Malu-malu anak Nabi Syuaib a.s ketika berjalan kembali menemui
Nabi Musa a.s. bukan untuk lebih lanjut berkenalan, tetapi kerana menyampaikan
jemputan dari ayahnya kepada pemuda gagah lagi beriman tersebut.
Telah terakam kisah tersebut di dalam al-Quran yang bermaksud :
“Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua perempuan
itu berjalan dengan malu-malu, dia berkata : Sesungguhnya ayahku mengundangmu
untuk member balasan sebagai imbalan atas (kebaikanmu) member minum (ternak)
kami”. Ketika Musa mendatangi ayahnya (syu’aib) dan dia menceritakan kepadanya
kisah (mengenai dirinya), dia (Syuaib) berkata, “Janganlah engkau takut! Engkau
telah selamat dari orang-orang zalim”.Surah
al-Qasas: ayat 25
Teruja dengan sifat ‘malu-malu’ anak perempuan nabi Syuaib a.s.
Yang ‘malu-malu’ inilah mahal, tetapi yang mahal inilah semakin kurang benihnya
dalam diri wanita muslimah. Malu itu memang perlu bertempat kerana itu letaknya
maksud adil, Allah meletakkan
sifat malu wanita itu sebenarnya untuk menjaga dirinya, maruahnya dan jasadnya
dari direnggut mata dan nafsu liar manusia.
Daripada ayat di atas ada pengajaran yang kita boleh pelajari
untuk bekal perhubungan wanita semasa bekerja dengan yang berlainan jantina
iaitu ‘kata-kata yang ringkas dan jelas’
Ringkas dan Jelas
Lihatlah anak perempuan Nabi Syuaib apabila menjemput Nabi Musa
as, dia datang dengan perhiasan sifat malu sambil menyampaikan jemputan ayahnya
dengan ucapan yang ringkas, jelas dan mudah difahami.
“Dia berkata : Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi
balasan sebagai imbalan atas (kebaikanmu) memberi minum (ternak) kami”. al-Qasas:25
Tidak pula dia meleret-leret sambil berkata : “Terima kasih ye
tolong kami tadi. Awak ni memang baik hati dan gagah. Awak tinggal kat mana ye.
Emm, sebenarnya ayah saya jemput awak datang ke rumah, entahlah kenapa..bla bla
bla..”.
Dan melihat pula peribadi Nabi Musa pula, dia tidaklah mengambil
kesempatan tersebut untuk berdua-duaan serta berkenal-kenalan dengan lebih
lanjut. Terus berjalan menuju ke rumah nabi Syuaib as untuk memenuhi jemputan.
Itulah adab muslimin dan muslimah yang sepatutnya apabila perlu
bermuamalah. Mungkin perbuatan di atas tanpa disedari pernah dilakukan oleh
kita. Meleret-leret bermula dari pertolongan kepada tujuan untuk
berkenal-kenalan, bergurau- senda, lalu terbuka jalan untuk bertemu sambil
bertukar-tukar cerita.
Wanita Muslimah apabila berjalan
Dari sudut lain, ayat di atas juga terkandung gambaran sifat malu
wanita yang perlu diikuti oleh wanita muslimah bagi menjaga akhlaknya,
memelihara dirinya dan melindungi maruahnya iaitu ‘malu ketika berjalan’.
Ahli tafsir menjelaskan tentang keadaan anak perempuan nabi Syuaib
as berjalan dengan malu-malu adalah ketika menjemput nabi Musa dan ketika
pulang bersama menuju ke rumah Nabi Syuaib.
