Monday 29 October 2012

Redalah Reda



Satu-satu daun berguguran
Jatuh ke bumi dimakan usia
Tak terdengar tangis tak terdengar tawa
Redalah reda

Satu satu tunas muda bersemi
Mengisi hidup gantikan yang tua
Tak terdengar tangis tak terdengar tawa
Redalah reda

Waktu terus bergulir
Semuanya mesti terjadi
Daun daun berguguran
Tunas tunas muda bersemi

Satu satu daun jatuh kebumi
Satu satu tunas muda bersemi
Tak guna menangis tak guna tertawa
Redalah reda

Waktu terus bergulir
Redalah tangis redalah tawa
Tunas tunas muda bersemi

Waktu terus bergulir
Semuanya mesti terjadi
Daun daun berguguran
Tunas tunas muda bersemi

Redalah reda...

Sunday 28 October 2012

Tips Awal Bertudung Labuh


1) Mulakan dengan memakai stokin kaki dan sarung lengan. Biasakan memakai baju yang longgar dan melepasi punggung. Tukarkan penggunaan seluar jeans dengan seluar slack yang longgar.

2) Cari dan sertailah kumpulan usrah yang benar. yakni yang diyakini agama naqibah (ketua usrah) nya serta hala tujunya selari dengan syariat. insyaAllah.

3) Perhebatkan langkah menyertai majlis-majlis ilmu seperti kuliah maghrib di Masjid, ceramah-ceramah oleh ustaz/ustazah untuk menambah input dalam diri. InsyaAllah, akan bertemu sahabat-sahabat baru yang baik di majlis-majlis tersebut.

4) Bersungguh-sungguh memperbaiki ibadah-ibadah asas seperti solat, puasa & sebagainya. Boleh rujuk ustaz/ustazah, sahabat2 yang diyakini agama, kitab-kitab fardu ain, ataupun mendengar ceramah-ceramah online (kalau boleh, semua ini seiring).

5) Perbanyakkan membaca al-Quran dan mentadabbur (mengkaji) maknanya. Tidak ada gunanya pembacaan al-Quran tanpa memahami isinya. Milikilah tafsir mini sebagai teman karib.

6) Apabila hati sudah semakin kuat, yakni semakin sudah yakin dengan pilihan yang dibuat (untuk berhijrah lillahi taala) maka, perlahan-lahanlah mulakan langkah untuk memperbaiki penampilan. Mulalah memakai baju yang menutupi peha (mencecah lutut). Paling popular, T-shirt Muslimah. Namun, hati-hati, seeloknya pastikan ukurannya mencecah lutut kerana T-shirt yang tidak menutupi peha berpotensi untuk menampakkan bentuk peha jika dipakai dengan seluar.

7) Mulakan dengan memakai tudung bidang 50 (melepasi bahu). Pinkan secara lurus. Kalau dipinkan silang ke dada, kelihatan agak singkat. Kebiasaannya muslimah memilih untuk memakai Tudung Turki atau Tudung Mesir.

8) Setelah semakin selesa, mulalah memakai pula tudung Tudung Turki/Mesir/Bawal bidang 60. Tudung jenis ini kebiasaannya labuh mencecah siku & menutupi punggung. Sebenarnya, tudung jenis ini pun sudah memadai untuk menutupi aurat dengan sempurna. Namun, agak renyah sebab penggunaan pin. ( kalau tudung jahit terus sarung je. lagi mudah kan? ^^,)

9) Dalam pada berusaha menjaga penampilan, langkah 1-6 masih dipraktikkan dengan istiqomah (berterusan). Iman ditingkatkan, ibadah diperhebatkan, akhlak dipermantapkan. insyaAllah.

10) Kemudian, setelah bersedia untuk memakai tudung labuh berjahit, bolehlah mulakan dengan berselang-seli dengan Tudung Turki/Mesir bidang 60 sebelum istiqomah dengan tudung labuh berjahit. Serta kurangkan pemakaian seluar serta mengantikannya dengan memakai kain. Memakai t-shirt muslimah dengan kain tidak ada salahnya. Bahkan lebih manis dipandang mata.

Selamat mencuba!! moga Allah kasih.. :-)

Monday 22 October 2012

Yang Pertama


1. Orang yang pertama menulis Bismillah :
Nabi Sulaiman AS.


2. Orang yang pertama minum air zamzam :
Nabi Ismail AS.

3. Orang yang pertama berkhatan :
Nabi Ibrahim AS.


4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat :
Nabi Ibrahim AS.


5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat :
Nabi Adam AS.


6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah :
Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)


7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat :
Nabi Muhammad SAW


8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam :
Abu Bakar As-Siddiq RA


9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah:
Umar bin Al-Khattab RA


10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam:
Al-Hasan bin Ali RA


11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW:
Thuwaibah RA


12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki :
Al-Harith bin Abi Halah RA


13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita:
Sumayyah binti Khabbat RA


14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran :
Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA


15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah :
Saad bin Abi Waqqas RA


16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan azan:
Bilal bin Rabah RA


17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW :
Ali bin Abi Tholib RA


18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW:
Tamim Ad-dary RA


19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah :
Az-Zubair bin Al-Awwam RA


20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW:
Ibban bin Othman bin Affan RA


21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW :
Khadijah binti Khuwailid RA


22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh :
Imam Syafie RH


23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam:
Ali bin Abi Tholib RA


24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam :
Muawayah bin Abi Sufyan RA


