Saya berfikir lagi, saya
diberikan wahyu dan akal untuk memilih sama ada melakukan atau mengelakkan
sesuatu. Maka, saya ingin memilih satu cara bercinta yang paling mengecilkan
risiko kecewa dan dikecewakan.
Saya membuka semula diari. Saya menulis analogi yang hadir di fikiran berkait
dengan apa yang sedang saya fikirkan.
Siapa yang inginkan kemalangan
jalan raya?
Saya percaya semua orang tidak mahu. Bezanya terletak pada cara mereka
menyiapkan diri untuk mengelakkan sesuatu yang mereka tidak sukai itu. Pena
saya menulis lagi,
Bagaimana mengelakkannya?
A)
Berserah sahaja. Kalau kemalangan terjadi, terima ia sebagai takdir. Kalau kaki
patah, biarkan sahaja kerana tentu ada hikmahnya. Lalu, menghadapi hidup dengan
kaki yang patah itu.
B)
Berusaha mengelak dan bertawakkal. Mengambil langkah-langkah keselamatan. Kalau
terjadi, terima ia sebagai takdir dan bangkit mencari penyelesaian. Muhasabah
langkah-langkah keselamatan yang mungkin belum sempurna. Jika kaki patah,
segera menjalani rawatan pemulihan.
Saya memilih B!
Saya menulis persoalan.
Bagaimana pula mengelakkan atau
sekurang-kurangnya mengecilkan risiko kecewa dalam bercinta?
Hanya cinta Allah yang tidak mengecewakan.
Dia Pencipta cinta. Cinta itu percikan daripada sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim dan Al-Wadud. Dialah
cinta nombor satu. Saya perlukan cinta yang tidak mengenal kecewa ini.
Bagaimana
pula dengan cinta manusia?
Saya perlu meletakkan Allah sebagai
penyebab diri saya mencintai dan dicintai oleh seorang lelaki. Bukan
sebab-sebab lain. Sebab-sebab lain itu bersifat sementara dan rapuh belaka.
Hanya Allah yang abadi. Ia bukan sekadar teori di atas kertas. Perlu dibuktikan
dengan perbuatan. Menurut perintah. Menjauhi larangan.
Jika saya berkahwin, saya inginkan keluarga bahagia. Saya ingin anak-anak saya
dibesarkan dalam suasana ibubapa yang berkasih-sayang. Saya percaya, semua
manusia di dunia ini berkongsi impian yang sama terhadap perkahwinan mereka.
Bezanya:
A)
Ada manusia mempunyai impian tapi tiada doa dan usaha. Impian bertukar menjadi
angan-angan.
B)
Ada manusia mempunyai impian lalu dikerahkan segenap doa dan usaha. Impian
menjadi suatu cita-cita yang seronok untuk direalisasikan. Bahagia tercipta
sepanjang perjalanan dalam menggapai impian.
Saya inginkan yang kedua!
Maka, apakah doa dan usaha yang
boleh saya lakukan?
Doa
Melazimi zikir-zikir terpilih
daripada al-Quran dan al-Sunnah yang dikenali sebagai al-Ma’thurat.
Usaha
First thing first!
Senaraikan target:
Jadi peribadi Muslimah yang
terbaik.
- Mesti
sekurang-kurangnya buat semua yang wajib dan tinggal yang dilarang.
- Mesti
berusaha mengikis keaiban diri satu-persatu.
- Menambah
amalan dan akhlak terpuji yang baru setiap hari.
Jadi pelajar yang terbaik.
- Mesti
sekurang-kurangnya dapat 8A1 SPM.
- Mesti
sekurang-kurangnya lulus ijazah dengan CGPA 3.5 ke atas.
- Mesti
menggilap potensi dan kepimpinan dengan persatuan.
- Mesti
sekurang-kurangnya lulus Master 3.8 ke atas.
- Mesti
sambung Ph.D sebelum 30 tahun.
Jadi isteri yang terbaik.
- Membaca
sekurang-kurangnya 50 buah buku tentang rumah tangga sebelum bernikah.
- Menghadiri
sekurang-kurangnya 5 seminar membina Baitul Muslim sebelum bernikah.
- Berkahwin
pada usia muda sekitar usia 22-24 sebaik sahaja tamat ijazah pertama.
Jadi ibu yang terbaik.
- Mesti
meletakkan tugas mendidik generasi pewaris sebagai prioriti. Keluarga
diutamakan meskipun berkerjaya di luar rumah apatah lagi jika berkerjaya dari
rumah.
Jadi pendakwah yang terbaik.
- Mesti
hasilkan sekurang-kurangnya satu karya buat umat setahun.
- Mesti
konsisten menyertai dan memimpin halaqah bersama masyarakat terdekat.
- Pelbagaikan
medium dakwah seperti dakwah individu, penulisan, ucapan umum, media, blog,facebook dan
sebagainya.
“Ops. Masa untuk studi.”
Saya hentikan coretan di dalam
diari. Belum sempat mengulang kaji, Ustaz Ali Ramadhan yang berbangsa Mesir
Qibti melangkah masuk ke kelas. Hati berbisik,
‘Astargfirullah! Ini
baru terfikir soal cinta, sudah banyak masa terbazir. Apalah yang terjadi kalau
aku benar-benar dilamun cinta? First thing first!’
0 comments:
Post a Comment