Sunday 26 February 2012

Perempuan Baik Yang Bercinta Pada Hari Valentine

'VALENTINE DAY'
Melihatkan sahaja tulisan itu pada akhbar yang aku baca, sekonyong-konyong aku sedar, aku pernah berada di situ. Aku pernah berpenampilan resah hanya untuk hadir pada tarikh 14 Februari, Aku pernah mengewap gusar pada rasa hari Valentine, dan hari ini, kenangan  itu menggeser lagi.
Muda.
Apa yang aku ingat, waktu itu aku masih muda, baru usai SPM. Aku menandai garis waktu itu, dengan muzik kegemaran aku. Sebagai gadis Melayu, aku tetap bermegah-megah dengan bahasa aku. Maka, kumpulan Slam, Ukay, Spring, adalah muzik yang tidak pernah berhenti bergemerencang dalam telinga. Lagu-lagunya, menjunjung cinta hingga ke bintang, bait rindunya dibenamkan hingga ke jurang Mariana, namun apa yang aku tidak tahu, lagu-lagu itu juga yang berdingkit-dingkit mendorong aku bagi mendamba cinta lelaki.
Masih remaja, masih muda, dan segala-galanya terlihat sangat luar biasa, lalu semuanya mahu dicuba. Dan akhirnya, aku jatuh cinta kepada lelaki itu.
Lelaki.
Aku menemuinya di rumah ibu saudara. Diberitahu, bahawa lelaki itu anak angkatnya, dan dia belajar tinggi di luar negara.
Pada pertama kali menatapnya, aduhai, perasaan aku terus berasa hening, sepertinya aku berangkat ke pulau tiada penghuni. Dan apabila dia tersenyum, ia melahap mentah-mentah jiwa aku.
Benarlah kata bijak pandai, cinta itu adalah kemenangan khayalan ke atas akal fikiran. Hanya dengan khayalan aku akan bahagia dengan lelaki itu, aku berani mengatakan aku sudah jatuh cinta.
Mujur, aku masih diyakinkan dengan satu lagi kata bijaksana, cinta akan hilang keindahannya, apabila tidak lagi dirahsiakan. Namun yang paling utama, waktu itu sebenarnya aku masih malu. Ya, aku perempuan, dan pasti malu itu adalah sesuatu yang sangat wajar.
Itulah bencana kepada perempuan pemalu yang jatuh hati. Ia akan menyeksa hati dengan hasrat yang diperam-peram. Namun, ia juga adalah kemujuran yang sangat besar, kerana pada ketika akal sudah kalah pada khayalan, pada ketika ajaran agama sudah dipermudah-mudahkan, masih ada benteng halus yang bernama malu, yang menjadi benteng akhir kepada iman.
Itulah seksanya. Mahu diluah, malu, mahu dibiarkan, terasa seksa. Dan pada ketika dunia terasa seperti digelapkan oleh awan hitam yang bernama cinta, hadirlah hari itu, 14 Februari, hari Valentine.
14 Februari.
Waktu itu, dengan hati yang sudah bengkak-bengkak menahan rasa cinta, aku duduk di sebelah ibu. Aku ingat lagi, waktu itu hujan renyai, sejuk, aku merapat dengan ibu bagi mendapatkan haba dan kasih, sambil mata memandang ke televisyen, yang ada rancangan berbicara berkenaan hari Valentine.
Akal aku waktu itu berputar. Aku tahu, aku boleh menggunakan situasi ini bagi mendapatkan sesuatu daripada ibu berkenaan cinta. Paling tinggi, ibu memberi restunya, atau yang paling bawah, ibu berkata, "jangan bercinta, habiskan dahulu pelajaranmu", dan aku boleh meneruskan hidup dengan alasan, 'aku tidak akan bercinta selagi belum habis belajar kerana itulah pesan ibu'.
"Memang hari Valentine adalah hari orang Islam Sepanyol disembelih?" soal aku, memulakan bicara.
"Entahlah. Ibu tidak tahu. Bukan kamu tidak tahu, ada berbagai-bagai versi berkenaannya. Namun, walau banyak versi sekalipun, ia tetap tidak menutup ruang bagi umat Islam menyambut Valentine," jelas ibu, sehingga aku sedikit terkejut bercampur lucu, kerana jarang sekali ibu bicara begitu serius, selain pada waktu aku berbuat salah.
