Saturday 9 March 2013

Sebelum Anda Dimiliki Orang



Perkahwinan itu, bukan medan memenangkan suami, atau medan memenangkan isteri. Ia adalah kehidupan yang dikongsi bersama. Kalau ada bahagia, sama-sama akan rasa. Kalau ada duka, sama-sama akan seka air mata.

Begitulah sebuah perkahwinan yang bahagia.

Jika masih ada tanggapan bahawa, seorang wanita bila sudah diambil sebagai isteri, maka dia sudah ‘dimiliki’ oleh suaminya sepenuhnya, hingga tiada apa-apa lagi kebebasan dan hak buat dirinya, maka itu suatu tanggapan yang silap. Perlu segera diperbetulkan.

Islam ini suatu agama yang penuh dengan rahmah. Tiap apa yang disyariatkan olehnya, pasti ada kebaikan tertentu yang hendak dijaga. Objektif agama untuk memberikan kebaikan kepada seluruh manusia serta melindungi mereka dari keburukan harus kita faham sebenar-benarnya.


SEBELUM ‘DIMILIKI’
Ramai di kalangan kaum hawa yang tidak tahu bahawa mereka berhak meletakkan sesuatu syarat kepada bakal suami, sebelum mereka diambil sebagai isteri.

Hak untuk meletakkan syarat ini, diperakui oleh syarak, dan syarat ( atau janji ) tersebut pula wajib untuk ditepati oleh suami, selepas mereka bernikah.

Dengan syarat ; apa yang disyaratkan itu mestilah suatu yang harus, yang bukan menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, atau syarat-syarat yang membatalkan hikmah sebuah pernikahan.

Contohnya sebelum bernikah, seorang perempuan itu meletakkan syarat supaya dia tidak dihalang daripada bekerja. Si lelaki pun bersetuju, maka syarat tersebut wajib untuk dipegang.

Sabda Nabi s.a.w :
المسلمون على شروطهم الا شرطا حلل حراما أو حرم حلالا
” Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat yang mereka buat , kecuali syarat-syarat yang menghalalkan yang haram ataupun mengharamkan yang halal.”

Contoh syarat yang tak dibenarkan adalah : ” Selepas berkahwin nanti, tak boleh sentuh saya, dan tak boleh minta saya untuk tidur dengan awak.”

Itu syarat yang tidak diiktiraf oleh syarak, kerana ia telah mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Juga, kalau letak syarat begitu, hilanglah hikmah sebuah pernikahan.

Apatah lagi kalau letak syarat supaya tidak perlu taat kepada suami, tidak perlu meminta izin suami kalau hendak ke mana-mana dan sebagainya, maka lebih-lebih lagilah tidak boleh. Selain ia menghalalkan yang haram ( nusyuz isteri kepada suami ), ia juga menjadikan suami tersebut seorang yang dayus. Dan orang dayus, Nabi s.a.w sebut tak akan masuk Syurga.

Eh, belum kahwin lagi sudah bersedia untuk jadi dayus? Dayus ekspress namanya tu.


HIKMAH MELETAKKAN SYARAT
Saya selalu berpesan kepada beberapa orang yang berbincang tentang hal masa depan mereka, ketika fatrah pertunangan itu, fokuslah proses taaruf ( perkenalan ) betul-betul. Jangan rasa terikat, kerana selagi belum akad, anda belum pun dimiliki. Banyak perkara yang boleh anda usahakan sebagai manusia yang patuh pada sunnatullah, sebelum anda sah dimiliki oleh orang lain.
Ada sebahagian kaum hawa ini, bila sudah diikat dengan pertunangan, segalanya jadi makin mandom, bukan makin proaktif. Seolah-olahnya, teruslah saja akad nikah, tak mahu kenal-kenal lagi dah. Atau, kalau berhubung pula bukan untuk makin kenal dan bina perancangan, tapi untuk berkongsi rasa dan bermanja. Gedik kan.

Sedang apa yang dianjurkan oleh Islam pada tempoh pertunangan itu, lebih besar objektifnya dan sangat jauh dari apa yang sedang dibuat oleh orang-orang yang bertunang hari ini.

Selain fokus taaruf, saya juga pesankan tentang syarat.

Janganlah anggap ia macam suatu kediktatoran pula. Janganlah si perempuan rasa serba salah, seakan mengongkong bakal suami, manakala si suami pula rasa seakan ‘hilang hak’ seorang pemimpin. Ia bukan begitu.

Hikmah meletakkan syarat ini, sebenarnya seiring saja dengan hikmah merancakkan proses taaruf. Apa guna hendak bertaaruf, saling mengenali lebih lanjut, saling bertukar-tukar perancangan dan berbincang tentang jangka pendek – jangka panjang, jika akhirnya yang hendak membuat keputusan hanya yang LELAKI seorang?

Sia-sia kan?

