Sunday, 23 December 2012

Ya Dan Tidak



Di dalam hidup ini adakalanya kita harus menetapkan jawapan di antara ya dan tidak. Katakan ya bagi sesuatu yang baik dan tidak bagi sesuatu yang akan mendatangkan kemudaratan. Menjadi asertif (berkeyakinan) adalah benteng terbaik dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Katakanlah:
 
·        TIDAK... Bagi perbuatan yang dapat mensia-nsiakan umur, seperti membalas dendam dan berselisih faham dengan perkara yang tidak ada kebaikan di dalamnya. Biarlah ALLAH  S.W.T yang menghakimi segala perbuatan mereka yang pernah menyakiti diri. Bersabarlah dengan penganiayaan yang terjadi ke atas diri.
 
·     TIDAK... Bagi sikap yang lebih mengutamakan harta benda dan mengumpulkannya sehingga menjejaskan kebahagiaan dan waktu istirahat. Harta dunia tidak mampu membeli ketenangan tetapi harta akhirat dapat menjamin ketenangan abadi. Harta dunia akan selalu meresahkan apabila kekurangan dan apabila berlebihan akan selalu membuatkan rasa tidak mencukupi.
 
·     TIDAK... Bagi perangai yang suka mencari kesalahan orang lain, membuka aib orang (ghibah) dan menyembunyikan aib diri sendiri. Perbuatan suka memalukan orang lain akan mencantas sedikit demi sedikit kecantikan meskipun kita sedang memburukkan orang lain. Apabila tidak mampu menjaga mulut daripada mengeluarkan perkara yang tidak baik adalah lebih baik berdiam diri agar tidak menyakiti hati orang lain dan menyelamatkan diri daripada berbuat dosa kering.
 
·     TIDAK... Bagi perangai yang suka hidup dengan kesenangan hawa nafsu, menuruti segala tuntutan dan keinginan tanpa memikirkan baik dan buruk kerana akhirnya akan membinasakan kehidupan. Hawa nafsu ini jika tidak dijaga, dikawal dan dipenjara pasti akan memakan tuan. Ketahuilah, hawa nafsu inilah mampu menjauhkan diri dengan Pencipta.
 
·    TIDAK... Bagi sikap yang selalu menghabiskan waktu dengan sia-sia kerana ia menyebabkan hati menjadi semakin lalai mengingati akhirat. Sesungguhnya ALLAH  S.W.T pernah menyatakan bahawa manusia itu selalu kerugian kerana membazirkan masa yang ada dalam kehidupan. Tidakkah kita berasa detik-detik masa yang sedang lalui ini semakin pantas bergerak? Maka, isilah masa itu dengan sebaiknya.
 
·    TIDAK... Bagi mereka yang kurang mementingkan aspek kebersihan dan keharuman tubuh kerana ia mampu membuatkan orang menjauhkan diri. Itulah yang seorang perempuan harus utamakan, kerana bukankah perempuan itu selalu dikaitkan dengan kecantikan?
 
·    TIDAK... Bagi setiap minuman haram, rokok dan segala sesuatu yang kotor dan najis kerana ia akan meninggalkan titik hitam di hati seterusnya menggelapkannya sehingga begitu sukar melihat sesuatu melalui mata hati yang jernih. Tidak sukar menjadi pengurus diri sendiri. Apabila ALLAH S.W.T sudah menggariskan do and don’t maka, patuhilah kerana ALLAH itu Maha Mengetahui. Pengetahuan ALLAH S.W.T itu tidak terbatas. Pasti ada sebabnya kenapa ALLAH menurunkan sesuatu hukum haram dalam kehidupan.
 
·    TIDAK... Bagi sikap yang selalu mengenang kembali musibah atau dugaan yang telah lalu, bencana yang telah terjadi, atau kesalahan yang terlanjur dilakukan kerana ia hanya akan meninggalkan kita dalam satu lubang paling dalam dan membuatkan teraba-raba dalam kegelapan itu. Bangunlah kembali daripada kesalahan tersebut dan perbaikilah sebaik mungkin. Berdoalah semoga ALLAH S.W.T akan kembali merahmati kita. Percayalah, kita tidak akan hidup dengan tenang selagi tidak meraih kembali kasih sayang ALLAH  S.W.T.
 
·     TIDAK... Bagi tindakan yang melupakan akhirat, yang lalai membekali diri dengan amal soleh sebagai hantaran akhirat, dan yang lengah daripada peringatan tentang kedahsyatannya. Kiamat pasti berlaku dan hari perhitungan pasti akan kita hadapi, persiapkanlah diri untuk hari pertimbangan itu. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan melainkan diri sendiri.
 
·    TIDAK... Bagi perangai yang sukakan pembaziran kerana sikap membazir itu adalah amalan syaitan. Sesungguhnya di luar sana, masih ramai yang memerlukan pertolongan. Berjimat cermat adalah dituntut tetapi janganlah sehingga terperangkap dalam sifat bakhil. Jadilah seorang yang beringat dan berwaspada kerana kisah takdir kita ditentukan ALLAH  S.W.T. Berkongsi kesenangan dengan orang yang memerlukan dapat membantu kita mengatasi sifat membazir.   Contohnya, kita boleh menasihati diri sendiri jika berjaya melakukan penjimatan, baki daripada penjimatan itu boleh diagihkan pula kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mengalas perut. Lihatlah di sini, besarnya pengorbanan yang dilakukan demi saudara seislam meskipun kita tidak mengenali mereka!

