Tuesday 31 December 2013

Jemaah Syurga


“Kami tidak mengganggu orang. Mengapa orang mahu marah-marah kepada kami?” kata seorang remaja yang ditegur oleh lelaki berusia.

“Daripada kamu berdua duduk di tangga ini mengira masa dan memerhatikan orang, lebih baik kamu berada di perpustakaan, di rumah, ataupun di surau.” Lelaki berusia itu masih belum mahu mengalah.

Kata orang muda perlu disanggah dengan kebenaran. Biar mereka jelas dan tahu seawalnya, sebelum mereka menjadi orang tua. Itu falsafah meluruskan orang, cara lelaki berusia.

Dua remaja itu tidak mengendahkan kata-kata lelaki itu. Lalu, ditinggalkan tempat itu dan mencari tempat lain. Esok adalah tahun baru, sudah tentu mereka mahu meraikan tahun baru di luar. Mereka melihat sambutan tahun baru lebih menggembirakan apabila bersama teman-teman.

Remaja itu mendengus marah apabila memikirkan nasihat percuma yang diterimanya. “Biar jauh daripada radio bocor yang tidak berhenti menyanyikan lagu nasihat di telinganya,” katanya kepada diri sendiri bagi meredakan amarah.

Lelaki berusia itu memerhatikan dua remaja itu melintasi jalan. Sebelum beredar, dia sempat berkata dengan suara yang kuat, “Jangan membazir masa, wajah muda kamu itu semakin tua setiap kali kamu berjalan!”

Mereka tidak pergi jauh. Dia hanya melintasi jalan dua hala, menuju kebahagian berhampiran sungai. Di situ, terdapat orang yang menjual makanan dan minuman ringan. Petang-petang sebegini adalah waktu lapar dan dahaga kepada mereka yang baru pulang dari pejabat. Turun sahaja daripada pengangkutan awam, mereka menuju ke seberang jalan satu lagi, bagi menukar kenderaan awam yang lain. Semua ini dilakukan bagi mengelakkan kesesakan.

Dua remaja itu memerhatikan gelagat manusia yang mundar-mandir di hadapan mereka. Lelaki, perempuan, muda, dan tua, semua berubah-ubah wajah pada pandangan mata. Mata mereka terhenti kepada lelaki yang tersenyum dan memandang.

Mereka sudah mula rasa tidak selesa.

“Ini seorang lagi penceramah yang mahu memberi nasihat. Radio bocor sudah beransur. Kali ini apa pula?” katanya.

Rakannya sudah mengibas-ngibas seluar dan berdiri, “Sebentar lagi, kita mendengar alunan kompang di telinga. Ayuh beransur.”

Lelaki itu semakin hampir ke arah mereka yang sudah bersedia bangun dari anak tangga yang diduduki. Mereka mengalihkan pandangan daripada lelaki itu.

“Ada hadiah untuk kamu berdua.” Lelaki itu menghulurkan sesuatu kepada mereka.

Remaja itu kemudiannya berbisik di telinga rakannya, “Duduk di tangga pun dapat hadiahkah?” soalnya sambil mata menjeling kearah hadiah yang berada di tangan lelaki itu.

Mereka tidak jadi melangkah dari tempat itu. Ini bukan satu lagi radio bocor yang mereka perlu dengar. Lelaki itu menghulurkan dua keping kad bertulis kalendar tahun baru.

Lelaki itu tidak lama di situ, kad yang dihulur disambut oleh mereka berdua. Tidak lama kemudian, kedua-duanya duduk kembali di tangga yang tidak putus dinaiki orang ramai.

“Sekadar kalendar, buang sahaja. Bukan kupon diskaun makanan segera,” kata seorang daripada mereka. Manakala, seorang lagi membelek tulisan di belakang kad kalendar tahun baru itu.

Dia berkata kepada rakannya, “Kad ini tidak boleh dibuang, perlu disimpan.”

Rakannya hairan dan bertanya, “Mengapa tidak?”

“Sudahkah kamu membaca ayat di belakang kad itu?”

Dia melihat tulisan di belakang kad. Lalu membacakan perlahan-lahan.

Ada orang merindui kamu,
Walau dia tidak pernah bertemu,
Kerana cinta dan kasihnya kepadamu,
Lalu, dia menyatakan rindu,
Dia bertanya di mana kamu,
Itu rindu Nabi Muhammad kepada dirimu,
Di hadapan sahabat-sahabat agung,
Dirimu masih menjadi sebutan di bibirnya,
Ada orang jauh menunggu dekat,
Mahu bertemu diri yang satu,
Jemaah syurga, itu adalah kamu.

Kedua-dua remaja saling berpandangan, melihat kad kalendar tahun baru yang mereka terima daripada pemuda yang entah dari mana datangnya. Kad kalendar itu menjadi mesej dalam diam kepada mereka.

“Ayuh kita berubah ke tempat lain. Keadaan di sini sudah semakin sesak,” ajak rakannya.

Rakan bertanya, “Kita mahu ke mana?”

“Ke tempat mereka yang mengalu-alukan kita menjadi Jemaah Syurga, walaupun mereka tidak kenal kita,” balasnya.

-2014-


Sunday 29 December 2013

Mujahid Kecil : Faris Audah

 

Kelihatan sekumpulan kanak-kanak kecil bermain-main di tengah padang. Mereka menunduk mengutip batu-batu kecil. Haura’ yang memerhatikan tingkahlaku kanak-kanak tersebut mula berasa curiga.

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”

Batu-batu kecil yang berada di genggaman mereka dilemparkan jauh. Nyaris mengenai tubuh Haura’ yang sedang menuju ke arah mereka. 

