Thursday 28 November 2013

Kisah Perjuangan


Ketika Salahuddin Al-Ayubbi masih kecil, beliau bermain dengan kanak-kanak yang lain di jalanan. Ayahnya telah melihatnya, lantas mengambilnya keluar dari tengah-tengah kumpulan kanak-kanak itu. Lalu ayahnya menjulang tinggi Salahuddin dengan kedua belah tangannya.

Ayahnya seorang lelaki yang berbadan tegap berkata:
“Aku menikahi ibumu dan ibumu melahirkanmu bukan untukmu bermain-main dengan kanak-kanak yang lain. Akan tetapi, aku menikahi ibumu dan ibumu melahirkanmu adalah supaya kamu MEMBEBASKAN MASJIDIL AQSA!”

Kemudian ayahnya pun melepaskan Salahuddin dari tangannya dan Salahuddin pun jatuh ke tanah.

Ayahnya melihat wajah anaknya dan tahu bahawa anaknya itu sedang menahan kesakitan.

Lantas ayahnya bertanya: “Sakitkah jatuh tadi?”

Salahuddin menjawab: “Sakit..”

Ayahnya bertanya lagi: “Habis, kenapa tidak meraung kesakitan?”

Salahuddin membalas: “Tidak wajar bagi seorang yang bakal membebaskan Masjidil Aqsa itu berteriak / meraung kesakitan.”

“Bagaimana mungkin untuk aku ketawa sedangkan Masjid al-Aqsa masih berada di bawah cengkaman musuh”. - Salahuddin Al-Ayubbi

Subhanallah..


Monday 18 November 2013

Pesanan Ayahanda


Wahai anakku,
Satu ketika dulu, engkau tercari-tercari makna kegembiraan. Di mana boleh mencari kegembiraan, engkau bertanya.

Aku membawamu ke satu hutan kecil, lalu diberikan kamu satu sudu dan dua titik minyak di atasnya. Aku menyuruhmu merentas hutan tersebut dan pastikan dua titik minyak itu tidak tertumpah.

Wahai anakku,
Selepas sejam, engkau kembali dengan sudu dan dua titik minyak yang masih tidak tertumpah. Aku bertanya, nampak tak ada sarang tebuan yang cantik di tengah hutan?

Engkau perasan tak ada sebuah rumah atas pokok di belah kanan jalan rentas hutan itu? Perasan tak di tengah hutan, aku gantungkan satu papan kata doa di tengah jalan?

Engkau tertunduk malu. Aku menyuruhmu kembali ke hutan melihat semua yang diceritakan aku.

Wahai anakku,
Selepas sejam, engkau kembali. Kamu berkata kamu berjaya melihat semua yang disuruh. Aku bertanya di mana dua titik minyak itu. Engkau tidak sedar dua titik minyak yang diberi sudah tertumpah.

Engkau tertunduk malu lagi. Lalu, masihkah kamu ingat kata-kata aku sewaktu itu?

“Kegembiraan ialah boleh menikmati apa yang ada di dunia tanpa melupakan dua titik minyak di atas sudu. Sebagaimana hidup kita, kita boleh sibuk dengan pelbagai perkara duniawi, tapi jangan tiada masa dengan Allah dan jangan tinggal Quran tidak dibaca melebihi tiga hari.”

Wahai anak kesayanganku, sekiranya kamu menemui kebuntuan di dalam hidupmu, ingatlah cerita ini. Diharap ini dapat memberikan jawapan kepada segala masalah hidupmu tatkala aku tiada lagi untuk menceritakannya kepada kamu.

Senyum. 


