah tidak boleh. Selain ia menghalalkan yang haram ( nusyuz isteri kepada suami ), ia juga menjadikan suami tersebut seorang yang dayus. Dan orang dayus, Nabi s.a.w sebut tak akan masuk Syurga.

Eh, belum kahwin lagi sudah bersedia untuk jadi dayus? Dayus ekspress namanya tu.


HIKMAH MELETAKKAN SYARAT
Saya selalu berpesan kepada beberapa orang yang berbincang tentang hal masa depan mereka, ketika fatrah pertunangan itu, fokuslah proses taaruf ( perkenalan ) betul-betul. Jangan rasa terikat, kerana selagi belum akad, anda belum pun dimiliki. Banyak perkara yang boleh anda usahakan sebagai manusia yang patuh pada sunnatullah, sebelum anda sah dimiliki oleh orang lain.
Ada sebahagian kaum hawa ini, bila sudah diikat dengan pertunangan, segalanya jadi makin mandom, bukan makin proaktif. Seolah-olahnya, teruslah saja akad nikah, tak mahu kenal-kenal lagi dah. Atau, kalau berhubung pula bukan untuk makin kenal dan bina perancangan, tapi untuk berkongsi rasa dan bermanja. Gedik kan.

Sedang apa yang dianjurkan oleh Islam pada tempoh pertunangan itu, lebih besar objektifnya dan sangat jauh dari apa yang sedang dibuat oleh orang-orang yang bertunang hari ini.

Selain fokus taaruf, saya juga pesankan tentang syarat.

Janganlah anggap ia macam suatu kediktatoran pula. Janganlah si perempuan rasa serba salah, seakan mengongkong bakal suami, manakala si suami pula rasa seakan ‘hilang hak’ seorang pemimpin. Ia bukan begitu.

Hikmah meletakkan syarat ini, sebenarnya seiring saja dengan hikmah merancakkan proses taaruf. Apa guna hendak bertaaruf, saling mengenali lebih lanjut, saling bertukar-tukar perancangan dan berbincang tentang jangka pendek – jangka panjang, jika akhirnya yang hendak membuat keputusan hanya yang LELAKI seorang?

Sia-sia kan?

Tujuan sama-sama bertaaruf dan sama-sama berbincang itu, adalah supaya hidup kalian akan datang, dicorakkan secara BERSAMA. Jadi, sila bersikap proaktif. Jangan tunggu semuanya dari si lelaki, kerana anda perlu sedar bahawa lelaki itu belum sah memimpin anda lagi. Bahkan dalam tempoh bertunang ini, anda bebas untuk berpatah balik pada bila-bila masa sahaja, tanpa perlu kepada keizinan daripada lelaki tersebut.

Meletakkan syarat, bermakna mengemaskan sebuah perancangan, yang kalian sama-sama hendak bina.

Katakan, si perempuan meletakkan syarat agar dia tidak dibawa keluar ( berpindah ) dari negerinya. Maka si lelaki, sebelum bersetuju, akan berbincang juga kesan sampingan dari syarat tersebut. Adakah relevan untuk mendapatkan tempat tinggal dan pekerjaan di negeri bakal isterinya? Adakah pelan ekonomi mereka akan bertambah aktif apabila memulakan bisnes di negeri tersebut, dan sebagainya. Bincang punya bincang, akhirnya si lelaki pun setuju. Maka si perempuan tidak perlu susah hati memikirkan kena berjauhan dengan orang tuanya yang sakit ( kalau itu contohnya sebab dia enggan pindah ke luar negerinya ) dan dia juga tidak akan rasa bersalah meletakkan syarat kepada bakal suami, kerana dia juga bersama-sama dalam perbincangan untuk mencorakkan masa depan mereka selepas bernikah nanti.


KAHWIN DAN PERJUANGAN
Dalam catatan Zainab Al Ghazali ( hari-hari dalam hidupku ) beliau berkongsi kisah bagaimana dia meletakkan syarat kepada bakal suaminya sebelum bernikah. Bahkan kalau syarat tersebut tidak dipenuhi, dia tidak mahu bernikah pun. Cinta dan semangatnya pada jalan perjuangan sangatlah tinggi. Lebih rela tidak bernikah kerana risau kakinya tersekat atau masanya menjadi makin singkat.