"Mengapa ibu nampak serius?" Aku tergelak kecil.
"Kerana kamu." Ibu memandang aku, dan aku tahu, itu pandangan penuh kasih sehingga aku boleh berasa hangatnya pandangan itu dalam hati.
"Mengapa saya?"
Seketika aku menjadi gusar. Adakah ibu tahu rahsia hati aku?
"Kamu perempuan, kamu masih muda, ada rupa, dan pasti ada ramai lelaki yang menjeling. Namun paling ibu risaukan, adalah hati kamu kerana ibu tidak mampu menjaga mahunya. Dan pasti, pada suatu ketika kamu akan jatuh cinta, dan pada ketika kamu jatuh cinta, ibu menjadi sangat khuatir." Mata ibu menceritakan apa yang diucapnya itu, adalah sangat dia maksudkan.
"Maksud ibu?" Aku kembali semakin ragu-ragu.
"Ibu setuju dengan semua perkara yang diperbuat pandai agama bagi menghalang budaya sambutan Valentine, tetapi secara tidak sedar, mereka menjadikan hari valentine itu sangat istimewa." Ibu semakin fasih bicaranya. Dan aku semakin tidak tahu ke mana ibu mahu membawa bicara seperti itu. Aku angguk kemudian diam.
Ibu tahu reaksi itu, itulah reaksi aku yang tidak faham.
"Istimewa itu bukan sekadar bermaksud kepada perkara yang diraikan, tetapi istimewa itu juga adalah pada perkara yang dilarang. Tidak ada masalah melarang hari Valentine bagi disambut, tetapi tanpa sedar ia akan membuatkan hari Valentine menjadi semakin istimewa, kerana kita hanya melarang hari, tetapi tidak menghilangkan maksud hari itu. Menghalang, menjadikan Valentine terasa istimewa, dan maksud hari itu ikut terasa istimewa. Dengan itu, pasangan kekasih boleh menyambut 'hari Valentine' pada setiap hari kerana ia dianggap istimewa. Jadi, walaupun kita berjaya pada 14 Februari, belum ada jaminan kita berjaya pada 15 Februari dan seterusnya." Ibu berhenti, menarik nafas selepas penerangan yang panjang.
Bagi menunjukkan kasih, aku bertanya juga, "Jadi, apa yang ibu mahu cadangkan?"
Ibu diam. Jelas dia mengatur bicara, sebelum dengan tatap kasih dia memandang aku.
"Ibu mahu menjaga kamu dahulu."
"Menjaga saya?" Aku mengerut dahi.
"Ya, menjaga kamu dengan memberitahu kamu sesuatu berkenaan cinta, supaya kamu mengerti bahawa cinta itu adalah sangat biasa. Tidak ada apa-apa istimewanya berkenaan cinta. Cinta itu sama biasanya dengan kuku yang boleh tumbuh selepas dipotong. Dan di situlah silapnya banyak manusia, kerana menganggap perasaan cinta itu sangat istimewa. Mereka menyangjungnya sampai hilang akal, kerana mereka tidak sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa. Dan kamu sendiri, adakah kamu sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa?"
Aku menggeleng, dan ibu terus menyambung,
"Manusia apabila sudah tidak sanggup kehilangan yang istimewa, mereka akan berbuat apa sahaja. Mereka menganggap ia sesuatu yang ajaib, padahal itu cumalah ilusi. Dan lebih menakutkan, pada ketika manusia menganggap cinta bukanlah berkenaan apa yang kita peroleh, tetapi adalah berkenaan apa yang kita beri, iaitu segala-galanya. Pada ketika tahap itu, maruah akan kita beri, keingkaran agama akan kita beri, dan iman juga akan kita tukarkan kepada cinta. Sedangkan, iman itulah yang perlu dianggap istimewa, bukannya cinta," jelas ibu, dan ada yang aku setuju walaupun banyak yang aku keliru.
