Friday 27 July 2012

Doa-Doa Ibu



Nabi Musa AS bermunajat kepada Allah SWT, “Ya Allah, tunjukkanlah siapa yang akan menjadi kawanku kelak di syurga?” Kemudian Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, orang pertama yang melewati engkau di jalan ini dialah kawanmu di syurga”.

Tidak lama selepas itu, seorang pemuda melintasi di depan Nabi Musa, maka beliau mengikutinya untuk mengetahui apa amalan pemuda tadi sehingga dia mendapat kedudukan mulia di syurga, berdampingan dengan para Nabi.

Beberapa langkah berlalu, kemudian si pemuda memasuki sebuah rumah, dia duduk bersimpuh di depan seorang wanita tua, lalu mengeluarkan sepotong daging dan memanggangnya, kemudian setelah cukup masak dia menyuapi wanita tua itu dengan perlahan dan penuh kasih sayang. Setelah selesai dia menuangkan air ke mulut wanita itu dan keluar.

Nabi Musa bertanya, “Demi Kebesaran Allah, siapakah wanita ini?”, si pemuda yang belum tahu siapa yang bertanya ini menjawab, “dia adalah ibuku”. Nabi Musa bertanya lagi, “Apakah dia tidak mendoakan kamu?”, “Ya, dia selalu mendoakan saya setiap hari dengan satu doa, tidak pernah diganti dengan doa lain”, jawab pemuda itu.

“Apa doa yang dipanjatkannya?”, Tanya Nabi Musa lebih lanjut. Dia menjawab, “Ibuku itu berdoa, Ya Allah jadikanlah anakku ini bersama Musa bin ‘Imran di syurga”.

Nabi Musa senang dengan doa ini dan terlihat kegembiraan menyelimuti wajah beliau, lalu berkata, “Wahai pemuda, bergembiralah, Allah telah mengabulkan doa ibumu, akulah Musa bin ‘Imran”.

Jika kita menyemak kisah ini, tentunya dapat dibuat sebuah kesimpulan, bahawa anak yang berbakti kepada orang tuanya terutama ibu, pasti akan mendapat balasan yang layak baginya, iaitu syurga.

Begitulah kita mengetahui, bahawa syurga berada di bawah telapak kaki ibu. Dan doa orang tua kepada anaknya pasti dikabulkan oleh Allah. Dalam atsar disebutkan:
“Doa orang tua untuk anak seperti doa para Nabi untuk umatnya”.

Thursday 19 July 2012

Damailah Dalam Pelukanku


KESEPIAN
Malam minggu yang tenang. Sementara si comel baru tidur setelah penat bermain, aku mencari masa mengisi aktivitiku.
“Ma…..ma….ehek…ehek…”
Rengekan si comel menyentap salur separuh bulat telingaku. Aku lantas bergegas masuk ke kamar tidur. Terletak bersebelahan dengan perpustakaan mini, tempatku berkarya.
Dalam suramnya cahaya lampu tidur, sinar wajahnya kemilau. Pandanganku menyimbah kasih. Dia tampak kesedihan. Memerlukanku.
Apabila tanganku menepuk belakangnya, dia pantas terlena semula. Tenang. Mimik mukanya seakan cuba memberitahuku,
“Ummi, temankanlah.”. Kusedar dia perlukan waktu untuk mengerti tentang kegelapan dan kesepian. Moga ia damai dalam pelukanku.
Dari alam rahim yang akrab denganku, dia hadir ke dunia yang asing ini. Tanpa mengerti suatu apa pun. Kubacakan doa buatnya lalu kuhembus ke ubun-ubun. Terima-kasih Allah kerana sudi mengingatkanku agar mendoakan pinjaman-Nya ini. Doa seorang ibu tinggi di sisi Ilahi. Terasa nikmat menjadi ibu.
Damai ku merenung wajah bersih sedang beradu. Kelak, di alam barzakh, aku sangat kebulurkan doanya. Aku yakin, jika seorang ibu ingin mendidik anaknya mendoakan ibubapanya, ibubapa terlebih dahulu kena rajin mendoakan anak. Didikan melalui tauladan.