“Berhenti!” salah seorang daripada mereka bersuara. Memandang ke arah Haura’. Serba-salah.

Haura’ pada mulanya mengetap bibir mula mengukirkan senyuman. Lintasan hati. As-syahid Faris Audah. Ya, mujahid kecil Palestina bersenjatakan batu-batu kecil yang tidak pernah gentar melawan Israel. As-Syahid Faris Audah, mempunyai kenangan tersendiri di dalam hidup Haura’. Mujahid kecil yang memperkenalkan Haura’ tentang erti sebuah perjuangan membebaskan bumi Palestina suatu ketika dahulu…

“Ya Allah, moga Kau lahirkan lebih banyak lagi Faris Audah untuk Deen ini.” Bisik Haura’ di dalam hati.


***********

Faris Audah ialah seorang remaja yang baru berumur 13 tahun yang tinggal di tengah Bandar Gaza, di Palestin. Namanya menjadi sebutan semasa dia masih hidup lagi, apatah pula setelah beliau kembali ke hadrat Ilahi. Ini adalah disebabkan keberanian beliau melawan tentera Israel yang berkereta perisai tanpa merasa takut dan gentar walaupun hanya bersenjatakan batu-batu kecil.

Pagi-pagi lagi, Faris, seperti remaja lain akan ke sekolah untuk belajar. Selepas pulang di waktu petang, dia akan bersama-sama kawannya mengutip batu kerikir untuk membaling tentera-tentera Yahudi yang bersembunyi di dalam kereta perisai. Farislah yang paling terkenal di kalangan tentera musuh Allah itu kerana keberaniannya berbanding rakannya yang lain, kerana dia akan sentiasa berada di depan sekali semasa merejam batu ke arah tentera zionis itu.

Sehinggakan pada suatu ketika fotonya dapat dirakam oleh pemberita luar negara untuk dimuatkan dalam majalah-majalah seperti News Week, Times dan seumpamanya dibawah tajuk Intifadhah dan sebagainya. Ia menunjukkan seorang remaja sedang membaling batu ke arah kereta berperisai di bawah rembang senja secara berseorangan dalam jarak yang dekat, menunjukkan keberaniannya..

Faris sememangnya seorang yang berjiwa besar dan bersemangat waja, kerana dia selalu mengingatkan ibu dan keluarganya bahawa Yahudi itu adalah musuh mereka dan musuh Islam. Faris berpesan supaya mereka sekeluarga terus berjuang menentang Zionis Israel untuk membebaskan bumi Palestin yang mereka cintai. Dia juga mengobarkan semangat di kalangan rakan-rakannya dengan mengajak mereka supaya terus merejami tentera Yahudi dengan batu dan supaya mereka jangan takut walaupun ramai kalangan rakan remajanya yang tercedera ditembak tentera.

Bagi Faris, satu-satunya cara yang ada untuk menentang Yahudi pada masa itu yang masih digeruni tentera Yahudi itu ialah dengan menggunakan batu. Ramai tentera Yahudi yang cedera dibalingi batu, serta buta mata mereka bila terkena batu berbisa remaja-ramaja Islam dan sebagainya.

Faris pernah kelihatan dirakam di dalam lensa kamera seorang wartawan sedang mengejar seorang tentera Yahudi yang lari bertempiaran takut dibalingi batu beracun Faris itu. Faris mulanya dikejar, tapi bila dia dapat mengutip batu dan membalingi tentera itu sekali, tentera itu lari. Dia pula yang mengejar dan berjaya mengenai sasarannya. Biasanya apabila ada rakannya yg tertembak dan luka, Faris dan rakannya akan mengejarkannya ke ambulan Palestin yg sentiasa tersedia menanti di sekitar tempat mereka merejam itu. Kecederaan seperti itu biasa berlaku, dan ramai rakannya hanya cedera ringan dan pulih semula.

Pada suatu hari minggu yang cerah, Faris telah keluar dari rumahnya tanpa memberitahu ibunya. Dia terus mencari beberapa rakannya dan menghala ke tempat biasa untuk membalingi tentera Zionis di dalam kereta berperisai. Hari itu dia kurang bernasib baik kerana setelah melontar beberapa biji batu Faris telah ditembak oleh tentera di dadanya. Rakan-rakannya tidak menyedari dengan segera saat tumbangnya Faris ke bumi. Setelah disedari beberapa ketika, mereka mendapati Faris terbaring di tanah dan cuba menyedarkannya. Ternyata dia terlalu lemah dan hampir pengsan dengan darah mengalir keluar dari tempat lukanya di dada. Mereka terus berlari mengusungnya dan mengejarkannya ke ambulan terdekat. Sampai di hospital, dia telah disahkan mati kerana peluru itu menembusi jantungnya, organ yang paling kritikal di badan manusia..

Sementara itu ibu Faris mencarinya di bilik dan mendapatinya hilang. Beliau risau kerana Faris tidak makan dan pergi tanpa memberitahunya ke mana tujuan. Setelah resah menanti kepulangan anaknya sekian lama, beliau di datangi rakan anaknya dan diberitahu apa yang terjadi. Betapa hancur luluh hati ibu Faris bila mengetahui Faris telah syahid dan pulang rahmatullah. Beliau terkilan kerana Faris tak sempat berjumpa dengannya hari minggu itu dan memberikan pelukan dan kata-kata terakhir. Walaupun begitu beliau redha dengan kehendak Allah. Airmata sahaja yang menjadi penawar lukanya. Faris meninggalkan ibu dan adik lelakinya buat selama-lamanya. Beliau mengikut jejak ayahnya yang telah juga pergi selamanya menemui Ilahi.

