إِنَّ الْحَمْدَ للهِ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ عَلَى مَحَجَّةِ الْبَيْضَاءِ، لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا، لاَ يَزِيْغُ عَنْهَا إِلاَّ هَالِكٌ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ حَبِيْبِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وسَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ، وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِيْنَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ،فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Saya berpesan buat diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita mempertingkatkan rasa gerun, takut dan waspada kita kepada Allah s.w.t. Juga, marilah kita mempertingkatkan rasa kehambaan dan kecintaan kita kepada Allah s.w.t., Tuhan, Rabbul Alamin.
Firman Allah s.w.t (surah al-Baqarah: 165):
Maksudnya: “Ada di antara manusia, orang yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah.”
Sidang Jumaat sekalian,
Dunia kita hari ini dipenuhi dengan propaganda cinta manusia. Kita sering dihidangkan dengan kisah-kisah cinta melalui drama, filem, teater mahupun cerpen dan novel-novel. Ini termasuk lagu-lagu yang sebahagian besarnya membawa tema-tema cinta antara dua manusia, lelaki dan wanita.
Lebih malang lagi, sebahagian besar lagu-lagu itu memainkan emosi dan ilusi manusia-manusia yang kecewa dan gagal dalam cinta. Tidak ketinggalan, nasyid-nasyid kontemporari juga terikut rentak mendendangkan tema-tema cinta, meskipun disertai ingatan tentang batasan syariat.
Hasilnya, masyarakat kita hari ini, khususnya golongan remaja sangat mengagungkan cinta. Mereka menjadikan sebahagian besar dari masa mereka untuk cinta. Sehingga lahirlah ungkapan-ungkapan seperti “cinta itu suci”, “perjuangan cinta”, “cinta yang sedang diuji” “cinta anugerah Tuhan”, “dugaan cinta” dan sebagainya.
Fenomena ini turut menyebabkan setengah golongan yang tidak dapat mengawal emosinya di dalam cinta sehingga menjejaskan kehidupan mereka. Tidakkah kita merasa pelik, ada orang yang tidak lalu makan dan minum kerana cinta?
Adakah wajar, seorang remaja ponteng sekolah hanya kerana kecewa dalam cinta? Bagi setengah golongan pula, mereka mendapat motivasi untuk belajar, bekerja mahupun berjuang dari hubungan cinta dengan manusia yang berlainan jantina.
Sidang Jumaat sekalian,
Islam tidak menyekat atau menghalang cinta sesama manusia. Namun al-Quran menjelaskan kedudukan cinta antara dua manusia berlainan jantina tidak lebih dari sebagai ujian. Cinta itu adalah ujian dari Allah s.w.t. untuk melihat di kalangan hamba-Nya, siapakah yang berjaya mengawal dirinya, tidak musnah menjadi korban cinta.
Firman Allah s.w.t (surah Ali Imran, ayat 14):
Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
Oleh itu, seorang muslim tidak sewajarnya tenggelam dalam cinta nafsu sehingga mengabaikan tanggungjawab atau melanggar batas-batas syariat. Sebaiknya, mereka perlu menghindari cinta yang hanya membuang masa, lalai dalam keindahan dunia yang sementara.
Firman Allah s.w.t (surah Ali Imran, ayat 15):
Maksudnya: “Katakanlah: “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga isteri-isteri yang suci bersih, serta keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.”
Hadis Rasulullah s.a.w. pula menjelaskan kepada kita hakikat ujian cinta. Sabda baginda
:أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا (رواه الترمذي)
“Kasihilah orang engkau kasihi sekadarnya, mungkin dia akan menjadi orang yang engkau benci suatu hari nanti. Bencilah orang yang engkau musuhi sekadarnya, mungkin dia akan menjadi kesayanganmu pula suatu hari nanti. (Hadis riwayat al-Tirmidzi. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan hadis ini gharib yakni dhaif).
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab, ayat 4:
Maksudnya: “Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.”
Ini bererti, segala ungkapan yang sering disebut dalam lamunan cinta hanyalah rekaan manusia semata-mata. Ia bukanlah suatu perkara benar selain cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Ungkapan “cinta itu suci” adalah tidak benar kerana cinta sepasang kekasih sering dicemari maksiat. Tidak ada “perjuangan cinta”, kerana perjuangan manusia sering terhalang kerana cinta.
Kata-kata sepasang kekasih “cinta kita sedang diuji” adalah tidak benar; kerana sebenarnya, mereka yang sedang diuji Tuhan dengan perasaan cinta. Demikian juga, tidak ada “dugaan cinta”. Apa yang ada adalah rasa cinta yang sedang menduga keimanan manusia.
Sidang Jumaat sekalian,
Cinta naluri seperti dinyatakan dalam ayat al-Quran tadi, tidak mempunyai nilai di sisi Allah s.w.t. Cinta kepada wanita (atau wanita kepada lelaki), cintakan anak, harta, kenderaan, ternakan dan ladang pertanian adalah cinta naluri yang menjadi hiasan dalam kehidupan..
Cinta yang mendapat pahala dan ganjaran dari Allah adalah cinta yang dibina dan dipupuk. Cinta manusia kepada Tuhannya tidak lahir secara semulajadi. Ia perlu dipupuk melalui ketaatan, zikir dan pengorbanan. Apabila manusia mengorbankan perasaan dan kepentingan dirinya semata-mata untuk mematuhi perintah Allah s.w.t., dia akan merasai kemanisan iman kepada Allah s.w.t. Cinta akan bertambah kepada Allah s.w.t. dan rasul-Nya, s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ اْلإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَ لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.
Maksudnya: “Ada tiga perkara. Siapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman. 1. Apabila Allah s.w.t. dan rasul-Nya lebih dikasihi dari selain keduanya. 2. Apabila dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah s.w.t. 3. Apabila dia merasa benci untuk kembali menjadi kufur, seperti bencinya dia dicampak ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari).
Rasulullah s.a.w. sendiri menunjukkan contoh yang tepat, apabila baginda mengenepikan cintanya kepada manusia kerana mendahulukan cinta kepada Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
لَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ خَلِيلاً، وَلَكِنَّهُ أَخِي وَصَاحِبِي، وَقَدِ اتَّخَذَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ صَاحِبَكُمْ خَلِيلاً
.Maksudnya: “Kalaulah aku boleh menjadikan sesiapa sebagai kekasihku, nescaya aku pilih Abu Bakar sebagai kekasih. Namun, di adalah saudaraku dan sahabatku. Dan Allah telah (lebih dahulu) menjadikan aku sebagai kekasih-Nya.” (Riwayat Muslim).
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “Sedangkan orang-orang yang beriman sangat dalam cintanya kepada Allah.”
0 comments:
Post a Comment