Rabiatul Adawiyah merupakan salah seorang srikandi
agung dalam Islam. Beliau terkenal dengan sifat wara' dan sentiasa menjadi
rujukan golongan cerdik pandai kerana beliau tidak pernah kehabisan hujah.
Ikutilah antara lain kisah-kisah teladan tentang beliau.
KISAH 1:
Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat
sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok
Rabiatul Adawiyah. Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia
tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk digunakan
berwudhu', itupun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari
pondok tersebut. Tiba-tiba Rabiatul Adawiyah menegur si pencuri tersebut.
"Hei, jangan keluar sebelum kamu mengambil
sesuatu dari rumahku ini."
Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka
tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa hairan kerana baru kini dia
menemui tuan rumah yang begitu baik hati seperti Rabiatul Adawiyah.
Kebiasaannya tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri
memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku.
"Silakan ambil sesuatu." kata Rabiatul
Adawiyah lagi kepada pencuri tersebut.
"Tiada apa-apa yang dapat aku ambil dari rumah
mu ini." kata si pencuri berterus terang.
"Ambillah itu!" kata Rabiatul Adawiyah
sambil menunjuk pada kendi yang buruk tadi.
"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak
berharga." Jawab si pencuri.
"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian
kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah 2 rakaat. Dengan
demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok
burukku ini." Balas Rabiatul Adawiyah.
Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi merasa
gementar. Hatinya yang selama ini keras, menjadi lembut seperti terpukau dengan
kata-kata Rabi’atul Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu
dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya.. Kemudian dia
menunaikan solat 2 rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan kelezatan
dalam jiwanya yang tak pernah dirasa sebelum ini. Rabiatul Adawiyah lantas
berdoa:
"Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke
rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri.
Kemudian aku suruh dia berdiri dihadapan Mu. Oleh itu janganlah Engkau halang
dia daripada memperolehi nikmat dan rahmat Mu."
KISAH 2 :
Pada suatu hari, sekumpulan golongan cerdik pandai
telah datang ke rumah Rabiatul Adawiyah. Tujuan mereka tidak lain dan tidak
bukan adalah untuk menguji beliau dengan pelbagai persoalan. Malah mereka telah
bersedia dengan satu persoalan yang menarik. Mereka menaruh keyakinan yang
tinggi, kerana selama ini Rabiatul Adawiyah tidak pernah ketandusan hujah.
"Wahai Rabiatul Adawiyah, semua bentuk kebajikan
yang tinggi-tinggi telah dianugerahkan oleh Allah swt kepada kaum lelaki,
namun tidak kepada kaum wanita." Ketua rombongan itu memulakan bicara.
"Buktinya?" Balas Rabiatul Adawiyah.
"Buktinya ialah, mahkota kenabian dan Rasul
telah dianugerahkan kepada kaum lelaki. Malah mahkota kebangsawanan juga
dikurniakan kepada kaum lelaki. Paling penting, tidak ada seorang wanita pun
yang telah diangkat menjadi Nabi atau Rasul, malah semuanya dari golongan
lelaki." Jawab mereka pula dengan yakin.
"Memang betul pendapat tuan-tuan sekalian. Akan
tetapi harus diingat bahawa sejahat-jahat pangkat ada pada kaum lelaki juga,
siapa yang mengagung-agungkan diri sendiri? Siapa yang begitu berani mendakwa
dirinya sebagai Tuhan? Dan siapa pula yang berkata : "Bukankah aku ini tuhanmu yang mulia?"
Dengan tenang, Rabiatul Adawiyah membalas hujah
mereka sambil merujuk kepada Fir'aun dan Namrud. Kemudian Rabiatul Adawiyah
menambah lagi, "Anggapan dan ucapan seperti itu tidak pernah keluar dari
mulut seorang wanita. Malah semuanya ditimpakan kepada kaum lelaki."
KISAH 3 :
Suatu hari, Rabiatul Adawiyah terlihat seseorang
sedang berjalan-jalan dengan kepalanya berbalut sambil menagih simpati daripada
orang ramai. Kerana ingin tahu sebabnya orang itu berbuat demikian, Rabi'atul
Adawiyah bertanya, "Wahai hamba Allah! Mengapa engkau membalut kepalamu
sebegini rupa?"
"Kepalaku sakit." Jawab orang itu dengan
ringkas.
"Sudah berapa lama?" Tanya Rabiatul
Adawiyah lagi.
"Sudah sekian hari." Jawabnya dengan
tenang.
Lantas Rabiatul Adawiyah bertanya lagi,"Berapa
usiamu sekarang?"
Orang itu menjawab,"Sudah 30 tahun"
"Bagaimana keadaanmu selama 30 tahun itu?"
Tanya beliau lagi.
"Alhamdulillah, sihat-sihat saja."
Jawabnya.
"Apakah kamu memasang sebarang tanda di badanmu
bahawa kamu sihat selama ini?" Tanya Rabiatul Adawiyah.
"Tidak." Jawab orang itu ragu-ragu.
"Masya’Allah, selama 30 tahun Allah telah
menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu langsung tidak memasang sebarang tanda
bagi menunjukkan kamu sihat sebagai tanda bersyukur kepada Allah swt. Jika
sebaliknya, pasti manusia akan bertanya kepada kamu sebabnya kamu sangat
gembira. Apabila mereka mengetahui nikmat Allah kepadamu, diharapkan mereka
akan bersyukur dan memuji Allah." Jelas Rabiatul Adawiyah.
"Akan tetapi, kini apabila kamu mendapat sakit
sedikit, kamu balut kepalamu dan kemudian pergi ke sana sini bagi menunjukkan
sakitmu dan kekasaran Allah swt terhadapmu kepada orang ramai, Mengapa kamu
berbuat hina seperti itu?" Sambung Rabiatul Adawiyah lagi.
Orang yang berbalut kepalanya itu hanya diam seribu
bahasa dan tertunduk malu dengan perlakuannya. Kemudian dia beredar
meninggalkan Rabiatul Adawiyah dengan perasaan kesal dan insaf.
0 comments:
Post a Comment