Pada petang itu, jalanraya di Gaza menyaksikan beratus-ratus orang lelaki Palestin yang mengiringi jenazah seorang remaja Palestin yang syahid di atas usungan ke tanah perkuburan. Jenazah itu tidak dimandikan kerana Faris ialah seorang yang syahid. Sehelai kain putih biasa sahaja yang menutupi badannya yang kurus dan kerdil itu. Walaupun kerdil, Faris diberi penghormatan luarbiasa berbanding remaja mahupun orang dewasa lain yang terkorban dalam intifdhah kerana dia sememangnya seorang yang sangat berjiwa waja sewaja jiwa Umar Al Khattab apabila menghadapi musuh Allah. Semua orang kenal apabila di sebut nama Faris, remaja yang tidak tahu takut pada Zionis itu. Semoga Allah menerimanya sebagai seorang syuhada' yang sejati.

Selepas kejadian sedih itu, ibu Faris sering ke sekolah anaknya untuk bertemu dangan rakan-rakannya. Rakan-rakan Faris semua tidak dapat melupakannya sehinggakan mereka masih mengosongkan tempat duduk Faris di di dalam kelas. Ibu Faris terhibur juga apabila dapat bertemu dan berbual dengan rakan-rakan anak kesayangannya itu.

Itulah kisah Faris, suatu kisah benar seorang remaja yg dirakam di dalam vcd Anak-Anak Palestin Pengukir Sejarah (dengan darah). Itu adalah sumbangan Faris untuk Islam dan pembebasan Palestin. Apakah sumbangan kita pula. Marilah kita berazam untuk membantu mereka sedaya yang mampu kerana Palestin adalah kiblat kita yang pertama dan Allah sememangnya menyuruh kita membela dan memeliharanya dari tangan zionis dan kafirun sehingga hari kiamat. Siapa yang berjaya memiliki tanah mulia itu, merekalah yang akan menguasai dunia. Apakah kita tidak mahu Islam terus memiliki tanah suci itu demi menguasai dunia dan mengimarahkan dunia dengan Deen Allah, Al-Islam?


Monday 23 December 2013

Kupu-Kupu



Kupu-kupu tidak akan pernah tahu apa warna sayap mereka
tapi orang-orang tahu betapa indahnya mereka.

Seperti juga dirimu…
Engkau tidak tahu betapa indahnya dirimu
tapi Allah tahu betapa istimewanya dirimu di mata-Nya.

Iaitu…
Ketika engkau tunduk dalam syariat-Nya
redha atas takdir-Nya.
tersenyum dalam musibah.
tegar dalam ujian.
teguh dalam pendirian.

Subhanallah…
Semoga kita semua termasuk dan yang terpilih
menjadi hamba yang terindah di mata-Nya.

Bersungguhlah dalam mencari
dan terus mencari cinta Illahi...



Tuesday 17 December 2013

Keistimewaan Ahli Al-Quran


Syafaat 10 anggota keluarga ke Syurga
Daripada Ali Bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda, maksudnya : “Barangsiapa membaca Al-Quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkanya ke dalam syurga dan memberi hak syafaat kepadanya untuk sepuluh anggota keluarganya, mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk syurga.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi)

Berada dalam rahmat Allah
Daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari Al-Quran, kecuali mereka akan dikelililngi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yang di langit).” (Riwayat Muslim, At-Tirmizi, Ibnu Majah & Abu daud)

Diberi ganjaran pahala mengikut setiap huruf yang dibacanya
Daripada Abdullah Bin Mas’ud r.a, katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka dia akan memperolehi  pahala satu kebajikan dan setiap satu pahala itu digandakan sepuluh kali. Aku tidak mengatakan bahawa “alif lam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf.” (Riwayat at-Tarmizi)

Dianggap sebagai keluarga kesayangan Allah
Disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, daripada Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga  di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka itu wahai Rasulullah saw? Jawab baginda : Mereka adalah keluarga Allah dan orang istimewa bagi-Nya.”(Riwayat Ibnu Majah, Ad-Darini, Al-Hakim dan An-Nasaie)

Al-Quran sendiri akan memberi syafaat kepada pembaca dan penggemarnya di hari kiamat
Dari Abi Umamah ra. Katanya  : “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan datang menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada tuannya.” (Riwayat Muslim)

Dipakaikan makhota pada hari kiamat
Daripada Mu’az bin Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah yang ada di dunia. Maka apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang yang membacanya sendiri?” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)


Monday 16 December 2013

Doa-Doa Kasih


Diceritakan oleh Al Habib Ali Al-Hamid (hafidzullah),

Suatu ketika Rasulullah s.a.w berdoa kepada Saidatina Aisyah r.a,
"Ya Allah, ampunkan dosa Aisyah yang dahulu dan yang kemudian, yang nampak dan yang tidak nampak."

Mendengar doa baginda s.a.w, Saidatina Aisyah r.a. berasa amat gembira dan berbunga-bunga hatinya kegembiraan. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya kepada Saidatina Aisyah r.a,
"Adakah kamu gembira dengan doaku tadi?"

Saidatina Aisyah r.a. mengiyakannya dengan hati yang gembira. Lalu baginda s.a.w bersabda,
"Doa inilah yang selalu aku ungkapkan untuk umatku setiap malam."

Inilah ungkapan doa Rasulullah s.a.w setiap malam menangis memohon supaya diampunkan dosa umatnya.

Kata Syeikh Nuruddin Al-Banjari,

"Sepatah kata doa baginda s.a.w kepada seseorang saja sudah dapat membahagiakan orang yang didoakannya itu."


Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad..


Friday 13 December 2013

Warkah Dari Syria


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani, aku memulakan kalam.