Imam Alusi ketika
menafsirkan ayat (عَلَى اسْتِحْيَاء) berkata : “Anak perempuan Nabi Syuaib
a.s berjalan sambil malu-malu ketika berjalan menemui(Nabi Musa a.s) dan ketika
pulang..”(Ruhul ma’ani, 10/273)
Sayyid Qutb pula
menambah : “Wanita yang suci, baik, mempunyai maruah apabila dia berjalan
dan bertemu dengan golongan lelaki, dia berjalan ((dengan malu-malu)) tanpa
dibuat-buat, tanpa berhias berlebih-lebihan dan tidak menggoda..” (Fi zilal
al-Quran, 5/2686).
Ringkasnya wanita mukminah apabila berjalan merentasi kaum lelaki hendaklah
dia berjalan dengan :
1- Hiasi dengan sifat malu
2- Tidak bertabarruj (berhias) secara berlebih-lebihan
3- Menutup aurat
4- Tidak dibuat-buat
5- Cara jalan yang tidak menggoda
1- Hiasi dengan sifat malu
2- Tidak bertabarruj (berhias) secara berlebih-lebihan
3- Menutup aurat
4- Tidak dibuat-buat
5- Cara jalan yang tidak menggoda
Malu dan Wanita kini
Apabila dikaitkan dengan realiti kehidupan sekarang, amat
menyedihkan sekali apabila kaum wanita secara tidak sedar telah dipergunakan
sebagai sumber keuntungan melariskan barangan dan produk kecantikan. Sabun,
syampu, model kosmetik malah model untuk kereta pun wanita yang menjadi
pelarisnya.
Allah..
bagaimanakah lagi sifat malu yang menjadi fitrah wanita itu boleh menutup dan
menjaga diri serta maruah wanita dari direnggut manusia yang berkepentingan
dunia.
Kecantikan itu anugerah, dan Allah menciptakannya
dengan sifatnya yang Maha Adil. Dia meletakkan kecantikan dan perhiasan wanita
itu pada permulaannya hanya untuk ditatap oleh yang hak sahaja. Tetapi apabila
hak ini dicabuli dan tidak diletakkan kepada yang sepatutnya, maka wanita itu
secara automatik telah menzalimi dirinya sendiri.
Bila berjalan di pinggiran jalan, memerah muka menahan malu
melihat ada gadis-gadis malah yang sudah menjadi ibu berpakaian dengan pakaian
yang ‘tidak cukup meter’.
Teringat Prof Dr Muhaya berkata : kita melihat kesalahan orang
supaya kita tak jadi seperti mereka. Jangan pula sibuk mencari kesilapan orang
dan dipanjang-panjangkan cerita itu sehingga lupa hendak cari silap sendiri..
Justeru bukanlah tujuan menceritakan ‘sakit-sakit mata’ dan
‘merah-merah muka menahan malu’ ketika berjalan dipinggir jalan dan di dalam
LRT melihatkan wanita yang tanpa segan silu mendedahkan aurat dengan megah.
Namun sebenarnya di sebalik tulisan ini mengharap dan mengingatkan kembali diri
kita yang terlupa akibat keindahan dunia dan pujian manusia ini agar sentiasa
ingat bahawa diri kita secara fitrahnya dikurniakan sifat malu oleh Allah SWT. Tanda
sayang-Nya, tanda Dia mahu menjaga maruah kita, tanda Dia mahu kita selamat
dari gangguan yang tidak kita senangi.
Orang yang punyai sifat malu terpeliharalah dirinya, akhlaknya,
maruahnya. Dengan sifat malu, aurat ditutup sempurna, pergaulan dijaga, tidak
senang ditatap mesra.
Wanita, perhiasannya malu. Andai hilang malu takutlah wahai
muslimah. Petanda awal bahawa akhlakmu akan diganggu gugat syaitan dan nafsu.
Mudah-mudah dipelihara Allah swt
selalu.
Ingatan buat diri sendiri sebenanrnya dan sekembalinya.
Salam kasih kerana Allah~
Salam kasih kerana Allah~
Allahu a’lam..
Rujukan: kitab Inayah al-Quran wa as-sunnah bi masya’ir al mar’ah
0 comments:
Post a Comment