SUSU TERBAIK DI DUNIA
Aku kembali ke perpustakaan mini. Baru menyapa kerusi, melodi manja kembali kedengaran. Kali ini bukan rengekan tapi tangisan.
“Aaaaaaaaaaaaaaaa’…”
Tangisan itu menandakan si comel ingin memberitahuku salah satu daripada tiga perkara:
1.Inginkan susu.
2.Lampin basah.
3.Perut kembung.
Dia inginkan susu. Aku membuat tafsiran. Sesaatpun aku tidak bertangguh. Jika nanti aku tidak mahu anakku bertangguh pada panggilanku, aku perlu terlebih dahulu menunjukkan contoh tidak bertangguh pada panggilannya. Pantas ku mendapatkan si jantung hati. Kusuakan susu terbaik di dunia buatnya, susu ibu.

Subhanallah! Ajaib kumelihat bayi kecil ini menghisap. Allah yang maha penyayang memberi hidayah semulajadi untuknya belajar tanpa diajar. Gifted konowledge. Walau seperit mana cabaran, aku akan berjuang untuk memberikan hak susu terbaik di dunia buat anakku. Seboleh-bolehnya hingga dua tahun penuh. Ku yakin, susu ibu memberi kesan besar terhadap kekuatan antibodi, kestabilan emosi, kelembutan pekerti dan kecerdasan aqli.

PELUKAN SI KECIL
Ritma lembut tepukan ibu ternyata memberi keselesaan padanya. Kaki kecilnya diangkat dan sekan cuba memelukku. Kurapatkan badanku dengan badannya agar dia berasa begitu dekat denganku bagaikan berada di rahim ibu. Kepalanya tenang mendekat ke jantungku. Bunyi hisapannya menghiburkan.
Bayiku kenyang. Alhamdulillah. Kugosok-gosok belakangnya. Dia terlena. Kucium berkali-kali. Doa kuhembus ke ubun-ubunnya. Perlahan-lahan aku bangun meninggalkannya. Tugasanku di meja studi perlu dibereskan.

SEKSANYA MAYAT BAYI INI
Dalam longgokan buku, terselit senaskhah akhbar. Tarikhnya sudah melewati beberapa hari namun belum sempat kubaca semuanya. Bebola mataku terpanah ke satu tajuk, “Seksanya mayat bayi ini.” Kelihatan gambar mayat bayi dalam keadaan ngeri, dicakar-cakar dan terputus tangan. Belum membaca isinya, air mataku berderai. Sejak bergelar ibu, hatiku mudah tersentuh dan mataku mudah hujan. Kuteruskan bacaan.
Astargfirullah! Seorang remaja sanggup membuang anaknya yang baru lahir di tepi jalan. Apa yang berlaku? Bayi yang sedang menangis ketakutan itu menjadi habuan anjing-anjing liar.
Seorang pemuda ternampak seekor anjing penuh kurap menggonggong tangan kecil bayi. Anjing-anjing lain mengerumuni badannya. Daging si kecil dirobek-robek.
Astragfirullah! Astragfirullah! Air mataku  tak tertahan. Aku rasakan ia angkara zina. Alangkah jijiknya dosa zina yang membawa kepada dosa pembunuhan.

RAYUAN SI COMEL
“Ma…..ma….ehek…ehek…”
Si comelku memanggil. Aku mendapatkannya. Hatiku masih remuk rendam. Simpati melihat puteriku gelisah keseorangan. Takut kesepian.Terbayang-bayang bayi malang itu memanggil-manggil ibunya ketika ditinggalkan.
Mohon simpati.
Mohon dikasihani.
Mohon dibawa bersama.
Namun, apakan daya, si kecil tak mampu berkata-kata. Bicaranya hanya lewat tangisan..
‘Ibu…dunia ini asing bagiku. Jangan tinggalkan aku kesepian. Aku takut duhai ibu. Segala yang ada di sekelilingku terasa suatu ancaman kecuali dakapamu, ibu.
Kenapa membuangku?
Apa dosaku?
Tidak cukupkah ibu membuang Allah dari hidupmu selama ini?
Ibu mahu membuang Allah sekali lagi dengan membuang diriku?
Bukankah diriku satu peluang pahala buatmu agar ibu kembali pada-Nya semula?’
Ku yakin, tangisan sarat rayuan seorang bayi pasti menghantui remaja itu sepanjang usia. Ironinya, itu hanyalah salah satu kes daripada ribuan kes pembuangan bayi di Malaysia. Makin bertambah dan makin dahsyat caranya saban hari. Petanda kiamat hampir tiba.

