Saturday, 9 April 2011

Bolehkah Mensyaratkan Suami Tidak Berpoligami?


Wanita, Islam Memahamimu..

Di Mana Lelaki Setia?

Kutersenyum apabila ada remaja muslimah yang mengadu kepadaku,
...“Kak, mencari lelaki setia sekarang ni amat susah. Ramai lelaki yang dah terbiasa berkawan dengan ramai perempuan. Kalau lelaki sebegini dibuat laki, saya takut besar kemungkinan nanti, saya kena hidup berpoligami. Dah tentu dia akan teringat-ingat balik kat kawan-kawan lama dia tu. Kat mana saya boleh temui lelaki yang hidup sehariannya menjaga diri? Hanya lelaki sebegini akan setia.”
Tak dinafikan, tak semua lelaki berpoligami kerana dorongan nafsu. Namun, kebanyakannya pada hari ini jelas kerana itu. Apapun, saya amat kagum dengan remaja yang berfikir sebab dan akibat di depan sebelum mengambil sesuatu keputusan. Apatah lagi keputusan penting dalam hidupnya. Ternyata ini adalah golongan remaja bijak dan mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan.

Pasangan Berhak Meletakkan Syarat.

Teristimewa buat bakal pengantin muslimah, ketahuilah bagaimana Islam memahami fitrah dan hatimu. Islam agama yang sangat menghormati dan meraikan hak wanita. Islam membelai setiap hati dan perasaan dengan keadilan. Jangan sangka Allah tidak mengerti tentang kecemburuanmu. Mari telusuri hakmu dalam syarat ta’liq seiring dengan perjanjian perkahwinanmu nanti. Ia akan menjadikan hatimu tenang dalam mengjangkau sebarang kemungkinan.

Apa itu Syarat Ta’liq?

Syarat Ta’liq atau Ta’liq talak merupakan perjanjian suami isteri yang bersifat sukarela, yang ada atau tidak hanya ditentukan oleh pihak suami isteri dengan tujuan memberikan keadilan bagi kedua-dua pihak.
Ianya bermaksud menggantungkan pernikahan dengan syarat tertentu. Jika ada di kalangan suami atau isteri melanggar syarat maka jatuhlah talak.
Dilihat dari segi kewujudannya, ia sebagai perjanjian yang menggantungkan kepada syarat dengan tujuan utama melindungi isteri dari kemudaratan atas kesewenangan suami.
Perjanjian Ta’liq Talak biasanya dilakukan ketika suami menandatangani sighat Ta’liq yang diucapkannya sesudah akad nikah.

Dalil Sah

1. Dalil sah talak ta’liq yang dikaitkan dengan sifat atau syarat, dan jatuhnya talak jika syarat atau sifat itu benar-benar berlaku ialah Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka”
(HR Al-Hakim dari Anas dan Aisyah).
Difahami daripada hadis di atas syarat-syarat yang dikaitkan dengan berlakunya sesuatu perkara adalah diambil kira oleh syarak selagi ia tidak mengharamkan perkara halal atau menghalalkan perkara haram.( Al-Fiqhul Manhaji – Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 4, Menghuraikan Bab Undang-Undang Kekeluargaan; Dr Mustofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji; terjemahan Ust Azizi Ismail & Ust Mohd Asri Hashim; Pustaka Salam 2002.)

2. Rasulullah SAW bersabda, “Syarat yang paling berhak untuk dipenuhi adalah syarat yang menjadikan kamu halal bersetubuh dengan isterimu.” (HR Bukhari dan Muslim. Muttafaq alaih).

3. Rasulullah SAW pernah berkhutbah di atas mimbar dengan mengkritik Ali secara halus agar tidak memadukan puterinya dan memenuhi janji terhadapnya agar tidak menyakiti hati Fatimah kerana menyakiti Fatimah bererti menyakiti Rasulullah sendiri. Baginda juga menyebut dan memuji menantunya yang lain yang telah memenuhi janji terhadap beliau dengan tidak menduakan puterinya. (Rujuk hadis riwayat dari Abdullah bin Abi Mulaikah bahawa Musawwir bin Mahramah bercerita tentang hadis ini, diriwayatkan oleh Bukhari.)