25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam :
Harun Ar-Rasyid RH


26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal :
Umar Al-Khattab RA


27. Orang yang pertama menghafal Al-Quran selepas Rasulullah SAW:
Ali bn Abi Tholib RA


28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah :
Khalifah Abu Ja’far Al-Mansur RH


29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry :
Mus’ab bin Umair RA


30. Orang yang pertama masuk Syurga :
Nabi Muhamamad SAW


Wednesday 17 October 2012

Nikah Mut'ah


Kes A

Aishah berkahwin dengan Rafie, teman sepengajiannya yang berasal dari Bahrain semasa mereka belajar di Los Angeles. Dia merancang untuk tidak mengandung kerana ini adalah perkahwinan kontraknya dengan Rafie tetapi ditakdirkan Tuhan Aishah mengandung dan kemudiannya bersalin di tahun akhir pengajian. Kontrak nikah mut’ahnya berakhir dengan tamatnya pengajian mereka setelah 3 tahun bersama di Los Angeles. Aishah pulang ke Malaysia bersama anaknya yang baru berusia 5 bulan manakala Rafie pula kembali ke Bahrain.

Kes B

Bapa Salmiah membawa beliau ke Unit Kaunseling, Jabatan Agama Islam Negeri untuk mendapatkan nasihat lanjut. Anaknya, Salmiah belajar di bidang kejuruteraan di sebuah IPTA tempatan. Salmiah didapati terpengaruh dengan ajaran Syiah di tahun akhir pengajiannya dan tidak diketahui oleh ibu bapanya sehinggalah dia menamatkan pengajian baru-baru ini. Itupun hanyalah kerana Salmiah telah mengandung 4 bulan dan tidak mengetahui siapakah bapa sebenar kepada anaknya ini. Pada tahun terakhir pengajian sahaja, Salmiah pernah bernikah mut’ah dengan 4 lelaki yang berbeza dalam tempoh 2 bulan.

Kes C

Eka Ratnawati Putri dirujuk ke Klinik Pakar Obstetrik dan Ginekologi kerana mengalami permasalahan sakit puan (recurrent vaginal discharge) yang gagal dirawat oleh doktor dari klinik swasta. Beliau terkejut besar apabila diberitahu bahawa penyakit yang dipanggil ‘Sexually Transmitted Disease’ ini adalah penyakit serius yang berpunca daripada hubungan kelamin. Apabila ditanya dengan lebih lanjut, Eka yang berasal dari Medan telah berkahwin mut’ah dengan 3 lelaki disepanjang 12 bulan yang lalu. Bekas pasangannya adalah seorang pekerja dari Pakistan dan 2 lagi adalah lelaki tempatan. Eka membayar di antara RM 300-RM 500 kepada agen yang menguruskan perkahwinan kontraknya.

Apakah kontrak untuk perkahwinan mut’ah ini ?

Pertama, wanita itu berkata :
Bahasa Arab : Zawajtuka nafsi fil muddatil ma’loomati ‘alal mahril ma’loom.
English : I married myself to you for the known period and the agreed upon dowry.
BM : Saya berkahwin dengan anda untuk tempoh yang dan mas kahwin yang dipersetujui.

Kemudian, lelaki itu menjawab :
Bahasa Arab : Qabiltu.
English : ”I accepted.”
BM : Saya terima

Congratulations! That’s it! You are now halal for each other for the time period that you agreed!
( Terjemahan : Tahniah ! Itu sahaja ! Anda kini halal antara satu sama lain bagi tempohmasa yang telah anda persetujui ! )

Apakah perbezaan nikah mut’ah dengan perkahwinan sebenar yang diajar oleh Islam?

Ringkasnya, terdapat enam perbezaan prinsip antara nikah mut’ah dan nikah yang syar’i :

- Nikah mut’ah dibatasi oleh waktu tetapi nikah yang syarie  tidak dibatasi oleh waktu.
- Nikah mut’ah berakhir dengan habisnya tempoh kontrak yang ditentukan dalam akad atau fasakh   sedangkan nikah yang syarie berakhir dengan talaq atau meninggal dunia.
- Nikah mut’ah tidak mengakibatkan saling mewarisi antara suami isteri. Manakala nikah yang syarie menimbulkan hak pewarisan di antara keduanya.
- Nikah mut’ah tidak menghadkan jumlah isteri tetapi nikah yang syar’ie dibatasi dengan jumlah isteri hingga maksimum empat orang dengan syarat tertentu.
- Nikah mut’ah boleh dilaksanakan tanpa wali dan saksi sedangkan nikah yang syarie mestilah dilaksanakan dengan wali dan saksi.
- Nikah mut’ah tidak mewajibkan suami memberikan nafkah kepada isteri sedangkan lelaki Muslim yang bernikah secara syarie diwajibkan untuk memberi nafkah kepada isterinya.

Ramaikah rakyat Malaysia yang terlibat dengan nikah Mut’ah?

Saya tidak pasti sejauh mana pengamalan nikah mu’ah ini semakin berkembang di Malaysia kerana kita tidak mempunyai statistik rasmi mengenainya. Namun kadar percambahan jumlah kes-kes  yang ditemui melambangkan bahawa ini adalah satu lagi bencana di dalam bentuk yang baru di Malaysia…

Bagaimana berhadapan dengan pengamal atau pencinta mut’ah?

Secara logiknya anda boleh bertanya mereka soalan seumpama ini :
“Adakah anda bersetuju sekiranya saya bermut’ah dengan isteri anda, atau adik perempuan anda ataupun dengan anak perempuan anda untuk beberapa hari ?”
Apa agaknya jawapan mereka….?


