Di dalam hidup ini adakalanya kita harus menetapkan jawapan di antara ya dan tidak. Katakan ya bagi sesuatu yang baik dan tidak bagi sesuatu yang akan mendatangkan kemudaratan. Menjadi asertif (berkeyakinan) adalah benteng terbaik dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Katakanlah:
·
TIDAK... Bagi perbuatan yang dapat mensia-nsiakan umur, seperti membalas dendam
dan berselisih faham dengan perkara yang tidak ada kebaikan di dalamnya.
Biarlah ALLAH S.W.T yang menghakimi segala perbuatan mereka yang pernah
menyakiti diri. Bersabarlah dengan penganiayaan yang terjadi ke atas diri.
·
TIDAK... Bagi sikap yang lebih mengutamakan harta benda dan mengumpulkannya
sehingga menjejaskan kebahagiaan dan waktu istirahat. Harta dunia tidak mampu
membeli ketenangan tetapi harta akhirat dapat menjamin ketenangan abadi. Harta
dunia akan selalu meresahkan apabila kekurangan dan apabila berlebihan akan
selalu membuatkan rasa tidak mencukupi.
·
TIDAK... Bagi perangai yang suka mencari kesalahan orang lain,
membuka aib orang (ghibah) dan menyembunyikan aib diri sendiri. Perbuatan suka
memalukan orang lain akan mencantas sedikit demi sedikit kecantikan meskipun
kita sedang memburukkan orang lain. Apabila tidak mampu menjaga mulut daripada
mengeluarkan perkara yang tidak baik adalah lebih baik berdiam diri agar tidak
menyakiti hati orang lain dan menyelamatkan diri daripada berbuat dosa kering.
·
TIDAK... Bagi perangai yang suka hidup dengan kesenangan hawa
nafsu, menuruti segala tuntutan dan keinginan tanpa memikirkan baik dan buruk
kerana akhirnya akan membinasakan kehidupan. Hawa nafsu ini jika tidak dijaga,
dikawal dan dipenjara pasti akan memakan tuan. Ketahuilah, hawa nafsu inilah
mampu menjauhkan diri dengan Pencipta.
· TIDAK...
Bagi sikap yang selalu menghabiskan waktu dengan sia-sia kerana ia menyebabkan
hati menjadi semakin lalai mengingati akhirat. Sesungguhnya ALLAH S.W.T
pernah menyatakan bahawa manusia itu selalu kerugian kerana membazirkan masa
yang ada dalam kehidupan. Tidakkah kita berasa detik-detik masa yang sedang
lalui ini semakin pantas bergerak? Maka, isilah masa itu dengan sebaiknya.
· TIDAK...
Bagi mereka yang kurang mementingkan aspek kebersihan dan keharuman tubuh
kerana ia mampu membuatkan orang menjauhkan diri. Itulah yang seorang perempuan
harus utamakan, kerana bukankah perempuan itu selalu dikaitkan dengan
kecantikan?
· TIDAK...
Bagi setiap minuman haram, rokok dan segala sesuatu yang kotor dan najis kerana
ia akan meninggalkan titik hitam di hati seterusnya menggelapkannya sehingga
begitu sukar melihat sesuatu melalui mata hati yang jernih. Tidak sukar menjadi
pengurus diri sendiri. Apabila ALLAH S.W.T sudah menggariskan do and don’t
maka, patuhilah kerana ALLAH itu Maha Mengetahui. Pengetahuan ALLAH S.W.T itu
tidak terbatas. Pasti ada sebabnya kenapa ALLAH menurunkan sesuatu hukum haram
dalam kehidupan.
· TIDAK...
Bagi sikap yang selalu mengenang kembali musibah atau dugaan yang telah lalu,
bencana yang telah terjadi, atau kesalahan yang terlanjur dilakukan kerana ia
hanya akan meninggalkan kita dalam satu lubang paling dalam dan membuatkan
teraba-raba dalam kegelapan itu. Bangunlah kembali daripada kesalahan tersebut
dan perbaikilah sebaik mungkin. Berdoalah semoga ALLAH S.W.T akan kembali
merahmati kita. Percayalah, kita tidak akan hidup dengan tenang selagi tidak
meraih kembali kasih sayang ALLAH S.W.T.
·
TIDAK... Bagi tindakan yang melupakan akhirat, yang lalai membekali
diri dengan amal soleh sebagai hantaran akhirat, dan yang lengah daripada
peringatan tentang kedahsyatannya. Kiamat pasti berlaku dan hari perhitungan
pasti akan kita hadapi, persiapkanlah diri untuk hari pertimbangan itu. Tiada
siapa yang dapat menyelamatkan melainkan diri sendiri.
· TIDAK...
Bagi perangai yang sukakan pembaziran kerana sikap membazir itu adalah amalan
syaitan. Sesungguhnya di luar sana, masih ramai yang memerlukan pertolongan.
