Alkisah pensil nenek yang menulis surat
Seorang cucu sedang melihat neneknya menulis surat.
“Nek tulis apa? Nek tulis pasal apa yang kita buat bersama? Atau nek
tulis pasal Him?” tanya cucu yang bernama Ibrahim.
Nenek berhenti menulis sekejap dan memandang ke arah cucunya yang comel
sambil mencubit lesung pipitnya yang manis.
“Nek tulis pasal Him… tapi yang lebih penting ialah pensil yang nek guna
ini. Nek harap Him akan menjadi seperti pensil apabila besar nanti.”
Cucunya termenung tidak faham apa yang dikatakan nenek. Pensil yang
dipegang cumalah pensil kulitnya merah yang biasa. Ramai rakannya di sekolah
pun menggunakan pensil yang sama.
“Ini cuma pensil biasa, nek,” kata cucunya.
“Tak. Ia bergantung dari sudut mana Him pandang. Pensil ini ada lima
keistimewaan, dan jika Him boleh berpegang padanya, Him akan mendapat manfaat
daripada nya…
“Pertama: Him boleh menjadi seorang yang hebat tapi mesti ada tangan yang
memandu Him seperti pensil ini. Siapa dia pemandu itu? Dia ialah Allah, Dia
akan sentiasa memandu Him mengikut ketentuannya.
Kedua: dari semasa ke semasa, nek terpaksa henti menulis dan menggunakan
pengasah. Pensil akan sakit sedikit dan berkorban sedikit, tapi ia akan menjadi
lebih tajam. Begitu juga dengan Him. Him mesti belajar untuk mengharungi
sedikit derita dan sakit, cabaran ini akan mematangkan Him.
Ketiga: Pensil selalu membolehkan kita menggunakan pemadam untuk memadam
kesilapan kita. Ini bermakna membetulkan sesuatu kesilapan yang dilakukan kita
bukanlah satu perkara yang buruk, sebaliknya ia membantu kita kembali ke jalan
yang benar dan adil.
Keempat: Apa yang penting pada pensil ialah isinya dan bukan kulit
kayunya. Him kena tumpukan lebih banyak perhatian pada apa yang berlaku dalam
diri.
Akhir sekali, pensil sentiasa meninggalkan tanda. Begitu juga Him,
ingatlah semua perkara yang Him lakukan ada kesannya, jadi sedar dan fikir
dalam segala tindakan Him.”
Cucunya terpegun dengan cerita neknya.
Kini cucunya sudah mendapat cucu, cerita ini pula disampaikan kepada anak
dan cucunya.
Wahai anakku,
Jika kamu ingin belajar, pensil pun boleh memberi banyak pengajaran. Jika
kamu tidak ingin belajar, beribu buku di depan kamu pun tiada guna.
Senyum
0 comments:
Post a Comment