Sahabatku…

Bagaimana keadaanmu di tanah airmu yang tenang dan damai sekarang ini? Maaf sudah lama aku tidak mengirim khabar buatmu, lantaran keadaanku yang genting di sini. Aku baru membuka dan membaca kiriman emelmu yang dihantar pada enam bulan lalu.

Hari ini aku rasa terpanggil untuk mengirim emel buatmu. Mungkin ini yang terakhir dariku buatmu. Aku begitu terharu bila membaca emelmu bertanyakan keadaanku, saudara-saudaraku, juga tanah airku. Aku merasakan ikatan akidah inilah yang menjadikan kita begitu prihatin dan saling bersatu walaupun kita berbeza bangsa dan negara.

Untuk pengetahuanmu, aku sekarang sudah menyertai Tentera Pembebasan Syria yang berperanan untuk menewaskan serta melumpuhkan kekebalan tentera rejim Basyar Asad. Pelbagai detik hitam yang sudah merompak kebahagiaan sementaraku, telah kulalui dalam diari kehidupanku. Segalanya tercatat kemas.

Sahabatku,

Aku sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berkenalan denganmu di bumi Asia yang nyaman dan tenteram. Sungguh, begitu banyak yang aku pelajari ketika kita bersama-sama menuntut ilmu. Sangat cantik perancangan Allah yang menghantar diriku ke bumi Indonesia yang kaya dengan seni warisan Islamnya. Bertemu denganmu yang banyak mengajarku erti ketabahan merupakan kenangan indah buatku. Kita sama-sama bermusafir di bumi orang.

Tetapi, perjuangan aku memburu syahid kini, lebih indah nikmatnya. Aku tidak lagi gerun dengan senjata canggih yang merobek tubuh manusia. Malah, aku lebih rela ditembusi pelurunya. Syahid di jalan Allah,menjadi impianku sekarang.

Sahabatku…

Ketika aku menulis warkah ini, jiwaku telah diselubungi kedukaan. Kedukaan yang hanya sementara keperitannya menanti kemanisan kehidupan akhirat. Aku sekarang sudah menjadi yatim.

Lima bulan lepas, setelah usai menunaikan solat Jumaat, kami beramai-ramai ke dataran untuk mengadakan demonstrasi. Ayahku sebagai seorang imam, terus mara ke hadapan untuk membangkitkan semangat kami semua. Para pemuda. Ayahku berwasiat agar kami semua tidak gentar dengan ancaman rejim Basyar. Beliau sendiri mengatakan bahawa beliau rela ditembusi peluru daripada menunduk kepada kerajaan. Seolah mengetahui bahawa ajalnya tidak lama, ayahku meminta agar kami tidak menangisi kepemergiannya. Setelah melaungkan TAKBIR, kepala ayahku terus menjadi sasaran peluru rejim Basyar. Bukan sekali, malah, berdas tembakan dilepaskan. Beberapa orang yang lain turut cedera dan syahid. Aku tergamam, lantas jatuh terduduk.

Tentera pengganas tanpa belas, mengheret jasad ayahku, lalu, dikerat-kerat di hadapan kami semua. Aku sudah tidak mampu melihatnya. Jiwaku meronta hebat. Aku kemudian memeluk adik lelakiku, berharap agar dia dapat bersabar. Sungguh kejam rejim basyar memperlakukan kami. ‘Bersabarlah ayahku..sesungguhnya syurga menantimu’, itulah kata-kata yang mampu kulafazkan. Hanya di dalam hatiku sahaja. Tidak cukup dengan itu, kepingan-kepingan tubuh ayahku digilis dengan jentera mereka. Sehingga tidak dapat dikenalpasti lagi anggotanya. Aku pasti akan menuntut atas perbuatan tidak berperikemanusiaan mereka.

Selepas peristiwa kesyahidan ayahku, kami dikejutkan pula dengan pencerobohan rejim Basyar di rumah abangku. Kakak iparku dirogol dengan kejamnya di hadapan abangku sendiri. Anak perempuannya yang masih kecil disepak dan diperlakukan seperti binatang. Sehingga hancur badannya dikerjakan mereka. Abangku sendiri, diikat badannya dan mereka melakukan sewenang-wenangnya terhadap anak dan isterinya. Dia hanya mampu melihat dengan geram. Kaki abangku ditembak. Mata sebelah kirinya juga dirobek. Akhirnya, kakak iparku menemui ajal setelah kandungannya dirobek dan janin yang dikandungnya dibakar.

Mereka sudah berjaya membuat jiwa abangku terseksa. Tetapi,mereka tidak tahu bahawa itulah Syurga bagi mukmin yang merindui syahid di jalan Allah. “Basyar, Kau tunggulah pembalasan kami! Allah lebih tahu apa yang terbaik untukmu kalau bukan Neraka sahaja yang layak buatmu!” Itulah sumpah abangku.

Suatu hari, aku bersama mujahidin yang lain, bertungkus lumus meng’update’ status dan meng’upload’ video-video terkini siri pembunuhan rejim Basyar terhadap saudara-saudara kami untuk dikongsikan bersama saudara-saudara seluruh dunia. Operasi kami bermula sejak seminggu sebelumnya, di mana kami menjadikan rumah Yaser,sahabatku sebagai markaz operasi kami. Alhamdulillah, Allah memberi kami kelebihan dan kepakaran dalam ICT yang direka cipta oleh mereka yang bukan Islam. Sebagai Muslim, aku memanfaatkan segala teknologi untuk keuntungan Islam. Satu pesananku, janganlah terpedaya dengan teknologi yang pada dasarnya dicipta adalah untuk menjatuhkan Islam, sebaliknya, gunakanlah teknologi supaya bermanfaat untuk Islam. Segala video yang diambil, kami kumpulkan. Ini juga merupakan salah satu medan jihad kami. Kerja-kerja kami dijalankan dengan sebaiknya seperti yang dirancangkan.

