Thursday 23 January 2014

Mujahidah Islam : Ummu Aiman


Rapatnya beliau dengan Rasulullah saw tidak membuat Ummu Aiman untuk meminta alasan kepada Rasulullah saw untuk tidak turut serta dalam jihad. Ummu Aiman memiliki jasa besar dalam lapangan jihad. Dia ikut bergabung dalam Perang Uhud sebagai pemberi air minuman untuk para mujahidin dan memberikan khidmat perubatan untuk mujahid yang terluka.

Tak hanya itu, Ummu Aiman juga ikut serta dalam Perang Khaibar bersama beberapa isteri para sahabat.  Setelah kemenangan, Rasulullah saw memberi mereka sebahagian dari harta rampasan perang (ghanimah). Lalu pada Perang Hunain, dia berada dalam satu rombongan bersama kedua-dua puteranya, Aiman dan Usamah. Kedua-dua anaknya termasuk para sahabat yang teguh bertahan melindungi Rasulullah saw pada saat itu. Namun kemudian Aiman  mati syahid. Kesyahidan Aiman semakin menambah keimanan dan penyerahan total dirinya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan pada Perang Mu`tah, suaminya (Zaid bin Haritsah) yang bertindak sebagai komandan pasukan menjadi pahlawan syahid yang pertama. Ummu Aiman menerima berita kesyahidan suaminya dengan hati yang redha dan sabar. Dia menggantungkan harapannya kepada Allah SWT semata-mata.

Ketika Rasulullah saw wafat, Ummu Aiman terdiam dengan kesedihan meliputi hatinya. Air mata membanjiri kedua matanya. Tergeraklah batinnya yang bersih, lalu memuji Nabi dengan syair yang indah:

“Mata menangis... kerana air mata itu menyembuhkan. Maka perbanyaklah tangismu
ketika mereka berkata “Rasul telah tiada", Itulah musibah tiada nilai taranya. Tangisilah orang terbaik yang menjadi nikmat bagi kita di dunia. Orang yang diistimewakan dengan wahyu dari langit.”

Ummu Aiman dikenal kerana ketulusannya berbakti kepada Rasulullah saw, Ummu Aiman juga memiliki keluasan ilmu, keutamaan, dan kecerdasan. Hal ini ditunjukkan oleh riwayat Muslim dari pada Anas, dia berkata bahawa setelah wafat Rasulullah saw, Saidina Abu Bakar berkata kepada Saidina Umar, “Marilah kita berangkat menuju rumah Ummu Aiman untuk mengunjunginya sebagaimana Rasulullah saw selalu mengujunginya.” Ketika tiba di rumahnya, mereka mendapati Ummu Aiman sedang menangis. Saidina Abu Bakar bertanya, “Kenapa engkau menangis, segala apa yang telah dikehendaki Allah adalah yang terbaik bagi Rasulullah saw?”

Dia menjawab, “Aku menangis bukan kerana aku tidak tahu bahawa segala apa yang dikehendaki Allah adalah yang terbaik bagi Rasulullah saw, akan tetapi aku menangis kerana terputusnya wahyu dari langit.” Jawapannya ini menggoncangkan hati Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, dan membuat keduanya menangis bersamanya. Ummu Aiman pun turut serta dalam periwayatan hadits. Dia meriwayatkan 5 buah hadits daripada Rasulullah saw. Di antara sahabat yang meriwayatkan hadits daripadanya adalah Anas bin Malik, Hanasy bin Abdullah Ash-Shan’ani, dan Abu Yazid Al-Madani.

Ummu Aiman wafat tidak lama setelah Rasulullah wafat. Imam Adz-Dzahabi dan Ibnu Hajar Al-‘Asqalani mengatakan, “Dia meninggal dunia lima bulan setelah Nabi saw wafat.” Semoga Allah redha kepada Ummu Aiman dengan memberikan syurga buatnya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...