Aku hanya seorang Insyirah.
Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu
menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti
manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli
mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa
mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan
lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya
Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah
dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring
ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang
Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama...
Negeri Barzakh, insyaAllah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi.
Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa
tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku
sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis.
Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan
membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum
mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia
dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang
sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah nanti
nak pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang.. "Warna
putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu
akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah
cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku
menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh
nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan
perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku
ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar
menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh
ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu,
aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku
nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan
tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam
tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia
menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu
pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang
yang mendahului.
"Kak Insyirah, siapa
tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"
Aku tersenyum, mengulum
sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang
perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang,
kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah, 'dia'
tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling
utama."
Berita itu juga buat beberapa
orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu
diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput
ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum entah
sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum.
Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia'
yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila
setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak
lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan
menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enti
menikah?"
Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba
waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi
memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau enti tak datang
pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu
di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya
sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan
tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku adalah rahsia Allah,
kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku
menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa
menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan,
baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan
ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus
berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Insyirah, jom
makan!"
Aku tersenyum lagi...
Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal, ana
puasa."
Sahabiah juga semakin galak
mengusik.
"Wah, Insyirah diet
ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu
mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku tidak tahu
bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari
tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari
pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga
kelak. Doakan aku, itu sahaja.
.......................................
"innalillahi wainna
ilaihi rajiun..."
"Tenangnya...
Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah,
tenangnya..."
"Moga Allah
memberkatinya...."
Allah, itu suara
sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat
dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis
walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok
'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok
'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama
mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum
menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di
hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada
Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan
yang tahu.
"Ya Allah, telah
Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau.
Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia
sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam
majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau
sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku
ketahui..."
Akhirnya, Khalilah bertanya
kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"Insyirah bertunang
dengan siapa, mak cik?"
Ibu tenang menjawab... "Dengan
kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang
sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor,
Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air
matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering
dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum
lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar
tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di
Alam Kubur'.
"Ya Allah, patut la
Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."
"Dan sejak dari hari
'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan
perut, mudah untuk dimandikan..."
Khalilah masih kaku. Tiada
suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang
diberikan oleh ibu.
"Satu cincin ini aku
pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai
sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti
tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang
menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman
dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil
'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim,
seteguh dan setabah hati seorang ibu."
* Kisah ini bukan kisah ana
(Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *
Mulai hari ini, jangan bersoal
tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila
ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi,
sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan
mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari
pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.
Cukuplah kematian itu
mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala
nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu
sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding
dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.
Setidak-tidaknya, Insyirah
(watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Ahh... Untungnya
Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)
~ Kullu nafsin za'iqatul
maut ~
5 comments:
salam ukhuwah..tersentuh hati ana baca entry enti..:)..apapom kita sbg manusia yg masih lg di beri kesempatan utk truskan hdup..sntiasalah mncr bekalan yg scukupnye utk pernikahan yg kekal kelak yg tdk di ketahui bila tarikhnye..
boleh ana nk share entry enti ni kat blog n FB ana??kalau enti xizinkan xpe..:)..
tafaddhal ya ukht.. moga Allah kasih.. :)
syukran jaziklan ya sadiqati ukhti an-nissa..in shaa Allah..barakllahu fik..:)
rasa macam pernah baca,,, maybe yang hampir sama kot,,
Post a Comment