“Daripada Rabi’ bin Sabran daripada bapanya bahawasanya 
Nabi s.a.w. telah mengharamkan nikah mut’ah.”
(Riwayat Abu Daud)


Tuesday 16 October 2012

Kenapa Wanita Berpurdah?



Aishah, 19 tahun, pelajar, wanita muslimah yang berpurdah, namun bukan lah pelajar aliran pengajian islam ataupun ‘ustazah’. Mengambil bidang matematik di UKM. Tahun pertama. Sering di gelar ‘ustazah’ oleh rakan-rakan dek purdah yang dikenakan.

Kelas agama oleh ustaz Amirul yang hanya seminggu sekali itu baru berakhir, para pelajar mula beredar. Meninggalkan beberapa pelajar yang masih belum berhajat utk pulang. Termasuk lah Aishah.

“Erm Aishah, nak tanye sket, purdah tu wajib ke?” Nurul Aqilah, rakan baiknya yang duduk bersebelahan dengannya bertanya. “entahla..” jawab Aishah mudah. Kelihatan matanya mengecil. Tersenyum barangkali. “Aik? entah je? abes tu, Aishah pakai purdah ni sebab ape? saje suke2? ke nak nampak macam “ninja”? hehe..” gurau Aqilah. Sekali lagi mata Aishah mengecil.

“erm..ok lah..sebelum tu, Aishah nak tanya Aqilah dulu. Ape itu sunnah dan apa yang dimaksudkan dengan hukum sunat?” Aishah mengajak Aqilah untuk berfikir. “Alaah.. mudah je, sunnah tu segala2nya dari Nabi saw, baik perbuatan, percakapan, dan semua la. dan untuk hukum sunat, sumer orang slalu cakap, buat dapat pahala, tak buat tak dapat pape..kan2?“

“MashaAllah, hebat Aqilah ni. boleh jadi ustazah dah ni.. boleh ganti ustaz amirul.hehe.” Aishah bergurau. “Ade2 je la Aishah ni." Aqilah bersuara malu. “Gurau aje la..ok2..kite sambung balik eh..” Aishah mengembalikan perbincangan. “Betul sangat ape yg Aqilah cakap tadi. Pasal sunnah dan hukum sunat. Sunnah sememangnya segala yang bersandar kepada Nabi SAW, bermula dari cakap baginda, akhlak baginda, pakaian baginda hinggalah pemikiran baginda saw. Cuma ade sedikit pembetulan pada definisi hukum sunat yang Aqilah kata tadi tu.."

“Eh salah ke? Astaghfirullahalazim..” kerisauan Aqilah jelas terpancar.  "Aishah tak kata salah, sebab Aishah bukan ustazah atau ahli hukum hakam, so, Aishah pun tak berani nak kata orang salah. Cuma Aishah ada pendirian berasaskan sumber yang Aishah sendiri yakin.” Aqilah tersenyum kagum mendengar penjelasan Aishah yang sentiasa merendah diri.

“Alah, Aishah ni rendah diri pulak.. macam la Aqilah tak tau.. Aishah selalu ikut Ummi Aishah pergi belajar kitab.. Jadi, sememangnya Aishah hebat dalam hal2 agama..” Aqilah memuji Aishah. “segala Pujian kembali kepada Allah, Aishah cuma ikut sikit2 aje..” Aishah memujuk hati supaya tidak terkesan dengan pujian tersebut.

“Ok2..sambung eh, yang pasal hukum sunat tu, Aishah pernah ditegur seorang ustazah. Dia cakap, sunat ini sebenarnya sunnah la. Jadi, siapa yang buat dapat pahala, siapa yang tak buat bukan sahaja tak dapat apa2. Tapi, dia juga turut rugi. Kan Allah dah sebut dalam surah al-’Asr, “setiap manusia itu dalam kerugian..". Cuba kalau Aqilah berniaga. Kalau tak dapat untung takpe lagi, sebab masih buleh mengembalikan modal, tapi kalau rugi? rasa macam dah tak nak berniaga dah kan? Itu baru definisi rugi oleh manusia, inikan pula definisi rugi dari yang maha Pencipta. Pasti dan pasti ia tak baik untuk kita.” Hurai Aishah.

“Oooo..mcam tu eh. Betul2. Baru tadi Ustaz Amirul tegur budak2 datang lambat ke kelas menggunakan surah tu. hehe. ok2. erm..jadi, Aishah pakai purdah sebab hukumnya sunat la eh? buat dapat pahala, tak buat rugi..gitu?” Aqilah kembali bertanya.“Tak juga..” sekali lagi mudah Aishah menjawab. “Pulak dah.. abes tu apa kena mengena dengan sunnah dan hukum sunat yang Aishah terangkan tadi?” Aqilah inginkan penjelasan.

“Sunnah dan sunat itu adalah jawapan untuk soalan Aqilah yang pertama tadi.” Aishah menjelaskan. “Oh, jadi, hukum pemakaian purdah itu hukumnya sunat la eh?” Aqilah inginkan kepastian. ““Ya” pada Aishah, mungkin “tidak” bagi orang lain. Ada yang kata wajib, ada juga yang kata haram, macam2. tapi pada Aishah, ia tetap sunnah, siapa yang pakai purdah, ada ganjaran besar bagi nya. insyaAllah.” Aishah menjawab. “Eh, tapi, sunnah kan apa yang dari Nabi saw… takkan la Nabi …..” Aqilah kelihatan cuba membayangkan sesuatu. Mungkin lelaki memakai purdah.