Sehinggalah ammu Khaled datang dan memberitahu bahawa rumahku diceroboh rejim Basyar. Aku seperti orang bodoh saat itu. Aku tergamam. Dalam fikiranku Cuma ada wajah ibu, adik lelakiku juga abangku yang buta dan lumpuh. Lantas ingatanku kembali mengingatkan perbualanku bersama adik sebelum aku keluar dari rumah.

 “Abang, kalau ini adalah pertemuan terakhir kita, Umar sudah bersedia. Selamat berjuang abang. Umar akan tunggu abang di Syurga,” ujar adikku seolah mengetahui syahid sedang menantinya. Aku terus bangun untuk pulang ke rumah.

Rumahku sudah digeledah. Habis berselerakan perabot-perabot di rumah. Keadaannya kucar-kacir. Di suatu sudut, aku terlihat tubuh kecil terbaring di situ. Aku menghampiri. Masya Allah. Badanku terus jatuh tersujud ke bumi. Wajah adikku masih elok tersenyum walaupun kepalanya sudah hancur dimakan peluru. Perutnya juga dirobek sehingga menampakkan usus-usus perutnya. Aku sudah tidak sanggup menatap lama keadaan adikku yang begitu menyanyat hati. Hanya Syaitan sahaja yang sanggup memperlakukan kanak-kanak yang tidak berdosa seperti ini. Aku melihat ke belakang. Terdapat dua susuk tubuh yang amat aku kenali. Tubuh abangku sudah berlubang-lubang, entah berapa banyak peluru yang mendarat di tubuhnya. Di sebelah abang, kelihatan badan ibuku yang telah terpisah daripada kepala. Ibuku sudah dipenggal kepalanya. Aku sudah tidak mampu untuk berdiri. Apakah dosa yang telah ibuku lakukan? Aku mengenali ibuku sebagai seorang isteri yang solehah. Isteri kepada seorang Ismail al-Majeed yang digeruni rejim Basyar. Ibuku juga seorang ibu yang mithali. ‘Mereka belum kenal lagi siapakah Yusuf anak kepada Ismail al-Majeed. Tunggu saja!’.

Setelah seluruh keluargaku sudah menjadi mangsa korbanan, aku tidak dapat berdiam diri. Hak aku, aku perlu tuntut. Tiada sehari dalam hidupku berlalu dengan sia-sia. Setiap masa aku manfaatkan sebaiknya. Aku dan para ikhwan yang lain sudah merencanakan satu strategi terbesar. Kami sudah berjaya untuk mencipta sejenis senjata manual yang terhasil daripada alatan-alatan yang terpakai. Saat ini aku teringatkan sebuah hadith Rasulullah SAW, daripada Muawiyah R.A.- Rasulullah SAW bersabda, : “Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Ta’ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari Kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia”.

Hadith ini telah memberi kekuatan dan semangat buatku dan para mujahid untuk terus kekal berjuang. Kami terasa dimuliakan Allah, bila Allah memilih kami untuk merasai perjuangan JIHAD yang sebenar, bahkan kami dikurniakan kemuliaan dengan SYAHID.

Sahabatku,

Doakan kejayaanku untuk memburu syahid. Esok, aku dan para mujahidin akan melancarkan serangan balas kami terhadap rejim Basyar bermula di Baba ‘Amru seperti yang kami rancangkan.

Sahabatku, kami di sini tidak meminta kau dan saudara-saudaramu untuk datang berjuang mengangkat senjata di sini. Tetapi, jika kalian mampu untuk berbuat demikian, kami sangat-sangat mengalukan. Apa yang kamu harapkan, cukuplah sekadar doa dan keperihatinan kalian terhadap penderitaan kami di sini. Sokongan moral daripada kalian untuk menaikkan semangat jihad kami amat kami perlukan. Apa yang penting adalah kita semua umat Islam bersatu di atas satu kesatuan dan kita saling menguatkan.

Sekarang, bukan masanya untuk kita sekadar mengetahui pergolakan di sini tapi, kalian perlu memahaminya juga. Bukan masanya juga untuk kita meletakkan segala penderitaan itu hanya kepada rakyat Syria atau orang-orang tertentu untuk memikirkan dan menyelesaikannya. Malah, kalian patut mengatur strategi dan perancangannya, walaupun hanya sekadar berkongsi dan menyebarkan maklumat tentang penindasan rejim Basyar terhadap umat Islam Sunni. Ayuh sahabatku, bangunlah dan serulah kepada saudara-saudaramu di sana agar bersatu atas dasar akidah dan pegangan kita. Sama-sama kita bersatu untuk kemenangan Islam.

Sekali lagi aku ingatkan, agar kau tidak lupa untuk mendoakan kami di sini. Doakan untuk kesejahteraan agama kita. ISLAM. Jangan lupa untuk menyebarkan segala maklumat tentang kezaliman rejim Basyar di alam maya juga. Itulah kekuatan kita sekarang. Biar dunia seluruhnya tahu kezaliman penganut Syiah Nusairiyah ini. Aku mengharapkan agar kita dapat membina kesatuan dan bersama-sama menumbangkan musuh. Untuk terakhirnya, aku ingin untuk berkongsi sebuah hadith Rasulullah SAW agar sama-sama kita meneliti maksudnya.

Rasulullah SAW bersabda : “ Suatu hari nanti kamu akan dikerumuni musuh, sebagaimana  semut mengerumuni makanan”.