Saturday 16 November 2013

Menangislah Wahai Diri


Detik waktu
kelahiran seorang bayi dihiasi tangis
nyaring berkumandang menyapa telinga ibu
lalu melonjak hati ibu
penawar sakit dan lesu

Lalu bermulalah sebuah kehidupann
yang bakal mewarnai bumi
berdakwatkan air mata

Hidup dimulakan oleh sebuah tangisan
dicelahi oleh tangisan
diakhiri dengan tangisan

Air mata manusia sentiasa dalam dua
yang menguntungkan atau merugikan
sabda Rasulullah SAW:
“Dua titisan air yang Allah cinta;
darah para syuhadak dan air mata kerana takutkan Allah.”

Ibnu Ataillah, seorang ahli sufi dan makrifah telah berkata:
“Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali.”
Seorang pendosa yang menangis kerana dosa
adalah lebih baik daripada abid yang berangan-angan
di syurga mana kelak ia akan ditempatkan

Ahli-ahli sufi sering mengingatkan :
“Kejahatan yang  diiringi oleh rasa sedih,
lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Air mata ada kalanya penyubur hati, penawar duka
Ada kalanya buih kekecewaan
yang menyempit perasaan
menyesak kehidupan

Penghuni Syuga adalah mereka
yang paling banyak dukacitanya di dunia
Nabi bersabda:
“Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat
Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia, akan gembira di akhirat.”
Nabi bersabda lagi:
“Jika kamu tahu apa yang akan aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Seorang hukama pernah bersyair:
“Aku  hairan dan aku pelik, melihat orang ketawa…
kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan,
lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal
takut-takut tidak diterima
sedangkan kita masih ketawa walaupun amalan tiada
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Siapa yang buat dosa dalam ketawa,
akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.”

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang
Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang
“Alangkah sempitnya kuburku,” ratap seorang abid.
“Alangkah sedikitnya hartaku,” keluh seorang hartawan.

Kita gembira yang kita idam-idamkan tercapai
kita menangis kalau yang kita cita-citakan terbarai
Nikmat disambut ria, ujian menjemput duka 
Namun Allah SWT telah berfirman:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
Padahal ia amat baik bagimu,
dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,
pada hal ia amat buruk bagimu.
Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah: 216)

Menangislah wahai diri
agar senyummu banyak di kemudian hari
kerana nasibmu belum pasti

Di sana nanti
lembaran sejarahmu
dibuka satu persatu

Menangislah seperti Sayidina Umar
yang selalu memukul dirinya
dengan berkata:
“Kalau semua manusia masuk ke syurga kecuali
seorang, aku takut akulah orang itu,”

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya:
Kenapakah engkau menangis?”
Jawabnya:
“Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar ke medan perang.”

Menangislah sebagaimana Ghazwan
yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan
Lalu diharamkan matanya dari memandang
ke langit seumur hidupnya

Ibnu Masud r.a. berkata:
“Seorang yang mengerti Al-Quran
dikenal waktu malam ketika orang lain tidur,
dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa,
sedihnya ketika orang lain sedang gembira,
dan tangisnya di waktu orang lain tertawa,
diamnya di waktu orang lain bicara,
khusyuk di waktu orang lain berbangga.
Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu tenang,
lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras,
kejam, lalai, bersuara keras dan marah.”

Tanyailah orang-orang soleh
mengapa mereka yang banyak menangis
Mereka akan menjawab:
“Bagaimana hendak gembira
Sedangkan mati itu di belakang kami,
kubur di hadapan, Qiamat itu janjian kami,
Neraka itu memburu kami dan
perhentian kami ialah Allah.”

Mereka menangis di sini
Sebelum menangis di sana
Dan kita bagaimana?

Menangislah
kerana kita tidak menangis
seperti mereka menangis…


Wajah-Wajah Ceria Di Hari Kiamat


Pada suatu ketika, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa jika hari kiamat telah tiba maka Allah SWT akan mengumpulkan suatu kaum yang wajahnya laksana bintang-bintang di angkasa. Dan para malaikat bertanya kepada mereka, "Apa amalan yang kalian kerjakan selama hidup di dunia?"

Mereka pun menjawab, "Setiap kami mendengar azan, segera kami bergegas mengambil air wudhu atau bersuci ."

