Tahukah kamu
siapakah Uwais al-Qarni?
Uwais
al-Qarni merupakan pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah saw kepada
para sahabat baginda.
Rasullulah
saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa akan lahir
di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu
(zaman selepas kewafatan Rasullulah saw).
Tujuan
Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais
al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya
mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra).
Marilah kita
lihat apa istimewanya Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah saw meminta sahabat
mencari dan meminta doa darinya.
Memang
benarlah kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman
Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan
mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu
juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia
adalah orang yang Rasulullah saw sebut-sebutkan ini kerana, Uwais Al-Qarni
dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk
setempat.
Uwais
Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni
sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau
adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur
dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau
meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak
dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari
ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk
mengerjakan ibadat haji di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais Al-Darni supaya
berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai
seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan
untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari
Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya
‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk
melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan.
Uwais tidak
mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi
untuk memiliki unta.
Namun atas
permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi. Uwais Al-Qarni mendapat suatu
ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis
menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah
untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan ialah pada petang
hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya
beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan.
Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu
mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang
dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang
pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari
mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit.
Namun
sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu
yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg.
Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan
mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas 8
bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah
satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah
memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di
belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan
sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula
ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan
kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang
Arafah dengan senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya
pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah
pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya:
“Uwais, apa
yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais
Al-Qarni menjawab:
“Saya berdoa
minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya
bertanya lagi:
“Bagaimana
pula dengan dosa kamu?”
Uwais
Al-Qarni menjawab:
“Dengan
terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka
saya juga masuk syurga.”
Ibunya
berkata lagi:
“Ibu
inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu
ini.”
Uwais
Al-Qarni berkata:
“Saya
keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan
kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya
menambah:
“Kalau ingin
masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau
berdoa.”
Akhirnya
Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau
lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih
yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.
Allah SWT
lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali
tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih
kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu
anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah saw kepada
Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra:
“Tandanya
kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau
berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak lama
kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan
ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya
di sisi Allah. Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra dapat berjumpa dengan Uwais
Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta
supaya beliau berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka
berdua.
Ketika Uwais
al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata:
“Aku ini
datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah
S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”
Maka Uwais
Al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu
Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, saidina umar mahu
membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais Al-Qarni dengan layanan
yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik oleh Uwais Al-Qarni.
Lalu Uwais
Al-Qarni menjawab dengan lembut :
“Berada di
tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Diriwayatkan
semasa kewafatan beliau, terlalu ramai ‘orang’ yang menyempurnakan jenazah beliau.
Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak
menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang memperdulikan
beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila.
Siapakah ‘orang-orang’ tersebut. Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit
yang terdiri daripada malaikat-malaikat.
Demikianlah
kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah
yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.