Suatu kisah, seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di
suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba ia terpandang suatu cahaya yang
terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia
merasa sedikit ketakutan dan berdebar.
Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur
ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Sama ada seorang waliyullah
atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Allah.
Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu.
Keesokannya lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani
orang kampung. Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah
yang sangat ajaib itu.
Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulama atau orang
soleh yang terkenal?.
Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang
mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah
mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama isterinya. Untuk mengetahui
dengan lebih lanjut , lelaki itu berkunjung ke rumah si mati dan bertemu dengan
isteri si mati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat diperkuburan suaminya.
Anehnya isteri tersebut terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali
suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa . Suaminya seorang petani kecil. Bukan
seorang kiai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan
imam, bukan muazzin, bukan guru al-Quran. Malah suaminya tidak pandai membaca al-Quran
dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca al-Quran. Hal ini benar-benar
menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri si mati.
Akhirnya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang suaminya
selalu dilakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya si isteri teringat
suatu perkara yang selalu dilakukan oleh suaminya, setiap kali sebelum tidur
pada setiap malam. Katanya, setiap malam sebelum tidur suaminya akan mengambil
wudhuk, kemudian masuk di dalam sebuah bilik lalu diambilnya al-Quran di atas
rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.
Ia akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti
sedang membaca, sedangkan dia seorang yang buta
Dia akan meraba-raba ayat-ayat al-Quran itu dengan tangannya ,
seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah
isteri si mati lagi, ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya
yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.
“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah Mu.
Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”
“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahanku. Aku tidak mampu membaca
kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu.
Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintai mu. “
“Wahai Kalamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau
menuduh aku dihadapanTuhan diakhirat nanti”.
Cerita isteri si mati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam
bilik itu ditemani Al-Quran buah hati kesayangannya.
Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta
untuk melihat al-Quran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan
apabila ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya
kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya,
tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran
yang maha suci ini.
Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu
dengan ruh al-Quran. Dia sangat mengasihi kalimat Tuhan dengan sesungguhnya.
Bererti dia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya. Marilah kita
menghidupkan al-Quran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri
kita, sepanjang masa.
Subhanallah.. Subhanallah..
Subhanallah.. Subhanallah..
0 comments:
Post a Comment