Friday, 4 November 2011

Larian Kasih Siti Hajar


Kisah perjalanan Hajar, isteri Nabi Ibrahim a.s sewaktu ditinggalkan suaminya bersendirian bersama anaknya, Ismail di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang bukan sahaja terkandung di dalam kitab suci Al-Quran tetapi turut disebut dalam kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s.

Isteri pertama Nabi Ibrahim a.s, Sarah telah meminta Nabi Ibrahim a.s membawa Hajar dan Ismail pergi jauh daripada pandangannya demi mengelakkan dia terus berasa cemburu kepada Hajar kerana beliau merasakan dirinya sudah tua dan tidak mampu memberikan zuriat kepada Nabi Ibrahim a.s.

Dengan petunjuk Allah SWT, Nabi Ibrahim a.s pun membawa Hajar dan anaknya ke satu kawasan padang pasir yang jauh daripada Mesir. Setelah jauh berjalan, akhirnya Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Hajar dan anaknya, Ismail di bawah sebatang pohon di tengah sebuah lembah padang pasir yang kering kontang dan tidak berpenghuni. Lembah ini kemudiannya dikenali sebagai Mekah.

Ketika Nabi Ibrahim a.s hampir tiba di hujung lembah, Hajar telah bertanya dengan lantang jika perbuatannya itu adalah perintah daripada Allah swt. Nabi Ibrahim a.s menjawab; “Ya, benar.” 

Setelah mendengar jawapan itu barulah Hajar merasa tenang lalu dia berkata; “Kalau begitu kehendakNya, sudah tentu Allah swt tidak akan mensia-siakan kami. Aku redha.” 

Kemudian, Nabi Ibrahim pun berdoa seperti yang ditulis di dalam Al-Quran surah Ibrahim ayat 37 hingga 38 yang membawa makna;
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!"

Selesai berdoa, Nabi Ibrahim a.s pun meneruskan perjalanannya. 

Alhamdulillah, lama-kelamaan Hajar semakin terbiasa dengan keadaan lembah tersebut. Namun, suatu hari, bekalannya telah kehabisan. Anaknya, Ismail pula menangis tidak berhenti-henti kerana kehausan. Lalu, Hajar pun bangun dan mula berlari-lari anak menuju ke Bukit Safa dengan harapan akan bertemu dengan sedikit makanan. Namun, dia hampa. Kemudian, dia beralih pula ke Bukit Marwah dengan harapan yang sama. Namun, sekali lagi dia hampa.

Hajar mengulangi perbuatannya itu sebanyak 7 kali sehingga akhirnya dia tersungkur keletihan dalam keadaan amat lapar dan dahaga. Dia kemudiannya menangis menghampiri Ismail yang juga masih menangis. Ketika inilah Ismail yang sedang menangis itu menghentak-hentakkan kakinya, lalu, kemudiannya muncullah air mata air di bawah hentakan kaki Ismail itu. Hajar berasa sangat gembira dan bersyukur kepada Allah swt.

Tidak lama selepas itu, muncul sekawan burung berterbangan di situ. Dalam masa yang sama dengan takdir Allah sekumpulan kaum Badwi dari suku Jurhum yang sedang dalam perjalanan ke Syam telah melalui kawasan itu. Setibanya di situ, mereka terlihat Hajar dan anaknya lalu, mereka meminta izin untuk tinggal bersama-sama di situ. Hajar telah bersetuju. Suku Jurhum itu kemudiannya mengajak kaumnya berpindah ke situ. Ismail kemudiannya membesar dan berkahwin dengan salah seorang puteri mereka.

Peristiwa larian Hajar dari Bukit Safa ke Bukit Marwah ini telah dijadikan Allah sebagai rukun yang harus dikerjakan oleh semua umat Islam ketika menunaikan haji dan umrah. Hal ini demi mengenangkan kembali pengorbanan Hajar terhadap anaknya, Ismail serta untuk dijadikan iktibar oleh semua umat Islam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...