Ada pula sekelompok orang yang wajahnya berseri-seri laksana rembulan yang memancarkan sinar yang terang. Para malaikat bertanya, "Apakah yang kalian kerjakan sewaktu hidup di dunia?" Jawab mereka, "Kami selalu mempersiapkan diri untuk solat berjemaah. Sebelum azan dikumandangkan, kami telah berwudhu."

Di samping itu, ada pula sekelompok orang yang wajahnya berseri-seri laksana matahari yang memancarkan cahaya terang benderang. Seperti biasa, para malaikat pun bertanya kepada mereka, "Amalan apa yang telah kalian lakukan selama hidup di dunia? " Mereka menjawab, "Kami secara tekun mengikuti solat berjemaah. Setiap waktu solat tiba, kami telah siap di masjid, sebelum azan dikumandangkan."


Sunday 10 November 2013

Makhota Syurga Untuk Ibu


Namanya Zahra, dia masih duduk di bangku darjah enam di sebuah sekolah Islam berhampiran pinggiran kota.
Dia seorang anak yang baik dan solehah. Sering mendapat tempat di hati orang-orang sekitarnya kerana sifatnya yang ramah dan pemurah.
“Kakak…” dia memanggilku setengah teriak saat aku hendak meninggalkan rumah di pinggiran itu, urusanku dengan ayahnya telah selesai.
“Ada apa Zahra..?” jawabku sambil menoleh ke belakang dan mendekati Zahra yang juga terlihat mendekatiku.
“Kakak tunduk sedikit ya, biar Zahra bisik di telinga kakak” pintanya.
“Subhanallah…”Aku terkejut setengah mati saat mendengar bisikan dari Zahra.
“Doakan sebelum lulus UPSR, Zahra dapat hafal kesemuanya ya kak” bisiknya padaku.

Aku lupa nama lengkapnya, aku lebih suka memanggil Zahra. Bunga.
Di usianya yang baru darjah enam, dia sudah menghafal lebih dari setengah Al-Quran mulia.
Kata ibu, “kalau Zahra dapat menghafal semua isi al-Quran, nanti Zahra boleh pakaikan mahkota yang paling cantik yang ada di akhirat dan ibu teringin sekali memakai mahkota itu kak”.
Ceritanya waktu saat ku tanya motivasi Zahra dalam menghafal al-Quran.

“Kakak... Zahra cintakan ibu. Saat Zahra tanya kepada ibu apa yang ibu mahu dari Zahra, ibu jawab begitu. Zahra ingin tunjukkan kalau Zahra cinta ibu dengan menghafal al-Quran” tambahnya.
“Zahra pernah lihat ibu menangis saat Zahra berjanji akan menghafal Al-Quran sebelum habis sekolah” terus Zahra bercerita, matanya mulai berkaca-kaca.

“Oh ya kak, tunggu ya…” Zahra meninggalkanku sendiri menunggunya di hadapan rumahnya.
Selang beberapa minit, Zahra kembali membawa sebuah surat ucapan berwarna pink, gambar bunga.
“Ini untuk kakak…” katanya sambil menyerahkan surat itu kepadaku.
“Terima kasih Zahra sayang, boleh kakak baca sekarang?”
“Jangan! Nanti kakak baca selepas selesai solat asar. Kalau boleh dalam keadaan berwudhu’ ya kak” pintanya.

