Warna alam berubah daripada kuning
kepada oren. Waktu Asar menjelma. Halimah tiba di kampung halaman. Tanah tandus
menyambut kehadiran bayi mulia.
Emmbekkkk…
Bunyi kambing-kambingnya
terdengar ceria. Ia baru pulang dari tempat gembalaan. Halimah menjengukkan
kepala bagi meninjau binatang-binatang berjasa itu.
“Ya Allah!”
Halimah terkejut melihat kantung
susu kambing-kambingnya bengkak. Susu bertitis-titisan minta diperah. Halimah
melihat pula kambing-kambing jirannya. Kurus-kering dan tidak bertenaga.
“Keberkatan apakah ini?” Halimah
teruja.
Hari seterusnya, jiran-jiran
Halimah menggembalakan kambing mereka di tempat kambing-kambing Halimah
digembala. Mereka berharap moga-moga keberkatan itu menempias kepada kambing
mereka juga.
Kampung Bani Saad Menjadi Subur
Selama 2 tahun bayi kecil
bernama Muhammad membesar dalam pelukan Halimah, keluarga itu dilimpahi rezeki
yang mencurah-curah. Tanah gersang menjadi subur. Kambing kurus menjadi gemuk.
Tanam-tanaman ceria disirami hujan.
Halimah kagum dengan Muhammad.
Kebanyakan bayi seusianya tidak mahu makan makanan lain selain susu ibu
hinggalah berusia dua tahun. Tapi Muhammad berbeza. Sebelum berusia dua tahun,
dia sudah pandai menyesuaikan diri dengan makanan pelengkap. Halimah
menceraikan Muhammad daripada susuannya ketika usianya genap dua tahun.
Kasih Halimah kepada Muhammad
semakin mengakar teguh hari demi hari. Namun janji tetap janji. Halimah tahu
dia perlu menghantar Muhammad ke pangkuan ibunya.
Berwawasan Jauh
Sepanjang perjalanan menuju ke
Makkah, Halimah berasa sebak dan sayu. Seakan tidak sanggup untuk berpisah
dengan bayi itu. Bukan semata-mata disebabkan oleh naluri kasih bahkan juga
kerana risaukan risiko masa depan Muhammad andai ia membesar di Makkah.
Saat berjumpa Aminah, Halimah
merayu, “Kami harap anak ini tetap bersama kami. Kami khuatir lingkungan Makkah
akan memberi pengaruh buruk kepadanya.”
Sebagai seorang ibu yang sangat
cintakan anaknya, Aminah rasa keberatan untuk melepaskan Muhammad sekali lagi.
Namun dia lebih memikirkan masa depan Muhammad. Dia kagumi sikap Halimah yang
berpandangan jauh.
Aminah terfikir, andai Muhammad
membesar di kawasan perkampungan, bahasa Arabnya akan menjadi lebih fasih dan
lancar. Bahasa yang ada di Makkah bercampur dengan pelbagai bahasa pengunjung
kaabah yang datang dari pelbagai arah. Lagipun, tanpa sokongan vaksin, penyakit
senang merebak di Makkah tika itu.
Aminah merelakan putera tercinta
kembali semula ke perkampungan Bani Saad. Halimah ternyata sangat gembira.
Malaikat Pakar Bedah
Putera Halimah berlari
tergopoh-gapah. Badannya seram sejuk dan menggeletar. Wajahnya sangat
ketakutan.
“Ibu!!!!!Ayah!!!!” Dari jauh dia
menjerit-jerit.
Halimah dan suaminya mendapatkan
puteranya itu.
“Ibu, ayah, Muhammad ditangkap
dua orang lelaki berpakaian putih. Dia ditidurkan, lalu perutnya dibuka. Kedua
orang itu mengeluarkan sesuatu dari perut Muhammad,” adu anak Halimah.
Halimah dan suaminya cemas.
Mereka mencari Muhammad di kawasan belakang khemah. Mereka mendapati Muhammad
berdiri sendirian dengan wajah pucat. Dia nampak ketakutan. Halimah
mendakapnya.
“Apa yang terjadi, nak?” tanya
Halimah.
Muhammad bercerita, “Saya
didatangi dua orang lelaki berpakaian putih. Saya ditidurkan, lalu mereka
membelah perut saya. Mereka mengeluarkan sesuatu dari perut saya.”
