Friday 18 January 2013

Surat Nafisah Buat Pemimpin



Nama penuhnya ialah Nafisah binti al-Hassan bin Zaid bin Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib. Beliau lahir di Makkah pada tahun 145H dan merupakan anak seorang wali di Madinah.

Penduduk Mesir pernah mengadu tentang kezaliman bani Talun kepada Nafisah. Lantas, Nafisah mengambil tindakan dengan menulis sepucuk surat dan menampalnya di seberang jalan.

Beliau menulis dalam surat tersebut : “Kamu semua yang telah menjadikannya Raja, namun telah diperbudakkannya. Kamu telah memberinya kekuatan, tetapi kamu pula yang ditindasnya. Kamu telah memberikannya sebuah pemerintahan, akhirnya kamu menyesal atas pemberian itu.

Dahulu kalian berada dalam keadaan makmur, namun kemakmuran itu pergi kerananya.

Maka ketahuilah, bahawa berdoa pada waktu malam demi sebuah kemaslahatan pasti dimakbulkan. Lebih-lebih lagi doa itu dari hati yang kecewa, orang yang dilanda kelaparan dan orang yang susah mendapatkan pakaian yang sewajarnya.

Dan ketahuilah juga bahawa sangat mustahil sekali jika seorang yang zalim masih hidup ketika orang yang dizalimi meninggal dunia.

Wahai pemerintah, ketahuilah bahawa kejahatan kalian selama ini kami hadapi dengan penuh sabar. Teruskan kejahatan ini sehingga kami terus menjadi orang yang teraniaya. Dan teruslah bertindak zalim dan kami akan jadi orang yang dizalimi.

Ketahuilah juga bahawa orang yang sentiasa berlaku zalim pasti akan jatuh jua.”

Pemerintah Bani Talun berasa gementar apabila membaca surat tersebut. Akhirnya, mereka bersedia membangunkan sebuah pemerintahan yang adil dan bijaksana.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...