Berjimat cermat adalah dituntut tetapi janganlah sehingga terperangkap dalam
sifat bakhil. Jadilah seorang yang beringat dan berwaspada kerana kisah takdir
kita ditentukan ALLAH S.W.T. Berkongsi kesenangan dengan orang yang
memerlukan dapat membantu kita mengatasi sifat membazir. Contohnya,
kita boleh menasihati diri sendiri jika berjaya melakukan penjimatan, baki
daripada penjimatan itu boleh diagihkan pula kepada mereka yang tidak
berkemampuan untuk mengalas perut. Lihatlah di sini, besarnya pengorbanan yang
dilakukan demi saudara seislam meskipun kita tidak mengenali mereka!
Katakan:
Katakan:
· YA... Untuk
senyuman cantik, yang mengirimkan cinta mulus, dan mengutus kasih sayang bagi
orang lain kerana senyuman dapat menyejukkan hati yang resah dan
mendamaikan hati yang bimbang. Senyuman yang dapat menyejukkan hati yang
melihat dan merupakan jambatan bagi permulaan silaturahim.
· YA... Untuk ucapan
kata-kata yang baik, yang membangun persahabatan dan menghapuskan rasa benci
kerana setiap butir bicara yang baik melambangkan peribadi sebagai wanita yang
halus dan cantik budi bahasanya. Bayangkan seorang wanita yang manis bertudung,
mengeluarkan kata-kata kurang enak seperti ‘mangkuk ayun’ dari bibir yang indah
menawan. Bukankah persepsi mereka yang melihat dan mendengar kata-kata itu akan
berubah?
· YA... Untuk
sedekah yang dikabulkan, yang mem- bahagiakan orang miskin, menyenangkan orang
fakir, dan mengenyangkan orang lapar. Pemberian ikhlas akan mengurangkan
penderitaan orang lain, meringankan beban yang terperangkap di dalam kesusahan
dan kesenangan dan kebahagiaan akan dapat dirasai apabila berkongsi bersama
dengan yang memerlukan.
· YA... Untuk
kesediaan duduk bersama al-Quran lalu membaca, merenungi dengan memahami dan
mengamalkannya kerana hanya al-Quran mampu menerangi yang gelap dan meluruskan
jalan yang bengkok. Isi kandungan al-Quran yang indah itu tidak akan mampu
menandingi kitab-kitab dan buku yang ada di pasaran. Paling menarik, ALLAH
S.W.T menghadiahkan satu surah khusus untuk kita, yakni surah al-Nisa’.
Tidakkah kita berbangga tercipta sebagai wanita?
· YA... Untuk
kesediaan berzikir, beristighfar, tenggelam dalam lautan doa dan menyatakan
permohonan taubat dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa lelah kerana dengan cara
itu kita tidak melupakan ALLAH S.W.T dalam setiap helaan nafas.
· YA... Untuk
usaha mendidik anak-anak dengan agama, sunah, dan nasihat yang bermanfaat bagi
mereka kerana kita telah diberi amanah daripada ALLAH S.W.T. Jadikanlah
anak-anak sebagai perwira dan srikandi Islam dengan melengkapkan mereka dengan
benteng keimanan supaya apabila kita menuju ke syurga tiada yang menjadi
penghalang untuk melangkah masuk.
· YA... Untuk rasa malu
dengan menutup aurat dengan sempurna seperti yang diperintahkan ALLAH, kerana
hanya itulah cara untuk menjaga dan memelihara diri. Hijab dapat melindungi
daripada mata nakal yang menyesatkan lagi merosakkan. Lihat perbezaan ini,
seorang wanita cantik yang bergaya dengan seorang wanita cantik yang menutup
aurat dengan sempurna. Seorang lelaki akan memuji si cantik yang bergaya, “Wow,
cunnya awek tu!” tetapi apabila melihat si cantik yang menutup aurat mereka
akan memuji, “Masya-ALLAH, cantik macam bidadari yang turun dari syurga.”
Tanyakan pada diri, bentuk pujian yang mana yang lebih besar dan lebih
bermakna? Pujian mana pula menjadi pilihan?
· YA... Untuk
pergaulan dengan wanita-wanita yang baik dan takut kepada ALLAH, mencintai
agama dan menghormati nilai-nilainya kerana kita akan sentiasa berdiri kukuh
bersama mereka sehingga ke titik hayat. Inilah benteng dan pergaulan ini tidak
akan membawa ke jalan yang sesat.
· YA... Untuk
bakti kita terhadap orang tua, menjaga silaturahim sesama saudara, menghormati
tetangga dan menggembirakan anak-anak yatim kerana mereka adalah tiket menuju
ke syurga.
· YA... Untuk membaca
sesuatu yang bermanfaat. Buku yang berilai ilmu yang boleh mendorong keluar
dari kegelapan. Buku yang dibaca itu melambangkan siapa diri kita. Sekiranya
kita penggemar membaca majalah gosip, itu bermakna kita seorang yang suka
menjaga tepi kain orang. Sekiranya suka membaca novel, bermakna kita suka
berimaginasi. Jika membaca buku agama, bermakna kita seorang yang sedang
berusaha membaiki diri dan mengukuhkan iman. Jadi, dalam golongan apakah kita berada?
2 comments:
salam ukhuwah..in shaa Allah..entry yg bermanfaat..:)
syukran ya ukht.. ukhuwah fillah.. :)
Post a Comment