Aishah ketawa kecil, “memanglah Nabi saw tak pakai purdah sayang oi..tapi, isteri dan anak2 Nabi saw pakai niqab. Ikut sahabat dan sahabiyah itu juga sunnah, sebab mereka hanya melakukan apa yang Nabi saw redha dan mereka pasti akan tinggalkan apa yg Nabi saw larang. Kesannya, di dunia lagi Allah swt dah kasi “title” yang hanya di perolehi oleh ahli syurga di syurga kelak”.  “title” ahli syurga? apa dia?” Aqilah ingin tahu. “RadiaAllahu’anhu waradhu’anh (Allah redha ke atas mereka)” jawab Aishah.

“Oooo..Jadi, apa pula jawapan Aishah utk soalan kedua tu? hehe” Aqilah tetap ingin tahu. “Oklah..senang je..sebab Aishah memilih untuk memakai niqab adalah kerana ia perintah Allah swt. itu sahaja.” Aishah tenang menjawab. “Ooo. gitu eh? kalau camtu, boleh ‘share’ dengan Aqilah tak dalil dalam Quran menyuruh pakai purdah?” Aqilah kembali bertanya. Aishah terus membuka al-Quran terjemahan  yang sentiasa dibawakan bersama.“Ha, ini dia. Baca terjemahan ayat ni. surah al-ahzab, ayat 70-71."

“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” [Al-Ahzab : 70-71] .

“Eh Aishah, Aqilah tak nampak pun ada disebut pasal purdah? Aishah silap tunjuk kot..” Aqilah cuba mendapatkan kepastian. “Eh, tak lah. betul la tu. Aishah tak silap. Ok. cuba Aqilah bacakan untuk Aishah terjemahan ayat tu." Aishah meyakinkan Aqilah. Lalu Aqilah pun membaca hingga selesai. “Ok, cuba baca ayat ke dua yang ada kat situ” pinta Aishah.

“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” [Al-Ahzab : 71]

 "Ok, kali ni, ulang ayat last yang ada diayat ke 71 tu.” pinta Aishah lagi.

“Barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”

Baca Aqilah sambil tersenyum kagum. “Dah dapat apa yang Aishah nak sampaikan?” tanya Aishah. “MashaAllah, mentaati Allah dan Rasul akan dapat kejayaan yang besar. Itu janji zat yang mencipta kita. Dialah yang mengetahui kejayaan sebenar buat kita. Bukan kejayaan biasa pula tu. Allah janji kejayaan yang besar lagi..” Ulas Aqilah tanda kagum dan terharu.

“Yup, itulah sebabnya Aishah memilih jalan ini. Sebab jalan inilah yang ada jaminan kejayaan oleh yang maha Pencipta. Biarlah orang kata Aishah ‘extremist’ atau ape2 pun Aishah tak kisah,  sebab ini lah jalan yang sepatutnya semua orang pilih. Iaitu jalan yang ditunjukkan oleh Nabi saw tercinta dan sahabat serta sahabiyah baginda. mereka itu manusia yang dijamin syurga. siapa lagi yang kita nak jadikan contoh kalau bukan mereka.” tambah Aishah.

“Allah.. lepas ni Aqilah pun pakai purdah jugak la! Heee..” Aqilah memberi azam. “Amin ya Rabb. suka sangat bila Aishah dengar Aqilah cakap camtu” Aishah mengambil hati.“hehehe…emm! baru Aqilah teringat. Aqilah pernah terdengar seorang ustaz bagitahu. Aqilah tak ingat pulak sama ada hadis atau pepatah. Tapi, ustaz tu bagitahu. Antara sifat ahli syurga adalah dia seorang yang lurus (bendul)” Aqilah cuba berkongsi ilmu.“Lurus? apa maksud Aqilah dengan lurus? ” Aishah inginkan kepastian.

“Haaaa…’lurus’ yang ustaz tu maksudkan ialah, ahli syurga ni, dia tak banyak songeh dalam mentaati perintah Allah swt. Bila dia tau itu perintah Allah swt, maka dia terus buat. tanpa berkira, memberi alasan dan mempertikaikannya. dan Aqilah nampak sifat ini ada pada Aishah! Hebatlah Aishah ni!” Aqilah mengagumi Aishah.

“Oooo..kire Aqilah nak kate Aishah ni ‘lurus’ la eh?” Aishah bergurau. “Eh? Boleh jugak kot.. haha” spontan jawapan dari Aqilah. “Amboih..” Aishah mencubit manja bahu Aqilah. Kedua-dua mereka ketawa kecil. Tiba-tiba satu suara garau menerpa, “Ayoyoyo, tak mau balik lagi ka? semua orang sudah balik la..saya mau tutup ini bilik la..” tegur Pak Guard yang berbangsa India. Penat menunggu agaknya.

“Eh, sorry uncle, ok, ok, kami dah nak balik dah ni..hehehe…jom Aishah..” Aqilah memberi respon kepada pak Guard tersebut. Mereka pun beredar bersama-sama..

Adab Menuntut Ilmu



1.Ikhlas
Menuntut ilmu tidaklah untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk bergaji tinggi, untuk dikatakan orang yang bijak pandai atau lain2 niat melainkan hanya kerana Allah SWT.
Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu selain daripada kerana Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]

2.Beradab dengan orang yang memberi ilmu
Berkata Imam Syafie :
"Siapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia bersunyi diri, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]

3.Banyak Sabar
Imam Syafie pernah berkata:
"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s: 237]

4. Tulis setiap yang dipelajari
Kata Abu Hurairah ra:
"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]

5.Tawadhu'
Imam Ahmad bin Hambal berkata:
"Kami disuruh supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s 274]

6.Menjahui dari makan banyak
Ibn Jama'ah berkata:
"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi m/s 222]

7.Tidur yang sedikit
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]

8.Kurangkan berkata-kata yang tidak manfaat
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam."