Tujuan sama-sama bertaaruf dan sama-sama berbincang itu, adalah supaya hidup kalian akan datang, dicorakkan secara BERSAMA. Jadi, sila bersikap proaktif. Jangan tunggu semuanya dari si lelaki, kerana anda perlu sedar bahawa lelaki itu belum sah memimpin anda lagi. Bahkan dalam tempoh bertunang ini, anda bebas untuk berpatah balik pada bila-bila masa sahaja, tanpa perlu kepada keizinan daripada lelaki tersebut.

Meletakkan syarat, bermakna mengemaskan sebuah perancangan, yang kalian sama-sama hendak bina.

Katakan, si perempuan meletakkan syarat agar dia tidak dibawa keluar ( berpindah ) dari negerinya. Maka si lelaki, sebelum bersetuju, akan berbincang juga kesan sampingan dari syarat tersebut. Adakah relevan untuk mendapatkan tempat tinggal dan pekerjaan di negeri bakal isterinya? Adakah pelan ekonomi mereka akan bertambah aktif apabila memulakan bisnes di negeri tersebut, dan sebagainya. Bincang punya bincang, akhirnya si lelaki pun setuju. Maka si perempuan tidak perlu susah hati memikirkan kena berjauhan dengan orang tuanya yang sakit ( kalau itu contohnya sebab dia enggan pindah ke luar negerinya ) dan dia juga tidak akan rasa bersalah meletakkan syarat kepada bakal suami, kerana dia juga bersama-sama dalam perbincangan untuk mencorakkan masa depan mereka selepas bernikah nanti.


KAHWIN DAN PERJUANGAN
Dalam catatan Zainab Al Ghazali ( hari-hari dalam hidupku ) beliau berkongsi kisah bagaimana dia meletakkan syarat kepada bakal suaminya sebelum bernikah. Bahkan kalau syarat tersebut tidak dipenuhi, dia tidak mahu bernikah pun. Cinta dan semangatnya pada jalan perjuangan sangatlah tinggi. Lebih rela tidak bernikah kerana risau kakinya tersekat atau masanya menjadi makin singkat.

Dan suaminya bersetuju.

Lalu mereka berkahwin, hidup suami isteri dalam dakapan cinta, mawaddah dan sakinah, seperti juga orang lain. Cuma istimewanya mereka adalah, hidup diwakafkan untuk perjuangan. Maka suami tidak menghalang keaktifan isterinya dalam perjuangan Ikhwan, ketika itu. Sehinggalah Zainab Al Ghazali ditangkap dan diseksa dalam penjara, sebelum akhirnya dibebaskan.

Pokoknya, syarat yang diletakkan untuk sebuah perjuangan adalah suatu yang terpuji, walaupun mungkin saja ramai muslimat hari ini yang tidak menyedari.

Perkahwinan berlainan jemaah dan ideologi, misalnya.

Tiada apa yang menghalang untuk kalian berdua – meskipun bergiat dalam jemaah yang berbeza – untuk meletakkan syarat tertentu yang mana memberikan keseimbangan kepada satu sama lain. Ia sudah banyak dibuat, khususnya oleh para muslimat yang aktif dalam perjuangan. Jika tidak, nescaya sunyilah pentas-pentas perjuangan dari para muslimat yang aktif, seperti yang kita saksikan hari ini. Meski mereka punya suami dan punya anak, mereka terus aktif melangkah, pada ruang dan ketika yang tersendiri.

Silapnya, bukan pada syarat, tetapi pada sikap yang memang sengaja tidak mahu meletakkan syarat pada suami selepas bernikah.

Maka sejak sekian lamanya kita melihat, ramai muslimat yang aktif dengan perjuangan ketika bujang, tetapi terus hilang selepas berkahwin, dengan alasan ; suami tidak benarkan.

Kenapa tidak berbincang dan meletakkan syarat? Letak syarat bukan untuk memaksa, tetapi untuk menjadikan masing-masing merasa berhak ke atas kehidupan selepas pernikahan. Jawabnya tidak tahu, atau tidak sanggup. Tapi kalau tentang meletakkan syarat supaya suami tidak berkahwin lain atau tidak berpoligami, ramai pula yang sanggup!


KESIMPULAN
Hidup berumahtangga itu bahagia, ceria dan mempesona. Jangan jadikan ia suatu lubang yang derita atau sengsara. Jangan jadikan ia suatu tembok atau dinding penjara, yang memisahkan antara anda dengan alam nyata.

Sebelum anda dimiliki orang, binalah perancangan bersama-sama. Ia lebih mulia dari sibuk bermain cinta. Bina perancangan mesti serius, bukan dengan gedik atau mengada-ngada. Dari situ, banyak sikap yang akan tersingkap, banyak juga sudut yang boleh dibuat pertimbangan semula.

Dan sememangnya sebagai manusia, itulah tugas kita, usaha dan terus usaha, sebelum akhirnya kita berserah kepada Yang Maha Berkuasa.

Sekian,


-myilham.com-


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...