Sahabat-sahabat bertanya : “Apakah ketika itu kami sedikit ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab : “Tidak. Bahkan kamu ramai. Tetapi hanya seperti buih di lautan”.

Semoga hadith ini membuat kau rasa bersemangat untuk sama-sama membantu kami di sini agar kita tidak menjadi seperti buih-buih yang nampak banyak tetapi, hilang selepas dipegang. Anggaplah juga ini sebagai wasiat terakhirku buatmu.

Akhir kata, aku mengharapkan agar kau terus berkekalan dalam semangatmu sebagai seorang pejuang agama Allah. Moga nanti kita ditemukan di syurga. ‘Bercita-citalah untuk Syahid ,wahai sahabatku!’


Pemburu SYAHID,
Yusuf Ismail al-Majeed



Tuesday 10 December 2013

Titian Sirat Fatimah


Bismillahirrahmanirrahim..

Wahai puteri-puteri dan wanita mukminah. Siapakah yang kamu ikuti untuk dijadikan contoh? Apakah kamu mengikuti orang kafir, nasrani dan para wanita yang jauh dari jalan ALLAH?

Wahai wanita, janganlah kamu berpakaian dengan pakaian yang ketat dan menampakkan bentuk tubuh. Jangan bangga dengan semua itu kerana ianya penyebab kemurkaan ALLAH! Ini buktinya sirah Saidatina Fatimah Az-Zahra telah terhapus dari hatimu. Dan ingatlah di hari akhirat nanti seluruh manusia, sejak awal penciptaan hingga akhir, akan menundukkan kepalanya saat baginda melalui titian sirat. Baginda akan berjalan bak cahaya yang bersinar terang. Ketika dipadang mahsyar, akan terdengar suara dari Arasy ALLAH,

''Wahai manusia, tundukkan kepala kamu dan pejamkan mata kamu kerana Fatimah Binti Muhammad akan melalui titian sirat ''

Apakah kamu tidak ingin berada di belakang baginda, melalui di titian bersama baginda dan mengikuti baginda? Kamu telah menukar baginda dengan yang lainnya.

Ketika Rasulullah saw bertanya kepada puteri tercintanya Saidatina Fatimah Az-Zahra, ''Wahai puteriku Fatimah, apakah yang terbaik bagi wanita?''

Saidatina Fatimah Az-Zahra menjawab, ''Yang paling baik bagi wanita adalah dia tidak melihat dan dia tidak dilihat oleh lelaki.''

Wahai Mukminah, ingatlah kerana peringatan itu sangatlah bermanfaat. Jauhilah adat-adat yang fana dan dimurkai oleh Allah, jauhilah sifat menunjuk-nunjuk. Sebagaiman dalam hadis, Rasulullah saw bersabda,

''Barangsiapa yang memakai pakaian untuk dipamerkan, maka di akhirat nanti akan dihina oleh ALLAH.''

Selawat ke atas Nabi Muhammad saw..

(Dipetik dari ceramah Al-Habib Umar, Indonesia)


Monday 2 December 2013

Romantisme Dakwah Kampus

 

Dua tahun silam, masih teringat tajam kisah perjalanan sekelompok manusia yang mewakafkan dirinya untuk umat. Kisah manusia pilihan yang hidup untuk memperbaharui peradaban.

Mereka dipersatukan sejak awal masuk kampus, namun ada juga yang datang kemudian. Mereka belajar bersama, mereka berjuang sama, mereka bergerak bersama, dalam satu cita, Islam.

Perjalanan dakwah tak selamanya dihiasi ukhuwah yang indah, terkadang adakalanya timbul pertengkaran kecil, kadang hadir cinta dan persahabatan yang kekal. Semua kejadian, semua masalah, semua konflik antara aktivis dakwah, bukan menandakan dakwah menghancurkan ukhuwah, justeru dakwah ini telah mengeratkan ukhuwah.

Di tengah perjalanan masa perkuliahan, ketika tanggungjawab dan amanah sudah waktunya diberikan, mereka pun dengan semangat memilih jalan masing-masing, ada yang memilih jalur siyasah, ekonomi, LDK dan lain- lainnya baik yang internal ataupun eksternal.

Sejak saat ini, mereka mempunyai tugas dan peranan yang berbeza, meskipun tetap berada pada halaqah yang sama.

Roda perjalanan pun berputar seiring zaman. Berbagai masalah dan konflik mulai berdatangan. Inilah ujian keimanan dan tujuan kita dipertemukan dengan tarbiyah.

Ketika ukhuwah mendapat ujian, mulailah timbul ketidakpercayaan, ketika agenda-agenda dakwah berantakan dan saling bertabrakan, mulailah mereka saling menyalahkan. Ketika banyak tentangan dan ujian, tidak sedikit mereka berjatuhan, mengundur lantas menghilang dari pentas dakwah.

Ketika halaqah, yang seharusnya menjadi perbincangan solusi, memperbaiki dan menyatukan arah dakwah, digunakan sebagai perdebatan, halaqah yang biasanya dipenuhi cinta dan ketenangan, berubah menjadi tangis dan kekacauan.

Perbezaan yang sebenarnya kecil, berubah menjadi besar dan berujung konflik antara lembaga dalam menentukan arah dan strategi dakwah.

Namun sekali lagi, ini bukanlah kehancuran, kerana pada hakikatnya, ini adalah proses menuju kedewasaan dalam mengelola perbezaan.

Dakwah kampus memang memiliki keunikan, dinamis dan memiliki kompleks yang sangat tinggi. Maka, tidak hairan jika permasalahan dan tentangan juga tinggi dan beragam. Namun, di sinilah letak dari proses pembelajaran, pendewasaan dan persiapan yang matang sebelum terjun ke masyarakat.

