Wednesday, 22 February 2012

Bidadari Dunia Yang Telah Menembus Syurga


Wanita. Nampak seperti lemah. Nampak seperti tidak bermakna. Dahulunya dunia menjadikannya semata-mata hamba. Tidak kurang sebagai simbol seks. Bahkan ada peradaban terdahulu menganggap perempuan itu sebahagian dari syaitan kerana banyak membawa fitnah kepada kehidupan.
Tetapi Islam datang membawa sinar kemuliaan. Wanita diangkat mulia. Dijaga. Bahayanya diakui, tetapi mulianya tidak dihilangkan begitu sahaja. Wanita-wanita yang mengambil Islam sebagai cara hidup, terus menjadi seperti bidadari. Mahal. Berjalan di atas dunia dan dicemburui bidadari-bidadari Syurga.
Artikel ini sekadar menunjukkan cebisan-cebisan jejak Bidadari Dunia yang telah menembusi syurga. Semoga wanita-wanita yang masih hidup kini terasa mulia, dan ingin menjadi seperti mereka.
Hawwa di sisi Adam.
Saya suka menggunakan cerita ini untuk menunjukkan betapa ‘mahal’nya seorang wanita.
Adam itu diciptakan di dalam syurga, yang segala-galanya sempurna. Tetapi nyata, kesempurnaan syurga itu tidak mampu mengisi jiwanya. Terasa dia sunyi dan sepi, hinggalah akhirnya diwujudkan buatnya Hawwa.
Mahalnya wanita adalah seperti syurga. Itu pada saya. Sebab itu ada lelaki, mereka fikir bila dapat wanita, mereka dapat segalanya. Sebab itu ada lelaki, sanggup gadai segala benda hanya untuk dapatkan seorang wanita.
Hawwa mengisi kekosongan jiwa Adam yang berada di Syurga. Hawwa itu jugalah yang menemani Adam saat menempuh kehidupan yang sukar di dunia. Tanpa kita lupa, Hawwa jugalah antara sebab mengapa mereka diturunkan ke dunia.
Pada permulaan sejarah manusia, perempuan wujud sebagai pelengkap. Wanita tidak menjadi ‘pemula’ sebagaimana Adam. Tetapi nyata Hawwa adalah ‘pelengkap’ yang diperlukan oleh seorang pemula.
Tidakkah wanita hari ini belajar daripada Hawwa?
Dari situ jelas terserlah intipati utama mengapa perempuan itu dicipta.
Adam memerlukan Hawwanya!
Asiah Yang Menyelamatkan Musa.
Suami yang jahat tidak semestinya isterinya jahat juga, sebagaimana ironinya suami yang baik tidak semestinya baik isterinya. Begitulah Asiah di sisi Firaun. Sangat kontra sikap mereka, tetapi nyata Firaun amat-amat mencintainya. Dan tidaklah Allah SWT meletakkan Asiah di sisi Firaun, melainkan untuk memainkan watak yang amat penting dalam sejarah manusia.
Bidadari manakah yang menyelamatkan Nabi Allah Musa, kala Firaun bergerak hendak membunuh Musa yang masih bayi itu? Kalau bukan seorang Bidadari bernama Asiah. Bidadari yang berani berhadapan dengan Firaun yang terkenal bengis dan keras.
“Mungkin kita boleh mengambilnya sebagai anak angkat, sedang kita sendiri tidak punya anak. Masakan anak sekecil ini boleh membawa bencana kepada kita.”
Dan Musa AS membesar memenuhi takdirnya sebagai utusan Ilahi.
Manakala Asiah pula menjadi salah seorang yang percaya kepadaNya, sekaligus memperjuangkan Islam di dalam istana Firaun. Dengan tabah berusaha juga membawa suaminya ke arah kebenaran, walau akhirnya diseksa dengan penjara. Dia tetap adalah yang teguh berpegang kepada ajaran Tuhan, walau akhirnya di dalam penjara dia terseksa hingga kematian.
Mulianya Asiah hingga dia diabadikan di dalam Al-Quran:
“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” Surah At-Tahrim ayat 11.
Tetapi siapakah yang melihat bidadari dunia ini dan mencontohinya?
Hari ini kebanyakan wanita tidak diduga seperti dugaannya Asiah, tetapi telah awal-awal meninggalkan syariat Allah Ta’ala. Maka di manakah kemuliaan semahal syurga tadi? Murah terus berubah harganya selayak gaya peribadi.
Hajar Yang Membesarkan Ismail Itu.
Kita saban tahun akan mengulang kaji kisah Hajar ketika musim Raya Haji. Tetapi wanita manakah di dunia ini yang ingin mencontohi bidadari dunia ini. Inilah dia sayap kepada Ibrahim, dan murabbiah kepada Ismail.
Akhlak cantik Ismail bukanlah tumpahan tarbiyah Ibrahim, tetapi adalah daripada tangan wanita mulia bergelar Hajar ini. Inilah dia wanita yang tidak meraung apabila ditinggalkan suaminya kerana Ilahi. Inilah dia bidadari yang kepercayaannya kepada Allah teramatlah tinggi.
Tiadalah dia apabila ditinggalkan suaminya itu, mendidik anak agar membenci pasangannya yang meninggalkan. Tetapi dia tulus mendidik Ismail agar menjadi taat dan percaya kepada Tuhan. Lantas apabila Ibrahim AS pulang kembali membawa berita untuk melakukan korban nyawa Ismail, Ismail yang dididik Hajat menjawab dengan jawapan yang tenang dan mulia.
Tidakkah kita membaca kisah itu di dalam Al-Quran?
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” Surah As-Saffat ayat 102.
Apakah Ismail automatik menjadi sedemikian rupa?
Tidak. Tetapi berkat didikan Hajar, kesabarannya, kecekalannya, ketabahannya, keimanannya, keyakinannya.
Itulah dia Bidadari Dunia.
Dan siapakah dari kalangan saudari-saudari saya yang ingin menjadi seperti Hajar pada hari ini?
Dan Di Sisi Rasulullah Itu Bidadari-bidadari Baginda.
Tidakkah kita sering membaca Sirah, bagaimana Rasulullah SAW ketika pertama kali menerima wahyu?
Baginda pulang ketakutan dan siapakah yang menenangkan baginda?
Bukankah seorang bidadari dunia bernama Khadijah?
“Jangan takut. Sesungguhnya amat mustahil Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya engkau adalah yang menghubungkan silaturrahim, membantu yang sengsara, mengusahakan barang keperluan yang masih belum ada, memuliakan tetamu dan membantu orang menegakkan kebenaran.”
Bukankan bidadari dunia itu yang berada di sisi baginda?
Bidadari Dunia itu jugalah yang memberikan baginda harta untuk diperjuangkan di jalan Allah SWT. Bidadari Dunia itulah yang menemani baginda saat dipulau selama 3 tahun 3 bulan.
Jika kita selak lagi lembaran sirah, tidakkah kita kenal dengan seorang lagi bidadari dunia bergelar Ummu Salamah, salah seorang dari Ummul Mukminin, isteri baginda SAW?
Saat Rasulullah SAW buntu mengapa kaum Muslimin tidak menuruti perintahnya untuk melaksanakan penyembelihan binatang qurban dan bercukur kerana tidak dapat melaksanakan umrah pada tahun berlakunya Perjanjian Hudaibiyah, bukankah Bidadari Dunia bernama Ummu Salamah inilah yang memberikan nasihat:
“Wahai Nabi Allah, apakah engkau menginginkan perintah Allah ini dilaksanakan oleh kaum muslimin? Keluarlah engkau, kemudian janganlah mengajak bicara sepatah kata seorang pun dari mereka sampai engkau menyembelih qurbanmu serta memanggil tukang cukur yang mencukurmu.”
                Bila Rasulullah SAW melaksanakannya, barulah kaum Muslimin rasa bersalah kerana tidak menghiraukan perintah baginda, dan mula mengikut apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
                Semua ini adalah Bidadari Dunia.
                Yang beriman kepada Allah SWT. Yang jelas akan matlamat mereka berada di atas dunia. Pada mereka ada ketabahan, kekentalan, yang menjadi pakej lengkap untuk mengiringi seseorang yang hebat. Bukanlah mereka itu sekadar hiasan, tetapi merupakan pembantu dan pelengkap yang diperlukan.
                Maka siapakah yang mencontohi mereka?