Walaupun ia tidak disyaratkan ketika ijab dan qabul tetapi ia sedia maklum sudah termasuk sebagai syarat. Ibnu Qayyim berkata, “Hadis ini mengandung beberapa perkara, iaitu: Seorang lelaki apabila isterinya sudah memberi syarat tidak boleh dimadu, maka wajiblah syarat ini dipenuhi. Tetapi jika ternyata kemudian dimadu, maka si isteri berhak membatalkan perkahwinannya.
Menurut kaedah Imam Ahmad, syarat yang melembaga dalam adat istiadat sama dengan syarat yang diucapkan. Maka, dalam adat perkahwinan puteri Rasulullah yang darjat mereka adalah tinggi, tidak boleh dikumpulkan dengan wanita lain walaupun hukumnya harus. Sebagaimana pendapat Imam Nawawi, Rasulullah takut agama mereka rosak kerana cemburu. Darjat mereka tinggi pada agama, bukan semata-mata keturunan.
Ta’liq Talak sebagai alasan perceraian telah melembaga dalam hukum Islam sejak lama, sejak zaman sahabat. Mereka yang menyokongnya ialah Umar bin al-Khattab, Saad bin Abi Waqash, Mua’wiyah, Amru bin Ash, Umar bin Abdul Aziz, Jabir bin Zaid, Thawus, Auza’ie, Ishaq dan sebagainya. Sebahagian besar ulama sepakat tentang sahnya.

Bolehkah Mensyaratkan Suami Tidak Berpoligami?

Ya, boleh!
Menurut Wahbah Zuhaili di dalam bukunya yang mahsyur seluruh dunia, Al-Fiqh wa Adillatuhu, atau terjemahannya di Malaysia, Fiqh Perundangan Islam, mensyaratkan agar suami tidak berpoligami sah dimasukkan ke dalam syarat ta’liq.
Ia tidak termasuk mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram kerana ia hanya perkara harus. Contoh mengharamkan yang halal ialah mensyaratkan agar suami tidak menyetubuhinya. Ia bukan harus bahkan wajib menjadi hak suami yang perlu ditaati isteri.
Sayyid Sabiq juga menjelaskan di dalam bukunya, Fiqh Sunnah bahawa menjadi hak perempuan mensyaratkan tidak dimadu. Jika syarat yang diberikan oleh isteri ini dilakukan ketika ijab qabulnya supaya dia tidak dimadu, maka syarat ini sah dan mengikat, dan dia berhak membatalkan perkahwinan jika syarat ini tidak dipenuhi oleh suaminya, dan hak membatalkan perkahwinan ini tidak hilang selagi si isteri tidak mencabutnya dan rela dengan pelanggaran suaminya.
Begitu juga pendapat Imam Ahmad dan dikuatkan oleh Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim. Ini kerana syarat-syarat dalam perkahwinan lebih penting nilainya daripada jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya. Oleh sebab itu, memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh isteri lebih wajib dipenuhi.

Tujuan Syarat Ta’liq

Dr. Mahmud Syaltout dalam bukunya Perbandingan Mazhab, menjelaskan bahwa perceraian lewat perjanjian Ta’liq Talak adalah jalan terbaik dalam melindungi wanita atas perbuatan tidak baik dari pihak suami. Sekiranya seorang suami telah mengadakan perjanjian Ta’liq Talak ketika akad nikah akan dilaksanakan dan bentuk perjanjian itu telah disepakati bersama, maka perjanjian Ta’liq Talak dianggap sah untuk semua bentuk Ta’liq atau perjanjian, sehingga terjadinya pelanggaran bagi pihak suami, maka isteri dapat meminta cerai kepada pengadilan.
Sementara itu, jumhur ulama mazhab berpendapat bahawa bila seseorang telah menta’liqkan talaknya kemudian telah terpenuhi syarat-syaratnya sesuai dengan kehendak mereka masing-masing, maka ta’liq itu dianggap sah untuk semua bentuk Ta’liq, baik ia mengandung sumpah (qasamy) ataupun mengandung syarat biasa, kerana orang yang menta’liqkan talak itu tidak menjatuhkan talaknya pada saat orang itu mengucapkannya, akan tetapi talak itu tergantung kepada terpenuhinya syarat yang dikandung dalam ucapan ta’liq itu.

Anda Takut Bermadu Kerana Kepentingan Akhirat Anda?

Buat bakal pengantin muslimah yang takut dimadukan suami kerana takut agamanya rosak lantaran cemburu, Islam memberikan solusi yang amat adil. Begitulah ketenangan beragama yang dimiliki oleh puteri-puteri Rasulullah SAW.
Tersenyumlah. Yakinlah akan terbelanya hak-hak seorang muslimah di dalam Islam. Islam agama terbaik. Agama fitrah. Agama yang memahami hati dan perasaan. Tiada diskriminasi gender. Tiada pemaksaan yang bertentangan dengan fitrah. Bukankah Allah sangat memahami?

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...