BICARA HATIMU
Setiap insan sebenarnya ingin menjadi seorang ibu atau bapa yang bertanggung jawab terhadap bayinya. Memeluk manja dan memberi perhatian. Fitrah insan begitu. Hanya dengan perkahwinan yang halal dapat memberikan keberkatan nikmat jiwa menjadi ibu atau bapa. Jalan zina hanya mendorong dirimu menyahkan si comel yang tak berdosa.
Remaja di luar sana, kurayu padamu, jauhilah zina. Kenikmatan sementara itu hanya menatijahkan derita selama-lamanya. Allah tidak menyuruh membunuh fitrahmu sebaliknya Dia membentangkan cara halal yang lebih indah untuk menyalurkan fitrahmu itu. Pilihlah cara mulia dan bermaruah. Mendekati zina hanyalah membawa dirimu dekat dengan bahaya. Kau pasti tak berdaya.
Buat remaja yang sudah terjebak dalam zina, bertaubatlah segera selagi Dia masih memberi peluang. Andai kau ditakdirkan mempunyai zuriat, jadikan dia bak emas bernilai. Tumpahkan kasih-sayang dan pengorbanan. Moga-moga ia boleh menjadi sebab untuk 'membeli' sebuah keampunan.
Tolonglah, jangan dibuang! Damaikan si kecil itu dalam pelukanmu. Kasihanilah dia agar nanti Allah kasihan padamu.

Tuesday 10 July 2012

Halimah Di Hati Muhammad



    Warna alam berubah daripada kuning kepada oren. Waktu Asar menjelma. Halimah tiba di kampung halaman. Tanah tandus menyambut kehadiran bayi mulia.
Emmbekkkk…
Bunyi kambing-kambingnya terdengar ceria. Ia baru pulang dari tempat gembalaan. Halimah menjengukkan kepala bagi meninjau binatang-binatang berjasa itu.
“Ya Allah!”
Halimah terkejut melihat kantung susu kambing-kambingnya bengkak. Susu bertitis-titisan minta diperah. Halimah melihat pula kambing-kambing jirannya. Kurus-kering dan tidak bertenaga.
“Keberkatan apakah ini?” Halimah teruja.
Hari seterusnya, jiran-jiran Halimah menggembalakan kambing mereka di tempat kambing-kambing Halimah digembala. Mereka berharap moga-moga keberkatan itu menempias kepada kambing mereka juga.

Kampung Bani Saad Menjadi Subur

Selama 2 tahun bayi kecil bernama Muhammad membesar dalam pelukan Halimah, keluarga itu dilimpahi rezeki yang mencurah-curah. Tanah gersang menjadi subur. Kambing kurus menjadi gemuk. Tanam-tanaman ceria disirami hujan.
Halimah kagum dengan Muhammad. Kebanyakan bayi seusianya tidak mahu makan makanan lain selain susu ibu hinggalah berusia dua tahun. Tapi Muhammad berbeza. Sebelum berusia dua tahun, dia sudah pandai menyesuaikan diri dengan makanan pelengkap. Halimah menceraikan Muhammad daripada susuannya ketika usianya genap dua tahun.
Kasih Halimah kepada Muhammad semakin mengakar teguh hari demi hari. Namun janji tetap janji. Halimah tahu dia perlu menghantar Muhammad ke pangkuan ibunya.

Berwawasan Jauh

Sepanjang perjalanan menuju ke Makkah, Halimah berasa sebak dan sayu. Seakan tidak sanggup untuk berpisah dengan bayi itu. Bukan semata-mata disebabkan oleh naluri kasih bahkan juga kerana risaukan risiko masa depan Muhammad andai ia membesar di Makkah.
Saat berjumpa Aminah, Halimah merayu, “Kami harap anak ini tetap bersama kami. Kami khuatir lingkungan Makkah akan memberi pengaruh buruk kepadanya.”
Sebagai seorang ibu yang sangat cintakan anaknya, Aminah rasa keberatan untuk melepaskan Muhammad sekali lagi. Namun dia lebih memikirkan masa depan Muhammad. Dia kagumi sikap Halimah yang berpandangan jauh.
Aminah terfikir, andai Muhammad membesar di kawasan perkampungan, bahasa Arabnya akan menjadi lebih fasih dan lancar. Bahasa yang ada di Makkah bercampur dengan pelbagai bahasa pengunjung kaabah yang datang dari pelbagai arah. Lagipun, tanpa sokongan vaksin, penyakit senang merebak di Makkah tika itu.
Aminah merelakan putera tercinta kembali semula ke perkampungan Bani Saad. Halimah ternyata sangat gembira.