Pertengkaran kecil itu akan menjadi kenangan yang sulit dilupakan, menjadi perekat yang sangat kuat dalam persaudaraan. Menjadi sebuah kerinduan.

Dan akhirnya, kelulusan seakan menjadi akhir dari perjalanan, mereka mulai berpisah, ada yang tetap istiqamah melanjutkan dakwah dan tarbiyahnya, baik di kampus atau di masyarakat, namun ada juga yang berhenti dari dakwah dan tarbiyah, dan memilih jalannya sendiri.

Itu semua pilihan, yang pasti romantisme dakwah kampus telah membuat mereka dewasa, mempererat ikatan hati mereka, mengekalkan cintanya, bertemu dalam ketaatan, bersatu dalam perjuangan.

Semoga Allah membimbing, memberi keistiqamahan dalam langkah mereka, dalam jalan mereka, mengekalkan cinta mereka, memberikan azam dan tekad dalam dakwah dan tarbiyahNya, dan mempersatukan mereka di dunia dan di syurgaNya.


Sunday 1 December 2013

Mueeza Kesayangan Nabi

(gambar hiasan)

Ramai yang suka memelihara dan menyayangi kucing. Tahukah kita bahawa Nabi Muhammad saw memiliki seekor kucing kesayangan yang Baginda namakan ‘Mueeza’.

Setiap kali Rasulullah saw menerima tetamu di rumah, Baginda selalu mengendong Mueeza dan diletakkan di atas paha Baginda. Salah satu sifat Mueeza yang paling Rasulullah saw suka ialah Mueeza selalu mengiau sewaktu mendengar azan, seolah-olah bunyi suaranya seperti mengikuti alunan suara azan tersebut.

Pernah berlaku suatu kejadian ketika Rasulullah saw hendak mengambil jubahnya, ternyata Muezza sedang tidur dengan santai di atas jubah Baginda. Oleh kerana tidak ingin mengganggu kucing kesayangannya itu, Rasulullah saw pun memotong bahagian lengan jubah Baginda yang dibaringi oleh Mueeza dari supaya tidak membangunkan Muezza.

Ketika Baginda pulang ke rumah, Muezza terbangun dan menundukkan kepala kepada tuannya. Rasulullah saw menunjukkan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing itu.

Nabi menekankan bahawa kucing itu tidak najis. Bahkan dibenarkan untuk berwudhuk menggunakan air bekas minum kucing kerana dianggap suci. Abu Qatadah Ra. berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, “Kucing itu tidak najis. Ia adalah termasuk haiwan yang suka berkeliaran di rumah (haiwan pemeliharaan).” [HR At-Tirmidzi, An-Nasa’I, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah].

Rasulullah saw juga berpesan supaya menyayangi kucing kesayangan sebagaimana kita menyayangi keluarga sendiri. Aisyah binti Abu Bakar As-Shiddiq, isteri Rasulullah saw juga amat menyayangi kucing dan berasa amat kehilangan jika ditinggal pergi oleh kucingnya. Beberapa orang terdekat Nabi turut memelihara kucing. Abdul Rahman bin Sakhr Al Azdi. diberi gelaran Abu Hurairah (bapa para kucing jantan), kerana kegemarannya menjaga dan memelihara berbagai jenis kucing jantan dirumahnya.

Hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan ini sangatlah berat, dalam sebuah hadis sahih Al-Bukhari, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya dan tidak pula melepas kucingnya untuk mencari makan sendiri, Nabi saw pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah seksa neraka.

Abdullah bin Umar ra. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Seorang wanita diseksa kerana mengurung seekor kucing sampai mati. Kemudian wanita itu masuk neraka kerananya, iaitu kerana ketika mengurungnya dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum sebagaimana dia tidak juga melepasnya mencari makan dari serangga-serangga tanah.” [Hadis Riwayat Muslim r.a.]


Thursday 28 November 2013

Kisah Perjuangan


Ketika Salahuddin Al-Ayubbi masih kecil, beliau bermain dengan kanak-kanak yang lain di jalanan. Ayahnya telah melihatnya, lantas mengambilnya keluar dari tengah-tengah kumpulan kanak-kanak itu. Lalu ayahnya menjulang tinggi Salahuddin dengan kedua belah tangannya.

Ayahnya seorang lelaki yang berbadan tegap berkata:
“Aku menikahi ibumu dan ibumu melahirkanmu bukan untukmu bermain-main dengan kanak-kanak yang lain. Akan tetapi, aku menikahi ibumu dan ibumu melahirkanmu adalah supaya kamu MEMBEBASKAN MASJIDIL AQSA!”

Kemudian ayahnya pun melepaskan Salahuddin dari tangannya dan Salahuddin pun jatuh ke tanah.

Ayahnya melihat wajah anaknya dan tahu bahawa anaknya itu sedang menahan kesakitan.

Lantas ayahnya bertanya: “Sakitkah jatuh tadi?”

Salahuddin menjawab: “Sakit..”

Ayahnya bertanya lagi: “Habis, kenapa tidak meraung kesakitan?”

Salahuddin membalas: “Tidak wajar bagi seorang yang bakal membebaskan Masjidil Aqsa itu berteriak / meraung kesakitan.”

“Bagaimana mungkin untuk aku ketawa sedangkan Masjid al-Aqsa masih berada di bawah cengkaman musuh”. - Salahuddin Al-Ayubbi

Subhanallah..