Dan suaminya bersetuju.

Lalu mereka berkahwin, hidup suami isteri dalam dakapan cinta, mawaddah dan sakinah, seperti juga orang lain. Cuma istimewanya mereka adalah, hidup diwakafkan untuk perjuangan. Maka suami tidak menghalang keaktifan isterinya dalam perjuangan Ikhwan, ketika itu. Sehinggalah Zainab Al Ghazali ditangkap dan diseksa dalam penjara, sebelum akhirnya dibebaskan.

Pokoknya, syarat yang diletakkan untuk sebuah perjuangan adalah suatu yang terpuji, walaupun mungkin saja ramai muslimat hari ini yang tidak menyedari.

Perkahwinan berlainan jemaah dan ideologi, misalnya.

Tiada apa yang menghalang untuk kalian berdua – meskipun bergiat dalam jemaah yang berbeza – untuk meletakkan syarat tertentu yang mana memberikan keseimbangan kepada satu sama lain. Ia sudah banyak dibuat, khususnya oleh para muslimat yang aktif dalam perjuangan. Jika tidak, nescaya sunyilah pentas-pentas perjuangan dari para muslimat yang aktif, seperti yang kita saksikan hari ini. Meski mereka punya suami dan punya anak, mereka terus aktif melangkah, pada ruang dan ketika yang tersendiri.

Silapnya, bukan pada syarat, tetapi pada sikap yang memang sengaja tidak mahu meletakkan syarat pada suami selepas bernikah.

Maka sejak sekian lamanya kita melihat, ramai muslimat yang aktif dengan perjuangan ketika bujang, tetapi terus hilang selepas berkahwin, dengan alasan ; suami tidak benarkan.

Kenapa tidak berbincang dan meletakkan syarat? Letak syarat bukan untuk memaksa, tetapi untuk menjadikan masing-masing merasa berhak ke atas kehidupan selepas pernikahan. Jawabnya tidak tahu, atau tidak sanggup. Tapi kalau tentang meletakkan syarat supaya suami tidak berkahwin lain atau tidak berpoligami, ramai pula yang sanggup!


KESIMPULAN
Hidup berumahtangga itu bahagia, ceria dan mempesona. Jangan jadikan ia suatu lubang yang derita atau sengsara. Jangan jadikan ia suatu tembok atau dinding penjara, yang memisahkan antara anda dengan alam nyata.

Sebelum anda dimiliki orang, binalah perancangan bersama-sama. Ia lebih mulia dari sibuk bermain cinta. Bina perancangan mesti serius, bukan dengan gedik atau mengada-ngada. Dari situ, banyak sikap yang akan tersingkap, banyak juga sudut yang boleh dibuat pertimbangan semula.

Dan sememangnya sebagai manusia, itulah tugas kita, usaha dan terus usaha, sebelum akhirnya kita berserah kepada Yang Maha Berkuasa.

Sekian,


-myilham.com-


Tuesday 5 March 2013

Dia-lah Di Hati



Bisikan sang bayu membawa perkhabaran 
Dongengan yang sama dicanang berulang 
Mengapakah diri dijadikan sasaran 
Sekilas pandangan pelbagai andaian 
Sungguh terkilan

Seumpama naskah yang terbuka 
Sesungguhnya tiada rahsia 
Bacalah kenalilah 
Dengan bijaksana 
Siapa aku yang sebenar 

Kendati selautan segunung 
Permata di kanan dan kiri 
Selagi jantungku berdegup hingga tiba saat terhenti 
Dia-lah dihati

Mengapakah diri dijadikan sasaran 
Sekilas pandangan pelbagai andaian 
Sungguh terkilan

Tiada pilihan kedua 
Pertama hingga akhir usia 
Hanya Dia

Tiada rahsia lagi 
Usah bertanya berteka teki 
Cinta yang abadi 
Cintaku yang suci dihati


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...