Malaikat Pakar Bedah

                Putera Halimah  berlari tergopoh-gapah. Badannya seram sejuk dan menggeletar. Wajahnya sangat ketakutan.
“Ibu!!!!!Ayah!!!!” Dari jauh dia menjerit-jerit.
Halimah dan suaminya mendapatkan puteranya itu.
“Ibu, ayah, Muhammad ditangkap dua orang lelaki berpakaian putih. Dia ditidurkan, lalu perutnya dibuka. Kedua orang itu mengeluarkan sesuatu dari perut Muhammad,” adu anak Halimah.
Halimah dan suaminya cemas. Mereka mencari Muhammad di kawasan belakang khemah. Mereka mendapati Muhammad berdiri sendirian dengan wajah pucat. Dia nampak ketakutan. Halimah mendakapnya.
“Apa yang terjadi, nak?” tanya Halimah.
Muhammad bercerita, “Saya didatangi dua orang lelaki berpakaian putih. Saya ditidurkan, lalu mereka membelah perut saya. Mereka mengeluarkan sesuatu dari perut saya.”
Halimah dan suaminya membawa Muhammad masuk ke rumah. Mereka berusaha menenangkan perasaan Muhammad.
Suaminya berbisik, “Abang takut anak ini kerasukan jin. Baik kita hantarkan saja kepada keluarganya sebelum dia menjadi gila.”

Terdengar Petanda Kenabian

                Halimah dan suaminya bergegas ke Makkah. Tika itu usia Muhamamd dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Mereka berterus-terang menyatakan hasrat untuk mengembalikan Muhammad kepada Aminah.
Aminah kehairanan. Dia berkata,
“Bukankah dulu kamu merengek-rengek mahu menjagakan Muhammad?”
Halimah menjawab, “Saya takut terjadi apa-apa kepada Muhammad.”
Aminah curiga dengan kenyataan itu. Dia mendesak Halimah menceritakan apa yang sebenarnya telah berlaku ke atas Muhammad.
“Dia pernah disentuh jin,” cerita Halimah berdasarkan sangkaannya.
“Tidak mungkin! Jin dan syaitan tidak akan mampu menyentuhnya. Anakku ini mempunyai keistimewaan sejak sebelum dilahirkan. Kalian mahu tahu?” bongkar Aminah.
Halimah mengangguk. Aminah lalu bercerita,
“Saat aku mengandungkannya, ada cahaya terang yang keluar dari perutku. Dari cahaya itu, aku mampu melihat istana Bushrah di Wilayah Syam. Aku juga merasa ringan, seakan tidak hamil. Saat dia lahir, saat tangannya menyentuh alas tidur, kepalanya mendongak ke langit.” (Sirah Ibnu Hisyam, riwayat Abu Ya’la dan Thabrani).
Halimah kemudiannya pulang dengan kerinduan yang berat untuk ditanggung.

Halimah di Hati Nabi

                Muhammad kini menginjak dewasa. Membesar dalam keadaan yatim piatu kerana ibunya meninggal ketika dia berusia 6 tahun. Tatkala usianya mencecah 25 tahun, baginda bernikah dengan puteri bangsawan bernama Khadijah, bosnya sendiri.
                Selang beberapa waktu, Halimah datang menemui anak susuannya. Halimah bergembira dengan perkahwinan mereka. Halimah berkongsi kisah duka tentang Kampung Bani Saad yang sedang ditimpa kemarau dan kebulur.
                Khadijah mendengar berita itu. Beliau yang tidak mempunyai ibu mentua untuk berbakti dapatlah memanfaatkan peluang berbakti kepada ibu mentua susuan. Khadijah menghadiahkan 20 ekor kambing dan 20 ekor unta kepada Halimah.
                Halimah terharu. Dulu, dia hampir tidak mahu mengambil Muhammad sebagai anak susuan kerana bimbang tiada upah tinggi yang bakal diterima. Muhammad kan anak yatim. Namun, dia positifkan fikiran. Dengan kuasa Allah, harta berganda-ganda yang diterimanya setelah Muhammad dewasa. Inilah namanya keberkatan. Ia sering datang di luar jangka.