Di sebuah masjid, setelah aku berdoa seusai solat Asar, aku hendak berdiri dan meninggalkan masjid, mataku tertumpu pada fail yang kubawa surat merah jambu itu.
“Astaghfirullah, itu dari Zahra” Segera aku ucapkan basmalah dan kubuka.
“Kakak yang Zahra cintai kerana Allah, ingin Zahra katakan bahawa Zahra sangat mencintai kakak. Tapi apakah kakak mencintai Zahra? Jika ya, Zahra ingin meminta sesuatu dari kakak. Kakak juga hafal al-Quran ya, biar nanti ibu kakak menjadi wanita paling bahagia di Syurga, kerana memakai mahkota tercantik pemberian anaknya yang hafal al-Quran.” -Salam sayang Zahra-

Petang itu, langit kelihatan mendung, hatiku turut mendung,
Air matapun tak bisa tertahan, ia mengalir, kerinduan pada Bonda yang membuncah,
“Astaghfirullah, Zahra.. kaulah guruku, guruku yang mulia. Jujur kakak malu padamu sayang” bisik hatiku.

“Kakak mencintaimu, sangat mencintaimu, kakak juga mencintai Ibu.”
“Kakak juga ingin hadiahkan makhota syurga untuk ibu.”

“Barang siapa membaca Al-Quran dan mengamalkannya maka kedua-dua orang tuanya pada hari kiamat akan dipakaikan mahkota yang cahayanya lebih bagus daripada cahaya matahari menembus rumah-rumah di dunia.” (HR. Abu Dawud Al Hakim dari Mu’adz bi Jabal).


Saturday 9 November 2013

Wanita Istimewa Dunia Perubatan Islam


Nama Rufaidah Binti Sa’ad mungkin tidak semasyhur seumpama tokoh-tokoh Muslim yang lain seperti Al-Razi, Ibnu Sina dan Abul Qassim Az`Zahrawi tetapi Rufaidah sebenarnya memberikan sumbangan yang cukup besar di dalam dunia perubatan Islam.

Rufaidah Binti Sa’ad adalah merupakan jururawat pertama di dalam dunia Islam dan dunia perubatan sebenarnya. Sekiranya dunia moden kini menyanjungi Florence Nightingale sebagai jururawat tersohor kerana sumbangannya yang merawat para tentera British, seharusnya kita sebagai muslim menyanjungi dan menjadikan Rufaidah binti Sa’ad sebagai ikon, seorang jururawat hebat yang telah mempelopori dunia perawatan ini 1300 tahun lebih awal sebelum Florence Nightingale.

Nama penuhnya ialah Rufaidah binti Sa’ad al Aslami, daripada suku Khazraj di Madinah. Beliau telah dilahirkan di Yathrib (Madinah) sebelum tahun hijrah dan merupakan di antara penduduk Madinah yang pertama memeluk Islam.

Beliau merupakan seorang  jururawat cemerlang yang  telah dilatih oleh ayahnya yang merupakan seorang doktor di Madinah pada ketika itu. Rufaidah menjalani latihan secara praktikal dengan menjadi pembantu klinikal kepada ayahnya.

Sejarah mencatatkan bahawa Rufaidah adalah seorang jururawat yang cemerlang yang mempunyai banyak ciri-ciri pengamal perubatan yang sangat istimewa.

Di antaranya ialah :

1-Seorang yang sangat baik, dedikasi dan mempunyai empati yang tinggi.

2-Seorang pengurus dan ketua yang berkebolehan yang mampu menggerakkan pasukannya  untuk menghasilkan tugas yang terbaik.

3-Berkemahiran klinikal tinggi dan tidak kedekut untuk berkongsi ilmu mengajar jururawat-jururawat lain yang bekerja bersama-samanya.

4-Beliau tidak menghadkan tugasnya di dalam situasi klinikal sahaja, malah turut turun ke padang melihat sendiri keadaan masyarakat untuk menyelesaikan masalah sesuatu penyakit dari akar umbi.

5-Sumbangan Rufaidah tidak terhad kepada merawat orang sakit sahaja. Sifat peduli ummah yang dimilikinya membuatkan Rufaidah bukan sekadar jururawat biasa. Beliau juga bertindak sebagai seorang aktivis sosial yang gemar ambil peduli dan menyelesaikan masalah masyarakat. Tenaganya banyak disalurkan kepada kerja-kerja kebajikan dan tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat.

