Imam Abdullah bin Al Mubarak r.a telah meriwayatkan di dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (Khalid Bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz:
“Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah SAW”
Berkata rawi hadis tersebut (Khalid Bin Maadan) lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata :“Aku mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku:”
“Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan di kau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.”
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan tujuh orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu di tentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut.
Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit pertama.
Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu berkata malaikat langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah:
“Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas.”
Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit pertama kerana orang yang mengerjakan amalan tersebut tidak terlibat dengan dosa mengumpat orang) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit kedua itu:
“Berhenti kamu di sini dan pukulkan amalan ini akan muka yang mengerjaknnya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit yang pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit itu:
“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang megerjakannya. Akulah malaikat takbur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takbur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti sinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan tersebut sehingga sampai pintu yaang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat:
“Berhenti kamu disini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar(disambut) ke rumah suaminya(maksudnya amalan itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit kelima:
“Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad ia sangat hasud kepada orang yang belajar ilmu dengan beramal seperti amalannya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini melintasiku.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang, zakat, umrah, jihad dan puasa. malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjaknannya kerana ia tiada belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia berasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi ku.”
Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seorang hamba. Amalan itu ialah sembahyang, puasa, nafkah, jihad, dan warak. Baginya bunyi (bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu tiga ribu orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit ketujuh maka berkata malaikat penjaga langit tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula seluruh anggota badannya dan tutupkanlah hatinya. Akulah malaikat zikir(maksudnya:mencari sebutan, iaitu seorang yang beramal dengan tujuan di sebut-sebut oleh orang lain.)
Aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai ke Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari redha Allah tetapi hanya bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya di sebut di kalangan para ulama dan supaya masyur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah akan tidak menerima amalan orang yang riak.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seorang hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia dan banyak berdiam (dari perkara yang tidak berguna) dan banyak zikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikat-Nya:
“Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya. Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalannya tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu oleh kerana maka Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”
Lalu para malaikat tadi berkata: “Ke atasnya laknatMu dan juga laknat kami.”
Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan seisinya.
Mendengar sabda Rasulullah SAW ini lalu Muaz menangis seraya berkata:
“Engkau adalah Rasulullah SAW sedangkan aku adalah Muaz (hamba Allah yang bukan Rasul). Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera.”
Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah engkau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit amalan. Wahai Muaz jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca al-Quran (golongan ulama) dan pertanggunggungkan segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu keatas mereka dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan enagkau memuji dirimu di hadapan mereka. Dan jangan engkau campurkan urusan dunia di dalam urusan akhirat. Dan jangan engkau menyombongkan diri di dalam majlis nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada si sisimu dan jangan engkau membesarkan dirimu maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat nanti.”
Allah telah berfirman: “Demi yang mencarik akan mencarikkan” (Surah Al Nazi’at, ayat 7)
“Apakah engkau ketahui wahai Muaz siapakah mereka mencarik itu?”
Muaz bertanya: “Ya Rasulullah, sebenarnya siapakah mereka?”
Lalu Nabi SAW menjawab: “Itulah anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang.”
Muaz bertanya: “Ya Rasulullah siapakah orang yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?”
Nabi SAW menjawab:“Itu sebenarnya mudah bagi orang dimudahkan oleh Allah”
Kemudian lalu Khalid bin Maadan berkata: “Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca Quranul Karim lebih daripada Muaz kerana beliau faham terhadap hadis besar ini.”
Hadis ini riwayat Ibnul Mubarak di dalam kitab Al Zuhd dan riwayat Ibnul Jauzi di dalam kitab Al Maudhu’at (lihat Takhrij Al Iraqi, Ihya Ulumiddin 3/295)
0 comments:
Post a Comment