Dan Muhammad Al-Fateh itu dibesarkan Bidadari Dunia Yang Berwawasan.
Tiada siapa yang mengetahui bahawa Muhammad Al-Fateh adalah yang akan membuktikan profesi Rasulullah SAW di dalam hadith baginda berkenaan pembukaan Konstantinopel menjadi kenyataan.
Tiada siapa yang tahu.
Tetapi seorang bidadari dunia, yang telah mengandungkan Muhammad Al-Fateh selama 9 bulan 9 hari punya wawasan yang tinggi untuk menjadikan anaknya sebagai pemecah profesi tersebut.
Saban hari, sejak dari Muhammad Al-Fateh di dalam gendongan, Ibunya akan membawanya ke tempat yang tinggi menghadap ke Konstantinopel, lalu membaca hadith Rasulullah SAW yang masyhur:
“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.” Hadith Riwayat Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335.

Dari kecil, bidadari dunia inilah yang membina seorang Muhammad Al-Fateh dengan harapan dan inspirasi. Agar anak itu punya wawasan dan fokus, punya cita-cita yang tulus. Mahu menjadi sebaik-baik pemimpin yang mampu membina sebaik-baik tentera bagi merealisasikan apa yang Rasulullah SAW kata.
Maka di manakah saudari-saudari saya pada hari ini, yang mahu merealisasikan 1001 janji Allah SWT dan RasulNya bagi mereka yang tunduk dan mentaati?
Penutup: Itulah dia segelintir daripada mereka.
Baru beberapa. Tetapi sudah mampu menakjubkan kita. Begitulah dia wanita-wanita di dalam Islam. Cekal. Indah. Tabah. Mantap. Mahal. Apakah persamaan antara mereka ini? Iman. Islam. Hubungan dengan Allah SWT. Kejelasan matlamat hidup. Itulah yang membuatkan mereka menjadi mereka. Bukan kerana mereka ini wanita. Tetapi adalah kerana mereka ini wanita yang tunduk kepadaNya. Itulah dia Bidadari Dunia!
Maka di manakah wanita-wanita hari ini dalam menjadi Bidadari Dunia?
Siapakah yang mereka contohi dan dijadikan ikutan dalam meniti kehidupan di atas dunia?
Atau mereka tidak lagi merasa mahal dan terus memurahkan diri mereka? Melanggar peraturan Allah SWT, dan merosakkan pula yang berada di sekeliling mereka?
Sesungguhnya telah kita saksikan kewujudan Bidadari-Bidadari Dunia. Mereka adalah yang telah menembusi syurga. Maka siapakah yang ingin mengikuti jejak langkah mereka?
Atau kita masih mahu menjadikan yang tidak sepatutnya sebagai contoh ikutan kita?
Wahai saudari-saudariku,
menjadilah Bidadari Dunia!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...