Saturday, 12 February 2011

Buat Mata Yang Sedang Menangis



Duhai mata yang sedang menangis…

Mungkin tika kini kau sedang bahagia, mungkin juga kau sedang berduka.
Apapun situasimu, air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir ke pipi
ialah anugerah Allah s.w.t yang tak terhingga.
Ia mampu membuang racun ditubuhmu kemudian disusuli ketenangan jiwa.
Bersyukurlah hingga saat ini kau masih mampu menangis.

Aduh!
Sungguh hairan kumelihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan.
Malah, menganggapnya satu lambang ketidakmatangan.
Sedangkan Allah s.w.t merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya,
“Dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis
dan mereka bertambah khusyuk.” {Surah Al-Isra’-109}

“Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka,
Maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis. “{Surah Maryam : 58}

Duhai mata yang sedang menangis…

Tahukah dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi
terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya.
Tatkala dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuh.
Air mata secara semula jadi boleh membuangnya.
Otak pula bekerja mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata.
Bukan itu sahaja, tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai
latihan berguna buat sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada.
Setelah tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan
mula menguasai jiwa. Subhanallah, hebat sungguh penciptaan air mata!

Duhai mata yang sedang menangis…

Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Sama ada kau lelaki atau wanita,
kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan.
Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai
beban yang tersimpan.

Jika kau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan?
Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan
dalam mengendalikan kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri
dengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam. Apa pun, tak sesiapapun
menafikan kau juga insan yang punya hati dan perasaan.
Isi hatimu kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan
tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan
menafikan air mata kerana kelak badanmu mendapat darurat.

Jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki.
Tahukah dikau, penyayang-Nya Allah s.w.t padamu hingga Dia menciptakan
kalenjar-kalenjar air matamu lebih besar daripada kalenjar-kalenjar
air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis
empat kali lebih banyak dari lelaki.

Ia antara penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki.
Masakan tidak, air matamu keluar bersama keluarnya peratusan
racun dari tubuh. Doktor pakar mata berkata, air mata penting untuk
menyucikan mata daripada racun yang keluar akibat ketegangan 
urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.

Duhai mata yang sedang menangis…

Sungguh bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu.
Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu.
Benar, tangisanmu itu tak mampu mengembalikan masa lalumu.
Jangan biarkan tangisan itu membibitkan kabus masa depanmu.
Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk
melonjakkan amal dan perubahan untuk hari esok.

Sesungguhnya tangisan kerana Allah s.w.t ketika gembira atau derita
ialah ubat mujarab mencari ketenangan hidup.
Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan kalam Yang Esa,
“Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis
kerana takut kepada Allah.” {Riwayat Ahmad dan Al-Nasa’i}

-Fatimah Syarha Mohd Noordin-


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...