Tuesday, 8 February 2011

Memilih Cinta Yang Susah



Jika soalan timbul pada meminta perincian terhadap tatacara pergaulan silang jantina di dalam Islam, temuilah ia di dalam perintah-perintah berikut:


1. MENUNDUKKAN PANDANGAN
Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]

Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.

“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.
Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.


2. MEMELIHARA AURAT
Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.
Peliharalah aurat. Wanita. Lelaki. Sama sahaja.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]
Perintahnya bukan perintah menutup rambut.
Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.


3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH
Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.

“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu”[Al-Ahzaab 33: 33]

“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.
Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :
Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]

Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.
Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.
Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).


4. BERURUSAN DENGAN BATASAN
Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.
Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.
Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”[al-Ahzaab 33: 53]
Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.
“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.
“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.
Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.
Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.


5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA
Dengar suara, mahu orangnya.
Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.
Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.

“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]

6. DEKAT DENGAN REALITI
“Melunakkan suara, jangan sampai jadi sarjan! Menundukkan pandangan, jangan sampai terlanggar dinding” saya menambah.
Kata kuncinya ialah, lebih dekat kehidupan kita sekarang dengan realiti di luar sana, maka kuranglah kebarangkalian untuk seseorang itu terkena kejutan budaya. Semasa duduk dalam realiti alternatif yang dibentuk di bangku pengajian, kita boleh memilih tahap komitmen masing-masing. Mahu mentakrifkan hijab [al-Ahzaab 33: 53] sebagai tabir yang memisahkan, atau mewujudkan jarak pemisah antara lelaki dan perempuan yang berdiskusi atau bermesyuarat, terpulang. Selagi ada batasan, selagi itu maksud di sebalik ayat berkenaan diambil.
Namun jika kita memilih untuk melaksanakan tabir, jadikan tabir itu sebagai alat pemudah, dan tempat kita bergantung pada mengawal ikhtilat. Realiti kehidupan akan mengheret kita kepada sebuah budaya seharian tanpa tabir, maka mudah-mudahannya jangan kita yang biasa bertabir itu terkena kejutan budaya.
Dalam menelusi bentuk-bentuk ekspresi semangat Islam, saya melihat kesederhanaan sebagai sesuatu yang lebih konsisten.


~jom muhasabah~ ^_^ ( saifulislam.com)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...