6-Pelbagai golongan muslim telah didekati Rufaidah sama ada yatim piatu mahupun orang kurang upaya. Mengajar anak-anak yang buta huruf juga menjadi sebahagian daripada rutin dalam jadual hidup wanita istimewa ini.

Rufaidah telah mewakafkan dirinya untuk membantu barisan pejuang di Rasulullah saw. Ketika Kota Madinah menjadi sebuah Negara Islam yang mengalami banyak proses perkembangan kemajuan, Rufaidah telah mengabdikan dirinya untuk merawat orang ramai yang sakit. Sebuah khemah perubatan telah dibina di luar Masjid Nabawi ketika suasana aman.

Manakala ketika Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar, Rufaidah sentiasa bersedia di barisan belakang sebagai aktivis perubatan dan merawat tentera Islam yang tercedera. Nabi Muhammad saw sendiri memerintahkan perajurit yang cedera dirawat oleh Rufaidah.

Semasa Perang Khandaq, Panglima Sa’ad bin Mu’adz yang cedera telah dihantar ke khemah perubatan yang telah dibina dan kemudiannya pahlawan yang berani itu kemudiannya telah dirawat oleh Rufaidah. Dengan kepakaran yang dimiliki, Rufaidah telah berjaya mencabut anak panah yang terpacak di lengan Sa’ad Bin Mu’adz.

Rufaidah juga telah melatih sekumpulan sahabiah sebagai jururawat yang sentiasa bersedia untuk menghadapi peperangan. Apabila Rasulullah saw sedang sedia menuju ke lokasi Perang Khaibar, Rufaidah dan rakan-rakannya pergi bertemu Rasulullah saw untuk meminta kebenaran untuk turut serta menyertai rombongan para mujahidin itu ke medan perang.

Rasulullah saw telah memperkenankan permintaan mereka. Dengan penuh semangat dan keazaman yang tinggi, kumpulan perubatan yang diketuai oleh Rufaidah telah menjalankan tugas dengan baik sehinggakan Rasulullah saw mengurniakan sebahagian harta rampasan kepada mereka. Bahagian yang diterima oleh Rufaidah sama banyak jumlahnya dengan seorang mujahid yang turun berjihad di barisan depan di medan perang.

Benarlah bahawa Rufaidah adalah seorang ‘Ikon Peduli Ummah’ yang wajar diteladani kerana beliau adalah tokoh yang telah memenuhi objektif sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain” (Hadith Riwayat Bukhari)

Ps : Teristimewa buat doktor hati ana.. :)


Rasulullah Dan Kanak-Kanak


Rasulullah saw amat gemar kepada kanak-kanak yang dipanggil sebagai bunga-bunga di dalam kebun Allah. Mereka adalah pemimpin ummah pada masa akan datang.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan suatu ketika Rasulullah saw mencium cucu Baginda saw, Hassan dan ketika itu duduk bersama Baginda saw. Al-Afra bin Habis At-Tamimi. Al-Afra lalu berkata: “Aku ada sepuluh orang anak tapi aku tak pernah mencium  seorang pun daripada mereka. Maka Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”

Sebuah hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a  bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak belas kasihan terhadap anak-anak.”

Baginda saw pernah pergi ketempat anaknya Ibrahim menyusu di rumah seorang tukang besi walaupun jauh. Ia membelai dan mencium anaknya dengan kasih sayang. Apabila Ibrahim meninggal dunia, Baginda saw mengalirkan air mata. Rasulullah saw amat menyayangi cucu-cucu baginda. Pernah suatu hari, cucu baginda Saidina Hussin  berada di masjid ketika Baginda saw sedang sujud. Saidina Hussin memanjat belakang Nabi saw. Baginda saw sengaja memanjangkan sujud  sehingga para sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah swt untuk memanjangkan sujud. Selepas Rasulullah saw  selesai mengerjakan solat, mereka bertanyakan baginda tentang sujud yang lama itu. Rasulullah saw menjawab, cucuku telah memanjat belakang ku, maka aku mahu memuaskan hatinya. Aku hanya bangun dari sujud apabila ia telah puas hati. 

