Friday 17 January 2014

Lamaran Baju Besi


Namanya Atika binti Zaid bin Amar bin Nufail. Merupakan keturunan Quraisy yang baik nasabnya. Perangainya lembut, parasnya cantik, akhlaknya mulia, hatinya bersih. Wajar jika kemudian, dalam perjalanan hidupnya, beliau tercatat sebagai isteri para mujahid. Beliau bernikah dengan empat generasi terbaik umat ini dimana keempatnya adalah para syuhada’ di jalan Allah.

Pertama kali beliau dinikahi oleh Abdullah, putera Abu Bakar As-Siddiq. Siapa yang tidak kenal dengan keluarga Rabbani ini? Saidina Abu Bakar adalah yang paling terkehadapan dalam jihad, dia menginfaqkan semua hartanya di Jalan Allah dan Rasul-Nya.

Sayangnya, lantaran kecantikan dan keindahan Atikah dalam berinteraksi, dia bercerai dengan Abdullah lantaran perintah Saidina Abu Bakar. Mengapa? Kerana asyik bercengkerama dengan Atikah, Abdullah lalai dari solat berjemaah. Dua pasangan ini asyik bercanda dari sebelum azan hingga solat usai didirikan. Maka, si ayah yang soleh itu segera memanggil buah hatinya, “Wahai Abdullah, ceraikanlah isterimu.”

Selepas bercerai dengan Atikah, Abdullah langsung jatuh sakit. Si ayah yang memahami itu mengetahui penyebab sakit anaknya. Maka diperintahkanlah Abdullah rujuk dengan Atikah dengan satu syarat, “Jangan sampai cintamu kepada wanita itu mengalahkan cintamu kepada Allah dan Rasul-Nya.” Kedua pasangan ini pun akhirnya menikah untuk kedua kalinya.

Waktu berjalan, kedua-duanya bertumbuh dalam rangka saling mencintai kerana Allah. Hingga akhirnya, Perang Thaif berkecamuk. Atikah berangkat sebagai penghembus semangat para mujahid dengan syair-syairnya. Sedangkan Abdullah maju dengan gagah perkasa hingga akhirnya menjadi syuhada’. Atikah pun menjanda.

Hari-hari yang di laluinya, Atikah begitu merindukan suaminya Abdullah sehingga bait-bait rangkap syair meniti di bibirnya buat suaminya tercinta.

Demi Allah!!
Siapakah pemuda yang seperti dia?
Yang sanggup maju dan menyerang musuh di medan perang dengan taruhan nyawa, iman dan kesabaran?
Apabila diutus di medan jihad, dia dengan gagah perkasa membunuh musuh-musuh islam..
Aku bersumpah kedua-dua mata ini terlalu panas dan hati ini selalu gelisah..
Kulitku sentiasa berdebu selepas pemergiannya..
Wahai putera yang mulia!
Wahai suamiku tercinta!
Sungguh malamku tidak bersua lagi dengan pagi yang cerah..

Selesai masa iddah, Atikah yang solehah itu disunting oleh Saidina Umar bin Khatab. Cinta keduanya tumbuh subur, menjulang ke langit batangnya, akarnya menancap kuat di bumi-Nya dan buahnya manis bertebaran seantero masyarakat di sekelilingnya. Hingga akhirnya Saidina Umar ditikam oleh seorang bejat. Kembali semula Atikah menjadi janda syuhada’ untuk kedua kalinya. Pemergiaan Saidina Umar dilepaskan dengan kesedihan. Dalam linangan air mata Atikah bersyair.

Fairuz Abu Lu’lu’ mengejutkan aku..
Tindakannya terhadap Umar sungguh terkutuk dan pengecut!
Saat itu Umar sedang membaca ayat Al-Quran dan kembali kepada Allah..
Umar seorang lelaki penyayang kepada orang bawahannya dan amat tegas terhadap kafir..

Sepeninggalan As-Syahid Umar, Atikah dinikahi oleh Zubair bin Awwam. Salah satu daripada 10 sahabat dijamin masuk syurga yang juga merupakan pengawal setia Rasulullah saw. Zubair adalah kesatria penunggang kuda yang sangat pemberani dan tidak takut mati. Atikah sangat bahagia dapat hidup bersamanya, selalu sarat dengan ketaatan kepada Allah. Beliau mengetahui bahawa suami ketiganya pun akan syahid, kerana Nabi saw pernah memberitahu semasa beliau masih hidup. Zubair mendapat syahid di lembah As Siba’ terkena anak panah hingga meninggal dunia. Ya, kembali untuk ketiga kalinya buat Atikah.

Amr bin Jarmuz telah mengkhianati penungggang kuda yang berani!!
Yang berlaku pada hari pertempuran padahal dia tidak melarikan diri..
Sekiranya engkau sedar, mulut dan tangannya pasti gementar..
Zubair..!!
Sungguh dia telah menerima cubaan..
Orangnya pemurah, wafatnya mulia..
Banyak usaha yang dilakukannya..
Dia tidak pernah berkira..

Sebaik sahaja kematian Zubair bin Awwam sampai ke pengetahuan Saidina Ali, Ali langsung berjumpa Atikah. Kedatangan Saidina Ali adalah sama seperti para lelaki yang sebelum ini iaitu ingin meminang Atikah. Namun Atikah berkata,“Aku khuatir, sekiranya engkau mengahwiniku, engkau juga akan mati dibunuh..” Mendengar kata-kata Atikah, Saidina Ali berkata,“Barang siapa yang ingin mati syahid pada masa akan datang, maka hendaklah dia kahwini Atikah.”

Maka akhirnya, Husein bin Ali yang berjaya menyunting Atikah. Ketika itu, usia Atikah sudah mencecah angka 50-an. Namun kasih sayangnya utuh, pasangan ini sentiasa harmonis dalam kerangka saling mencintai kerana Allah.

Takdir pun berlaku. Husein bin Ali syahid dalam medan Karbala. Untuk keempat kalinya, Atikah yang mempesona itu menjadi janda syuhada’. Dalam deraian air mata Atikah bermadah :

Wahai Husein,
Aku tidak akan melupakanmu..
Engkau memang diintai oleh orang-orang yang menjadi musuhmu..
Mereka mengkhianati engkau di Karbala..
Hingga tubuhmu terbanting ke tanah..

Atikah hidup hingga awal kepimpinan Muawiyah bin Abu Sufyan, khalifah pertama Dinasti Bani Umayyah, yakni sekitar tahun 41 H. Beliau meninggal di atas tempat tidurnya dengan penuh kedamaian. Semoga Allah meredhainya serta menjadikan Firdaus sebagai tempat persinggahan terakhirnya dan mengumpulkannya bersama para syuhada’ yang telah awal mendahuluinya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...