Monday 18 November 2013

Pesanan Ayahanda


Wahai anakku,
Satu ketika dulu, engkau tercari-tercari makna kegembiraan. Di mana boleh mencari kegembiraan, engkau bertanya.

Aku membawamu ke satu hutan kecil, lalu diberikan kamu satu sudu dan dua titik minyak di atasnya. Aku menyuruhmu merentas hutan tersebut dan pastikan dua titik minyak itu tidak tertumpah.

Wahai anakku,
Selepas sejam, engkau kembali dengan sudu dan dua titik minyak yang masih tidak tertumpah. Aku bertanya, nampak tak ada sarang tebuan yang cantik di tengah hutan?

Engkau perasan tak ada sebuah rumah atas pokok di belah kanan jalan rentas hutan itu? Perasan tak di tengah hutan, aku gantungkan satu papan kata doa di tengah jalan?

Engkau tertunduk malu. Aku menyuruhmu kembali ke hutan melihat semua yang diceritakan aku.

Wahai anakku,
Selepas sejam, engkau kembali. Kamu berkata kamu berjaya melihat semua yang disuruh. Aku bertanya di mana dua titik minyak itu. Engkau tidak sedar dua titik minyak yang diberi sudah tertumpah.

Engkau tertunduk malu lagi. Lalu, masihkah kamu ingat kata-kata aku sewaktu itu?

“Kegembiraan ialah boleh menikmati apa yang ada di dunia tanpa melupakan dua titik minyak di atas sudu. Sebagaimana hidup kita, kita boleh sibuk dengan pelbagai perkara duniawi, tapi jangan tiada masa dengan Allah dan jangan tinggal Quran tidak dibaca melebihi tiga hari.”

Wahai anak kesayanganku, sekiranya kamu menemui kebuntuan di dalam hidupmu, ingatlah cerita ini. Diharap ini dapat memberikan jawapan kepada segala masalah hidupmu tatkala aku tiada lagi untuk menceritakannya kepada kamu.

Senyum. 


Saturday 16 November 2013

Menangislah Wahai Diri


Detik waktu
kelahiran seorang bayi dihiasi tangis
nyaring berkumandang menyapa telinga ibu
lalu melonjak hati ibu
penawar sakit dan lesu

Lalu bermulalah sebuah kehidupann
yang bakal mewarnai bumi
berdakwatkan air mata

Hidup dimulakan oleh sebuah tangisan
dicelahi oleh tangisan
diakhiri dengan tangisan

Air mata manusia sentiasa dalam dua
yang menguntungkan atau merugikan
sabda Rasulullah SAW:
“Dua titisan air yang Allah cinta;
darah para syuhadak dan air mata kerana takutkan Allah.”

Ibnu Ataillah, seorang ahli sufi dan makrifah telah berkata:
“Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali.”
Seorang pendosa yang menangis kerana dosa
adalah lebih baik daripada abid yang berangan-angan
di syurga mana kelak ia akan ditempatkan

Ahli-ahli sufi sering mengingatkan :
“Kejahatan yang  diiringi oleh rasa sedih,
lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Air mata ada kalanya penyubur hati, penawar duka
Ada kalanya buih kekecewaan
yang menyempit perasaan
menyesak kehidupan

Penghuni Syuga adalah mereka
yang paling banyak dukacitanya di dunia
Nabi bersabda:
“Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat
Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia, akan gembira di akhirat.”
Nabi bersabda lagi:
“Jika kamu tahu apa yang akan aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Seorang hukama pernah bersyair:
“Aku  hairan dan aku pelik, melihat orang ketawa…
kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan,
lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal
takut-takut tidak diterima
sedangkan kita masih ketawa walaupun amalan tiada
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Siapa yang buat dosa dalam ketawa,
akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.”

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang
Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang
“Alangkah sempitnya kuburku,” ratap seorang abid.
“Alangkah sedikitnya hartaku,” keluh seorang hartawan.

Kita gembira yang kita idam-idamkan tercapai
kita menangis kalau yang kita cita-citakan terbarai
Nikmat disambut ria, ujian menjemput duka 
Namun Allah SWT telah berfirman:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
Padahal ia amat baik bagimu,
dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,
pada hal ia amat buruk bagimu.
Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah: 216)

Menangislah wahai diri
agar senyummu banyak di kemudian hari
kerana nasibmu belum pasti

Di sana nanti
lembaran sejarahmu
dibuka satu persatu

Menangislah seperti Sayidina Umar
yang selalu memukul dirinya
dengan berkata:
“Kalau semua manusia masuk ke syurga kecuali
seorang, aku takut akulah orang itu,”

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya:
Kenapakah engkau menangis?”
Jawabnya:
“Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar ke medan perang.”

Menangislah sebagaimana Ghazwan
yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan
Lalu diharamkan matanya dari memandang
ke langit seumur hidupnya

Ibnu Masud r.a. berkata:
“Seorang yang mengerti Al-Quran
dikenal waktu malam ketika orang lain tidur,
dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa,
sedihnya ketika orang lain sedang gembira,
dan tangisnya di waktu orang lain tertawa,
diamnya di waktu orang lain bicara,
khusyuk di waktu orang lain berbangga.
Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu tenang,
lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras,
kejam, lalai, bersuara keras dan marah.”

Tanyailah orang-orang soleh
mengapa mereka yang banyak menangis
Mereka akan menjawab:
“Bagaimana hendak gembira
Sedangkan mati itu di belakang kami,
kubur di hadapan, Qiamat itu janjian kami,
Neraka itu memburu kami dan
perhentian kami ialah Allah.”

Mereka menangis di sini
Sebelum menangis di sana
Dan kita bagaimana?

Menangislah
kerana kita tidak menangis
seperti mereka menangis…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...