Jika seorang bayi dibawa kepada Rasulullah saw, Baginda meletakkan di atas ribanya. Jika ditemui kanak-kanak di jalan Baginda akan mendukung kanak-kanak itu. Apabila Rasulullah saw diberi buah-buahan pada musimnya untuk pertama kali, akan diberikan buah itu kepada kanak-kanak. 

Kadangkala Rasulullah saw mempunyai masa dan kesempatan bermain dengan kanak-kanak. Pernah Rasulullah saw berjumpa sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, lalu Rasulullah saw meminta mereka berdiri sebaris mengadap Baginda. Selepas itu Rasulullah saw duduk di satu tempat yang agak jauh  dari kanak-kanak itu. Kemudian meminta mereka berlari mendapatkan Baginda, siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak pun berlari dengan sekuat-kuatnya menuju kearah Baginda, sehingga ada yang sampai melanggar paha, perut Baginda. Selepas itu, Rasulullah saw memeluk mereka dengan penuh kasih sayang.

Rasulullah saw. pernah menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sakit dan kemudiannya kanak-kanak Yahudi itu  memeluk Islam.

Dalam satu hadis Nabi saw bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya”. (Riwayat al-Bukhari)

Baginda saw  juga sangat prihatin dalam mendidik ummah termasuk kanak-kanak.

Ibn Abbas meriwayatkan: “Rasulullah bangun bersolat malam. Aku berdiri di sebelah kiri Baginda saw, beliau memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda.” (Riwayat al-Bukhari)

Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah saw untuk makan-makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah saw makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan, kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah saw berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”

Seorang sahabat Nabi pernah berkata, "Semasa saya kecil, saya suka menjatuhkan buah kurma dengan membaling batu pada pohon kurma. Pada suatu hari, ada seseorang (Rasulullah saw) yang mendukung saya dan menasihati saya agar memungut buah kurma yang jatuh dari pohon dan bukan menjatuhkannya menggunakan batu. Dia kemudiannya mengusap kepala saya dan memohon rahmat untuk saya"

Rasulullah saw selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun seorang kanak-kanak (mahupun wanita) sepanjang hidupnya. Rasulullah saw banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.

Baginda sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak.  Rasulullah saw selalu memberikan salam dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah satu ketika Rasulullah saw mengutus beliau untuk melalukan satu tugas. Dalam perjalanan beliau berjumpa beberapa budak lelaki. Maka beliau duduk bersama budak-budak tersebut. Apabila Rasulullah saw mendekati mereka, Rasulullah saw dengan segera memberi salam kepada mereka.

Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam kepada Anas bin Malik. Sehingga akhir hayat beliau selalu bersegera memberi salam kepada kanak-kanak.


Sunday 3 November 2013

Bintang Syurga


Biar darah jadi baja
Biar tulangku menjadi tonggaknya
Islam tetap di puncak
Biar imanku terus melonjak

Aku tegar
Aku rela
Sekalipun aku dihenyak

Burung-burung hijau terbang
Roh ku tenang melayang
Syurga Firdausi menunggu ku datang
Bidadari pun tersenyum
Merindu cumbu harum
Di saat cinta mekarku bercantum

Pergiku tak kembali
Kerana memburu nikmat syurgawi
Itulah yang hakiki itu yang abadi
Dan ku tidak mati
Bahkan hidup dengan rezeki Ilahi

Kejayaan
Kebahagiaan
Bintang syuhada yang dirindukan

Datang datanglah wahai syahid
Dambaan mujahid
Aku relakan sakit yang sedikit

Dari tahanan sementara
Biar aku nestapa
Demi bahagia untuk selamanya


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...