"Jadi mengapa orang mengatakan cinta itu istimewa? Malah orang-orang pandai agama juga berkata begitu."
Dengan wajah tersenyum ibu memandang aku, "Anakku, cinta itu sangat biasa, kerana semua orang akan melalui perasaan cinta, tetapi tidak semua orang akan menikmati perasaan cinta, dan pada ketika cinta mampu dinikmatilah, barulah ia menjadi istimewa."
Aku pandang ibu, ibu terus-terusan tersenyum.
"Ibu sudah memberitahu kamu, iman lah yang perlu dianggap istimewa. Apa sahaja perkara baik yang dicampurkan dengan 'istimewa' akan menjadikan ia 'istimewa'. Begitu jugalah cinta. Cinta itu sangat biasa, tetapi apabila ia dicampurkan dengan 'iman' barulah ia menjadi cinta yang istimewa. Kamu tahu mengapa ia istimewa?"
Aku diam, keliru.
"Kerana, dengan campuran iman dan cinta, iman akan bertambah-tambah dan paling nikmat, adalah rasa cinta itu juga semakin bertambah banyak. Dan kamu tahu bagaimana kita mengenal cinta itu semakin banyak? Apabila, pasangan tadi tidak berhenti berusaha membahagiakan pasangannya. Sekiranya dahulu sering SMS, selepas nikah tetap berusaha SMS. Begitu jugalah sebaliknya, cinta akan terhenti apabila, ada antara pasangan sudah berhenti berusaha."
Aku mengerti bicara ibu itu, tetapi aku masih tidak mampu mengaitkannya dengan hari Valentine. Namun, tetap juga kata-kata ibu itu melegakan cinta dalam hati aku. Rupa-rupanya, ia cuma perasaan biasa, hanya kerana aku menganggapnya ia istimewa, maka aku berasa sangat tertekan.
"Itulah, yang ibu harapkan kepada bijak pandai agama. Melarang itu sudah betul, namun sekiranya terhenti setakat melarang, ia cuma menjadikan hari Valentine itu istimewa. Bijak pandai agama, selepas bercerita berkenaan asal-usul hari Valentine yang banyak versi itu, ceritakanlah juga berkenaan cinta Islam yang hanya ada satu versi. Ceritakanlah, berkenaan psikologi cinta, supaya ramai tahu, cinta itu sangat biasa, tidak perlu disambut, tidak perlu Valentine, tetapi ia perlu dinikmati, dan hanya ada satu cara menikmati cinta, iaitu bernikah.  Dan ingatlah anakku, cinta itu buta, dan nikah akan kembali membuka matamu."
Aku tersenyum lebar, dan seketika, aku kembali tenang, aku berasa seperti burung yang terbang di bawah pelangi pagi.
"Kalau saya jatuh cinta, bagaimana?" Aku mula berani mengusik ibu.
"Kalau kamu jatuh cinta, jadilah perempuan baik yang bercinta."
"Perempuan baik yang bercinta?" Aku pula kembali terasa diusik, apatah lagi melihat ibu menyuntingkan senyuman nakal.
"Perempuan baik itu adalah suatu proses. Jangan sesekali mencuba menjadi perempuan baik hanya dalam masa sehari, tetapi berusahalah menjadi perempuan baik sampai kamu mati. Kerana, pasti orang seperti kita ada melakukan dosa, tetapi bangkitlah kembali dengan taubat. Itulah perempuan baik bagi ibu, iaitu perempuan yang sentiasa berusaha menjadi hamba kepada Allah yang taat. Dan taat kepada Allah, kamu tahu ia bukan sekadar satu dua perkara, tetapi ribuan perkara, meliputi hal ayah ibu, suami, anak, jiran, ibadah, menjaga maruah, menjaga mulut, taubat, dan banyak lagi.  Itulah perempuan baik bagi ibu, perempuan yang sentiasa berusaha ke arah perkara yang baik-baik."
"Dan bercinta pula?" soal aku malu-malu.
