Suatu hari,
Rasulullah s.a.w memberitahu Fatimah bahawa dia bukanlah wanita pertama yang
masuk ke syurga. Fatimah sangat sedih dengan perkhabaran itu dan cemburu kepada
wanita tersebut. Fatimah tertanya-tanya, apakah amalan wanita tersebut sehingga
beliau layak menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga?
Fatimah
lantas bertanya kepada ayahandanya. Rasulullah s.a.w tidak menjawab, sebaliknya
berkata : “Pergilah anakku ke rumah wanita tersebut.” Fatimah pun bersiap untuk
pergi ke rumah wanita tersebut.
Pada kali
pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Muti’ah, Fatimah tidak
dibenarkan masuk kerana tidak mendapat keizinan suaminya. Maka Fatimah pulang
kembali dan datang semula pada keesokan harinya.
Pada hari
kedua, Fatimah datang bersama al-Hasan dan al-Husin pula. Sekali lagi Muti’ah
tidak membenarkan Fatimah masuk ke dalam rumah kerana Muti’ah meminta izin
untuk Fatimah sahaja, tidak untuk anak-anaknya.
Maka, sekali
lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana belum lagi dapat menyelidik
keistimewaan atau amalan wanita tersebut.
Pada hari
ketiga, barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam oleh Muti’ah. Mereka pun
berbual-bual disamping Fatimah memerhati kepada wanita yang istimewa itu. Namun
pada firasat Fatimah, dalam pertemuannya itu tidak ada apa-apa yang istimewa
tentang wanita ini, sehingga dia layak menjadi wanita pertama masuk ke syurga.
Ketika
sedang berbual-bual, tiba-tiba Muti’ah bangkit dari tempat duduknya dan segera
bersiap diri, Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya Muti’ah bersiap-siap untuk
menyambut kepulangan suaminya.
Muti’ah
menyambut kepulangan suaminya dengan tiga perkara : segelas air untuk
menghilangkan dahaga, sedikit makanan bagi menghilangkan lapar, dan sebatang
tongkat untuk digunakan oleh suaminya bagi menghukumnya jika dia bersalah
sepanjang pemergian suaminya, serta memakai pakaian yang cantik untuk tatapan
suaminya.
Fatimah
pulang dengan perasaan penuh kagum dan terharu dengan layanan istimewa yang
diberikan oleh Muti’ah kepada suaminya. Fatimah terus mendapatkan Rasulullah
untuk menceritakan apa yang dialaminya di rumah wanita itu. Dengan penuh rasa
rendah diri Fatimah mengakui bahawa Muti’ah sememangnya layak menjadi wanita
pertama yang masuk ke dalam syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi
kepada suaminya.
Rasulullah
s.a.w memujuk Fatimah dengan mengkhabarkan Muti’ah ialah wanita yang akan
menjadi penarik kudanya di syurga nanti. “Maka sebab itu dia akan masuk dahulu,
namun hakikatnya engkaulah Fatimah wanita yang pertama yang akan masuk ke
syurga,” Rasulullah s.a.w memujuk sambil memandang Fatimah dengan penuh kasih.
0 comments:
Post a Comment