Wallahua'lam

Sunday 14 October 2012

Tentang Niqab



Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.

1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.

2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.

3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.

4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.

Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.

Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.

Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).

Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.

Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:

عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.

Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.

KESIMPULAN

Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah (manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.

Thursday 11 October 2012

Kaca Yang Berdebu

Sunday 7 October 2012

Pengantin Di Atas Sejadah



Kisah nyata yang diceritakan oleh Syaikh Abdul Muhsin Al Ahmad ini terjadi di Abha, ibu kota Provinsi Asir Arab Saudi.
...

Setelah melaksanakan solat Maghrib dia berhias, menggunakan gaun pengantin putih yang indah, mempersiapkan diri untuk pesta pernikahannya. Lalu dia mendengar azan Isya’, dan dia sedar kalau wudhu’nya telah batal.

Dia berkata pada ibunya : “Bu, saya nak berwudhu’ dan solat Isya’.”

Ibunya terkejut : “Apa kamu sudah gila? pengantin lelaki telah menunggumu untuk melihatmu, bagaimana dengan make-up mu? Semuanya akan terbasuh oleh air.”

Lalu ibunya menambahkan : “Aku ibumu, dan ibu katakan jangan solat sekarang! Demi Allah, jika kamu berwudhu’ sekarang, ibu akan marah kepadamu”

Anaknya menjawab : “Demi Allah, saya tidak akan pergi dari ruangan ini, hingga saya solat. Ibu, ibu harus tahu “bahwa tidak ada kepatuhan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada Pencipta”!!

Ibunya berkata : “Apa yang akan dikatakan tamu-tamu kita tentang mu, ketika kamu tampil dalam pesta pernikahanmu tanpa make-up?? Kamu tidak akan terlihat cantik dimata mereka! dan mereka akan mengolok-olok dirimu!

Anaknya berkata dengan tersenyum : “Apakah ibu takut kerana saya tidak akan terlihat cantik di mata makhluk? Bagaimana dengan Penciptaku? Yang saya takuti adalah jika dengan sebab kehilangan solat, saya tidak akan tampak cantik dimata-Nya”.

Lalu dia berwudhu’, dan seluruh make-up nya terbasuh. Tapi dia tidak merasa bermasalah dengan itu.

Lalu dia memulakan solatnya. Dan pada saat itu dia bersujud, dia tidak menyedari itu, bahwa itu akan menjadi sujud terakhirnya.

Pengantin wanita itu wafat dengan cara yang indah, bersujud di hadapan Pencipta-Nya.

Ya, dia wafat dalam keadaan bersujud. Betapa akhir yang luar biasa bagi seorang muslimah yang teguh untuk mematuhi Tuhannya!

SubhanAllah..


Bidadari Homs



oleh : Nessa Syahirah

“Apakah kamu  menyangka bahawa kamu akan memasuki syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang- orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam- macam ujian) sehingga berkata Rasul dan orang- orang beriman bersamanya : bila datangnya pertolongan Allah?, Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu terlalu hampir”

Zainab mengalunkan ayat dari Surah Al- Baqarah :214 ketika memeluk ibunya, berita tentang kesyahidan abangnya telah meluas, Ibunya hilang punca, menjerit- jerit, bertanya mengapa hal sekejam ini bisa terjadi dalam sekelip mata, sedang beberapa bulan terdahulu kehidupan mereka aman seperti biasa.

Setiap pagi mereka akan bersarapan bersama, sebelum abangnya ketempat kerja dan dia kesekolah, manakala abangnya yang lagi seorang akan menuju ke Madrasah tidak jauh dari rumah mereka, mengulang hafalan Al- Qurannya dengan syeikh Jamaludin Sairawan.

Dan kini homs menjadi tanah hitam yang hancur, sehancur hati penghuninya yang masih bersisa, tiada lagi senyuman, melainkan ketenangan buat mereka yang benar- benar yakin disana ada syurga, tersergam indah menanti jiwa- jiwa yang benar- benar berserah, disana ada bidadari, menanti dengan perhiasan yang indah, buat mereka yang percaya bahawa janji Allah itu pasti menjengah, tersedia dengan megah.

Hampir setahun Zainab tidak mampu tersenyum.

Sejak kebangkitan rakyat negaranya menentang kezaliman dari sang pemerintah berhati binatang, hingga saat ini, kematian menjangkau keangka 10 000 orang, dan jasad- jasad kaku bertaburan tanpa belas, seakan kematian dan kehidupan sejarak dua inci, tiada lagi ertinya kehidupan, melainkan perjuangan mengejar syahid yang menjadi idaman. Sesaat kau masih bernyawa, dan mungkin sesaat lain kau telah kaku tidak berhela.

Zainab akur ini ujian Tuhan buat hamba yang dicintai-Nya.

Zainab yakin inilah laluan berduri dan kaca tajam yang pernah dilalui oleh umat terdahulu sebelum dari mereka.

Dan yang telah dilalui oleh para Nabi dan Rasul.

Juga saudara- saudaranya di Palestin, yang pernah satu ketika dia sempat bersimpati dengan mereka.

