“Lindungi Rasulullah ! Lindungi Rasulullah !”
Barisan tentera muslimin mula kucar-kacir. Selepas tentera pemanah yang ingkar arahan Rasul turun dari bukit untuk mengutip harta-harta perang, Khalid Al-Walid ketika itu yang memimpin pasukan Quraisy menyerang mereka dari belakang bukit di medan Uhud.
Kemenangan yang sudah hampir dimiliki oleh mereka itu bertukar menjadi bencana. Gara-gara ingkarnya kumpulan pemanah di atas bukit, Rasulullah hampir-hampir dibunuh.
Peperangan kembali berlangsung. Namun, kali ini dalam keadaan barisan tentera Islam yang sudah mula kucar-kacir dan tidak teratur.
Tentera Islam sudah ada yang mula gugur dan syahid.
Di celahan kucar-kacir itu, ketika musyrikin sibuk mencari Rasulullah untuk dibunuh, rupanya ada seorang srikandi gagah yang berdiri menjadi perisai Rasulullah s.a.w.
Tidak berganjak. Tetap berdiri rapat membentengi Rasul s.a.w.
Biar dirinya diserang, tidak mengapa. Asal Rasulullah tetap terjaga keselamatannya. Itu sudah cukup bahagia baginya.
Bukanlah kuat sangat tubuhnya itu, tetapi kuatnya cintanya kepada Rasulullah jauh mendahului segala-galanya menyebabkan beliau tidak gentar berhadapan musuh yang jauh lebih gagah daripadanya.
___________________________________________________________________
“Mana Muhammad? Tunjukkan aku di mana Muhammad. Selagi dia hidup, aku tidak akan selamat.” Ibnu Qumaiah dengan lagak sombongnya mencari Rasulullah untuk dibunuh.
Kucar-kacir di medan Uhud pada hari itu telah menyebabkan sebahagian sahabat meninggalkan Rasulullah s.a.w. Tinggal sebahagian yang masih tetap berdiri mempertahankan baginda.
“Mana Muhammad? Tunjukkan aku di mana Muhammad?”
Dalam keadaan Rasulullah yang telah tercedera itu, masih ada hanya sebilangan sahabat berdiri di samping baginda mempertahankan dan melindungi baginda daripada serangan musyrikin.
Di celah para sahabat itu, rupanya srikandi itu turut ada bersama melindungi Rasulullah, mengangkat pedang melawan musuh.
Tugas beliau sepatutnya hanya memberi minum air dan merawat tentera muslimin yang cedera.
Tetapi, hari itu, beliau lebih dari sekadar seorang pemberi minum air dan seorang jururawat.
Tidak tahan lagi beliau melihat Rasulullah diperlakukan sedemikian rupa oleh musuh mereka. Betapa dalamnya kecintaan beliau kepada Rasulullah, sehinggakan dari arah manapun musuh datang untuk menyerang baginda s.a.w., beliau tetap ada di depan baginda mempertahankan baginda.
Rasulullah berpaling ke kanan, dia ada di sebelah kanan mempertahankannya.
Rasulullah berpaling ke kirinya, dia ada juga melindungi baginda.
Bukan tugasnya, entah kenapa dia begitu bersusah-payah sedangkan masih ada ramai tentera lelaki Islam di samping Rasul s.a.w. untuk mempertahankan baginda.
Masih ada Abu Bakar di samping Rasul. Masih ada Mus’ab bin Umair melindungi baginda. Masih ada lagi yang lain-lainnya.
Tetapi, itulah dia, Nusaibah bin Kaab. Srikandi gagah. Tetap tegar berdiri mempertahankan baginda. Diancam dengan serangan dan kematian, tidak menjadikan dia berundur ke belakang.
Bukan apa. Kerana dalamnya kecintaan beliau terhadap Rasul s.a.w. telah mengatasi segala-galanya.
Ketika tentera muslimin lain berperang dan menangkis serangan musyrikin dengan perisai, beliau menjadikan diri beliau sendiri sebagai perisai. Perisai Rasul s.a.w. Ibnu Qumaiah datang hendak membunuh Rasul s.a.w, beliau tetap tidak berganjak. Tetap menjadi perisai mempertahankan Rasul. Dipukul dan dihentam oleh Ibnu Qumaiah menyebabkan Nusaibah mengalami kecederaan.
Tetapi itu semua seolah-olah tidak ada apa-apa pun bagi Nusaibah. Dibandingkan dengan janji Rasul kepadanya, cedera dan luka mempertahankan baginda itu cuma ringan sahaja baginya. Tika Rasul menggembirakan beliau dengan janji syurga, beliau tanpa tangguh-tangguh lagi terus bergerak untuk menggapai janji Rasul itu. Katanya,
“Aku tidak hirau lagi apa yang menimpaku dari urusan dunia ini.”
_______________________________________________________________________
Itulah srikandi syurga yang sebenarnya, bidadari dunia yang ada harganya.
Tubuhnya itu taklah sekuat mana. Tetapi kerana kuatnya jiwa beliau dengan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka tubuh yang lemah itupun berubah menjadi kuat.
Bukannya permata-permata, perhiasan-perhiasan dunia yang jadi sumber kekuatannya.
Bukannya lelaki-lelaki gagah dan handsome jadi perhatiannya.
Bukan juga kecantikan dirinya yang jadi taruhan kehidupannya untuk merebut syurga Dia.
Tetapi, yang menjadi sumber kekuatan jiwanya adalah keimanannya yang benar serta cintanya yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya.
Bukan sekali itu sahaja perang yang disertainya, tetapi berkali-kali.
Tidak pernah serik. Tidak pernah ada rasa gentar. Meski luka berbelas jalur di tubuhnya, tetapi itu tidak menghentikannya. Bahkan menjadikan beliau lebih bersemangat berjuang mempertahankan Islam.
Sabda Rasul s.a.w. yang bermaksud :
“Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga) perkara itu padanya, nescaya dia akan memperolehi kemanisan iman (iaitu) :
1) Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selainnya
2) Dia mencintai seseorang kerana Allah
3) Dia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci untuk dilemparkan ke dalam api neraka”
[HR Bukhari Muslim]
Kekuatan jiwa seorang muslimah, adalah rahsia keteguhan ummah !
Kekuatan jiwa seorang muslimah, adalah rahsia keteguhan ummah !
0 comments:
Post a Comment