Wednesday 11 July 2018

Anak Syurga


Dalam suatu peristiwa, Rasulullah SAW dibawa malaikat untuk melihat suasana di dalam Syurga. Antara yang baginda lihat ialah seorang lelaki tinggi yang di sekeliling dipenuhi kanak-kanak. Malaikat menerangkan kepada Nabi:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الطَّوِيلُ الَّذِي فِي الرَّوْضَةِ فَإِنَّهُ إِبْرَاهِيمُ صلى الله عليه وسلم وَأَمَّا الْوِلْدَانُ الَّذِينَ حَوْلَهُ فَكُلُّ مَوْلُودٍ مَاتَ عَلَى الْفِطْرَةِ ‏

Maksudnya: Adapun lelaki yang tinggi itu di dalam Raudhah ialah Ibrahim SAW, dan sekeliling baginda itu ialah wildan (anak yang meninggal dunia pada waktu kecil). Maka semua yang dilahirkan pada waktu kecil itu mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). | Hadis riwayat al-Bukhari (7047)

Hadis ini menunjukkan bahawa anak-anak yang meninggal pada waktu kecil dalam penjagaan Nabi Ibrahim AS di dalam syurga.

Anak-anak kecil ini mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada Ibu bapa mereka, dengan izin Allah. Daripada Abu Hassan RA:

عن أبي حسان قال : قلتُ لأَبِي هُرَيْرَةَ : إنَّه قَدْ مَاتَ لِي ابنانِ ، فَمَا أَنْتَ مُحَدِّثِي عَنْ رَسُولِ اللهِ بِحَدِيْثٍ تُطَيِّبُ بِهِ أَنْفُسَنَا عَنْ مَوْتَانَا ؟ قالَ : نَعَمْ ، صِغَارُهُم دَعَامِيْصُ الجَنَّةِ ، يَتَلَقَّى أَحَدُهُم أَبَاهُ - أَوْ قَالَ أَبَوَيْهِ - فَيَأْخُذُ بِثَوْبِهِ ، - أَوْ قَالَ بِيَدِهِ - كَمَا آخُذُ أَنَا بِصَنَفَةِ ثَوْبِكَ هذا ، فَلا يَتَنَاهَى حتى يُدخِلَه اللهُ وَأَبَاهُ الجَنَّةَ

Maksudnya: Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku kecilku yang telah meninggal dunia, “Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?” Jawab Abu Hurairah, “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka, atau ibu bapa, lalu menarik bajunya, atau menarik tangannya, seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga." | Hadis riwayat Imam Muslim (2435)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:
“Da`amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du`mūs yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air, mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.” | Rujuk kitab Syarh Muslim (16/182)

Berkata Ibn al-Athir Rahimahullah:
“Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat, seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka.” | Rujuk kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar (2/289).

Dalam kenangan,
Anak syurga m.long :')
Umar Rusyduddin
6 Julai 2018



Monday 2 July 2018

Serahkan Urusan Anakmu KepadaNya




Al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah mengatakan bahawa :

"Di antara akhlaknya para Solihin ialah mereka menyerahkan segala urusan diri mereka, anak-anak mereka serta Ahli keluarga mereka kepada Allah taala."

Urusan pembelajaran serta penyusunan kehidupan anak-anak mereka serahkan sepenuhnya kepada Allah taala.

Jika mereka meletakkan bahawa anak-anak mereka akan menjadi serta berjaya jika mereka yang menyusun masa depan anaknya maka Allah taala akan menguji mereka dengan anak-anak mereka sendiri.

Anak-anak terkadang tidak menjadi seperti yang mereka inginkan.

Para Ulama lebih-lebih lagi diuji dengan perkara ini. Ini kerana mereka sering mengajarkan kepada Ummat tentang penyerahan sepenuhnya kepada Allah taala dalam segala urusan.

Al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah sendiri mengatakan bahawa beliau diuji dengan anaknya Abdul Rahman yang sangat tidak berminat dengan Ilmu. Pada suatu malam beliau diberi ilham oleh Allah taala untuk berdoa dan menyerahkan urusan anaknya kepada Allah taala. Seketika itu juga dilihat anaknya Abdul Rahman mula memegang kitab dan keesokkannya menghadiri Majlis para Ulama sehingga akhirnya beliau menjadi salah seorang Ulama pada zamannya.

Al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah juga menjelaskan kenapa anak-anak sebahagian para Ulama terkadang tidak mengikuti jalan para bapa mereka berbeza dengan anak-anak orang biasa yang bersungguh-sungguh menuntut Ilmu. Kata beliau :

" Ini kerana anak-anak ini lahir dalam keadaan melihat bapa mereka telah dimuliakan, maka mereka tidak perlu bersusah payah mencari kemuliaan tersebut. Cukup berpada dengan kemuliaan bapanya.

Berbeza dengan anak-anak petani dan masyarakat biasa, mereka lahir dalam keadaan melihat ayahnya tidak dimuliakan seperti dimuliakan para Ulama. Malah terkadang dihina dan dipermainkan. Maka mereka perlu mencari kemuliaan. Tidak ada kemuliaan yang lebih besar dibandingkan Ilmu. Maka mereka lalu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu sehingga beroleh kemuliaan"

Saya berkata:

" Terkadang kita menjadi hairan , kenapa sebahagian anak-anak para Ulama, para Ustaz bersikap dengan sikap yang tidak menggambarkan bahawa mereka adalah anak orang-orang yang mulia?

Maka kenyataan al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah ini memberikan gambaran jelas terhadap perkara tersebut.

Ini ujian dan teguran daripada Allah taala agar mereka kembali menyerahkan urusan keluarganya kepada Tuhan Yang membolak-balikkan hati hambaNya.

Saya setelah bertemu dengan kenyataan ini di dalam kitab Tanbihul Mughtarrin karangan al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah maka setiap kali berdoa saya akan menyebut bahawa saya menyerahkan urusan anak-anak kesayangan saya ini kepadaNya. Dia lebih mengetahui mana yang terbaik untuk hambaNya."

Semoga anak-anak Kita sentiasa dipandang dengan pandangan Kasih oleh Allah taala dan Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Moga mereka selamat di zaman mereka yang penuh dengan cabaran dan fitnah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...