Ibu tersenyum lebar, lalu berkata, "Sukar sebenarnya. Tetapi tetap ada petua. Pada ketika kamu  menerima lamaran seorang lelaki, pada ketika itulah kamu periksa kata-kata, yang mula-mula keluar daripada hati kamu. Perempuan biasa yang bercinta akan berkata dalam hati,  "Aku cintakan dia, sebab itu aku perlukan dia." Sedangkan perempuan baik, dalam hatinya akan berkata begini, "Aku perlukan dia, sebab itulah aku cintakan dia." Pada ketika 'perlu' yang datang terlebih dahulu sebelum cinta, kamu ada peluang menjadi perempuan baik yang bercinta. Kemudian semak maksud 'perlu' dalam hati kamu. Adakah kamu perlu lelaki beriman yang dapat membimbing, ataupun perlu kepada lelaki kaya yang dapat menyenangkan. Sekiranya kamu 'perlu' kepada lelaki beriman yang membimbing, kamu adalah perempuan baik yang bercinta."
Aku terus memeluk ibu erat-erat, aku cium pipi ibu, dan ibu cium dahi aku lalu berkata, "Ingat, kamu adalah harapan ibu, bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat sana. Jadilah perempuan baik, bukan kerana ibu, tetapi kerana Allah, kerana ibu juga sangat menyayangi kamu seadanya kamu, kerana Allah."

Wednesday 22 February 2012

Bidadari Dunia Yang Telah Menembus Syurga


Wanita. Nampak seperti lemah. Nampak seperti tidak bermakna. Dahulunya dunia menjadikannya semata-mata hamba. Tidak kurang sebagai simbol seks. Bahkan ada peradaban terdahulu menganggap perempuan itu sebahagian dari syaitan kerana banyak membawa fitnah kepada kehidupan.
Tetapi Islam datang membawa sinar kemuliaan. Wanita diangkat mulia. Dijaga. Bahayanya diakui, tetapi mulianya tidak dihilangkan begitu sahaja. Wanita-wanita yang mengambil Islam sebagai cara hidup, terus menjadi seperti bidadari. Mahal. Berjalan di atas dunia dan dicemburui bidadari-bidadari Syurga.
Artikel ini sekadar menunjukkan cebisan-cebisan jejak Bidadari Dunia yang telah menembusi syurga. Semoga wanita-wanita yang masih hidup kini terasa mulia, dan ingin menjadi seperti mereka.
Hawwa di sisi Adam.
Saya suka menggunakan cerita ini untuk menunjukkan betapa ‘mahal’nya seorang wanita.
Adam itu diciptakan di dalam syurga, yang segala-galanya sempurna. Tetapi nyata, kesempurnaan syurga itu tidak mampu mengisi jiwanya. Terasa dia sunyi dan sepi, hinggalah akhirnya diwujudkan buatnya Hawwa.
Mahalnya wanita adalah seperti syurga. Itu pada saya. Sebab itu ada lelaki, mereka fikir bila dapat wanita, mereka dapat segalanya. Sebab itu ada lelaki, sanggup gadai segala benda hanya untuk dapatkan seorang wanita.
Hawwa mengisi kekosongan jiwa Adam yang berada di Syurga. Hawwa itu jugalah yang menemani Adam saat menempuh kehidupan yang sukar di dunia. Tanpa kita lupa, Hawwa jugalah antara sebab mengapa mereka diturunkan ke dunia.
Pada permulaan sejarah manusia, perempuan wujud sebagai pelengkap. Wanita tidak menjadi ‘pemula’ sebagaimana Adam. Tetapi nyata Hawwa adalah ‘pelengkap’ yang diperlukan oleh seorang pemula.
Tidakkah wanita hari ini belajar daripada Hawwa?
Dari situ jelas terserlah intipati utama mengapa perempuan itu dicipta.
Adam memerlukan Hawwanya!
Asiah Yang Menyelamatkan Musa.
Suami yang jahat tidak semestinya isterinya jahat juga, sebagaimana ironinya suami yang baik tidak semestinya baik isterinya. Begitulah Asiah di sisi Firaun. Sangat kontra sikap mereka, tetapi nyata Firaun amat-amat mencintainya. Dan tidaklah Allah SWT meletakkan Asiah di sisi Firaun, melainkan untuk memainkan watak yang amat penting dalam sejarah manusia.