Anak Susuannya Seorang Nabi

                Siapa tidak bangga jika anak yang disusui sejak kecil berjaya menjadi orang besar? Halimah lebih layak berbangga apabila anak yang disusuinya diangkat menjadi seorang Nabi dan Rasul terakhir.
                Selepas terdengar berita kenabian Muhammad, Halimah berangkat meninggalkan kampungnya. Tidak sabar menyatakan keimanannya kepada Muhammad. Terngiang-ngiang memori silam tatkala puteranya menjadi saksi terhadap perkara aneh yang menimpa Muhammad.
                Rasulullah menyambut kedatangan Halimah dengan sambutan hangat. Baginda melepaskan kain serbannya dan dihampar ke tanah. Moga tiada debu yang menghinggapi ibu mulia itu tatkala ia duduk. Sahabat teruja dan kagum melihat sendiri peribadi Nabi.
                Halimah meninggal di Madinah dan dikebumikan di makam Baqi’.

Usrah Cinta



Rasa rindu-rindu itu
Rasa kasih sayang itu
Rasa tanggungjawab itu
Rasa bahagia itu
Rasa syukur itu
Rasa teruja ketika itu
Rasa ikatan itu
Rasa kebersamaan itu
Rasa keserasian itu
Rasa keikhlasan hati-hati itu

Ahh,
Rasa itu buat saya jatuh cinta.. =’)

-Doa Rabhitah-

Ya Allah,
Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah
-berkumpul kerana mengasihiMu,
-bertemu untuk mematuhi perintahMu,
-bersatu memikul beban dakwahMu,
-hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat
 Dan menyokong syari’atMu.
-maka eratkanlah ikatannya.
-Kekalkanlah kemesraan hati-hati ini.
-Tunjukkanlah kepada hati-hati ini jalannya yang sebenar.
-Penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tiada kunjung padam.
-Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman,
-dan keyakinan serta keindahan tawakkal kepadaMu.
-suburkan hati-hati ini dengan pengetahuanMu yang hakiki.
-jika engkau takdirkan kami mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan  agamaMu.
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah. Amin. Sampaikanlah kesejahteraan, ya Allah, pada junjungan kami, Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabatnya dan limpahkanlah kepada mereka keselamatan..


Monday 2 July 2012

Madah Cinta



Suatu hari di zaman tabiin, seperti hari-hari biasa, mereka berbicara mengenai kecintaan kepada Allah (mahabbatullah). Masing2 meluahkan pandangan mereka mengenai kasih dan cinta kepada Al-Khaliq. Tiba giliran seorang lelaki paling muda antara mereka, apabila ditanya pendapatnya menngenai kecintaan kepada Allah, lelaki itu diam sejenak, pandangannya ditundukkan dan air matanya mula bergenang. Beberapa ketika, dia mengangkat wajahnya seraya bermadah dengan suara yang tersekat2 menahan sendu...

عبد ذاهب عن نفسه
متصل بذكر ربه
قائم بأداء حقه
ناظر في قلبه

وإن تكلم فبالله
وإن نطق فعن الله
وإن تحرك فبأمر الله
وإن سكن فمع الله
فهو بالله لله مع الله

Seorang hamba pergi meninggalkan nafsunya,
Sentiasa terikat dengan zikr tuhannya,
Sentiasa segera menunaikan hak-hak-Nya,
yang melihat tuhannya melalui hatinya.

Jika dia bercakap, maka dengan Allah, (dgn nama Allah)
jika dia berkata-kata, perkataannya hanya tentang Allah,
jika dia bergerak hanyasanya dengan perintah Allah
dan jika dia berdiam diri, dia tetap bersama Allah.
Maka jadilah dirinya dengan Allah, untuk Allah dan bersama Allah.

Maka bergenang air mata setiap yang hadir mendengar madah lelaki tadi. Hati mereka semakin cinta, sayang dan rindu untuk berjumpa Tuhan mereka. Lelaki itulah seorang pemuda yang terkenal dengan kezuhudannya, 

Abu al-Qasim al-Junaid al-Baghdadi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...