Friday 23 May 2014

Saya Mujahid Bukan Teroris!



Makna Jihad

Jihad dari segi bahasa bermakna  ‘melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh’ untuk mendapat natijah yang baik. Jihad luas maknanya dan bukan merujuk di medan perang semata-mata. Seperti yang ditegaskan oleh ulama kita, jihad boleh dilakukan dalam konteks melawan nafsu dan syaitan. Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya ‘Fiqh al-Jihad’ memberi makna yang cukup luas berhubung jihad, termasuk aspek pendidikan, ekonomi, pembangunan, pembaikan diri, dan sebagainya.

Tujuan Jihad

Ianya adalah wasilah untuk mencapai matlamat lebih tinggi iaitu membina agama, meninggikan kalimah Allah, mempertahankan Negara daripada penaklukan dan untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Justeru, ia bukan untuk membinasakan nyawa dan benda tetapi untuk membawa keamanan dan kesejahteraan. Sebab itulah dalam Islam bila tiba waktu berdamai, Rasulullah saw mengambil langkah untuk berdamai berbanding daripada berperang.

Salah Faham Jihad

Kalau seseorang itu pergi berjihad dengan niat untuk membinasakan diri dengan menggunakan istilah mati syahid, itu bukan niat yang betul kerana ianya bukanlah matlamat jihad. Syahid itu adalah anugerah Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sepatutnya, ia diniatkan untuk meninggikan kalimah Allah, mempertahankan tanah air, membina agama, dan mendapatkan keredhaan-Nya. Kalaulah mati syahid itu menjadi tujuan utama dalam jihad, maka sudah tentu Rasulullah saw tidak menyuruh para sahabat memakai baju besi dan membuat persiapan perang dari segi latihan dan peralatan.

Syarat Jihad

Jihad dalam konteks medan perang atau jihad al-qital ini dipandu oleh etika perang yang amat ketat. Kerana ia membabitkan nyawa manusia. Islam sangat mengambil berat nyawa kerana itulah ia dilindungi dalam ‘maqasid syariah’. Antara syaratnya, perlu mendapat keizinan pemerintah ulil amri iaitu di mana kita tinggal. Pengisytiharaan jihad bukan hak individu. Sekiranya setiap individu memiliki hak ini, ia akan menimbulkan huru-hara di dalam Negara. Kita wajib taat kecuali ia menyuruh kita membuat maksiat atau melanggar perintah Allah. Perlu mendapat keizinan ibu bapa. Jika mereka tidak memberi keizinan kerana sudah tua, sakit dan memerlukan kita. Wajib mengutamakan mereka seperti yang telah diingatkan Rasulullah saw dalam hadis Baginda.

Bebas hutang. Wajib langsaikan hutang dahulu sebelum ke medan perang kerana tidak ada syahid bagi pemiutang. Tidak menyasarkan orang awam dan golongan zimmi, mu’ahhad dan musta’man. Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa membunuh seorang mu’ahhad, maka dia tidak akan mencium bau syurga.” [al-Bukhari]

Berjihadlah kerana Allah, bukan kerana dendam, marah atau untuk mencari syahid seperti yang dicanangkan oleh kumpulan militan yang melampau. Justeru, jika syarat ini dipenuhi, insyaAllah jihad ini akan membawa kemenangan untuk kedaulatan Islam.

Kesimpulan

Berjihad memerlukan ilmu, bukan sekadar ikutan dan semangat semata-mata. Rujuklah kepada alim ulama sebelum kita tersalah langkah melanggar prinsip agama dan jihad. Bezakan antara ideologi militan yang melampau dengan jihad untuk Islam. Semoga Allah terus membimbing kita semua untuk meletakkan jihad Islam ditempatnya dan mengikis fenomena Islamfobia yang meninggalkan kesan ketakutan kepada istilah terorisme.


Sumber asal : Apabila Jihad Menjadi Militan



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...