Dan kini, tidak pernah termimpi dia pula yang akan melaluinya, sungguh kesenangan itu lebih menguji mujahadah, dan dia kini semakin hampir dengan Allah, semakin, seluruh urat dan nadinya terasa berdetak begitu dekat dengan Penciptanya, yang satu waktu dulu tidak pernah dia merasanya. Benar, memang benar, semakin derita menghimpit, semakin dekat sang hamba dengan Pencipta. Oh Allah, kuatkan jiwa hamba menghadapinya. Dulu dia hanya gadis remaja yang rutin setiap harinya hampir sama, meskipun solat, solatnya masih terasa kosong, meskipun puasa, puasanya tidak menyuntik cinta pada Allah, begitu juga dengan ibadahnya yang lain, kerana itu, Zainab yakin ujian yang menimpa dia dan seluruh penduduk sunni di Syria ini adalah hasil cinta Pencipta. Alhamdulillah.

Kelmarin sebutir bom meletup di tengah- tengah himpunan anti basyar Bandar Rastan yang mengorbankan 16 nyawa, dan salah seorang dari itu adalah abang sulungnya,  dan semalam mereka telah dihubungi oleh seorang lelaki yang meminta mereka sekeluarga untuk menuntut jenazah abangnya dihospital.

Zainab duduk berdepan dengan ibunya yang sedang menangis teresak- esak, digenggamannya ada senaskah Al- Quran kecil yang hanya ditekap kedada.

“Duhai Ummi, bukankah engkau yang sering mengingatkan kami agar bersabar” Zainab sedayanya ingin mengubati hati ibunya.
Abangnya Toriq hanya memerhatikan situasi mereka. Sesekali ada juga titisan jernih yang  mengalir dari matanya.

“ Ummi menangis bukan kerana tidak redha dengan perginya abangmu dari sisi ummi, tapi hati Ummi terlalu sayu, puas Ummi memujuk dengan ayat- ayat Al- Quran, ianya tetap sayu, seakan- akan sesuatu yang lebih dahsyat akan menimpa” luah Ibunya dengan air mata yang menderu- deru. Zainab memeluk ibunya dengan erat, kemudian dia menatap wajah tua ibunya dalam- dalam, sungguh saat ini tidak pernah menjanjikan bahawa mereka masih bersama untuk sesaat kedepan.

Bila- bila masa, segerombolan manusia syaitan berpakaian tentera Syria bisa merempuh masuk dan menyembelih mereka, meruntuhkan rumah mereka, seperti yang berlaku di kampung ifs di Wilayah Idlib yang mencatat 8 kematian semalam. Kegilaan apakah ini wahai Basyar? Layakkah engkau menjadi manusia?!

“bahkan kita akan bertemu di syurga Ummi, kita akan bertemu di Syurga!” Zainab memegang tangan Ummi, seperti ianya buat saat- saat terakhir, waktu- waktu sebegini, bila- bila sahaja waktu itu adalah waktu terakhir aku melihatmu Ummi didunia ini. Kali ini air mata menderu keluar dari mata Zainab.

Saat- saat genting menimpa Penempatan Baba ‘Amru, tentera rejim Basyar sudah berjaya mengepung wilayah Homs yang majoriti penduduknya adalah dari golongan Sunni, mereka bertempur dengan tentera Syria yang berpaling tadah dan berpihak kepada orang awam, dan kini mereka  telah kehabisan senjata dan peluru, bahkan seramai 7000 tentera rejim dihantar untuk bertempur dengan mereka yang berpaling tadah dari pemerintah yang zalim ini. Lebih membimbangkan, operasi demi operasi terus berjalan oleh pihak rejim kearah Hayyul Bayadhiyah, Baba Tidmir, dan karam zaitun dalam wilayah Homs.

“ kau harus segera kesana Zainab, pihak mujahidin yang tercedera kekurangan tenaga perawat, kau harus segera membantu” ujar Toriq pagi itu, tercungap- cungap masuk dengan senjata yang tergantung di tangan kananya.

“ jadi bagaimana Ummi abangku”

“aku akan berusaha membawa Ummi ke sepadan Lubnan, kita akan berpisah disini dan akan bertemu di Syurga nanti, keadaan semakin huru hara, berserahlah sepenuhnya kepada Allah dan berdoakan agar kita terpilih sebagai syuhada’ dijalannya”ujar Toriq yakin.

“pergilah zainab, bawalah bersama semangat bapamu dan abangmu yang telah syahid terlebih dahulu, tiada yang lebih mengembirakan Ummi melainkan jika setiap dari kita terpilih sebagai syuhada’ dijalan-Nya” Zainab teringat Bapanya yang syahid setelah disiksa dengan teruk didalam tahanan dengan dicungkil matanya, kemudian jasadnya dicampak ke kawasan pertanian.

“ Alhamdulillah kerana Allah mengurniakan engkau sebagai Ummiku” cepat- cepat Zainab memeluk Ibunya, zainab berlari kebilik dan mengambil peralatan rawatannya yang masih berada didalam simpanannya sebagai seorang jururawat. Zainab tidak akan menangis, tidak akan, kerana keyakinannya pada janji Tuhan telah menjalar disegenap urat nadinya. Wahai Basyar! Bersiap- siaplah kamu berdepan dengan umat Muhammad yang gilakan keredhaan Tuhannya, sekalipun jasad hancur dilumat ribuan tangan hina yang tersangkut dibahu bala tenteramu yang tidak mengenal neraka.

Toriq runsing, sudah dua hari Zainab hilang di hadapan matanya sejak dia dibawa ke markaz mujahideen untuk merawat para Mujahideen yang tercedera,. Lewat petang dihari kejadian, Zainab hilang setelah meminta izin darinya untuk ke kem perubatan terdekat demi mendapatkan ubat- ubatan yang masih tersisa, dan sejak dari itu dia hilang dari pandangan mata umum, puas Thoriq mencari, dan siang tadi, dia sudah ke hospital berhampiran untuk mencari Zainab, mana tahu jika dia tercedera atau sekalipun terkorban, dia pasti ditempatkan disana. Tetapi gagal, tiada apa mengenai Zainab adiknya dapat dikesan.