Halimah dan suaminya membawa
Muhammad masuk ke rumah. Mereka berusaha menenangkan perasaan Muhammad.
Suaminya berbisik, “Abang takut
anak ini kerasukan jin. Baik kita hantarkan saja kepada keluarganya sebelum dia
menjadi gila.”
Terdengar Petanda Kenabian
Halimah dan suaminya bergegas ke
Makkah. Tika itu usia Muhamamd dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Mereka
berterus-terang menyatakan hasrat untuk mengembalikan Muhammad kepada Aminah.
Aminah kehairanan. Dia berkata,
“Bukankah dulu kamu
merengek-rengek mahu menjagakan Muhammad?”
Halimah menjawab, “Saya takut
terjadi apa-apa kepada Muhammad.”
Aminah curiga dengan kenyataan
itu. Dia mendesak Halimah menceritakan apa yang sebenarnya telah berlaku ke
atas Muhammad.
“Dia pernah disentuh jin,”
cerita Halimah berdasarkan sangkaannya.
“Tidak mungkin! Jin dan syaitan
tidak akan mampu menyentuhnya. Anakku ini mempunyai keistimewaan sejak sebelum
dilahirkan. Kalian mahu tahu?” bongkar Aminah.
Halimah mengangguk. Aminah lalu
bercerita,
“Saat aku mengandungkannya, ada
cahaya terang yang keluar dari perutku. Dari cahaya itu, aku mampu melihat
istana Bushrah di Wilayah Syam. Aku juga merasa ringan, seakan tidak hamil.
Saat dia lahir, saat tangannya menyentuh alas tidur, kepalanya mendongak ke
langit.” (Sirah Ibnu Hisyam, riwayat Abu Ya’la dan Thabrani).
Halimah kemudiannya pulang
dengan kerinduan yang berat untuk ditanggung.
Halimah di Hati Nabi
Muhammad kini menginjak dewasa.
Membesar dalam keadaan yatim piatu kerana ibunya meninggal ketika dia berusia 6
tahun. Tatkala usianya mencecah 25 tahun, baginda bernikah dengan puteri
bangsawan bernama Khadijah, bosnya sendiri.
Selang
beberapa waktu, Halimah datang menemui anak susuannya. Halimah bergembira
dengan perkahwinan mereka. Halimah berkongsi kisah duka tentang Kampung Bani
Saad yang sedang ditimpa kemarau dan kebulur.
Khadijah
mendengar berita itu. Beliau yang tidak mempunyai ibu mentua untuk berbakti
dapatlah memanfaatkan peluang berbakti kepada ibu mentua susuan. Khadijah
menghadiahkan 20 ekor kambing dan 20 ekor unta kepada Halimah.
Halimah
terharu. Dulu, dia hampir tidak mahu mengambil Muhammad sebagai anak susuan
kerana bimbang tiada upah tinggi yang bakal diterima. Muhammad kan anak yatim.
Namun, dia positifkan fikiran. Dengan kuasa Allah, harta berganda-ganda yang
diterimanya setelah Muhammad dewasa. Inilah namanya keberkatan. Ia sering
datang di luar jangka.
Anak Susuannya Seorang Nabi
Siapa tidak bangga jika anak
yang disusui sejak kecil berjaya menjadi orang besar? Halimah lebih layak
berbangga apabila anak yang disusuinya diangkat menjadi seorang Nabi dan Rasul
terakhir.
Selepas
terdengar berita kenabian Muhammad, Halimah berangkat meninggalkan kampungnya.
Tidak sabar menyatakan keimanannya kepada Muhammad. Terngiang-ngiang memori
silam tatkala puteranya menjadi saksi terhadap perkara aneh yang menimpa
Muhammad.
Rasulullah
menyambut kedatangan Halimah dengan sambutan hangat. Baginda melepaskan kain
serbannya dan dihampar ke tanah. Moga tiada debu yang menghinggapi ibu mulia
itu tatkala ia duduk. Sahabat teruja dan kagum melihat sendiri peribadi Nabi.
Halimah
meninggal di Madinah dan dikebumikan di makam Baqi’.
0 comments:
Post a Comment