Bidadari manakah yang menyelamatkan Nabi Allah Musa, kala Firaun bergerak hendak membunuh Musa yang masih bayi itu? Kalau bukan seorang Bidadari bernama Asiah. Bidadari yang berani berhadapan dengan Firaun yang terkenal bengis dan keras.
“Mungkin kita boleh mengambilnya sebagai anak angkat, sedang kita sendiri tidak punya anak. Masakan anak sekecil ini boleh membawa bencana kepada kita.”
Dan Musa AS membesar memenuhi takdirnya sebagai utusan Ilahi.
Manakala Asiah pula menjadi salah seorang yang percaya kepadaNya, sekaligus memperjuangkan Islam di dalam istana Firaun. Dengan tabah berusaha juga membawa suaminya ke arah kebenaran, walau akhirnya diseksa dengan penjara. Dia tetap adalah yang teguh berpegang kepada ajaran Tuhan, walau akhirnya di dalam penjara dia terseksa hingga kematian.
Mulianya Asiah hingga dia diabadikan di dalam Al-Quran:
“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” Surah At-Tahrim ayat 11.
Tetapi siapakah yang melihat bidadari dunia ini dan mencontohinya?
Hari ini kebanyakan wanita tidak diduga seperti dugaannya Asiah, tetapi telah awal-awal meninggalkan syariat Allah Ta’ala. Maka di manakah kemuliaan semahal syurga tadi? Murah terus berubah harganya selayak gaya peribadi.
Hajar Yang Membesarkan Ismail Itu.
Kita saban tahun akan mengulang kaji kisah Hajar ketika musim Raya Haji. Tetapi wanita manakah di dunia ini yang ingin mencontohi bidadari dunia ini. Inilah dia sayap kepada Ibrahim, dan murabbiah kepada Ismail.
Akhlak cantik Ismail bukanlah tumpahan tarbiyah Ibrahim, tetapi adalah daripada tangan wanita mulia bergelar Hajar ini. Inilah dia wanita yang tidak meraung apabila ditinggalkan suaminya kerana Ilahi. Inilah dia bidadari yang kepercayaannya kepada Allah teramatlah tinggi.
Tiadalah dia apabila ditinggalkan suaminya itu, mendidik anak agar membenci pasangannya yang meninggalkan. Tetapi dia tulus mendidik Ismail agar menjadi taat dan percaya kepada Tuhan. Lantas apabila Ibrahim AS pulang kembali membawa berita untuk melakukan korban nyawa Ismail, Ismail yang dididik Hajat menjawab dengan jawapan yang tenang dan mulia.
Tidakkah kita membaca kisah itu di dalam Al-Quran?
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” Surah As-Saffat ayat 102.
Apakah Ismail automatik menjadi sedemikian rupa?
Tidak. Tetapi berkat didikan Hajar, kesabarannya, kecekalannya, ketabahannya, keimanannya, keyakinannya.
Itulah dia Bidadari Dunia.
Dan siapakah dari kalangan saudari-saudari saya yang ingin menjadi seperti Hajar pada hari ini?
Dan Di Sisi Rasulullah Itu Bidadari-bidadari Baginda.
Tidakkah kita sering membaca Sirah, bagaimana Rasulullah SAW ketika pertama kali menerima wahyu?
Baginda pulang ketakutan dan siapakah yang menenangkan baginda?
Bukankah seorang bidadari dunia bernama Khadijah?
“Jangan takut. Sesungguhnya amat mustahil Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya engkau adalah yang menghubungkan silaturrahim, membantu yang sengsara, mengusahakan barang keperluan yang masih belum ada, memuliakan tetamu dan membantu orang menegakkan kebenaran.”
Bukankan bidadari dunia itu yang berada di sisi baginda?
Bidadari Dunia itu jugalah yang memberikan baginda harta untuk diperjuangkan di jalan Allah SWT. Bidadari Dunia itulah yang menemani baginda saat dipulau selama 3 tahun 3 bulan.
Jika kita selak lagi lembaran sirah, tidakkah kita kenal dengan seorang lagi bidadari dunia bergelar Ummu Salamah, salah seorang dari Ummul Mukminin, isteri baginda SAW?