“Ada sesuatu yang ingin kau beritahu Ummi?” ditangannya ibunya tergantung butiran tasbih, zikir ada terapi paling indah buat mereka menghadapi tekanan ditengah pertempuran ini.
Toriq memandang mata ibunya sedalam- dalamnya. Lidahnya kelu.

“Ummi tidak akan kesempadan, ummi akan tetap disini, Rabitah Ulama Syria memfatwakan supaya kita terus tetap dirumah mempertahankannya sekalipun dengan menggunakan pisau” ibunya menunduk, berat hatinya yang luar biasa sejak dua menjak ini seakan sudah kenal punca.

“ Adikmu..” air mata Ummi menderu. Kemudian dia mengesat pantas, begitu takut jika air matanya ini menjadi saksi ketidakredhaanya atas setiap yang berlaku saat ini di akhirat kelak.

“Zainab hilang Ummi, puas kami mencari, tidak juga dapat dikesan” Toriq akhirnya meluahkan.
Tiba- tiba pintu utama mereka diketuk kasar, Allah! Adakah mereka para tentera syaitan yang datang bersedia untuk merenggut kasar nyawa mereka. Toriq mencapai senjatanya kasar, bersedia diacu kemuka pintu.

“Assalamualaikum! Toriq!” Suara temannya Hassan agak melegakan. Toriq membuka pintu, ramai teman- temannya berkawal diluar rumah penduduk yang masih belum berpindah menjaga keselamatan mereka.

“ ada surat untuk keluargamu, ada wakil pihak pemerintah yang mengutusnya siang tadi, aku berdoa ia bukan berita buruk” wajah Hassan sugul, sekalipun dia belum tahu inti surat itu.

Tuntut mayat Zainab di Hospital Homs

Toriq terduduk, emosinya memuncak ke kepala, dia menangis dengan kuat dan menghentak- hentakkan kepalanya kedinding, perasaan yang sukar digambarkan bila dia tidak mampu melindungi adiknya sendiri, giliran Ummi membaca catatan ringkas itu, catatan seringkas itu mampu membuat mereka mati ketika hidup, nafas mereka terhenti dan dipaksa untuk dihela semula, sakit!
“ Ummi bermimpikan Zainab yang tersenyum, Alhamdulillah adikmu insyaAllah menyusul syahid, ayuh kita ke hospital, Ummi mahu melihat wajahnya yang tersenyum melihat syurga” ibunya tidak sedikitpun beriak sedih, wanita yang sudah berkali- kali sedih itu mungkin sudah tidak mampu lagi mengalirkan air mata.

“ Jenazah Zainab ditinggalkan di hadapan hospital di dalam plastik berwarna hitam, dia dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya di potong kepada empat bahagian, bersabarlah, sekurang- kurangnya kita menemuiya semula, ada keluarga yang datang menuntut jenazah yang hilang entah kemana” seorang Doktor yang mengenalkan dirinya dari mesir menerangkan kondisi jenazah Zainab, kemudian mereka dibawa kesebuah bilik yang menempatkan mayat mangsa- mangsa yang tidak dapat diselamatkan.

Begitu berdendam mereka pada keluarganya, Toriq tahu benar, Zainab diculik kerana peranan abangnya yang cukup besar selaku pemimpin para mujahideen, dan dirinya yang menggantikan tempat abangnya yang telah syahid, Toriq tahu rancangan membunuh Zainab ini adalah kerana ingin menggerunkan pihak mujahideen supaya berundur. Hei tentera Syaitan, bahkan engkau yang akan berundur, bahkan kau yang pengecut, lihatlah kebangkitan kami atas kesyahidan Zainab ini! Kemenangan semakin hampir, dan yang batil pasti akan lenyap!

“Dan katakanlah, telah datang kebenaran (islam) dan hilang lenyaplah yang salah (kufur dan syirik), sesungguhnya yang salah itu sememangnya adalah sesuatu yang tetap lenyap”
(Al- isra’ : 81 )

Keesokan harinya tersebar tentang Zainab yang dibunuh kerana perbuatan tidak bermoral, seluruh penduduk sunni kecewa dan marah dengan hal yang menimpa, mereka yakin, kemenangan semakin hampir, ujian yang Allah datangkan kepada mereka adalah hasil cinta dari pencipta, mahu mereka meninggalkan dunia dan cepat- cepat bertemu dengan-Nya, mereka redha, hidup adalah pentas ujian, sekalipun pentas yang terhampar dihadapan mereka berbentuk neraka dunia, zalimnya tidak bisa terfikir dek aqal, keadilan Allah pasti tiba, dihari tiada satupun yang berkuasa melainkan DIA! Sungguh kemenangan islam hampir tiba!

Ketika Zainab dan yang lain pergi, rohnya meniupkan semangat buat mereka terus berjuang, para mujahideen yang sentiasa tersenyum, menanti dengan penuh sabar, bergilir- gilir untuk hidup dengan Allah yang begitu dirindui!

“ Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
(A-li’Imraan:169)

Malam itu, Toriq bermimpi, Zainab tersenyum kepadanya, berlatar belakangkan sorakan kegembiraan rakyat Syria yang berjaya didalam revolusi mereka. Allahuakbar! Sungguh kemenangan semakin hampir! Semakin hampir!