Katakan: 
 
·   YA... Untuk senyuman cantik, yang mengirimkan cinta mulus, dan mengutus kasih sayang bagi orang lain kerana senyuman dapat menyejukkan hati yang resah dan  mendamaikan hati yang bimbang. Senyuman yang dapat menyejukkan hati yang melihat dan merupakan jambatan bagi permulaan silaturahim.
 
· YA... Untuk ucapan kata-kata yang baik, yang membangun persahabatan dan menghapuskan rasa benci kerana setiap butir bicara yang baik melambangkan peribadi sebagai wanita yang halus dan cantik budi bahasanya. Bayangkan seorang wanita yang manis bertudung, mengeluarkan kata-kata kurang enak seperti ‘mangkuk ayun’ dari bibir yang indah menawan. Bukankah persepsi mereka yang melihat dan mendengar kata-kata itu akan berubah?
 
·   YA... Untuk sedekah yang dikabulkan, yang mem- bahagiakan orang miskin, menyenangkan orang fakir, dan mengenyangkan orang lapar. Pemberian ikhlas akan mengurangkan penderitaan orang lain, meringankan beban yang terperangkap di dalam kesusahan dan kesenangan dan kebahagiaan akan dapat dirasai apabila berkongsi bersama dengan yang memerlukan.
 
·  YA... Untuk kesediaan duduk bersama al-Quran lalu membaca, merenungi dengan memahami dan mengamalkannya kerana hanya al-Quran mampu menerangi yang gelap dan meluruskan jalan yang bengkok. Isi kandungan al-Quran yang indah itu tidak akan mampu menandingi kitab-kitab dan buku yang ada di pasaran. Paling menarik, ALLAH S.W.T menghadiahkan satu surah khusus untuk kita, yakni surah al-Nisa’. Tidakkah kita berbangga tercipta sebagai wanita?
 
·   YA... Untuk kesediaan berzikir, beristighfar, tenggelam dalam lautan doa dan menyatakan permohonan taubat dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa lelah kerana dengan cara itu kita tidak melupakan ALLAH  S.W.T dalam setiap helaan nafas.
 
·   YA... Untuk usaha mendidik anak-anak dengan agama, sunah, dan nasihat yang bermanfaat bagi mereka kerana kita telah diberi amanah daripada ALLAH S.W.T. Jadikanlah anak-anak sebagai perwira dan srikandi Islam dengan melengkapkan mereka dengan benteng keimanan supaya apabila kita menuju ke syurga tiada yang menjadi penghalang untuk melangkah masuk.
 
· YA... Untuk rasa malu dengan menutup aurat dengan sempurna seperti yang diperintahkan ALLAH, kerana hanya itulah cara untuk menjaga dan memelihara diri. Hijab dapat melindungi daripada mata nakal yang menyesatkan lagi merosakkan. Lihat perbezaan ini, seorang wanita cantik yang bergaya dengan seorang wanita cantik yang menutup aurat dengan sempurna. Seorang lelaki akan memuji si cantik yang bergaya, “Wow, cunnya awek tu!” tetapi apabila melihat si cantik yang menutup aurat mereka akan memuji, “Masya-ALLAH, cantik macam bidadari yang turun dari syurga.” Tanyakan pada diri, bentuk pujian yang mana yang lebih besar dan lebih bermakna? Pujian mana pula menjadi pilihan?
 
·   YA... Untuk pergaulan dengan wanita-wanita yang baik dan takut kepada ALLAH, mencintai agama dan menghormati nilai-nilainya kerana kita akan sentiasa berdiri kukuh bersama mereka sehingga ke titik hayat. Inilah benteng dan pergaulan ini tidak akan membawa ke jalan yang sesat.
 
·   YA... Untuk bakti kita terhadap orang tua, menjaga silaturahim sesama saudara, menghormati tetangga dan menggembirakan anak-anak yatim kerana mereka adalah tiket menuju ke syurga.

· YA... Untuk membaca sesuatu yang bermanfaat. Buku yang berilai ilmu yang boleh mendorong keluar dari kegelapan. Buku yang dibaca itu melambangkan siapa diri kita. Sekiranya kita penggemar membaca majalah gosip, itu bermakna kita seorang yang suka menjaga tepi kain orang. Sekiranya suka membaca novel, bermakna kita suka berimaginasi. Jika membaca buku agama, bermakna kita seorang yang sedang berusaha membaiki diri dan mengukuhkan iman. Jadi, dalam golongan apakah kita berada?

2 comments:

Unknown said...

salam ukhuwah..in shaa Allah..entry yg bermanfaat..:)

mawarsoleha said...

syukran ya ukht.. ukhuwah fillah.. :)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...