Saat Rasulullah SAW buntu mengapa kaum Muslimin tidak menuruti perintahnya untuk melaksanakan penyembelihan binatang qurban dan bercukur kerana tidak dapat melaksanakan umrah pada tahun berlakunya Perjanjian Hudaibiyah, bukankah Bidadari Dunia bernama Ummu Salamah inilah yang memberikan nasihat:
“Wahai Nabi Allah, apakah engkau menginginkan perintah Allah ini dilaksanakan oleh kaum muslimin? Keluarlah engkau, kemudian janganlah mengajak bicara sepatah kata seorang pun dari mereka sampai engkau menyembelih qurbanmu serta memanggil tukang cukur yang mencukurmu.”
                Bila Rasulullah SAW melaksanakannya, barulah kaum Muslimin rasa bersalah kerana tidak menghiraukan perintah baginda, dan mula mengikut apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
                Semua ini adalah Bidadari Dunia.
                Yang beriman kepada Allah SWT. Yang jelas akan matlamat mereka berada di atas dunia. Pada mereka ada ketabahan, kekentalan, yang menjadi pakej lengkap untuk mengiringi seseorang yang hebat. Bukanlah mereka itu sekadar hiasan, tetapi merupakan pembantu dan pelengkap yang diperlukan.
                Maka siapakah yang mencontohi mereka?

Dan Muhammad Al-Fateh itu dibesarkan Bidadari Dunia Yang Berwawasan.
Tiada siapa yang mengetahui bahawa Muhammad Al-Fateh adalah yang akan membuktikan profesi Rasulullah SAW di dalam hadith baginda berkenaan pembukaan Konstantinopel menjadi kenyataan.
Tiada siapa yang tahu.
Tetapi seorang bidadari dunia, yang telah mengandungkan Muhammad Al-Fateh selama 9 bulan 9 hari punya wawasan yang tinggi untuk menjadikan anaknya sebagai pemecah profesi tersebut.
Saban hari, sejak dari Muhammad Al-Fateh di dalam gendongan, Ibunya akan membawanya ke tempat yang tinggi menghadap ke Konstantinopel, lalu membaca hadith Rasulullah SAW yang masyhur:
“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.” Hadith Riwayat Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335.

Dari kecil, bidadari dunia inilah yang membina seorang Muhammad Al-Fateh dengan harapan dan inspirasi. Agar anak itu punya wawasan dan fokus, punya cita-cita yang tulus. Mahu menjadi sebaik-baik pemimpin yang mampu membina sebaik-baik tentera bagi merealisasikan apa yang Rasulullah SAW kata.
Maka di manakah saudari-saudari saya pada hari ini, yang mahu merealisasikan 1001 janji Allah SWT dan RasulNya bagi mereka yang tunduk dan mentaati?
Penutup: Itulah dia segelintir daripada mereka.
Baru beberapa. Tetapi sudah mampu menakjubkan kita. Begitulah dia wanita-wanita di dalam Islam. Cekal. Indah. Tabah. Mantap. Mahal. Apakah persamaan antara mereka ini? Iman. Islam. Hubungan dengan Allah SWT. Kejelasan matlamat hidup. Itulah yang membuatkan mereka menjadi mereka. Bukan kerana mereka ini wanita. Tetapi adalah kerana mereka ini wanita yang tunduk kepadaNya. Itulah dia Bidadari Dunia!
Maka di manakah wanita-wanita hari ini dalam menjadi Bidadari Dunia?
Siapakah yang mereka contohi dan dijadikan ikutan dalam meniti kehidupan di atas dunia?
Atau mereka tidak lagi merasa mahal dan terus memurahkan diri mereka? Melanggar peraturan Allah SWT, dan merosakkan pula yang berada di sekeliling mereka?
Sesungguhnya telah kita saksikan kewujudan Bidadari-Bidadari Dunia. Mereka adalah yang telah menembusi syurga. Maka siapakah yang ingin mengikuti jejak langkah mereka?
Atau kita masih mahu menjadikan yang tidak sepatutnya sebagai contoh ikutan kita?
Wahai saudari-saudariku,
menjadilah Bidadari Dunia!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...