Gerakan muslimat atau wanita jarang dilihat sebagai keperluan dan tuntutan pada masa dahulu. Cuma ianya muncul atas kesedaran dan kekuatan individu itu sendiri. Melihat keadaan dunia semasa kini, wanita Islam tidak boleh lagi berdiam diri, terperuk di rumah dan menguruskan hal ehwal rumah tangga dan dapur sahaja.Ini bukan bermaksud mengenepikan secara total tanggungjawab mendidik anak dan keluarga, tetapi sudut pandang wanita Islam kini perlu lebih luas dan bebas dari kepompong yang sedia ada. Cabaran dan anasir-anasir luar menuntut muslimat untuk bergabung dalam gerakan sebagai satu sinergi dalam masyarakat bagi menyuarakan sudut pandang yang digariskan dalam syarak.Sepintas lalu mungkin melihat gerakan wanita ini ala-ala perjuangan feminism. Kerana stigma masyarakat melihat wanita akan bersuara untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Ini sangat salah. Gerakan muslimat atau wanita Islam bukan berorientasikan sepertimana yang diperjuangkan oleh golongan feminism ataupun kesamaan hak.
Apakah matlamat atau peri pentingnya muslimat dalam gerakan? Walhal dalam hadis nabi yang mafhumnya , “ Apakah jihad bagi seorang muslimah? Nabi menjawab menunaikan haji dan menguruskan hal ehwal rumah tangga.” Hadis ini diturunkan kerana ada sahabat muslimat yang datang kepada nabi atas dasar kecemburuan mereka terhadap muslimin yang mempunyai medan jihad yang nyata iaitu berperang di jalan Allah. Dalam hal qital/ siri peperangan, golongan wanita sememangnya tidak terlibat secara langsung. Melihat kepada hadis nabi ini, adakah muslimat tidak perlu turun ke medan? Berbalik kepada satu pandang sisi yang menjejak kepada realiti pada hari ini, dengan gejala sosial, fahaman dan ideologi yang songsang dari Islam dan pengaruh filem yang banyak elemen-elemen negative. Jadinya, dalam situasi begini, mampukah kita untuk menjaga ahli keluarga semata-mata walhal setiap segi anak dan keluarga kita diserang dan terdedah dengan pelbagai kegoncangan iman. Oleh itu, perjuangan dan suara wanita adalah diperlukan untuk memperbaiki dan mengharmonikan suasana rumah tangga dan masyarakat ; bukan yang memperjuangkan kesamarataan hak dan gender dengan kaum Adam.
“Sesungguhnya orang islam lelaki dan perempuan, dan orang yang beriman lelaki dan perempuan, dan orang yang taat lelaki dan perempuan dan orang lelaki serta orang perempuan yang benar dan orang lelaki dan perempuan yang sabar,dan orang lelaki dan perempuan yang khusyuk, dan orang lelaki dan perempuan yang bersedekah ,lelaki dan perempuan yang berpuasa dan lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatan mereka dan orang lelaki serta perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar” ( al-ahzab ;35). Jelas menunjukkan disini tuntutan dan peranan wanita dalam pentarbiyahan masyarakat sama sekali tidak boleh dinafikan dan sudah terang lagi bersuluh, wanita dan lelaki itu tidak perlu dibezakan amal perbuatannya. Cumanya ada sedikit perbezaan pada diri wanita yang menyebabkan wujudnya kekangan dalam mereka berkecimpung dalam medan masyarakat. “Antara fitnah yang terbesar adalah diri wanita itu sendiri.” Ya, wanita dan muslimat sangat terdedah dengan fitnah.
Ingin saya hujahkan sekali lagi apa perlunya muslimat turun kelapangan mendidik masyarakat. Tiada hukum yang qat’ie mengatakan wanita HARAM untuk turun ke masyarakat dan mengambil posisi jihad. Hukumnya adalah sekadar harus, jadi mengapa ruang keharusan ini tidak digunakan sebaiknya dalam tujuan amal islami. Kita tidak mahu keharusan syrak ini disalah tafsir dengan mendakwa keluar dari rumah semata-mata untuk bergosip dan sebagainya. Walau bagaimanapun perihal yang paling penting adalah untuk memohon keizinan suami dahulu untuk terlibat dalam gerak kerja aktivis ini.
Dalam gerak kerja amar makruf pastinya tempang apabila digerakkan oleh lelaki semata-mata kerana firman Allah dalam at-taubah: 71 berbunyi, “ Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya, mereka menyuruh berbuat baik dan melarang kejahatan dan mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat serta taat kepada Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Oleh itu,salah anggap yang sering dilontarkan oleh pihak tertentu yang tidak faham mengenai duduk peranan wanita sebenar dalam masyarakat adalah salah. Cumanya perbincangan perlu lebih jelas apakah batas dan limitasi penglibatan wanita dalam gerak kerja dakwah dan jihad dan dalam masa yang sama tidak mengkesampingkan kewajipan dalam rumah tangga.
Mengapa mutakhir ini ianya menjadi tuntutan? Melihat kepada gerakan liberal, Sister in Islam dan persatuan-persatuan lain yang memperjuangkan hak kesamarataan wanita yang sangat hebat dilaungkan di Barat dan merebak ke Malaysia, maka tuntutan itu hadir. Adakah hendak dibiarkan sahaja laungan-laungan yang tidak berteraskan syariah yang sebenarnya ini mengelirukan ahli muslimat yang lain? Masalah institut kekeluargaan dan anak-anak yang mempunyai kepincangan akhlak, semuanya ini memerlukan sentuhan yang bersifat keibuan dan ianya memang sesuai dengan fitrah.
Andai dilihat dari soroton sejarah sekalipun, golongan yang menentang ajaran nabi juga datangnya dari golongan wanita seperti Ummu Jamil, Hindun bt Utbah yang menjadi penentang tegar. Bahkan seorang perempuan yahudi ,iaitu Zainab Bt Al-Harith telah meracun baginda selepas perang Khaibar. Pada zaman moden pula, pembantaian kepada umat Islam juga disumbangkan oleh wanita seperti Condolezza Rice dari AS dan Lipni dari Israel.
Secara kesimpulannya, muslimat perlu bijak mengimbangi tuntutan dalam urusan rumah tangga dan masyarakat yang kedua-duanya merupakan tuntutan amal islami. Dan muslimat juga perlu pandai membawa diri supaya tidak menjadi fitnah yang mungkin boleh menambah barah kepada masyarakat. Nilai keintelektualan, penuh dengan kelembutan dan kasih sayang dan suara ketegasan perlu menjadi jati diri kepada diri wanita sendiri. Semuanya ini perlu hadir atas dasar kesedaran terlebih dahulu. Mahasiswi diperingkat kampus yang jelas akan tuntutan dakwah ini perlu mempersiapkan diri berhadapan dengan seratus ribu ancaman dan ujian untuk membawa diri muslimat kedalam masyarakat.
0 comments:
Post a Comment