Saturday 6 October 2012

Bunga Syurga



Bunga Syurga
Bunga yang dirahmati Allah
Bunga bermakhotakan kalimah Allah
Berkelopak kasih sejati
Bertangkai pedang Rabbani
Berdaun jihad fisablillah
Berbau harum darah mujahid

Bunga syurga
Indah nian di Taman Syurga
Bidadari menyanyi dengan gembira
Menyambut rombongan wajah bulan purnama

Bunga syurga
Ingin kuhadiakan kepada mereka
Yang berpisah seketika didunia
Bertemu kembali di atas redha-Nya

Bunga syurga
Tempatmu jauh nan tinggi
Di bawah Arsy
Singgahsana Illahi
Bisakah ku memetikmu nanti..

Tuesday 2 October 2012

Seni Dakwah



Makna hadis:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasululllah SAW memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solat. Selesai solat, ia mendatangi Rasulullah SAW seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solat!”. Ia pun kembali ke tempatnya dan mengerjakan solat seperti yang telah ia kerjakan tadi. Kemudian ia mendatangi Rasulullah SAW lagi seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solat!”.

Hal ini berulang sampai tiga kali. Lalu ia berkata, “Demi Dzat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarilah aku!”. Baginda pun mengajarnya, “Apabila engkau berdiri untuk solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah yang mudah dari Al-Quran, kemudian ruku’lah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan engkau ruku’, kemudian bangkitlah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan engkau i’tidal, kemudian bersujudlah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan sujud, kemudian duduklah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan duduk. Lakukanlah hal ini dalam semua solatmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seni Dakwah:

1. Rasulullah SAW berhadapan dengan mad’u yang telah dewasa, iaitu mad’u yang memiliki ciri-ciri:
a. Yang telah mencapai kematangan berfikir.
b. Yang telah memiliki persepsi dan amalan kebiasaan yang kukuh serta dominan pada dirinya, sehingga agak sukar bagi seorang da’i untuk menyesuaikan persepsi dan amalan kebiasaannya itu dengan ajaran Islam sebenar.
c. Mad’u, apabila meningkat umur, sukar untuk belajar dan mengingati sesuatu pengajaran baru dengan cepat.

2. Perilaku baginda terhadap orang dewasa berbanding remaja/pemuda adalah berbeza:
a. Bagi mad’u remaja/pemuda (seperti yang dapat dapat difahami daripada hadits-hadits sebelum ini), baginda mengajak mad’u untuk duduk dekat atau hampir dengan baginda.
b. Manakala bagi mad’u yang sudah dewasa, baginda menyuruhnya kembali ke tempatnya yang agak berjauhan dengan baginda.

3. Dalam mendidik orang dewasa, baginda memberikan ruang dan jarak yang agak jauh sedikit berbanding dengan golongan remaja/pemuda. Antara hikmahnya ialah:
a. Baginda tidak mahu mendominasikan pentas da’wah apabila berhadapan dengan orang dewasa. Proses belajar bagi orang dewasa memerlukan ruang untuk berfikir sendiri, memahami sendiri dan membuat keputusan sendiri.
b. Baginda mahu mad’u baginda yang dewasa itu percaya kepada diri sendiri. Tidak mahu ia rasa dikongkong dan tertekan, bahkan memberi peluang kepadanya untuk mencari kesalahan-kesalahannya sendiri.

4. Baginda bersabar menunggu kesediaan hati mad’u untuk menerima pengislahan, ini dapat difahami dari kisah hadits di atas:
a. Lelaki itu mengulangi solatnya sebanyak tiga kali sehingga ia betul-betul bersedia untuk menerima nasihat daripada Rasulullah SAW.
b. Rasulullah SAW menunggu sehingga mad’unya berkata: ’allimni – yang bermaksud: ajarilah aku.

5. Baginda bersabar menunggu mad’u dewasa sehingga pintu hatinya benar-benar terbuka. Sebenarnya, orang dewasa tidak boleh tergesa-gesa ditegur. Sesungguhnya apabila hati telah benar-benar bersedia, maka penjelasan yang ringkas sudah boleh membawa perubahan.

6. Dalam hadits ini baginda tidak menjelaskan semua rukun solat kepada lelaki tersebut. Baginda hanya menjelaskan hal-hal yang baru dan belum diketahui. Pada umumnya orang dewasa tertarik kepada hal-hal yang baru dan belum diketahui. Dalam konteks hadits ini, antara perkara yang ingin dijelaskan oleh baginda (di samping beberapa perkara lain) ialah mengenai permasalahan toma’ninah – yakni berhenti sebentar antara beberapa rukun solah:
a. Toma’ninah semasa ruku’.
b. Toma’ninah semasa i’tidal.
c. Toma’ninah semasa sujud.
d. Toma’ninah semasa duduk antara dua sujud.

7. Baginda memberi fokus kepada beberapa kesalahan yang ketara sahaja, kerana tidak semua perkara boleh dicapai pada satu masa.

8. Pangajaran penting daripada hadits ini (dari sudut fiqh ad-daw’ah) ialah:
a. Mewujudkan kesediaan hati pada diri mad’u yang dewasa adalah penting agar da’wah dan tarbiyah berkesan.
b. Para penda’wah hendaklah bersabar menunggu zuruf yang munasabah untuk memberi nasihat dan tidak boleh tergesa-gesa dalam berda’wah. Apabila telah ada zuruf munasabah, maka penda’wah tidak boleh lagi bertangguh-tangguh untuk berda’wah kepada mad’u.
c. Para penda’wah hendaklah menyesuaikan isi da’wahnya setara dengan kemampuan mad’u.


Rujukan utama:
Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...